Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Terselamat serangan strokTIGA tahun lalu, dia hanya membilang hari menanti ajal di katil hospital. Berperang dengan serangan strok dan didiagnosis menghidap arrhythmia iaitu penyakit berkait dengan kadar degupan jantung tidak setara, langsung tidak terlintas di hatinya untuk menjadi sebutir bintang yang bersinar dalam dunia muzik global. Dia yang dimaksudkan ialah Jessica Ellen Cornish, 23, anak kelahiran Redbridge, sebuah bandar di utara kota London, England. Dia kini dikenali di seluruh dunia dengan nama Jessie J! "Ketika terlantar di hospital, saya hanya melihat orang sekeliling saya bermain teka-teki akan nasib masing-masing yang bakal menyusuri. "Saya antikafein, bukan seorang perokok, pemabuk apatah lagi menyentuh najis dadah! Saya tidak seharusnya meracuni diri dengan bahan-bahan yang mungkin insan normal jadikan sumber keyakinan, tapi muzik adalah terapi buat saya," luahnya. Jessie J kini menjadi jenama yang mewakili putaran irama lagu Price Tag, Domino, Do It Like a Dude, Nobody Perfect dan yang terbaru, Who's Laughing Now. Hakikatnya, dirinya semakin mekar berkembang biar pun usianya dalam industri muzik masih setahun jagung. Namun begitu sebelum bergelar penyanyi, dia nyata sudah terlebih dahulu menggali pengalaman sebagai seorang penulis lirik. Dia merupakan individu yang mengarang lirik lagu Party In the USA yang dipopularkan Miley Cyrus dan I Need This nyanyian Chris Brown. Kini, penyanyi yang sering tampil dengan imej rambut bob hitam dan fringe yang hampir menutupi seluruh dahinya itu sudah memiliki sebuah album berjudul Who You Are. Malah, tidak lama lagi dia juga akan muncul dengan album keduanya. Cukur kepala, cedera kaki Dia pernah menawarkan diri untuk mencipta sebuah lagu untuk penyanyi kesayangannya, Britney Spears, namun ditolak mentah-mentah! Dugaan pahit itu bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkarya dan menyanjungi bintang idolanya itu. Jika Britney pernah hampir tumbang dalam kehidupan selepas bercerai dengan suaminya sehingga nekad mencukur kepalanya suatu ketika dahulu, tindakan yang sama dilakukan oleh Jessie. Bukan kerana kecewa tapi berteraskan niat yang tulus! Dia mahu rambutnya dipotong untuk mengumpul dana demi kebajikan. "Tahun depan saya akan mencukur kepala saya untuk sumbangan kebajikan, perkara itu akan berlaku sekiranya saya boleh mengumpul AS$1 juta (RM3.08 juta) yang saya yakin akan berhasil! "Saya teruja untuk menghapuskan imej rambut bob saya ini bersama beberapa orang selebriti yang setuju untuk melakukannya bersama-sama," ungkapnya. Tambah Jessie, tidak mustahil untuk dia memakai rambut palsu selepas membotakkan kepala. Alasannya peminat mungkin tidak tahu bahawa rambut di kepalanya itu bukan yang asli. FUGURA unik ini merupakan rakan sekelas Adele dan Leona Lewis ketika mereka sama-sama belajar di BRIT School. "Namun, jika saya dapat mengumpulkan sejumlah wang untuk menyelamatkan beberapa nyawa, saya sanggup!" katanya yang disuntik inspirasi ketika dikelilingi kanak-kanak kurang bernasib baik sewaktu menjalani rawatan kakinya yang cedera pada tahun lalu. Menutup tirai tahun 2011 mungkin bukan waktu yang bertuah bagi Jessie. Dia malangnya terjatuh dari platform sewaktu sesi latihan untuk sebuah persembahan di Stadium Wembley, London, England. Akibatnya, buku lali kaki kirinya terkehel dan sebahagian urat dan tisu kakinya rosak hingga menyebabkan kakinya terpaksa disimen. "Saya dipaksa untuk berehat di rumah tapi saya rasa itu tindakan yang gila! Saya sudah tentu tidak akan menghampakan harapan peminat-peminat saya dengan hanya berehat di rumah. "Ada juga saya meminta pihak hospital untuk menyediakan stokin kristal tapi ini (kaki disimen) saja yang mereka ada," bicaranya berseloroh sewaktu mengadakan konsert mini pada waktu itu. The Voice Kembali ke United Kingdom selepas siri jelajah di Australia, Malaysia dan Indonesia baru-baru ini, dia kini sedang sibuk mencari bakat-bakat baharu untuk