Adsense

Sabtu, 24 Mac 2012

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Yusry Terkejut Lisa Tidak Cerewet Semasa Berbulan Madu

Posted: 23 Mar 2012 10:05 PM PDT



PETALING JAYA: Pelakon Lisa Surihani mendedahkan suaminya, Yusry Abdul Halim agak terkejut dengan sikapnya yang tidak cerewet semasa mereka berbulan madu di Eropah selama dua minggu baru-baru ini.

Lisa berkata, pada peringkat awal Yusry mungkin beranggapan dia mahukan layanan mewah semasa berkunjung ke sana tetapi sebaliknya perkara itu tidak berlaku.

"Yusry sebenarnya adalah seorang yang ringkas dan tidak cerewet dalam banyak perkara dan dia pula terkejut apabila saya mempunyai sikap sama apabila saya tidak kisah tinggal di hotel biasa semasa di Eropah.

"Kunjungan ke sana bukan untuk tinggal di hotel mewah sebaliknya menerokai negara orang dan merapatkan hubungan kami suami isteri," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis.

Lisa dan Yusry berangkat ke Eropah pada awal Mac selepas selesai majlis resepsi perkahwinan mereka pada 26 Februari dan kembali ke Malaysia pada 17 Mac lalu.

Dalam pada itu, ditanya apakah perkara yang dia belajar mengenai diri suaminya sepanjang berbulan madu, Lisa memberitahu dia menerima Yusry seadanya.

Bagaimanapun, Lisa berkata, sikap tanggungjawab adalah kualiti yang paling menambat hatinya mengenai Yusry sehinggalah dia mengambil keputusan untuk menerima lelaki itu sebagai suaminya.

"Dia masih Yusry yang saya kenal sebelum kahwin dan sehingga kini dia adalah orang sama yang saya cintai. Rasanya, suami yang lebih banyak belajar mengenai diri saya sepanjang percutian itu," ujarnya.

Sementara itu, bercerita mengenai pengalaman bercuti di luar negara, Lisa berkata percutiannya bersama suami tercinta cukup istimewa.

Walaupun Yusry pernah ke negara itu sebelum ini, mereka mengambil keputusan untuk melawat ke tempat-tempat yang tidak pernah dilawati agar aktiviti berbulan madu itu menjadi lebih bermakna.

"Percutian itu amat menyeronokkan kerana ia telah dirancang dengan baik sebelum kami berangkat," ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai aktiviti tersebut, Lisa berkata, mereka mengambil keputusan memandu sendiri kereta yang disewa untuk menjelajah ke Eropah.

Destinasi pertama mereka adalah ke Switzerland dan kemudiannya bergerak ke Perancis dan Itali sambil singgah pelbagai tempat menarik.

"Semua tempat yang dilawati adalah sangat istimewa dan mempunyai memori tersendiri tetapi kunjungan ke Mont Blonc di pergunungan Alps yang terletak di antara negara Perancis dan Itali antara pengalaman menarik.

"Yusry juga sempat ke Bolognia di Itali untuk melawat muzium kereta mewah Lamborghini selain ke Rome dan beberapa lokasi lain," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Lisa berkata, dia akan kembali ke set penggambaran filem "Tingkat Empat" arahan Jason Chong terbitan KRU Studios dan suaminya akan mula sibuk dengan pasca produksi filem "Vingkingdom".

Yuna Kecewa Dituduh Campuri Kerjaya Qi Razali

Posted: 23 Mar 2012 10:04 PM PDT



KUALA LUMPUR: Penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna mengakui terluka apabila dituduh menjadi penyebab penyingkiran Qi Razali daripada program Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) terbitan TV3.

Yuna berkata, dakwaan dia mencampuri urusan tugas Qi adalah tidak benar sama sekali kerana pengunduran kekasihnya itu adalah atas kehendak sendiri.

"Qi sebenarnya mengambil keputusan untuk menarik diri kerana ingin memberikan tumpuan kepada bidang lakonan dan bukannya disingkirkan kerana mempunyai masalah disiplin. Itu tidak benar.

"Saya pula tidak ada kena mengena apabila ada pihak mendakwa saya menjadi punca dia menyebabkan penyingkirannya itu," ujarnya kepada mStar Online.

Yuna ditemui ketika menghadiri pelancaran Youtube Malaysia di sini pada Khamis.

Tambah Yuna, tuduhan itu tidak berasas kerana dia jarang berada di Malaysia dan sekiranya kembali ke tanah air, mereka juga sukar untuk berjumpa kerana Qi sibuk dengan penggambaran.

"Saya tiba di Malaysia minggu lalu tetapi hanya dua tiga hari lalu baru dapat bertemu dengannya kerana dia begitu sibuk. Tetapi saya memahami kerana masing-masing pun sibuk dengan pelbagai agenda.

