Adsense

Khamis, 5 April 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Cuba jadi isteri terbaik

Posted: 04 Apr 2012 07:02 AM PDT

JIKA dilihat semula perjalanan hidup pelakon rupawan ini, ia tidak semudah mata yang memandang. Sekuat kontroversi yang pernah menimpa, ia jelas menterjemahkan kekuatan luar biasa yang ada dalam diri Memey Suhaiza. Dengan bahasa lembut apabila bersuara, tiada siapa dapat menghitung ketabahannya dalam menempuh setiap dugaan.

Mungkin kerana itulah membuatkan Norman Hakim tanpa berfikir panjang menyuntingnya menjadi suri hidup, enam bulan lalu. Kini selepas setengah tahun memegang status isteri, Memey mula berbicara soal masa depan, perancangan dan impiannya yang masih tersembunyi di sanubari.

Menyifatkan perkahwinan bersama Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Nurhakim Zaidon memberikan sejuta kebahagiaan, wanita berusia 24 tahun ini tidak henti mengintai ruang untuk menjadi isteri yang terbaik.

"Selepas enam bulan berkahwin, saya dan Norman mula fikirkan sesuatu. Bukannya tak bahagia, sebaliknya kami rasa 'kesal' mengapa tidak mempercepatkan perkahwinan ini dari awal lagi. Mengapa kami mengambil masa begitu lama untuk mendirikan rumah tangga sedangkan kami sedar akan rasa cinta yang ada.


"Setiap saat yang kami lalui bersama memang memberikan saya rasa bahagia. Saya juga menempuh tahap kematangan, tanggungjawab dan erti sebuah ikatan perkahwinan yang sebenar. Setiap hari ada saja pengalaman yang menjadikan saya matang dalam membentuk diri menjadi seorang wanita. Maklumlah saya masih muda dan perlu belajar erti sebuah perkahwinan.


"Bagaimanapun saya bersyukur kerana dipertemukan dengan seorang lelaki yang tidak jemu memimpin dan memberi tunjuk ajar. Dia sudah jauh berpengalaman dan sudah tahu asam garam dalam membentuk sesebuah keluarga. Lantas saya gembira kerana abang sentiasa ada membantu saya terutamanya dalam soal menjaga anak-anak.

"Sekarang saya sudah berani katakan yang saya sudah semakin mahir dalam banyak perkara seperti memasak dan menguruskan rumah tangga. Dulunya kita ada ibu yang membuat semua perkara tetapi sekarang saya kena cuba sendiri," katanya.

Pemilik nama sebenar Suhaiza Suhaimi yang dilahirkan di Kota Tinggi, Johor ini turut berkongsi keseronokannya dalam membantu Norman membesarkan anak-anaknya.
Meskipun bukan anak sendiri, namun hubungan antaranya dengan tiga anak tiri - Mohd Danish Hakim yang kini berusia sembilan tahun, Marisa Dania Hakim, 7, dan Maria Danisha Hakim, 4, begitu akrab. Jelasnya, itulah juga penambah warna dalam perkahwinan mereka berdua.

"Mujur sebelum kahwin lagi, Norman memang selalu membawa anak-anak bertemu saya. Lantas hubungan kami bertambah mesra apabila sudah pun tinggal bersama kini. Anak-anak akan hanya bersama kami pada hari Jumaat hingga Ahad setiap minggu. Itu saja waktu yang ada untuk Norman dan saya bersama mereka.

"Justeru sejak berkahwin lagi, kami sudah pun meletakkan syarat untuk memperuntukkan waktu hujung minggu di rumah. Kalau boleh, kami akan tolak sebarang tawaran atau jadual kerja ketika itu. Kami akan membawa mereka makan bersama, berjalan-jalan dan melakukan pelbagai aktiviti bersama. Saya rasa ia memberikan kami suasana berbeza kerana hari-hari yang lain hanya kami berdua saja setiap hari.