sebuah rancangan realiti TV nyanyian, The Voice versi United Kingdom. "Perbandingan antara penyanyi sudah menjadi sebuah trend masa kini tapi saya fikir rancangan ini berdiri dengan sendirinya. "Rancangan ini menumpukan semata-mata pada vokal, muzik dan bakat. Sebagaimana nama programnya, itu yang mereka fokuskan," ujarnya yang teruja dilantik menjadi salah seorang juri dan mentor rancangan itu bersama will.i.am, Tom Jones dan vokalis The Script, Danny O'Donoghue. Menurutnya, kemungkinan besar dia bakal membuat kolaborasi bersama ketiga-tiga nama besar itu untuk albumnya yang akan datang. "Danny, will.i.am, Tom Jones nan dan Jessie J akan menyanyi bersama-sama di sebuah studio nanti," cerita anak bongsu daripada tiga saudara perempuan itu. The Voice bakal disiarkan menerusi BBC One bermula hari Sabtu ini pukul 7 petang. Tinie Tempah Jessie suatu ketika dahulu pernah mengakui memiliki orientasi seks yang berbeza daripada orang normal. Dia menyifatkan dirinya biseksual! Namun, sebelum mengadakan konsertnya bersempena Future Music Festival di Flemington Racecourse, Australia, dia dikatakan keluar senyap-senyap untuk berjumpa dengan penyanyi rap Tinie Tempah. JESSIE J bersama (dari kiri), Danny, Tom dan will.i.am di pentas The Voice versi United Kingdom. Menurut laporan sebuah akhbar antarabangsa, The Sun, penyanyi itu sebelum ini tinggal di sebuah apartmen milik Tinie di London sebelum mengadakan konsert jelajah ke Asia dan Australia. Lapor seorang rakan Jessie: "Jessie dan Tinie pernah keluar bersama beberapa malam sebelum ke konsert jelajah Asia dan Australia seolah-olah mereka sedang menjalinkan hubungan. Lagipun mereka nampak serasi bersama" Tambah sumber itu, Jessie mula kerap bertemu Tinie apabila masing-masing ada kelapangan. Pasangan itu pertama kali bersua sewaktu sebuah majlis keraian pada dua tahun lalu. Namun, hubungan mereka semakin berkembang selepas dijadualkan bakal membuat persembahan bersama di Royal Albert Hall, London pada awal bulan depan untuk pertubuhan kebajikan, Teenage Cancer Trust. Jessie turut mendapatkan khidmat nasihat daripada Tinie sebelum memutuskan untuk bekerjasama dalam program The Voice. "Jessie mengaku kepada beberapa orang rakan terdekat bahawa dia kini mempunyai seorang teman lelaki secara rahsia," kata sumber itu lagi. | ||
Posted: Smash dicakar peminatOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA SMASH menafikan mereka tidak memiliki identiti tersendiri. BARU pertama kali datang ke Malaysia tapi sudah berani buat hal? Itu tanggapan pertama pihak media apabila terpaksa menunggu beberapa jam untuk menemu- ramah tujuh anak muda Indonesia yang menggelarkan diri mereka Smash iaitu singkatan daripada 'Seven Men As Seven Heroes'. Prasangka buruk itu akhirnya lenyap tatkala pihak perhubungan awam Warner Music yang menguruskan promosi dan persembahan mereka di Malaysia memberi perkhabaran bahawa ketujuh-tujuh anak muda yang membawakan muzik pop dance ini dilanda virus demam, selesema dan batuk sejurus menjejakkan kaki ke Malaysia. Mereka khabarnya terpaksa dibawa ke klinik dengan segera. Ternyata demam yang belum sepenuhnya kebah bukan penghalang kepada Morgan Oey, Rangga Dewamoela Soekarta, Rafael, Dicky Muhammad Prasetya, Reza Anugrah, Muhammad Ilham Fauzi dan Bisma Karisma mengadakan persembahan bertenaga pada 17 Mac lalu di Pusat Beli-Belah Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur. Membawakan lima buah lagu termasuk lagu popular mereka I Heart You, biarpun kemunculan Smash di atas pentas hanya pada pukul 3 petang, namun peminat-peminat mereka sudah berkumpul dan membanjiri pusat beli-belah tersebut seawal pukul 11 pagi lagi. Menyingkap sisi sebenar kumpulan ini, Smash merupakan kumpulan pertama di Indonesia yang membawakan muzik pop dance yang kini begitu popular di Korea (K-Pop), Jepun (J-Pop) dan serantau Asia. Kini, sudah banyak kumpulan yang membawakan genre muzik sedemikian yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di Indonesia. Sejak