Adsense

Khamis, 5 April 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Membongkar kisah pemenggal kepala

Posted:

Membongkar kisah pemenggal kepala

Membongkar kisah pemenggal kepala

THE BORNEO INCIDENT tidak berbunyi seakan-akan sebuah filem. Namun itu faktanya. Ia merupakan sebuah filem seram eksperimental hasil karya sulung terbitan Maverick Media arahan Michael Helfman.

Bakal menemui penonton pada bulan September tahun ini, The Borneo Incident juga dikhabarkan akan turut dipertandingkan di Festival Filem Toronto sebelum memasuki Malaysia.

Filem yang mengumpulkan pengacara terkenal, Henry Golding, Daphne Iking dan Hansen Lee dalam barisan pelakonnya itu juga turut melibatkan pelakon Singapura, Fay Hokulani selain pelakon seksi Carmen Soo serta penyanyi Dennis Lau.

Henry tidak canggung

Tidak sukar rasanya bagi pengacara program 8TV, Without Boundaries, Henry Golding untuk sekali lagi masuk ke hutan menjalani penggambaran filem itu. Walaupun pada kali ini dia menjelajah isi hutan bukan sebagai hos, tetapi sebagai pelakon, ia adalah satu pekerjaan baharu yang mengujakannya.

Hal itu diakui sendiri olehnya yang ditemui ketika sidang akhbar dan previu filem itu di Hotel Gardens, Petaling Jaya, Selangor, pada Selasa lalu.

"Filem ini akan membawa penonton kembali kepada budaya asal etnik pribumi di Borneo dan pastinya menjanjikan pengalaman sebenar yang sangat realistik.

"Penggambaran ini dilakukan di kawasan rumah panjang Ukum yang terletak di daerah Batang Ai, Sarawak, malah kami juga masuk ke dalam hutan yang mengambil masa sejam dari kawasan penempatan untuk penggambaran selama dua hari di sana.

"Mujur sebelum ini saya dibiasakan untuk pengembaraan di dalam hutan, maka lokasi penggambaran filem kali ini tidak terlalu aneh bagi saya," ujarnya yang menjelaskan lebih banyak reaksi berbanding aksi terkandung dalam filem ini.

Fay tukar minat

Salah seorang pelakon dari Singapura, Fay Hokulani yang pertama kali terpaksa melakukan aktiviti lasak di dalam hutan turut menceritakan pengalamannya sepanjang tempoh penggambaran yang bermula pada hujung Februari lalu.

"Pada mulanya apabila saya dikhabarkan perlu masuk ke hutan saya takut! Tidak pernah terlintas untuk melakukan nktiviti sedemikian. Pastinya perkara yang menyukarkan bagi saya selaku seorang perempuan adalah apabila berada di kawasan hutan dan tiada tandas.


DARI KIRI, Fay, Henry (duduk,depan), Hansen dan Daphne merupakan antara pelakon penting filem The Borneo Incident.


"Namun, selepas bersama dengan kru produksi filem ini, sedikit sebanyak ia telah menarik minat saya untuk melakukan treking hutan dengan lebih kerap selepas ini," cerita Fay teruja.

Daphne ketakutan

Sementara itu, filem itu turut menampilkan heroin filem Belukar, Daphne Iking sebagai seorang pemandu pelancong di kawasan Batu Caves, Selangor.

Bercerita tentang tekanan bekerja di bawah produksi luar negara sehingga dirinya pernah tersesat dalam hutan, ujar pengacara rancangan ntv7, Bella itu, pengalaman dirinya sebagai seorang wartawan sebelum ini banyak membantunya.

"Sebagai seorang wartawan, kita dilatih untuk menyerap sebanyak mungkin maklumat yang diberikan. Begitu juga sewaktu berlakon dalam filem ini.

"Kami melakukan penggambaran di Batu Caves dua hari sebelum perayaan Thaipusam dan sewaktu ralit melihat kavadi saya terpisah daripada kru produksi lain dan sesat.

