Harian Metro: Rap |
Posted: 23 Mar 2012 06:21 AM PDT RIHANNA adalah satu jenama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Meneliti vokal dan gerak persembahannya, tidak bimbang bagi meletak label bintang muda ini antara yang paling berjaya di gelanggang antarabangsa. Menerima pelbagai pengiktirafan di majlis-majlis anugerah termasuk Anugerah Grammy, Rihanna kini sudah mampu tersenyum kerana apa yang diperjuangkan selama ini bukanlah satu angan kosong. Usia muda dan masih jauh perjalanan, anak kelahiran Saint Michael, Barbados ini sudah mampu melihat masa depannya. Walaupun kisah kontroversi pernah terpalit padanya selepas dikhabarkan dipukul bekas kekasihnya penyanyi popular, Chris Brown hingga terpaksa membatalkan konsertnya di Kuala Lumpur dua tahun lalu, Rihanna yang mula dikenali menerusi lagu Umbrella lima tahun lalu masih bertahan, malah namanya kian tinggi menjulang.
Puas menghimpun koleksi lagu-lagu popular dengan peminat seluruh dunia, pemilik nama sebenar, Robyn Rihanna Fenty ini mula menongkah satu lapangan seni iaitu lakonan. Meskipun tanpa pengalaman dan pendedahan kemas, penyanyi popular dengan lagu Don't Stop the Music, Take a Bow, Disturbia, Russian Roulette dan Rude Boy yang kini berusia 24 tahun yakin menerima tawaran bagi membintangi filem Battleship. Filem sains fiksyen sentuhan pengarah terkenal, Peter Berg yang diadaptasi daripada video permainan klasik kanak-kanak, Hasbro itu mengangkat Rihanna memegang watak Cora Raikes. Pengalaman sebelum ini berlakon sebagai bintang undangan dalam filem Bring It On: All or Nothing pada 2006 menjadi bekalan buatnya tatkala meneliti keseluruhan skrip Battleship. Menyifatkan lapangan lakonan sesuatu yang berbeza dan membuka dimensi baru kepadanya sebagai anak seni, pemegang lima trofi Grammy dan 18 pengiktirafan Billboard ini yakin untuk lebih serius menjadi pelakon. "Saya terkejut apabila pengarah dan penerbitan filem Battleship menghubungi untuk menawarkan watak Raikes. Maklumlah, profil saya kuat sebagai penyanyi dan tidak terfikir ada pihak yang akan memandang bakat saya dari aspek berbeza. Namun, itulah rezeki dan ruang yang sentiasa terbuka jika kita benar-benar ikhlas dan bersungguh dengan apa dilakukan," katanya lagi. Filem ini ringkas pada plot ceritanya, namun padat dengan aksi hebat, dan visualnya sarat dengan kesan khas. Selain penonton akan tertarik dengan pertarungan antara tentera khas laut di Amerika Syarikat dengan sekumpulan makhluk asing yang ingin menakluk dunia, Battleship turut memaparkan erti peperangan sebenar mengikut idea asal pada permainan video klasiknya dulu. Bercerita mengenai Battleship yang akan mula ditayangkan pada 12 April depan, Rihanna yang bergandingan dengan bintang muda, Taylor Kitsch, Alexander Skarsgrd, Brooklyn Decker dan aktor terkenal Liam Neeson menyifatkan filem hebat ini sesuatu yang sangat dinantikan kaki wayang seluruh dunia. "Raikes adalah seorang gadis yang kental dan begitu kuat berdiri bersama rakan sekerja yang semuanya lelaki sebagai tentera khas laut, USS John Paul Jones, berpusat di Pearl Harbour. Namun, sebaik mengetahui wujudnya makhluk asing, The Regents yang ingin membina empayar senjata bagi menakluk bumi, bermulalah adegan ngeri dan penuh debaran apabila sekumpulan tentera khas ini terpaksa berdepan menyelamatkan dunia. "Hampir separuh penggambaran dilakukan di atas laut kerana Raikes bersama teman-teman lain termasuk Taylor Kitsch yang memegang watak Lt Alex