Adsense

Selasa, 24 April 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Prema buka langkah

Posted: 23 Apr 2012 02:45 PM PDT

Hip

Harap single terbaru, Superstar diterima baik peminat

GADIS lincah ini ketawa mendengar kelakar si penulis di sebuah restoran sambil mengusap matanya dengan mulut tersenyum lebar, menongkat dagu dan menumpu sepenuh perhatian kepada setiap soalan yang diajukan sambil menghirup kopi susu.

Prema Yin, pemenang Artis Wanita Terbaik Anugerah Voice Independent Music 2012 (VIMA), memang peramah. Dia juga pendengar yang sabar, mahu memahami keseluruhan soalan sebelum menjawab.

Dia antara penyanyi gelombang baru yang mula menyinar di persada seni tanah air dan antarabangsa. Langkah Prema memang panjang.

Studio tempat dia berkarya bukan di sini, tetapi di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS). Dia ke AS hujung tahun lalu kerana syarikat pengurusannya yang ditubuhkan di LA mempunyai hubungan profesional dengan pengkarya di sana.

Apatah lagi lagunya, Eyo Eyo dimasukkan dalam runut bunyi filem A Novel Romance lakonan Steve Guttenberg, Shannon Elizabeth dan Doug E Doug.

Prema masuk studio bersama penerbit album dan komposer di AS iaitu Bill Grainer (penerbit penyanyi Jennifer Hudson), Michelle Vise (menulis untuk Ke$ha) dan Scott Krippayne (menulis untuk Kutless, Demi Lovato dan Jordin Sparks).
"Album baru mungkin keluar hujung tahun ini. Konsepnya amat pop, dengan serba sedikit pengaruh dance dan elektronika. Kebanyakan lagu dalam Bahasa Inggeris, tetapi saya masih mahu masukkan beberapa lagu Melayu," katanya.

Prema juga ke Bandung dan Jakarta baru-baru ini atas jemputan stesen radio yang menyiarkan lagunya sehingga masuk carta radio Indonesia, membuktikan lagu nyanyiannya mendapat perhatian pendengar di sana.

Walaupun mula mengukir nama di persada seni antarabangsa, hatinya masih kukuh bertapak di Malaysia. Dia juga akur kadangkala untuk mengecapi kejayaan, harus menempuh pelbagai dugaan.

Isu klip video muzik Marilah mendapat perhatian luar biasa tahun lalu apabila pengarahnya, Gambit Saifullah berbalas kata-kata kesat dengan beberapa pihak yang mengkritik hasil kerjanya itu.

Dia juga mendapat komen negatif kerana dikatakan melakukan aksi berahi dalam klip video muzik itu.

"Saya rasa simpati dengan Gambit yang 'diserang' di Malaysia.

Ketika itu saya di luar negara kerana bekerja. Saya terima kritikan dengan hati terbuka. Saya harap, karya saya berikutnya akan dapat memenangi hati peminat, walaupun saya faham agak sukar untuk memuaskan semua orang," jelasnya.

Karya Prema yang berikutnya tampak mampu mengetengahkan kualiti yang membanggakan atas kesungguhannya. Video muziknya yang terbaru, Superstar dilancarka bulan lalu, menunjukkan ahli keluarganya, termasuk dua abangnya iaitu bekas pemain hoki negara Kevan dan Logan Raj.

Video itu diarahkan Adrian Lai dan lagunya memperihalkan sinar yang ada dalam setiap insan, ditulis Prema sendiri.

Antara projek yang bakal diumumkan tidak lama lagi bersifat nasionalis dan Prema akan cuba membangkitkan semangat cintakan negara dalam arena dunia, setara dengan perkembangan kerjayanya di persada antarabangsa.

"Buat masa ini, biarlah saya rahsiakan dulu, sebab semua masih dalam perbincangan. Siapa tahu ke mana kita akan pergi lepas ini. Saya pasti akan ke Indonesia sekali lagi dan ke Amerika untuk beberapa perkara. Yang penting, keluarga dan semua sahabat saya kebanyakannya ada di sini, jadi hati saya tetap di Malaysia," katanya.