Adsense

Ahad, 22 April 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Jo mahu jadi Melayu

Posted:

Jo mahu jadi Melayu

Jo mahu jadi Melayu

KATA bidalan jangan hanya merenung dan menghakimi kulit luaran, sebaliknya dibelek untuk mengetahui isi sebenarnya. Begitu yang terlintas semasa pertama kali bertentang mata dengan Josiah Padilla Hogan. Saat pemuda ini masuk ke ruang temu ramah, penulis ragu-ragu tentang kebolehannya berbahasa Melayu.

Rupa-rupanya tebakan pertama salah. Josiah atau nama sebenarnya Mohamad Musleh malah boleh bertutur dialek Kelantan dengan baik. Katanya di Kota Bharu, dia dikenali dengan nama Mat. Nama gelaran yang senang disebut malah diingat khalayak.

Bukan hanya itu, kini dia memikul nama Kamil. Karakter yang menambat mata penonton siri Projek Pop yang kini disiarkan di saluran 8TV. Sebuah kisah kebenaran di belakang tabir. Ironinya dia jauh daripada sifat sebenar Kamil yang keras kepala, lupa diri dan bercakap slanga British.

"Kamil ialah orang hadapan grup Hot Snow yang merupakan grup besar di Malaysia. Sudah pernah jelajah satu dunia dengan grupnya yang membuatkan dia lupa diri. Saya seronok berada dalam produksi Projek Pop kerana cabarannya. Rata-rata pelakonnya ada asas lakonan. Jadi saya tercabar untuk jadi seperti mereka. Apa lagi saya perlu bercakap dalam slanga British dan banyak bermain emosi dalaman," ujarnya tentang Projek Pop yang disiarkan pada setiap Ahad pada pukul 10.30 malam.

Peluk Islam

Menurut Josiah, Projek Pop adalah satu landasan besar untuk mengembangkan bakat dan memperkenalkan namanya. Siri yang turut mengundang Adibah Noor, Sharifah Amani, Bront Palarae, Hasnul Rahmat dan Liyana Fiz sebagai cameo ini dirasakan pengalaman yang sangat menarik kerana bekerja dengan tenaga produksi yang hebat dan melatihnya berlakon secara semula jadi yang mungkin.

Wajah dan namanya cukup hijau dalam arena bidang lakonan. Namun buat khalayak yang masih tertanya siapa jejaka berusia 26 tahun ini, mungkin yang mengikuti siri Bicara Hati terbiasa dengan wajah kacak ini.

Cerita Josiah yang senang disapa Jo, dia menjejakkan kaki ke Kelantan ketika berumur tujuh tahun. Berkelana dari Kings Ville, Texas, Amerika Syarikat (AS) mengikut ibunya yang memeluk Islam dan berkahwin dengan jejaka Kelantan.

"Saya masuk Islam pada usia empat tahun kerana mengikut ibu saya yang ketika itu berusia 24 tahun.

"Asalnya ibu ialah penganut Katholik yang kemudiannya berminat untuk mendalami al-Quran. Ketika umur saya lima tahun, ibu berkenalan dengan ayah tiri saya dan berkahwin setahun selepas itu. Pada tahun 1993, saya ke Malaysia bersama mereka," Jo bercerita tentang ibunya, Carmen Hogan atau Siti Khatijah.

Kehidupan di Kelantan dilalui secara normal. Bukan hanya pernah menetap di situ, Jo juga pernah berpindah ke Johor Bahru dan kini tinggal di Kuantan, Pahang.

"Sampai di Malaysia, saya dibesarkan dalam suasana kampung. Dalam masa dua bulan saya sudah fasih berbahasa Melayu sewaktu di Kampung Kubang Kiat. Pandai makan budu dan kecek Kelate," katanya.

"Awalnya pada usia yang sangat muda, saya tidak rela meninggalkan kehidupan di AS. Tetapi bila sampai Kelantan, saya hargai kehidupan kampung. Bagi saya kalau duduk di luar negara, peratusan untuk mati lebih tinggi. Di AS, tembak-menembak dan membunuh itu normal," syukurnya yang gembira menetap di sebuah negara yang aman.