"Bagaimanapun kami sempat berbual mengenai perkara ini dan Qi ada memberitahu saya dia rasa sedih apabila ada pihak menuduhnya sebegitu dan melibatkan saya," ujarnya.

mStar Online sebelum ini melaporkan Qi kononnya disingkirkan menjadi pengacara JJCM kerana menghadapi masalah disiplin apabila terlalu kerap bertemu dengan Yuna sehingga mengabaikan tugasnya.
Qi Razali,

Dalam pada itu, Yuna memberitahu dia akan kembali ke Los Angeles, Amerika Syarikat pada 25 Mac ini untuk menyertai rangka promosi album Inggeris pertamanya di sana yang akan dilancarkan pada 24 April depan.

Yuna memberitahu, dia juga akan mengadakan persembahan selama 30 hari berturut-turut di 30 lokasi berbeza bermula bulan Jun ini sebagai rangka promosi albumnya itu.

"Alhamdulilah semua yang dirancang berjalan dengan lancar dan saya juga berdebar-debar untuk menunggu album tersebut keluar dan menanti reaksi peminat di sana," ujarnya.

Tambah penyanyi lagu Terukir Di Bintang itu, dia berharap album itu nanti akan dipasarkan di seluruh dunia terutamanya di Malaysia bagi tatapan peminat di sini.

"Setakat ini album berkenaan hanya akan dikeluarkan di Amerika sahaja tetapi kami masih berbincang dengan beberapa syarikat untuk mengedarkan album yang diberi nama Yuna itu ke seluruh dunia," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kemunculan Youtube versi Malaysia, Yuna berkata, ia akan memberikan kelebihan kepada rakyat negara ini untuk lebih banyak berkarya sekaligus bakat dan hasil kerja mereka dapat ditonton oleh masyarakat dunia.

Hanez Suraya Tepis Gosip Bercinta Dengan Syed Ali

Posted: 23 Mar 2012 10:03 PM PDT



PETALING JAYA: Pelakon drama bersiri 3 Janji, Hanez Suraya menolak dakwaan kononnya dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Syed Ali.

Hanez, 27, berkata, dia tidak pernah mengenali pelakon itu secara peribadi mahupun bekerja dengannya dalam sesebuah produksi.

"Saya akui pernah berjumpa dengannya di majlis-majlis hiburan tetapi tidak mengenalinya secara peribadi. Khabar angin itu adalah mengarut sama sekali," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Tambah Hanez Suraya, dia kini masih solo dan tidak terfikir untuk menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana lelaki sebaliknya ingin menumpukan perhatian kepada kerjaya lakonan yang sedang meningkat.

"Rasanya soal cinta biarlah dulu kerana saya sibuk di lokasi penggambaran beberapa buah drama dan ingin memantapkan dahulu karier saya sebagai pelakon," katanya.

Dalam pada itu, Hanez berkata, dia ingin mempelbagaikan wataknya sebagai pelakon dan tidak hanya terikat dengan peranan antagonis dalam sesebuah drama.

Dia juga tidak mahu dikenali dengan sesuatu watak sahaja sebaliknya ingin memvariasikan kebolehannya sebagai pelakon supaya penonton tidak berasa jemu.

"Rasanya dah terlalu banyak watak 'jahat' yang saya terima dan sudah tiba masanya untuk keluar daripada kepompong itu supaya penonton tidak jemu.
Syed Ali.

"Kalau boleh saya ingin mencuba watak seperti gadis baik, perempuan malang yang boleh memberikan impak kepada penonton," ujarnya.

Hanez yang pernah popular menerusi drama bersiri Bunga April dan Pelangi Kasih bagaimanapun memberitahu dia teringin untuk berlakon filem tidak mahu terburu-buru mengejar semua tawaran yang datang.

"Saya ada terima tawaran tetapi buat masa ini ingin menumpukan kepada telefilem dan drama bersiri kerana takut tidak dapat beri komitmen kepada jadual penggambaran filem. Insya-Allah suatu hari nanti pasti akan dapat juga berlakon dalam filem," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hanez berkata, selain 3 Janji, dia juga bakal muncul dengan telefilem berjudul Bimbo untuk siaran Astro Ria selain Hidayah Cintaku (RTM) dan Suri (TV3).

Sementara itu, bercakap mengenai penglibatannya dalam drama 3 Janji arahan Heykal Hanifah, dia berasa selesa dan menyifatkan pengarah tersebut sebagai seorang yang sangat cool walaupun baru pertama kali berlakon bawah arahannya.

"Bekerja dengan Heykal sangat seronok dan sudah lama saya memang memasang niat untuk bekerja dibawah arahannya dan 3 Janji adalah kerjasama pertama kami.

"Dia juga banyak membantu para pelakon dalam menghidupkan sesuatu watak selain memberikan pelakon kelonggaran dalam menyumbang idea bagi memperbaiki sesuatu babak itu," ujarnya.

