Hip
Penyanyi seksi, Aura Kasih nafi jalin hubungan cinta dengan bekas kekasih Nikita WillySERING dilihat sempurna dengan paras wajah jelita serta figura seksi yang mengundang cemburu mata memandang, namun kelebihan itu seakan tidak memberi jaminan kepada penyanyi serta pelakon, Aura Kasih untuk memiliki kekasih.
Sejak dua tahun lalu, Aura mengakui hidupnya sepi tanpa cinta lelaki selepas hubungannya dengan Rizky Haryanto berakhir dengan perpisahan.
Sempat bertiup khabar mengenai keakrabannya dengan Ariel 'Peterpan' dan Raffi Ahmad, gadis kelahiran Bandung, Indonesia berusia 24 tahun itu kini terkait menjalin hubungan dengan Bara Tampubolon. "Dari mana semua berita ini datang? Ia tidak benar kerana kami cuma berkawan. Saya mengenalinya daripada teman-teman, tidak lebih daripada itu," kata Aura Kasih, cuba menutup supaya persoalan mengenai teman lelaki segera tidak dilanjutkan.
Tidak menafikan status single membuatkan ramai lelaki ingin mendekatinya, tetapi gadis yang sedang popular dengan watak, Diandra menerusi sinetron, Dewa yang bersiaran di Astro Pelangi menolak Bara ialah seorang daripada jejaka itu.
Aura Kasih mengakui, gosip yang mengaitkan dirinya dan bekas teman lelaki Nikita Willy itu sempat membuatnya cuak kerana bimbang disalah tafsir.
"Saya masih solo, jadi kalau ada yang cuba menjodohkan saya tiada siapa yang akan marah. Juga tidak salah jika saya mahu mendekati sesiapa, tiada yang melarang.
"Saya cuma tidak mahu perkara ini diperbesarkan, terpulanglah dengan siapa pun saya cuba digosipkan," jawabnya klise, apatah lagi Bara juga kini membawa status solo selepas percintaan dengan Nikita terlerai, Disember lalu.
Aura Kasih atau nama penuhnya, Sanny Aura Syahrani berkata, dia sedang mencari jejaka yang layak untuk dijadikan teman hidup kerana enggan bercinta lama.
Gadis yang mencipta nama selepas tersenarai sebagai finalis Miss Indonesia 2007 bagaikan tidak lekang daripada dikaitkan dengan lelaki sejak melancarkan album sulungnya, Malaikat Penggoda pada 2008.
Sebelum ini, Aura pernah dikhabarkan menjalin cinta dengan vokalis Samsons, Bams selain Pasha (Ungu) tetapi semua dakwaan itu dibantah penyanyi Mari Bercinta, Asmara dan Jangan Bilang Siapa-Siapa itu.
"Gosipnya banyak tetapi sampai saat ini saya masih sendiri. Saya bukan seorang yang terlalu cerewet, cukup jika jejaka itu membuat saya rasa tenang dan serasi apabila kami bersama.
"Dari segi fizikal, saya berharap dipertemukan dengan lelaki yang lebih tinggi tetapi tidak terlalu kurus, juga bukan seorang yang suka mengongkong. Jika dia merestui karier saya, itu bonus," kata gadis yang pernah mencuba nasib di layar perak menerusi filem Asmara Dua Diana (2009) dan Pesona Cinta Biasa (2010).
Pertambahan usia kata Aura, membuatnya lebih serius memikirkan soal masa depan malah perlahan-lahan menata hidup supaya setiap yang diimpikan dalam karier mampu dicapai sebelum dirinya dijerat ikatan pernikahan.
"Siapa pun tidak selesa jika sudah berteman tetapi masih lagi digosipkan dengan lelaki lain. Lihat saja ketika saya dikatakan menjalin hubungan dengan Raffi. Angkara gosip itu merenggangkan hubungan Raffi dan kekasihnya, Yuni Shara.
"Banyak yang saya mahukan dalam hidup ini. Bagaimana mahu memikirkan soal perkahwinan jika teman lelaki pun saya tidak punya? Lebih baik fikirkan soal karier dulu," katanya.
Aura yakin kesibukannya dalam berkarier tidak akan membataskan dia daripada bertemu dengan jejaka yang serasi untuk dijadikan teman hidup.
Akur dirinya tergolong dalam kelompok wanita yang pemilih, Aura berharap dipertemukan dengan seorang yang mempunyai wawasan dalam hidup.
"Rencananya tahun depan saya mahu memulakan hidup berkeluarga. Saya senang jika mempunyai teman lelaki yang mempunyai latar dalam bidang perniagaan.
"Kelompok lelaki seperti ini matang dan pintar, malah lebih membanggakan jika semua itu diperoleh atas hasil kerja kerasnya sendiri.
"Saya sendiri seorang yang berdikari, jadi saya juga berharap jejaka yang mahu mendampingi mempunyai visi dan misi untuk bersama memajukan hidup kami nanti," katanya.