Pernah pulang ke kampungnya di Texas pada sekitar tahun 2000, dia sempat dihujani pelbagai pertanyaan perihal Malaysia.

"Orang Amerika lebih tahu sejarah mereka berbanding dunia. Mereka tidak ambil tahu perihal negara Asia. Sempat juga saya bercerita dengan sanak saudara di sana yang nyata ada interpretasi dan gambaran yang salah tentang Malaysia," luahnya.

Mahu watak Melayu

Ujar Jo, kalau tidak ada penggambaran drama atau kerja di Kuala Lumpur, dia lebih senang menghabiskan masa di Kuantan bersama keluarga.

"Itulah saya. Di sana lebih tenang, saya gemarkan suasana pagi di sana. Saya juga menjaga orang tua saya di sana," ujarnya yang tidak mengejar kehidupan moden di ibu kota.

Dalam selang waktu berulang-alik dari Kuantan ke Kuala Lumpur, dia mengaku pernah menganggur selama setahun pada tahun lalu. Tidak ada tawaran yang sampai kepadanya. Tidak kecewa, dia sedar akan kehendak industri namun itu bukan halangan untuk dia mencuba lagi.


JOSIAH gemar menghabiskan masa di Kuantan.


"Saya memang peminat filem dari dahulu. Saya juga gemar memerhati. Pada tahun 2009, saya sanggup jual kereta kerana mahu mencuba nasib di Hollywood. Saya sempat untuk uji bakat siri Mad Max arahan Goerge Miller namun bukan rezeki saya apabila pak cik saya yang tinggal di sana terpaksa berpindah. Saya akur," katanya yang kemudian muncul dalam siri Natrah di bawah payung KL Motion pada tahun 2010.

Daripada jejak itu, tunas minatnya terus bercambah. Membawa dia kepada rezeki Bicara Hati yang memberikan karakter Razif yang dianggapnya gabungan semua watak dalam satu.

"Razif orangnya emosional, psiko dan mudah menangis. Saya berterima kasih dengan kepercayaan Osman Ali kerana memberikan watak berat ini. Ini peluang saya menggilap bakat. Sebagai sutradara, Osman memang pentingkan emosi," ujarnya yang juga terlibat dengan beberapa drama dan telefilem sebelum ini.

Nasibnya juga baik apabila berpeluang muncul dalam produksi filem Penanggal arahan Ellie Suriaty. Bukan itu sahaja, Jo juga bakal muncul dalam filem Tyickoons bersama Aaron, Bront Palarae dan Remy Ishak.

"Saya mahu pastikan umum melihat bakat yang saya ada dan bukan kerana wajah. Sebab itu saya lebih mahukan watak Melayu dan saya pasti boleh melakukan kehendak karakter tersebut. Kurang gemar saya diberikan watak mat saleh kerana hakikatnya saya bukan mat saleh sebaliknya latino," jujurnya tentang karakter.

Grup sendiri

Tidak hanya melempiaskan ekspresi bakat dalam lakonan, Jo juga memiliki sebuah grup grunge yang dinamakan Maddame yang ditubuhkan pada tahun 2006.

"Maddame akan terus berada dalam dunia underground dan tidak akan pergi ke arus perdana. Kami sedang menyiapkan album dan mungkin dilancarkan pada Jun ini" ujar pemegang posisi gitaris dan vokalis ini.

Sudah siap sekitar 40 peratus, misi grup ini juga diletakkan berat pada penulisan lirik mereka.

"Saya banyak menulis lirik untuk menyeru peminat agar jangan terlalu terkejarkan keduniaan. Seperti dalam lagu kami yang bertajuk Fire Gate Borders saya bercerita tentang sempadan. Tidak usah ada sifat begitu kerana akhirnya semua perlu bersatu. Saya banyak bermain dengan metafora dan tidak ada kena-mengena dengan politik," ungkap Jo tentang pembikinan lagu dan album yang mahu dijadikan wasiat buat anak-anaknya kelak.