"Menakutkan tapi pengalaman itu sangat berharga bagi saya. Selain itu, saya perlu menghafal sebanyak mungkin informasi yang diberikan pemandu pelancong dalam masa yang singkat. Akhirnya apa yang melekat saja yang keluar dari mulut," ujarnya bersungguh-sungguh.

Hansen tayang badan

Pengacara The Breakfast Show di ntv7, Hansen Lee pula tampil sebagai cameo dalam filem itu memegang watak sebagai abang kepada watak lakonan Carmen Soo.


FILEM The Borneo Incident membawa penonton kembali kepada budaya asal etnik pribumi di kepulauan Borneo.


Wataknya itu merupakan seorang pemuda yang sudah sebati dengan kehidupan pantai menyebabkan dia muncul dalam banyak babak filem itu tanpa memakai baju.

Hansen bagaimanapun berharap ia tidak timbul menjadi isu kontroversi kerana sepanjang filem itu, dia sememangnya diwajibkan untuk tidak berbaju!

"Saya bersedia untuk aksi tayang badan. Apabila ditawarkan watak ini saya mengandaikan sama ada saya akan memakai singlet mahupun sekadar memakai seluar pendek di tepi pantai.

"Tidak menjadi isu bagi saya dan saya selesa beraksi sebegini. Mungkin sesetengah orang merasakan perkara ini sensitif tapi saya masih menghormati norma masyarakat kita," katanya yang sebelum ini pernah menjadi seorang jurulatih gimnasium selama empat tahun.

Dia sebelum ini pernah berlakon dalam sebuah drama Singapura berjudul Polo Boys pada tahun 2009 juga tanpa memakai baju.

Tambah pelakon telefilem Akinabalu dan Di Telapak Kaki Bonda itu, perkara tersebut tidak seharusnya dijadikan isu kerana tindakannya adalah berdasarkan watak dan tiada niat untuk mencetuskan sebarang kontroversi.

The Borneo Incident menceritakan pengalaman lima orang sahabat yang mendokumentasikan pengembaraan mereka dari New York, Amerika Syarikat ke Borneo, Malaysia.

Tujuan rombongan mereka adalah untuk menjejak semula keluarga Henry yang terkenal dengan kaum pemenggal kepala iaitu Iban sehingga tersasar daripada matlamat asal setelah tersesat sehingga memasuki sempadan sebuah puak di Indonesia.

Semakin jauh kumpulan itu berjalan mereka sedar bahawa kawasan yang ditinjau bukan tempat yang terbaik untuk mereka jejaki.

Leeteuk dedah nombor telefon

Posted:

Leeteuk dedah nombor telefon

Leeteuk dedah nombor telefon


LEETEUK


KETUA band Super Junior, Leeteuk mendedahkan dia akan terus menggunakan nombor telefon yang sama meskipun nombor telefon peribadinya itu telah didedahkan kepada pengetahuan umum pada 1 April lalu.

Tarikh 1 April sangat sinonim dengan hari membuat kejutan kepada orang lain atau dipanggil April Fool's Day.

Pada 3 April lalu, melalui akaun laman sosial Twitter miliknya, Leeteuk menulis: "Saya akan terbang ke Perancis untuk konsert pertama Super Junior di sana. Kami berjanji akan memberi persembahan yang terbaik.

"Saya juga akan terus menggunakan nombor telefon yang sama dan ia akan menjadi nombor telefon utama untuk saya berkomunikasi. Saya akan beritahu anda semua (peminat) jika saya tidak lagi menggunakan nombor telefon itu."

Pada 1 April lalu, Leeteuk telah meletakkan nombor telefon peribadinya di akaun Twitter miliknya sebagai salah satu cara menyambut April Fool's Day.

Kemudian salah seorang ahli Super Junior, Heechul turut mengesahkan itu adalah nombor peribadi Leeteuk dengan meletakkan gambar telefonnya yang tertera mesej dan panggilan yang dibuat oleh Leeteuk menggunakan nombor peribadinya itu di Twitter.

