ISU membabitkan soal bayaran rendah antara stesen TV kepada produser tempatan sudah menjadi barah yang sekian lama belum menemui penawarnya.
Permasalahan ini sebenarnya sudah banyak kali dibangkitkan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) yang mengajukan persoalan ini kepada pelbagai pihak bertanggungjawab.
Presiden PTVM, Jurey Latiff Rosli berkata, pihaknya berusaha mencari jalan penyelesaian ini dengan mengadakan pertemuan bersama pihak stesen TV termasuk kementerian berwajib. Namun, apa yang menyedihkan jawapan dicari gagal.
"Saya sendiri banyak kali berjumpa pihak stesen TV sama ada RTM, Media Prima Berhad (MPB) mahupun Astro tetapi tiada sebarang respons diberikan mereka.
Masalah sama juga saya bawa kepada pengetahuan pihak Kementerian Kewangan kerana bajet stesen RTM datang daripada kementerian ini.
"Pihak kementerian ini menasihatkan pada PTVM agar menghantar kertas cadangan kepada RTM untuk membuat kajian mengenai isu ini sebelum ia dibawa ke peringkat Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dan seterusnya kepada Kementerian Kewangan.
"Namun, sehingga hari ini tiada tanda positif yang dapat menyelesaikan masalah ini. Isu ini dianggap besar kerana ia membabitkan ramai pihak antara produser TV termasuk kru produksi dan penulis skrip.
"Apa yang berlaku, ramai pihak terdiri kru produksi menekan dan menyalahkan produser kerana bayaran diterima mereka masih rendah. Dalam menyelesaikan masalah ini, kita tidak boleh salahkan produser saja, apatah lagi stesen TV juga tidak boleh fikir sekadar mencari untung," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Jurey berkata, tekanan kru produksi pada produser sudah berlarutan sejak 17 tahun lalu apabila bayaran diterima masih sama walaupun taraf hidup penduduk negara ini semakin meningkat.
"Apabila kru bertanyakan perkara ini kepada produser, pihak produksi pula menyalahkan stesen TV kerana memberikan bajet rendah. PTVM sebenarnya ada juga meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memanggil semua pihak hadir pada satu sesi dialog.
"Sepatutnya, sesi dialog ini penting dalam melihat isu atau masalah dikemukakan sama ada berasas atau tidak sebelum tindakan susulan diambil.
Jangan hanya tutup pintu dan berdiam diri sebagai jalan penyelesaian.
"Surat cadangan mengadakan sesi dialog ini dihantar PTVM pada pertengahan tahun lalu tetapi tiada maklum balas daripada mereka. Saya sendiri hairan mengapa cadangan ini tidak dipandang serius," katanya.
Dalam meneliti masalah ini secara mendalam, Jurey berpandangan, produser bukan hanya mahu mengaut untung tetapi masih menitikberatkan kebajikan kru produksi
sebagai pekerja.
"Adanya sesi dialog, mungkin tindakan seterusnya seperti memorandum persefahaman (MoU) dapat diadakan untuk mengkaji semua harga dan bayaran stesen TV ini.
"Seperti Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), mereka mempunyai kadar harga ditetapkan untuk bayaran pada kru produksi tetapi produser tidak dapat ikut kerana mereka sendiri menerima bayaran rendah daripada stesen TV," katanya.
Sebagai wakil persatuan dan orang tengah antara produser dan kru produksi, Jurey percaya pengenalan garis panduan penting dalam mengawal isu ini tidak lagi menjadi masalah besar.
"Apa yang pihak PTVM minta pada kerajaan menerusi KPKK dan stesen TV bukan kepentingan sendiri. Prosedur dan pelaksanaan undang-undang perlu diambil untuk menyelesaikan masalah ini dengan berkesan.
"Apa yang berlaku, stesen TV terus meraih untung setiap tahun, sebaliknya bayaran sepatutnya perlu diutamakan selari hasrat kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat negara ini.
"Selepas isu ini dihebahkan menerusi akhbar, saya sendiri akan mengadakan perbincangan dengan ahli jawatankuasa PTVM untuk merancang langkah seterusnya.
Malah, PTVM berhasrat mengadakan pertemuan dengan Profima dalam masa terdekat," katanya.
Perbincangan lain turut dibangkitkan PTVM adalah soal hak cipta produser terhadap drama atau telefilem mereka. Jurey menyatakan, masih ramai produser menghadapi masalah ini apabila masyarakat beranggapan produser menjadi kaya apabila drama mereka disiarkan berulang kali.
"Hakikatnya, produser hanya menerima sekali bayaran dan masalah ini merujuk pada kontrak antara stesen TV dengan produser itu. PTVM bertindak bukan atas aduan tetapi ini adalah perjuangan semua untuk memajukan industri drama TV.
"Saya yakin jika sesi dialog ini diadakan, ia mampu meraih sambutan ramai produser untuk hadir. Pada sesi taklimat Spesifikasi Teknikal di Angkasapuri, baru-baru ini, saya ada usulkan idea mengadakan sesi dialog ini tetapi tiada jawapan daripada pihak RTM.
"SKMM sepatutnya menjadi orang tengah dalam menyelesaikan isu ini kerana stesen TV swasta berada di bawah akta mereka. Seperti Skim Wajib Tayang yang membuat garis panduan menetapkan filem tempatan ditayangkan dua minggu.
"Persoalannya, jika garis panduan seperti skim ini tiada, apakah pihak pawagam akan menayangkan filem tempatan dalam tempoh itu? Ketika ini RTM memberikan bayaran paling tinggi antara RM110,000 untuk telefilem manakala stesen swasta RM85,000 sehingga RM95,000.
"Tidak dinafikan RTM memberi bayaran tinggi kerana mereka mendapat peruntukan kerajaan. Namun, kami berharap bayaran ini dapat diselaraskan kerana produser hanya menerima bayaran selepas empat bulan sebagai untung," katanya.