Satu persatu bidang sedang diterokai wajah baru ini dalam industri ini. Walau tidak laju namun memang dia memilih begitu. Bak kata pepatah, bagai tak dapat berjalan tegak, berengsot-engsot pun sampai juga.

Skandal hidup mewah Zahida terbongkar

Posted:

Skandal hidup mewah Zahida terbongkar

Skandal hidup mewah Zahida terbongkar


MENERUSI akaun Twitter, Zahida Rafik menafikan dirinya terlibat dengan skandal seperti yang hangat diperkatakan ramai. Dia juga menyerahkan perkara itu kepada peguamnya. Tulis Zahida dalam Twitternya, dia mengasihani situasi bekas pemandu peribadinya itu kerana terdesak untuk mendapatkan wang dengan cara memfitnah orang lain.


SEJAK Rabu lepas, namanya hangat menjadi bualan di laman-laman web serta portal hiburan tanah air. Itu semua gara-gara satu pembongkaran hubungan terlarang Zahida Rafik dengan seorang VIP.

Pembongkaran skandal yang didakwa dilimpahi kemewahan itu didedahkan oleh sekumpulan politik di lobi Parlimen baru-baru ini.

Memetik laporan blog-blog di Internet, Zahida, 37, didakwa meraih habuan besar hasil hubungan sulitnya bersama seorang kenamaan. Mereka didakwa berjumpa di hotel-hotel sekitar Kuala Lumpur, dan Zahida dikatakan menerima wang sehingga RM200,000.

Wang itu bagaimanapun tidak dibayar terus ke tangan Zahida sebaliknya dibayar kepada pemandu yang juga pengawal peribadi Zahida. Lelaki berkenaan diupah oleh VIP tersebut sejak tiga tahun lalu.

Zahida dikatakan menerima wang sehingga RM1.4 juta dalam Oktober 2011 hingga Januari lalu.

Kepada pemerhati dunia hiburan, skandal Zahida bersama seorang VIP bertaraf Datuk itu sebenarnya bukan berita baharu.

Ramai yang curiga terhadap gaya hidup Zahida yang dianggap tidak seiring pencapaian karier lakonannya.

Sudah bertahun kisah Zahida itu cuba dirisik, namun dia sering menjelaskan kemewahannya itu adalah hasil keuntungan perniagaan yang diusahakan bersama ahli keluarganya.

Ramai yang mula mengerutkan dahi apabila Zahida membuat laporan polis setelah pemandu peribadinya melarikan wang tunai miliknya sebanyak RM200,000 baru-baru ini.

Pada 3 Mac lalu, sebuah akhbar bukan terbitan Kumpulan Utusan pernah melaporkan Zahida membuat laporan polis setelah wang tunai RM200,000 miliknya dilarikan.

Zahida yang popular menerusi filem komedi Anak Mami The Movie menyerahkan wang tunai berkenaan kepada pemandu lelaki berusia 37 tahun itu untuk dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya, namun sejak itu, suspek berkenaan gagal dihubungi serta dipercayai sudah melarikan diri.

Zahida kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin sendiri telah mengesahkan menerima laporan berkenaan. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

"Sebelum ini sudah banyak kali dia (pemandu peribadinya) membantu saya dalam urusan memasukkan duit ke dalam akaun bagi urusan kerja, tapi tidaklah jumlah yang besar sebegini.

"Kebiasaannya saya akan turut sama pergi dan dia hanya menemani. Namun, kali ini saya benar-benar tidak sempat kerana ibu sakit dan saya agak kelam-kabut di rumah bagi menguruskan beberapa perkara," kata Zahida seperti yang dilaporkan.

Pemandu itu turut membuat laporan balas sebagai persediaan berdepan tuduhan Zahida. Menurut sumber, pemandu itu kemudian bertemu seorang peguam tanpa mengetahui latar belakang peguam berkenaan yang sebenarya ada kepentingan untuk menjatuhkan nama majikannya yang berstatus VIP.

Kosmo! menghubungi Zahida untuk mendapatkan ulasan daripadanya tetapi dia memilih untuk berdiam diri.