Hopper, Alexander Skarsgrd (Stone Hopper) dan Liam Neeson (Shane). Kononnya Raikes pakar dalam analisa senjata dan penggunaannya untuk berperang dengan makhluk asing. "Saya begitu seronok sepanjang penggambaran dan pastinya tidak sabar untuk melihat hasilnya nanti," katanya. Mengakui watak Raikes penuh cabaran kerana terpaksa bermain dengan emosi dan ekspresi wajah, bagaimanapun katanya, dia bertuah kerana pihak produksi termasuk pengarah dan barisan pelakon tidak jemu memberi tunjuk ajar kepadanya menghasilkan sebuah lakonan lebih bersahaja. Memerhati gelagat si empunya vokal memukau ini khayal berkongsi pengalaman dalam dunia lakonan, terlintas pula persoalan mengenai karier nyanyiannya. "Memang tidak dinafikan lakonan adalah sesuatu yang berbeza berbanding nyanyian. Meskipun ramai beranggapan ia adalah lapangan seni sama, pengalaman dan corak kerjanya jauh berbeza. Saya sendiri tidak menyangka mampu merealisasikan impian pihak pengarah bagi menghidupkan watak Raikes yang awalnya membimbangkan saya. "Bagaimanapun, selepas duduk hampir sebulan di lokasi penggambaran dan melalui pelbagai proses termasuk alih suara, penyuntingan dan kemudian melihat hasilnya, saya merasa satu nikmat kepuasan kerana segala penat lelah dan hasil kerja di lokasi akhirnya mengundang rasa berbaloi. Itulah yang membezakan rasa puas daripada lapangan nyanyian. "Malah, lakonan juga menuntut saya meletak sepenuh fokus pada lokasi dan masa yang sama. Berhari-hari kita akan 'berumah tangga' di lokasi dan bekerja dengan orang sama. Apa yang penting adalah pemahaman dan keselesaan dalam menghidupkan watak. Namun, sebagai penyanyi, saya mengembara dan menempuh perbezaan zon masa setiap hari. "Bayangkan, hampir setiap hari saya akan ke lapangan terbang dan bertemu orang berbeza. Ia adalah satu karier yang saya fikir mencabar dan membuka ruang diri untuk lebih matang dan berfikir. Namun, itulah keseronokan yang dialami. Kedua-duanya adalah cabang seni namun kepuasan dan gerak kerjanya sangat berbeza. "Namun, jika ditanya soal masa dan minat, saya sukar meletak jawapan kerana semuanya masih baru. Jika diberi peluang dan kelapangan, pastinya saya tidak menolak untuk mencuba watak lain pula. Itu juga adalah satu impian saya untuk menjadi anak seni yang lebih versatil dan berupaya mencuba sesuatu tidak disangka. "Bagaimanapun, dunia nyanyian tetap menjadi keutamaan dan pastinya, saya akan lebih fokus kepada penghasilan album, melakukan konsert seluruh dunia dan menghiburkan peminat yang tidak henti menyokong," katanya. Sementara itu, sekiranya anda ingin memenangi 10 cenderahati istimewa Hasbro bagi filem Battleship, jawab soalan mudah, Namakan pelakon yang memainkan watak Alex Hopper. Di manakah pertembungan pertama antara manusia dengan makhluk asing dan bilakah tarikh tayangan filem ini? Sila e-mel butiran peribadi anda dan jawapan kepada murshid@hmetro.com.my bagi merebut 10 hadiah istimewa. Siapa cepat dia dapat! |
Posted: 23 Mar 2012 06:01 AM PDT ACARA yang ditunggu-tunggu pembaca setia Akhbar Nombor 1 Malaysia terus dianjurkan. Tahun lalu, Gempak Santai Harian Metro yang diadakan di Taman Tema Bukit Merah Laketown Resort, Taiping serta Taman Tema Bukit Gambang Water Park, Kuantan, mendapat sambutan hangat daripada segenap lapisan masyarakat. Kali ini, keseronokan bakal dikecapi pengunjung di Kedah Darulaman dan kawasan sekitarnya apabila kalendar Gempak Santai Harian Metro menuju pula ke Taman Tema The Carnivall, Sungai Petani.
