Adsense

Isnin, 2 April 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Mahu tiru macam ZZ?

Posted: 01 Apr 2012 07:32 AM PDT

KEANGGUNAN dirinya selalu mengundang rasa cemburu ramai wanita. Pada usia 40-an malah lebih tepat lagi bakal meraikan ulang tahun hari lahir ke-44 pada tanggal 2 Mei ini, penampilan Siti Roziana Zin@Zain, masih tetap 'bergetah'!

Sememangnya, dia amat menghargai tubuhnya itu sejak zaman remaja lagi namun sesudah bergelar isteri dan ibu kepada empat anak, Ziana (ZZ) melihat tiada alasan baginya untuk terus mengekalkan bentuk tubuh yang cantik.

Bagi yang pernah melihat bagaimana 'besarnya' Ziana ketika mengandungkan anak kembarnya dulu, tentu rasa terpegun melihat bagaimana dia boleh kembali langsing seperti mana sekarang.

Kata penyanyi Puncak Kasih dan Madah Berhelah ini, untuk kekal 'bergetah' semua itu memerlukan pengorbanan dan disiplin yang tinggi.


"Saya ini kuat makan orangnya. Kalau ikutkan nafsu semuanya kita hendak jamah. Namun menyedari bahawa status saya sebagai selebriti dan jurucakap produk, seharusnyalah saya kena berdisiplin soal makan dan mengamalkan senaman yang mudah.


"Orang selalu cakap, artis ibaratnya satu produk maka sesuatu produk itu mestilah menarik bungkusannya. Paling utama, bukan cantik di mata masyarakat saja, apabila kita perempuan sudah berkahwin, kenalah cantik di mata suami itu penting. Lebih bererti daripada itu kita perlu menyayangi diri kita sendiri, maka tunjukkan rasa sayang dengan menjaga kesihatan diri.

"Dalam pada semua huraian itu, sangat mustahak untuk kita menjaga hati kita agar selalu tenang dan gembira. Jangan cantik luaran saja tapi di dalamnya 'hancus'! Kecantikan dalaman itulah yang lebih abadi dan membuatkan wajah kita berseri-seri.

"Berbalik kepada topik tadi, di sebalik sifat saya yang suka makan ini saya akan berpuasa atau berpantang nasi serta mengambil makanan seimbang terutamanya banyakkan makan sayur-sayuran untuk memastikan sentiasa memperoleh berat badan yang ideal. Saya juga pastikan kena bersenam," katanya yang banyak mendapat petua daripada ibu dan ayahnya.

Tambah wanita yang sejak dulu mesra disapa Ziana itu, tubuh badan yang cantik haruslah selari dengan penjagaan wajah agar sentiasa kelihatan segar.

Katanya tidak perlu membuat pembedahan wajah atau kosmetik, cukup sekadar mengambil makanan sampingan yang diuji sahih keberkesanannya.

Jadi, peminat Ziana dan wanita di luar sana juga tidak perlu gusar kerana tidak lama lagi penyanyi kelahiran Merlimau, Melaka ini akan melancarkan produk dan petua kesihatannya.

"Jenamanya masih lagi difikirkan kerana saya percaya selain keberkesanan produk pilihan jenama yang tepat salah satu strategi dalam pemasaran yang berpanjangan.

"Dua jenis produk kesihatan yang diberi fokus adalah kolagen yang bertindak sebagai anti-penuaan. Semakin meningkat umur kita meningkat, semakin kuranglah kolagen dalam badan kita.

"Justeru makanan sampingan ini dapat membantu mereka menambah kolagen seterusnya kekal muda. Satu lagi adalah produk kapsul untuk kebahagiaan suami kita. Saya menjadikan diri saya sendiri sebagai bahan ujian," katanya.

Mendengar bicara Ziana yang tidak pernah lekang dengan senyuman meleret itu, sejenak terlintas mungkin kebijaksanaannya menjaga penampilan diri membuatkan dia terus relevan dengan persada seni hiburan. Sukar tercabar dek mana-mana pendatang baru kerana kalau sebut soal vokal, Ziana Zain hanyalah satu - tidak seperti sesetengah artis terkenal lain yang ada ramai klon terutama dari sudut suara.

Membongkar lagi rahsianya mengekalkan nama di gelanggang anak seni yang penuh ranjau, Ziana sering berpesan kepada dirinya sendiri untuk melihat rumput di bumi.

"Alhamdulillah saya masih ingat asal-usul saya. Dulu macam mana rupa saya, cara saya berpakaian dan bagaimana saya hendak 'survive' ke hulu dan ke hilir ditemani abah saya, Pak Zain.

"Kesusahan hidup keluarga kami, selalu membuatkan saya sedar dan bersyukur. Saya masih ingat, kata mak dan abah, segala kemasyhuran dan kekayaan yang kita ada hanyalah pinjaman semata-mata. Bila-bila saja Tuhan boleh tarik balik.

"Kalau kita rasa kita bagus, ada orang lebih bagus daripada kita. Buat apa nak sombong. Kan lebih elok kalau kita merendah diri kerana ia akan meninggalkan sejarah yang manis kepada karier kita. Esok lusa anak-anak kita membesar, mereka pula akan membaca kisah hidup kita. Kalau dilabel dengan pelbagai gelaran yang tak baik, bukankah ia memberi kesan kepada anak-anak di masa depan?

"Sekarang saya berada dalam zon yang sangat selesa. Menjadi ibu, isteri, anak dan kakak kepada adik-adik. Dulu saya tidak tahu sangat apa yang saya cari dalam hidup ini tapi sekarang semua bagai sudah lengkap saya bersyukur dengan nikmat Allah SWT," katanya.

Kunjungan Ziana ke Balai Berita, Khamis lalu, turut berita yang lebih penting kerana selain bakal beraksi pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) Ahad ini, dia juga tercalon dalam kategori Anugerah Seri Perak bersama artis lain yang pernah memenangi gelaran Bintang Paling Popular.

Dari segi persembahan, Ziana akan menyanyi lagu Anggapanmu dan Lagu Untukmu bersama Lan Meet Uncle Hussain.

"ABPBH2011 seronok kerana kita dapat jumpa kawan-kawan lama. Saya dengar persembahan tahun ini hebat-hebat belaka.

"Berkenaan Anugerah Seri Perak pula, saya tidak terlalu mengharap sebab tercalon pun sudah satu pengiktirafan buat saya - tanda orang masih ingat dengan saya," jelasnya.

Beralih kepada karier lakonan pula, Ziana tidak menolak jika mendapat tawaran yang menarik selepas beraksi dalam filem muzikal Magika dengan watak Nenek Kebayan.

Apa yang menarik, Ziana kini dalam perancangan album solo terbaru yang akan ditebitkan oleh adiknya, Anuar Zain.

"Semua ini idea Nua (Anuar). Dia tanya, Along tak mahu buat album baru ke? Saya jawab memanglah mahu, lalu dia menawarkan diri untuk menjadi produser.

"Untuk album ini saya mahukan lima lagu saja tapi Nua cakap biar lapan lagu. Kita tunggu perkembangannya nanti," ujar Ziana.




Mara dengan Boyfriend

Posted: 01 Apr 2012 07:22 AM PDT

BINTANG pop remaja berwajah keanak-anakan Justin Drew Bieber, 18, kini tampil dengan single terbaru bertajuk Boyfriend dan turut berduet bersama Mike Posner bagi memberi kelainan menerusi album terbarunya nanti, Believe yang akan dilancarkan dalam waktu terdekat.

Menerusi Boyfriend pendengar boleh membuat perbezaan yang lagu itu bakal mengubah persepsi masyarakat yang selama ini mengatakan Bieber hanya 'menjual' muka dan gaya rambut perangnya semata-mata dan bukannya bakat.

Namun sudah lumrah ketika saat ada yang menyukai dan menyanjungnya, Bieber tidak lepas menjadi mangsa mereka yang membenci. Buktinya menerusi laman sosial facebook diwujudkan akaun I Hate Justin Bieber.

Kini suara Bieber cukup matang dan dewasa sehingga pada peringkat awal ramai yang tidak menyangka lagu Boyfriend dinyanyikan olehnya namun selepas mendapat kepastian dengan melihat sendiri rakaman video ketika dia merakamkan lagu ini, barulah orang ramai mula mempercayainya.


Sesuai dengan dirinya yang semakin dewasa album Believe dilihat akan mengubah muzik pop yang selama ini menjadi perintis utama dalam setiap pembikinan album Bieber yang terdahulu kerana terdapat beberapa elemen baru yang dimasukkan.


Walaupun sebelum ini, peminat sudah biasa dialunkan dengan lagu 'ala budak-budak' dari Bieber, mereka harus menerima perubahan vokal dan suaranya sejajar usianya.

Baru saja menyambut kelahiran yang ke-18, Bieber menerima kereta mewah jenis Frisker Karma 2012 yang mempunyai panel solar di bahagian bumbung daripada pengurusnya, Scooter Braun, orang yang bertanggungjawab memperkenalkan Bieber kepada Usher pada 2008.

Mula menjadi sebutan ramai apabila rakaman video nyanyiannya di YouTube mendapat perhatian di seluruh dunia, Scooter dan Usher tidak teragak-agak melamar Bieber dengan menanda tangani perjanjian syarikat rakaman Taymond Braun Media Group pada tahun sama.

Bakat yang dimiliki anak didik Usher itu tidak boleh dinafikan kerana dia juga boleh bermain alat muzik seperti dram dan gitar, malah Bieber juga boleh menulis lirik dan berlakon kerana dia pernah muncul dalam beberapa siri televisyen, antaranya CSI.

Fenomena yang dicetuskan Bieber nyata memberi impak kepada dunia seni apabila dia turut menjadi mangsa gosip liar oleh mereka yang cemburu dengan kejayaan yang dimilikinya.

Walaupun begitu penyanyi berasal dari Kanada itu tetap kental meneruskan perjuangan sebagai anak seni lebih-lebih lagi apabila dia disokong peminat fanatiknya yang diberi gelaran Beliebers.

Oleh itu tidak hairanlah jika di laman twitter saja Bieber mempunyai hampir sembilan juta pengikut manakala pada Fan Page Fecebook pula seramai 25.5 juta orang menyukainya.

Malah akhbar The Observer terbitan United Kingdom juga melaporkan populariti Bieber dalam rangkaian sosial lebih berpengaruh berbanding Barack Obama dan Dalai Lama.

Bintang yang sedang menyulam kasih dengan pelakon dan penyanyi jelita Selena Gomez itu juga pernah dinamakan sebagai orang yang paling banyak dicari menerusi sistem carian internet Bing tahun lalu.

Selain daripada kejayaan nyanyiannya, filem 3D Never Say Never dijadikan modal untuk terus mendekatkan dirinya dengan peminat apabila ia digarap dalam bentuk dokumentari yang memuatkan rakaman persembahannya ketika siri konsert My World Tour termasuk Malaysia.

Paling menarik perhatian apabila ia turut memuatkan visual artis itu menyanyi dan bermain alat muzik pada zaman kanak-kanak yang dirakamkan oleh ahli keluarganya.

Antara lagu yang popularnya adalah Baby, Never Say Never, U Smile, Never Let You Go, Eenie Meenie, Somebody To Love, Pray, dan Love Me.