"Bagaimanapun saya dan Norman tidak pernah sunyi walaupun hanya berdua. Ini kerana kami sibuk dengan jadual kerja dan hanya bertemu pada waktu malam saja.
Namun kami akan cuba luangkan masa untuk bersarapan sama dan makan malam berdua walaupun sudah lewat malam. Norman jenis yang suka isterinya masak walaupun ringkas.

"Kebiasaannya kami akan makan malam bersama dan saat itu saja yang ada buat kami berdua bertukar cerita, bersembang panjang dan berkongsi pendapat," katanya.

Terlanjur seronok bercerita mengenai kerenah tiga anak tirinya itu, Memey yang sebelum ini dikenali menerusi drama Rahsia Sebuah Pengorbanan, Kalau Kasih Masih Ada, Jaringan, Karipap Istimewa dan Pontianak Air Jernih turut meluahkan impiannya untuk merasai pengalaman mengandung.

Tidak merancang, Memey yang turut pernah mengacarakan program Diari Anak Seni Musim 4 dan 5 menyerahkan segala-galanya pada ketentuan dan rezeki.

"Tatkala saya bersedia menjadi isteri, saya juga sudah membayangkan untuk hamil. Memang saya inginkan rasa pengalaman itu. Itu memang menjadi impian saya dan pastinya sebagai seorang wanita, ia adalah angan-angan terindah bersama suami," katanya.

Menyentuh soal kerjayanya, Memey yang akan muncul bersama suaminya menerusi program Aidilfitri istimewa, Dekorasi Raya tidak lama lagi baru saja selesai penggambaran drama Asmara Beijing bersama Syamsul Yusuf dan Salina Saibi.

"Alhamdulillah rezeki tidak putus sejak berkahwin. Dulu saya sangka tawaran akan kurang selepas berkahwin tapi rupa-rupanya tidak sama sekali. Sebaliknya semakin banyak pihak produksi yang meletak kepercayaan. Saya rasa inilah rezeki berumahtangga," katanya.

Memey kini menemui peminatnya menerusi drama siri terbaru terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd berjudul Bukan Untukmu. Drama yang turut membariskan pelakon popular lain termasuk Ako Mustafa dan Ana Dahlia ini ditayangkan
di TV9, Isnin dan Selasa jam 8.30 malam.

"Saya memegang watak Nadia dalam drama ini dan menjadi isteri kepada Iskandar lakonan Ako. Hidup kami bahagia namun ditimpa kemelut hingga akhirnya kami membuat keputusan untuk berpisah. Dari situ bermulalah pelbagai masalah lain yang membabitkan Nadia yang membuatkannya tertekan.

"Saya rasa plot cerita Bukan Untukmu yang diarahkan Along Kamaruddin ini begitu berbeza kerana mencerminkan sisi lakonan saya yang lain. Walaupun pembangunan wataknya tidak terlalu besar namun garapan yang disuntik memberikan saya cabaran dalam menghidupkan emosi Nadia yang sukar dijangka.

"Saya hanya mengharapkan peminat tidak ketinggalan dalam menyaksikan drama ini dan menilai sendiri sejauh mana kemampuan saya sebagai seorang pelakon," katanya.

Trivia Memey

  • Sanggup memasak walaupun pada jam 2 pagi sekali pun kerana suami hanya ingin masakannya sebelum tidur. Menariknya, Memey tidak perlu masak nasi dengan pelbagai jenis lauk kerana Norman seorang yang cukup menjaga kesihatan dengan berdiet.
  • Memey dan suami masih lagi malu-malu apabila ramai yang mengusik mereka 'Wedding of the Year' apabila majlis resepsi perkahwinan mereka dianggarkan bernilai RM12 juta tajaan Rafflesia. Memey juga berpeluang menyarungkan busana sentuhan pereka antarabangsa, Vera Wang.
  • Watak Nadia menerusi drama siri terbaru terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd berjudul Bukan Untukmu adalah satu lagi cabaran buatnya.



  • JPP tonjol komedi spontan

    Posted: 04 Apr 2012 06:52 AM PDT

    EKSPERIMEN baru dalam dunia komedi berasaskan teknik spontan antara kelainan yang cuba disuntik dalam filem komedi pengembaraan bertajuk Jangan Pandang Pandang (JPP).

