Hip
Osman Ali enggan dedahkan bentuk persembahan sehingga malam ABPBH2011 PENGARAH Ombak Rindu, Osman Ali yang bertanggungjawab mengarahkan sketsa filem itu pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011, Ahad ini akan mengadunkan beberapa babak istimewa filem itu bagi mengimbau kenangan terhadap filem terbabit.
Pada malam kemuncak yang turut disiarkan secara langsung di TV3 dan Hot FM itu, Osman berkata, dia mahu memberikan kesan berbeza kepada penonton untuk sketsa itu walaupun mengakui ia cabaran hebat buat dirinya dan pelakon.
"Bukan sesuatu yang mudah memberikan perasaan yang sama kepada penonton dalam masa hanya kurang daripada lima minit. Jika sebelum ini, filem itu mengambil masa berbulan-bulan, tetapi untuk sketsa ini, hanya dua atau tiga kali latihan yang sempat dijalankan.
"Tapi saya tetap percaya kepada kehebatan pelakon untuk membuktikan bakat mereka. Bayangkan, sketsa itu akan dipersembahkan di hadapan ribuan peminat dan disaksikan penonton televisyen.
Mungkin ada sedikit kesilapan seperti tersasul dan sebagainya. Jadi cabaran tetap ada," katanya.
Ditanya kelainan sketsa itu daripada filem arahannya, Osman berkata, ia akan mengalami perubahan dari segi gubahan muzik untuk lagu Ombak Rindu itu sendiri selain banyak menggunakan pencahayaan untuk menaikkan mood teater.
"Untuk sketsa ini, kita akan menggunakan muzik orkestra yang dipimpin Datuk Ramli MS agar penonton lebih merasainya," katanya.
Walaupun masih tidak dapat memastikan babak yang akan dipetik untuk sketsa itu, Osman berkata, dia akan menggunakan babak sedih supaya selari dengan pencahayaan serta lagu yang digubah nanti.
"Saya masih merujuk skrip asal Ombak Rindu dan untuk mengatakan babak manakah yang dipilih, saya masih dalam proses mencari babak yang paling diingati penonton supaya apabila ia dilakonkan semula, penonton akan mengingati seluruh jalan ceritanya.
"Sememangnya, saya akui, untuk sketsa ini, saya tidak boleh memberikan impak yang sama seperti filem, tetapi ia akan memetik perasaan yang sama," katanya.
Sementara itu, berbicara perancangannya tahun ini, Osman berkata filem terbarunya, Jiwa Taiko akan menemui penonton pada Jun ini.
"Jiwa Taiko ialah filem terbitan syarikat saya sendiri, Nuansa dengan kerjasama syarikat produksi lain. Ia dilakonkan Remy Ishak, Diana Danielle, Nadia Nissa dan Fizz Fairuz.
"Bagi filem ini, saya mencari kelainan dengan menghasilkan genre aksi dan drama. Sudah lama selepas Anak Halal, saya tidak hasilkan filem seperti itu," katanya yang merancang penghasilan Anak Halal 2 pada tahun ini.
Menurutnya, dia akan menghasilkan filem cinta, Munajat Kasih tetapi masih mencongak barisan pelakon untuk filem yang ditulisnya sendiri itu.
"Selepas Ombak Rindu, rezeki semakin murah dan banyak menerima tawaran mengarah filem. Saya sangat bersyukur dan berkirakira untuk melahirkan sekurangkurangnya dua filem untuk tahun ini.
"Produksi Grand Brillience juga akan menerbitkan sebuah filem saya dan ini menunjukkan saya tidak terikat pada satu produksi saja," katanya.
Katanya, dia bukanlah pengarah yang mampu melahirkan banyak filem dalam setahun kerana selain mahu menjaga kreativiti dan kualiti, dia tidak begitu mahir dalam melaksanakan banyak tugasan dalam satu masa yang terhad.
"Saya tidak mahir sangat membuat filem dengan cepat walaupun kuantiti juga penting.
Jadi cukuplah hanya dua filem dalam setahun," katanya yang tidak menafikan Ombak Rindu ada dicadangkan untuk diteruskan tetapi masih dalam perbincangan.
"Saya ada idea jika Ombak Rindu mahu diteruskan tetapi ia bukan satu keputusan yang mudah.
Pihak penerbit perlu bertemu dan meminta persetujuan daripada penulis novel, lagipun novel itu mempunyai sambungan dengan tajuk yang berbeza," katanya.