Selain Hanez, 3 Janji turut menampilkan pelakon seperti Liyana Jasmay, Shahrizal Jazsle, Ainina Ahmad B, Roy Azman, Shah Iskandar dan Ana Dahlia.

Drama 13 episod itu sudah pun menemui penonton bermula 21 Mac lalu dalam slot Lestary setiap Selasa pukul 9 malam di TV3.

Iqbal & Shiha Terluka Dikritik Peminat JJCM

Posted: 23 Mar 2012 10:02 PM PDT



PETALING JAYA: Dua pengacara musim terbaru Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) iaitu Iqbal Mazlan (Pilih Kasih) dan Shiha (Mentor) meminta agar diberikan peluang untuk mereka membuktikan kebolehan mengendalikan program popular di TV3 itu.

Mereka meminta tidak dibandingkan dengan pengacara terdahulu sebaliknya menerima kehadiran mereka dengan terbuka sebagai orang baru sebagai pengacara.

"JJCM musim terbaru ini sebenarnya tampil dengan konsep baru, jadi kami rasa itu adalah penyebab penonton berasa kurang senang dengan kehadiran dua pengacara kerana telah terbiasa dengan konsep terdahulu.

"Ini tidak melemahkan semangat kami, sebaliknya akan terus berusaha untuk memperbaiki kelemahan supaya tidak dibandingkan dengan pengacara lama," ujarnya kepada mStar Online.

Sebelum Iqbal dan Shiha, JJCM diterajui oleh Maria Tunku Sabri, Serena Redzuwan dan Qi Razali.

Ia disiarkan setiap hari Ahad pada pukul 12 tengah hari.

Dalam pada itu, Iqbal berkata, dia mengakui terluka apabila membaca setiap kata-kata yang dilemparkan kepadanya namun tidak terbawa-bawa sehingga ke lokasi penggambaran.

Baginya, perasaan itu adalah biasa bagi setiap manusia dan dia berhak untuk berasa sedih dan marah apabila ada pihak yang mempertikaikan tentang kelemahan dirinya.
Iqbal Mazlan.

"Perasaan kecewa itu tidak lama kerana saya sedar apabila orang bercakap mengenai diri kita ia bererti mereka memberikan tumpuan terhadap apa yang kita lakukan.

"Atas sebab itu saya ambil setiap kata-kata itu sebagai peringatan buat diri saya supaya tidak alpa dan lebih berusaha untuk memberikan terbaik," katanya.

Manakala, Shiha ketika mengulas mengenai kata-kata negatif yang dilemparkan oleh penonton terhadapnya memberitahu dia tidak pernah membaca komen daripada mereka sebaliknya ia dimaklumkan oleh rakan-rakan terdekatnya.

Ujar Shiha, dia tidak mahu merosakkan pemikirannya yang akhirnya akan menyebabkan perhatian terhadap program berkenaan yang masih dalam penggambaran terganggu.

"Satu perkara yang pasti saya tidak boleh menghalang masyarakat untuk berkata apa juga mengenai persembahan saya dalam program itu namun tidak mahu terpengaruh kerana khuatir konsentrasi ketika mengendalikan JJCM terganggu.

"Bagaimanapun saya mengambil kata-kata negatif itu sebagai pemangkin buat diri saya untuk terus lebih maju," ujarnya.

Tambah Shiha, walaupun berasa sedikit sedih dengan perkara itu dia tidak boleh berpatah balik dan perlu terus memberikan persembahan terbaik kepada penonton.

"Alhamdulillahlah setakat ini pihak TV3 dan penerbit JJCM berpuas hati dengan persembahan kami namun itu tidak bermaksud kami boleh duduk selesa.

"Masih banyak ruang yang perlu diperbaiki dalam menambat hati penonton," ujarnya.
Penerbit Jalan-Jalan Cari Makan, Intan Suraya.

Sementara itu, penerbit JJCM, Intan Suraya ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dengan kedua-dua pengacara berkenaan kerana pemilihan mereka dibuat menerusi uji bakat.

Intan berkata, Shiha dan Iqbal telah memberikan komitmen yang terbaik namun masih banyak ruang yang perlu diperbaiki dalam meningkatkan mutu sebagai pengacara.

"Jika diikutkan mereka masih baru dan apa yang mereka lakukan sekarang sudah bagus malah pihak produksi tidak mempunyai sebarang masalah dengan mereka. Beri mereka masa dan peluang," ujarnya.

Tambah Intan, pelbagai kutukan yang diterima kedua-dua pengacara itu juga adalah sebagai peringatan supaya mereka tidak berputus asa dan mengambil peluang untuk membuktikan kepada penonton dan masyarakat terhadap kebolehan mereka.

"Bagus juga sebenarnya dengan segala komen negatif yang diterima itu kerana ia tidak akan membuatkan mereka cepat berpuas hati kerana jika sudah berasa begitu bimbang mereka akan berhenti berusaha memperbaiki diri," katanya.