    Filem arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri ini cuba memberikan kelainan terutama daripada pemilihan barisan pelakon dan bentuk komedinya.

    Ia juga menonjolkan saiz fizikal pelakon yang seakan-akan sama serta tidak menggabungkan bintang lawak secara serentak untuk memberi kesan lucu seperti dalam kebanyakan filem komedi.

    Pemilihan pelakon dengan saiz dan fizikal pelajar kolej antara teknik yang cuba diterapkan supaya bersesuaian dengan jalan cerita.


    Filem yang mula ditayangkan di 82 pawagam bermula 29 Mac lalu ini berkisar pengembaraan lima pelajar kolej dalam menyiapkan kerja kuliah mereka di Tasik Kenyir, Kuala Terengganu.


    Karakter Ajis dibawakan Zizan Razak sementara Nas-T sebagai Ben, Marsha (Miera Liyana), Yaya (Sara Ali) dan Diana (Anith Aqila).

    Bercakap pada previu filem ini di TGV Cinema 1 Shamelin, Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Ahmad Idham berkata, JPP memang tidak menyenaraikan ramai bintang komedi.

    "Saya tidak bersandar kepada ramai pelakon komedi semata-mata, sebaliknya memilih watak yang ada fizikal mereka seakan-akan sama antara satu sama lain agar menepati karakter pelajar kolej yang ceria dan sedikit kebudak-budakan.

    "Jangan Pandang Pandang adalah eksperimen dunia komedi dengan mencari pendekatan baru yang ada nilai estetika, artistik dan paling utama, menonjolkan unsur kelakar.

    "Saya mencari pembaharuan sinematografi menarik untuk membezakannya dengan latar Hantu Bonceng yang juga lebih bersifat 'loud comedy'.

    "Zizan juga ditonjolkan lebih berkarakter, seorang yang sentiasa meletakkan dirinya sebagai seorang pemimpin rakan sebaya dan pada masa sama, terbabit dalam elemen percintaan bersama Yaya, lakonan Sara Ali.

    "Bahkan, Zizan juga diketengahkan sebagai seorang yang sangat beremosi dan sentiasa mengatakan pendapatnya mesti digunakan dan sentiasa betul.

    Kata Zizan, watak Ajis dalam filem ini memang lain dan dia memang mahu setiap lakonannya tidak sama dengan filem lain yang pernah dilakonkan.

    "Saya lega karakter dalam Jangan Pandang Pandang berbeza daripada watak saya dalam Hantu Bonceng atau Mael Lambong.

    "Saya memang tak pernah berpuas hati dengan lakonan saya. Sama ada menerima cacian atau pujian, masih banyak perlu diperbaiki. Setiap benda datang memerlukan suntikan idea baru.

    "Mendapatkan keserasian antara faktor menjadi keutamaan apabila berada di lokasi penggambaran filem ini. Aksi spontan dan berpandukan skrip rasanya OK kerana menampakkan saya pandai dan tidak 'poyo'.

    "Karakter serba boleh dan sentiasa mengikuti perubahan semasa mesti ada dalam filem moden. Apapun, saya rasa watak saya dalam Jangan Pandang Pandang ini terlalu banyak bercakap.

    "Lagipun, saya lega penggambaran filem ini di sekitar Tasik Kenyir dapat disiapkan sekalipun lokasi terbabit dianggap 'keras'. Saya juga pernah terserempak dengan tenuk besar dalam hutan sewaktu berada di sana," katanya.

    Sara berkata, Jangan Pandang Pandang adalah lakonannya yang keenam.

    "Seronok bergandingan dengan Zizan dalam filem Jangan Pandang Pandang. Ia berlainan daripada watak dalam lakonan beberapa filem sebelum ini seperti Penunggu Istana, Klip 3GP dan Songlap.

    "Senang juga bekerjasama dengan pengarah seperti Ahmad Idham kerana dia faham dan sentiasa ada idea baru," katanya.