Aaron mangsa fitnah internet

Posted:

Aaron mangsa fitnah internet

Aaron mangsa fitnah internet

Oleh HARYATI KARIM


AARON AZIZ kecewa apabila nama sebenar dirinya sengaja dijadikan isu kontroversi oleh pihak tidak bertanggungjawab.


KELMARIN hari yang cukup kecoh buat aktor popular Aaron Aziz, 36, apabila sebuah portal hiburan menyiarkan kad pengenalan Singapura yang didakwa miliknya.

Apa yang mengecewakan hero filem Ombak Rindu dan KL Gangster itu, nama yang tertera pada kad pengenalan rekaan sendiri itu tertera nama Mat Haron Mustapha Mat Aziz Mustafa yang didakwa merupakan nama sebenar Aaron.

Sejak kad pengenalan itu tersebar di Internet, Aaron didakwa menipu para peminatnya dengan menggunakan nama glamor Aaron Aziz.

Persoalannya apakah nama sebenar Aaron?

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Aaron yang kini sedang menjalani penggambaran drama 80 episod berjudul Adam & Hawa terbitan Global Station bagi menghurai persoalan tersebut.

Kosmo!: Sejak bila Aaron tahu kad pengenalan yang menggunakan gambar dan nama Mat Haron Mustapha itu tersebar di Internet?

Aaron: Saya mula dapat tahu pada pukul 4 pagi pada 2 April lalu. Ketika itu isteri saya sedang melayari Internet. Saya memang sangat terkejut sebab gambar yang digunakan adalah wajah saya tetapi nama yang digunakan sememangnya bukan nama saya.

Apa yang bermain pada fikiran Aaron saat pertama kali melihat kad pengenalan tersebut?

Saya fikir apa tujuan orang yang buat kad pengenalan palsu ini. Mulanya saya ingat dia guna kad pengenalan tersebut untuk buat pinjaman bank, tetapi bila lihat nama yang tertera bukan nama saya, saya rasa lega. Kedua, saya rasa memang orang yang buat kad pengenalan itu tiada kerja dan sengaja cari kerja.

Jadi apa nama sebenar Aaron?

Saya rasa ramai sudah tahu nama sebenar saya ialah Aaron Mustapha Aziz bukannya Mat Haron Mustapha Mat Aziz Mustafa. Saya sekarang dalam proses untuk dapatkan status penduduk tetap di Malaysia, jika tidak percaya, boleh periksa dengan jabatan yang berkaitan tentang nama asli saya ini.

Aaron dituduh menipu peminat apabila kad pengenalan rekaan itu tersebar di Internet, komen?

Saya sedar ramai yang ingat nama Aaron Aziz adalah nama glamor, tetapi itu memang nama sebenar saya. Kalau saya dilahirkan dengan nama lain, saya tetap akan gunakan nama sebenar walaupun apa sahaja bunyi nama itu. Saya tidak menipu peminat dengan nama saya.

Bagi Aaron adakah nama yang komersial dan sedap bunyinya penting buat seorang artis?

Mungkin setiap artis ada sebab tertentu jika mereka menggunakan nama komersial dan bukannya nama sebenar. Apa yang saya lihat mereka mahu privasi diri terjaga. Jika ramai tahu mungkin orang akan guna untuk perkara yang tidak baik seperti membuat pinjaman bank tanpa pengetahuan artis itu. Artis yang sengaja guna nama komersial, bagi saya tidak salah. Ia terpulang kepada diri sendiri jika mereka lebih selesa dan yakin menggunakan nama lain.

Selain nama, dengar cerita Aaron mendapat kontrak bernilai RM11.5 juta setahun untuk menjadi duta sebuah produk minuman. Benarkah?

Tidak benar sama sekali. Saya sekarang menjadi duta produk minuman Drive M7, mana boleh dalam masa yang sama saya menjadi duta produk minuman yang lain. Jika ada, Alhamdulillah, tetapi memang saya tidak pernah menandatangani mana-mana produk minuman yang lain selain Drive M7.