Sekali lagi pembaca Harian Metro berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik selama dua hari bermula hari ini (Sabtu) dan esok, Ahad, 25 Mac. Sebanyak 50,000 tiket masuk ke taman tema itu disediakan secara percuma. Ia boleh didapati dengan menukar 14 kepala akhbar Harian Metro antara 7 Mac sehingga 25 Mac.
Bagaimanapun kelainannya, Gempak Santai diadakan dengan kerjasama taman tema dan memberi peluang pembaca mengadakan aktiviti riadah bermain air dengan keluarga. Pelbagai acara menarik yang sesuai untuk semua golongan menanti pengunjung yang hadir. Antara acaranya pertandingan mewarna, karaoke yang menawarkan hadiah wang tunai, pertunjukan badut dan silap mata, pertunjukan ular, jualan barangan cenderahati Gempak Santai serta banyak lagi. Inilah medan terbaik untuk ibu bapa menguji kehebatan anak-anak mereka dalam bidang seni lukis dan bagi yang berbakat menyanyi, karaoke santai sambil meraih hadiah yang ditawarkan. Bagi peminat artis, Harian Metro membawakan Fiq Mentor, Erul AF9 dan Fina AF9 untuk menghiburkan peminat pada hari ini. Tidak ketinggalan menghiburkan penampilan Najmi dan Am Ketampi dari Raja Lawak sebagai pengacara untuk persembahan yang bermula jam 5 petang hingga 6.30 petang. Semestinya, inilah peluang yang ditunggu-tunggu kerana sesi bergambar dengan artis-artis turut diadakan. Kesempatan ini tidak harus dilepaskan begitu saja oleh peminat dan penduduk sekitar Kedah dan negeri berdekatan seperti Perak, Pulau Pinang dan Perlis. Kesemua artis yang terbabit ini melahirkan perasaan gembira apabila diberi peluang untuk bertemu peminat. Mereka berjanji akan menampilkan persembahan menarik agar pengunjung terhibur. "Ini kali pertama saya diundang untuk program Harian Metro dan sudah tentu saya akan membalas dengan aksi yang terbaik. Saya sebenarnya belum pernah menyanyi di taman tema air dan teruja ke sana. Ramai juga kalangan peminat saya berasal dari negeri sebelah utara dan saya akan buat mereka terhibur. "Untuk itu, saya bakal menyanyikan beberapa lagu menarik antaranya lagu terbaru saya, Android, sebuah lagu Korea dan lagu duet dengan Fina," kata Erul yang dikenali dengan imej K-Pop ketika beraksi dalam AF9. Fina pula tidak pernah mengadakan pertunjukan di Kedah sebelum ini. Dia mengambil kesempatan ini untuk bertemu peminat yang menyokongnya ketika bergelar peserta AF9. "Saya seronok kerana ini kali pertama ikut serta. Peluang ini tidak dilepaskan kerana selain menghiburkan peminat, saya juga berpeluang melihat negeri orang," katanya yang merahsiakan lagu-lagu nyanyian dan meminta peminat hadir menyaksikannya sendiri di The Carnivall. Kenyataan mereka turut disokong oleh Fiq. Dia menggunakan peluang beraksi dalam Gempak Santai Harian Metro untuk memperkenalkan lagu-lagu dari albumnya. Selepas The Carnivall, Gempak Santai Harian Metro akan diadakan di dua lokasi lagi dan kemungkinan besar di selatan tanah air. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |