Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Sebar mesej positif merempitPERCAYA atau tidak, Intan Ladyana seorang yang penakut membonceng apatah lagi menunggang motosikal? Hal itu diakuinya sendiri ketika pertemuan pada sidang akhbar bersama Rempit United di Saddles Coffee House, Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Kuala Lumpur minggu lalu. Kata Intan, pada mulanya dia tidak menyangka akan mampu menunggang motosikal sehinggalah dia membintangi filem Adnan Sempit bersama aktor Shaheizy Sam pada tahun 2010. "Saya seorang yang penakut terutama menaiki motosikal, tapi apabila sudah selalu buat aksi itu dalam filem Adnan Sempit I dan II rasa takut itu semakin hilang. "Memang pada mulanya dengar saja perkataan rempit saya beranggapan segalanya negatif. Semakin hari perspektif itu semakin terhakis daripada diri saya," singkap Intan yang melakonkan watak Nadia dalam filem Adnan Sempit I dan II. Tambahnya, merempit bukan berkisar tentang perkara negatif semata-mata, sebaliknya dalam yang sama isu itu harus dipandang serius dan positif. "Dengar saja perkataan rempit pasti ramai yang akan berfikir tentang perkara negatif seperti bohsia atau lumba haram. Tapi sedarlah bahawa merempit bukan memberikan makna sedemikian. "Jenayah dan merempit merupakan dua perbuatan dan maksud berbeza. Merempit tidak semestinya merompak atau meragut tapi perompak atau peragut barangkali melakukan perbuatan merempit untuk memudahkan kerja mereka," katanya yang menyeru agar perbuatan merempit tidak disalah tafsir oleh segelintir masyarakat. Ikon Isu yang sensitif untuk dibicarakan, namun Intan yang dimaklumkan akan turut serta mendaftarkan keahlian di bawah pertubuhan Rempit United atau Pertubuhan Rempit Bersatu, mempunyai misi untuk diselesaikan. Rempit United yang ditubuhkan di bawah Kementerian Dalam Negeri merupakan salah satu langkah kerajaan untuk mendapatkan sokongan organisasi luar dalam usaha membantu remaja bermasalah dan mengintegrasikan ke dalam masyarakat. Bukan setakat ikon atau figura yang menjadi model untuk dicontohi oleh masyarakat, ujar Intan dia bakal menyampaikan mesej-mesej positif berkenaan isu itu. "Insya-Allah kami akan mengadakan siri jelajah untuk memberikan motivasi kepada orang ramai berhubung gejala merempit yang dianggap berbahaya dan membahayakan orang ramai. "Sekali gus membuka mata masyarakat apa itu sebenarnya merempit, kerana bagi saya terma merempit itu tidak bermaksud negatif tapi tindakan jenayah yang disertakan dengan merempit sebenarnya punca isu ini dipandang serong," jelas Intan. Menjadi seorang ikon bukan tugas mudah bagi pelakon itu. Tambah Intan mesej positif yang perlu disampaikan perlu bersifat mendidik bukan menghukum. "Adalah menjadi kewajipan saya sebagai ikon untuk membantu masyarakat, terutama tentang stigma isu rempit. "Pasti ada isu-isu tertentu yang akan saya bangkitkan untuk menyedarkan semua bahawa merempit bukan seperti stereotaip yang dibina masyarakat selama ini," tegasnya. Kahwin Soalan lapuk untuk ditebak kepada pemilik nama sebenar Intan Nurladyana Mohamad Yahaya yang usianya tahun ini menginjak angka 30.
Dia sudah lali dengan soalan 'bila akan kahwin?' dan jawapannya tetap sama; "Masih dalam perancangan, Insya-Allah tahun depan." Soalan klise yang sudah dianggap tidak perlu ditanyakan lagi kerana baginya andai sudah ada jodoh pasti akan sampai ke jinjang pelamin. Tertanya-tanya adakah hubungan pasangan secocok Intan Ladyana dan Kamal Adli ini semakin retak memandangkan mereka sudah semakin jarang kelihatan bersama dan kisah cinta mereka juga tidak panas dibicarakan, Intan hanya tersenyum. Kata pelakon filem Bini-Biniku Gangster itu, hubungan mereka masih berjalan lancar. "Kami sibuk dengan kerja dan kalau ada masa kami akan berjumpa. Alhamdulillah kami masih kekal bersama sehingga sekarang," bicara Intan yang kini sedang dalam proses penggambaran filem Pada Suatu Cinta Dahulu arahan Hashim Rejab. | ||
Posted: Kekecewaan Rahim MaarofOleh HARYATI KARIM KONSERT mini Rahim Maarof, Gigit yang bakal diadakan pada 6 Mei ini di Rum Jungle, Kuala Lumpur akan menyaksikan penyanyi itu ditemani oleh pemuzik profesional. Penyanyi popular sekitar tahun 90-an Rahim Maarof bakal kembali menyanyi di kelab malam bagi menjayakan konsert mini yang diberi nama Rahim Maarof, Gigit yang akan diadakan di Rum Jungle, Kuala Lumpur pada 6 Mei depan pada pukul 10 malam. Akuinya yang ditemui pada majlis sidang akhbar tersebut, ia merupakan persembahan pertamanya di kelab malam selepas 20 tahun meninggalkan pentas kelab malam. Rahim Maarof yang cukup terkenal dengan lagu Shakila dan Istana Menanti juga sempat meluahkan rasa kecewanya apabila lagu ketuhanan dendangannya bersama Caprice berjudul Tuhan Tolonglah kurang dimainkan di corong radio tempatan meskipun sudah dua tahun lagu itu dirakamkan. Kosmo!: Rahim Maarof memang terkenal dengan lagu rock mengapa beralih kepada lagu bergenre ketuhanan pula? RAHIM MAAROF: Lagu tersebut telah lama dirakamkan, bagi saya tidak salah untuk saya menyanyikan lagu ketuhanan kerana ia merupakan mesej yang ingin saya sampaikan buat anak muda. Bagaimana pula dengan sambutan peminat terhadap lagu ketuhanan itu? Video lagu itu telah dimuat naik ke laman perkongsian video YouTube, pada mulanya hanya 40,000 orang menontonnya dan sekarang sudah cecah 80,000 orang. Saya kira itu satu jumlah yang cukup besar tetapi saya kecewa kerana lagu itu kurang dimainkan di stesen radio. Maknanya lagu itu tidak mendapat tempat di stesen radio? Saya ikuti semua stesen radio yang ada di Malaysia dan saya dapati mereka kurang memainkan lagu itu. Apa salahnya jika sebelum atau selepas azan mereka memutarkan lagu tersebut. Selepas ini adakah anda akan muncul dengan lagu ketuhanan lagi? Saya tidak boleh berjanji tetapi kalau ada peluang apa salahnya. Tidak lama lagi saya akan muncul dengan sebuah lagu single terbaharu yang akan didendangkan pada konsert mini di Rum Jungle. Apa tajuknya dan bagaimana lagunya saya tidak boleh beritahu sekarang. Kenapa baharu sekarang anda mengadakan konsert mini? Saya seorang penghibur dan sudah rancang lama untuk mengadakan konsert mini cuma tahun ini peluang itu muncul. Bagi saya tahun ini merupakan masa yang sesuai. Berapa buah lagu yang akan didendangkan pada malam itu? Saya akan mendendangkan sebanyak 15 buah lagu untuk persembahan selama dua jam, tetapi biasalah pasti akan ada permintaan lagu tambahan, jika itu berlaku selagi saya terdaya saya akan nyanyi untuk peminat yang hadir. Sudah lama tidak muncul dalam industri seni, yakin ramai peminat yang akan hadir pada 6 Mei depan? Sasaran peminat yang datang adalah 700 orang dan lokasi konsert mini boleh memuatkan 1,300 orang dalam satu-satu masa. Setakat ini sambutan amat menggalakkan. Buat peminat yang ingin menyaksikan konsert mini saya jangan lupa dapatkan tiket berharga RM53 dan RM63 menerusi laman sesawang www.ilassotickets.com atau hubungi talian 03-7957 6088. | ||
Posted: Nicky terkejut dicium Madonna
SELEPAS sekian lama berdiam diri akhirnya penyanyi unik, Nicky Minaj telah mengeluarkan kenyataan tentang insiden dirinya yang bercium dengan penyanyi veteran sensasi, Madonna pada persembahan separuh masa kejohanan Super Bowl di New York pada Februari lalu. Nicky, 29, mengakui dia agak terkejut apabila dicium oleh bintang tersohor berusia 53 tahun itu. "Saya tidak merancang untuk bercium dengan Madonna pada persembahan itu," ujarnya ketika muncul dalam program bual bicara The Graham Norton Show baru-baru ini. "Saya sungguh terkejut apabila Madonna tiba-tiba mencium saya sedangkan saya tidak menciumnya semula. Saya tidak menjangka itu akan berlaku dan saya sungguh terperanjat seperti juga semua penonton yang menyaksikan persembahan tersebut," ungkapnya. Tambah Nicky: "Saya menggeletar dan terdetik dalam hati, 'Adakah ini (dicium Madonna) benar-benar berlaku, kenapa dia buat begini?' Ia sesuatu yang pelik dan bibir Madonna sangat lembut." |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |