Hip
ZIANA ZAIN. Gambar bawah, Ziana
bersama trofi Bintang Paling Popular ABPBH 1995.
Gembira, teruja kerana ABPBH2011 membawakan nostalgia indah kepada ZianaMASIH basah dalam ingatannya kenangan manis 17 tahun lalu sewaktu dia menggenggam erat trofi Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1995. Hanya tangis syukur yang mampu diluahkan apabila namanya dinobatkan sebagai pemenang kategori Penyanyi Wanita Popular, Pelakon Filem Pembantu Wanita Popular, Penghibur TV Wanita Popular serta Bintang Paling Popular untuk tahun itu. Tidak perlu dipertikaikan pencapaian Siti Roziana Zain atau Ziana Zain mengungguli keempat-empat anugerah itu kerana dia sememangnya layak. Siapa yang boleh lupa kehebatan vokalnya dalam bidang nyanyian serta gaya lakonan yang cukup mantap menerusi filem pertama lakonannya, Sembilu.
Kemenangan bukanlah perkara yang menjadi keutamaan. Bagi saya apa yang lebih penting dapat berkumpul bersama rakan seperjuangan sambil meraikan mereka yang berjaya menambat hati peminat. - Ziana Zain, Penyanyi/pelakon
Namanya meniti dari bibir ke bibir dan tidak keterlaluan andai dikatakan populariti yang diraih Ziana waktu itu melayakkannya mendapat jolokan Diva. Malah ibu kepada empat orang cahaya mata ini pernah mencetuskan fenomena dalam dunia suatu waktu dulu.
"Sehingga kini saya masih belum dapat melupakan detik manis meraih banyak anugerah dalam satu masa sekali gus. Ibarat satu kejutan buat saya, tetapi saya bersyukur kerana dikurniakan kejayaan seperti itu.
"Alhamdulillah, saya sudah melalui saat itu dan saya amat berterima kasih kepada peminat yang selama ini begitu setia menyokong kerjaya seni saya," katanya sewaktu sesi fotografi bersama Hip.
Istimewanya ABPBH2011 edisi ke-25 ini, Ziana bersama artis lain yang pernah menyandang gelaran Bintang Paling Popular sebelum ini turut dipertandingkan untuk kategori Anugerah Sri Perak.
Selain Ziana ialah Aishah, Eman Manan, Zainal Abidin, Datuk M Nasir, Datin Sofia Jane, Datuk Siti Nurhaliza, Rosyam Nor, Saiful Apek, Nabil, Mawi dan Shaheizy Sam.
Ketika ditanya apakah perasaannya apabila kembali dicalonkan untuk anugerah yang ada kaitan dengan populariti, Ziana mengakui perasaannya bercampur baur.
"Apabila kembali bertanding dalam anugerah seperti ini, ingatan saya kembali ke zaman lampau iaitu zaman ABPBH 1995. Rasa gementar, takut dan pada masa sama saya teruja.
"Tak sangka yang saya akan bersaing dengan nama-nama besar seperti Datuk M Nasir, Datuk Siti Nurhaliza dan juga Aishah.
"Kemenangan bukanlah perkara yang menjadi keutamaan apabila saya disenaraikan untuk anugerah ini kerana bagi saya apa yang lebih penting adalah dapat berkumpul bersama rakan seperjuangan sambil meraikan mereka yang berjaya menambat hati peminat dengan hasil kerja mereka,"kata Ziana.
Meskipun sudah suku abad acara anugerah yang menjadikan pembaca sebagai juri ini dianjurkan namun sehingga kini ABPBH masih terus kukuh menjadi acara terpenting dalam kalendar hiburan.
Mengulas perkara itu, penyanyi yang cukup popular menerusi lagu Madah Berhelah ini mengakui ABPBH bukan saja memainkan peranan dalam mengiktiraf populariti seorang artis tapi turut memberi impak terhadap perkembangan kerjaya mereka.
"Tidak dinafikan apabila kita menang di ABPBH, saham kita sebagai artis akan naik kerana populariti itu akan memudahkan kita untuk mendapatkan banyak tawaran kerja. Selain itu, dari situ kita dapat melihat sejauh mana kuatnya sokongan yang peminat berikan pada kita," ujarnya lagi.
Dalam meniti usia 44 tahun, penampilan Ziana masih seperti anak dara. Kecantikannya semakin terserlah di samping tubuhnya yang semakin langsing walaupun sudah beranak pinak. Melihatkan situasi itu mungkin ramai yang menyangka bahawa Ziana seorang yang terlalu taksub dengan kecantikan.
Bagaimanapun ketika diajukan pertanyaan itu kepada si empunya diri, Ziana menafikan dia seorang yang terlalu menitikberatkan soal kecantikan.
"Biasanya kalau saya membeli sesuatu produk kecantikan itu, saya lebih mengutamakan soal lebih nilai. Contohnya walaupun sesuatu produk itu harganya beratus-ratus tetapi jika ia boleh digunakan untuk empat atau lima bulan, saya anggap produk itu cukup berbaloi untuk digunakan.
"Saya juga tak nafikan yang saya menggunakan teknik tertentu untuk memperbaiki wajah saya seperti amalan penggunaan vitamin C dan juga kolagen,"dedahnya.
Terlanjur bercerita soal penjagaan kecantikan, Ziana berkata jika tiada aral melintang, dia akan muncul dengan sebuah produk penjagaan dalaman untuk wanita.
"Buat masa ini kami masih dalam proses penghasilan produk berkenaan. Selepas sekian lama peminat saya bertanya apakah rahsia kecantikan dan amalan yang saya lakukan untuk kekal sihat dan bertenaga, produk ini akan menjawab segala pertanyaan itu,"katanya yang baru saja muncul dengan single terbaru berjudul Misteri Cinta, paduan suara bersama penyanyi Sohaimi Mior Hassan.
Tajaan solekan dan dandanan: Sheila Mohamad (sheilamohamad.webpress.com)
Tajaan pakaian: Rizman Ruzaini (rizmanruzaini.blogspot.com)