Ruangan Diva pada 18 Mac sebelum ini pernah menulis gosip berhubung kehidupan mewah yang diraih seorang artis tempatan sehingga mencecah ratusan ribu setiap kali mereka bertemu bagaimanapun tiada nama dikaitkan dalam artikel berkenaan.

Mazlan tidak berkira bayaran

Posted:

Mazlan tidak berkira bayaran

Mazlan tidak berkira bayaran


MAZLAN muncul dengan single pertamanya Ayumu Merisaukan Aku.


MAZLAN HAMZAH sedaya upaya mahu mencuri perhatian khalayak. Bajanya terus ditabur agar lekas tumbuh dan terus matang sebagai seorang penyanyi berjaya.

Agak terlewat tampil dengan lagu single pertama ketika berada pada usia 31 tahun, Mazlan bagaimanapun tidak menoleh ke belakang. Apa yang difikirkannya, pendengar harus cepat mesra dengan lagu nukilan komposer Saari Amri itu.

"Harap-harap orang ramai dapat terima single pertama saya yang berjudul Ayumu Merisaukan Aku. Lagu itu baru sahaja dikeluarkan pada penghujung Disember lalu.

"Melihatkan respons yang saya terima, ada yang memuji dan ada juga yang mengkritik," katanya membuka bicara.

Namun, usaha mempromosi diri menjadi sia-sia jika Mazlan tidak mampu berkerja. Belum sempat berasa dunia popular, Mazlan berdepan ujian besar. Nikmat suaranya tiba-tiba ditarik seketika.

Ketika itu, lagu pengenalannya baru sahaja sebulan diuar-uarkan kepada pendengar. Kelunakan suaranya tiba-tiba berubah menjadi serak sehinggalah Mazlan tidak dapat berdendang lagi.

"Masa itu lagu single tersebut baru sebulan dilancarkan. Selepas demam dan suara serak berterusan, akhirnya saya tidak dapat menyanyi. Suara tersekat, nak bercakap pun susah.

"Pada Februari dan Mac lalu saya terpaksa berehat kerana doktor mengesahkan terdapat ketumbuhan pada kotak suara yang mengganggu pertuturan saya. Banyak tawaran nyanyian terpaksa ditolak," cerita Mazlan yang mempertaruhkan lagu berentak balada.

Nyata semangat membuak-buak untuk menjenamakan diri Mazlan sedikit meluntur selepas pancaindera itu mengalami kecederaan.

Namun, pembedahan membuang ketumbuhan yang dijalankan pada penghujung Mac lalu memberi sedikit harapan buat Mazlan untuk terus memperkukuhkan jenamanya.

"Jujurnya, ketika itu saya memang berasa patah semangat kerana tidak dapat menyanyi. Tetapi saya bersyukur kerana pembedahan itu dapat mengembalikan suara saya.

"Apa pun saya jadikan ia sebagai pengajaran agar sentiasa berwaspada daripada sebarang ujian mendatang. Lagipun kesakitan itu hadir ketika saya baru beberapa bulan menjadi penyanyi," ujar anak kelahiran Pulau Pinang itu.

Membuka lembaran baharu selepas ditimpa kesakitan, Mazlan kini memacu momentum lebih kuat agar apa yang telah terlepas dikutip semula.

Tidak berkira soal bayaran yang diterima, Mazlan sebolehnya tidak menolak mana-mana tawaran persembahan. Sedar dengan status sebagai orang baharu, baginya nilai sebuah pengalaman mengatasi nilai wang ringgit yang diterimanya.

"Saya tetap menerima apa-apa tawaran daripada mana-mana penganjur walaupun menjemput saya dengan percuma ataupun diberikan token sahaja. Sebagai seorang yang baru bertapak, itulah yang harus saya telan.

"Tetapi saya harap agar penganjur sedar dengan apa yang telah saya lakukan itu, sekurang-kurangnya diberikan bayaran setimpal walaupun nama saya baru mula bertapak," katanya yang mempunyai pengalaman menjadi penari selama 14 tahun.