mula ditubuhkan pada 10 April 2010, Smash berjaya menawan hati peminat-peminat di Indonesia sehingga meraih pengiktirafan 1 Million Award bersempena dengan jumlah jualan album mereka yang mencecah 1 juta unit dalam tempoh enam bulan. Walaupun baru dua tahun berada dalam industri hiburan, kumpulan ini sudah meraih empat anugerah pada Inbox Award 2011 dengan memenangi Anugerah Pendatang Baharu Paling Inbox, Boyband Paling Inbox, Penampilan Paling Inbox dan Lagu Paling Inbox (I Heart You). Album pertama mereka, Smash yang mengandungi 10 buah lagu itu turut memuatkan empat lagu yang mendapat sentuhan daripada komposer terkenal Malaysia, Audi Mok iaitu Senyum Semangat, Ahh, Akhiri Saja dan Selalu Bersama. Berkongsi pengalaman mereka sepanjang bergelar anak seni, salah seorang anggota Smash iaitu Reza, 17, mendedahkan, pernah terjadi satu insiden mereka dicakar dan dicium peminat ketika menjayakan persembahan di Medan, Indonesia. "Ada peminat yang begitu fanatik memeluk, mencium dan mencakar kami. Memang pada mulanya kami rasa kaget (terkejut) dengan tindakan mereka tetapi ia sudah menjadi kebiasaan setiap kali kami menyanyi," ujarnya dalam ketawa. Tambahnya, bukan itu sahaja pernah juga terjadi insiden peminat bergaduh dan pengsan ketika mereka baru selesai menyanyikan lagu pertama. Ujar pula anggota paling tua dalam Smash, Rafael, 25, ada juga pengalaman manis ketika mereka mengadakan persembahan di Bali, Indonesia. Peminat di sana dikatakan sanggup menonton persembahan mereka dalam keadaan hujan lebat sambil membawa kek menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi sempena ulang tahun penubuhan kumpulan tersebut. Ditebak soalan adakah terdapat peminat yang membenci dengan muzik pop yang dibawa mereka, menurut Rangga pula, tidak semua yang suka dengan muzik yang dibawa mereka. "Ada juga yang kata kami ini perasan seperti K-Pop tetapi kami akan pastikan untuk buat berbeda (berbeza) dengan K-Pop. Mungkin imej kami lebih kurang sama dengan anggota K-Pop kerana kami kumpulan yang menyanyikan lagu pop serta menari dan inspirasi kami juga daripada band popular seperti Super Junior, 2PM dan Michael Jackson. "Tetapi tidak bermakna yang kami tidak mempunyai identiti sendiri. Kami berasal dari Indonesia, menyanyi dalam bahasa Indonesia cuma rentak sahaja pop yang kebetulan menjadi trend masa kini. Kalau di Korea sudah punyai K-Pop, mengapa di Indonesia tidak boleh ada I-Pop," tuturnya mengenai Smash yang bakal muncul dengan album kedua sekitar bulan Jun ini. | ||
Posted: Aliff nafi risik AnneOleh NOOR ASHREEN ISMAIL
SEBELUM ini pelakon Nasriah Ngasri atau Anne, 28, digosip bercinta dengan penyanyi muda kelahiran Singapura, Aliff Aziz, namun mereka menafikannya. Terkini, Anne yang juga ibu tunggal kepada tiga anak, Abdul Warits, 6, Abdul Watri, 4, dan Na'szhara Afroza, 2, dihujani spekulasi ekoran kehadiran ibu Aliff, Siti Hafiza yang datang dari Singapura untuk berjumpa keluarga Anne di Kuala Lumpur. Timbul gosip di Internet dan Twitter mendakwa keluarga Aliff datang merisik Anne. Bagi mendapatkan kepastian tentang gosip tersebut, Kosmo! telah menghubungi sendiri Anne, semalam. Kosmo!: Mungkin Anne sedar bahawa ada gosip baharu mengatakan ibu Aliff terbang dari Singapura dan datang berjumpa keluarga Anne untuk merisik Anne. Adakah ia benar? ANNE: Ibu Aliff datang ke Kuala Lumpur bukan untuk berjumpa Anne, tapi sebenarnya untuk berjumpa Aliff untuk melawat anaknya itu. Tapi, memandangkan kami sangat baik, jadi alang-alang ummi (panggilan Anne untuk ibu Aliff) Aliff langsung datang bertemu keluarga Anne untuk mengenali lebih dekat dengan siapa anaknya berkawan. Kebetulan juga kami rapat kerana Aliff terlibat dalam drama terbitan syarikat produksi saya, Antara Kita. Anne mengaku agak rapat dengan Aliff dan sedang mengenali hati budi masing-masing. Tapi sejujurnya, belum sampai tahap untuk pergi jauh sehingga itu. Anne tidak rasa Aliff terlalu muda untuk pikul tanggungjawab sebagai bapa kepada tiga orang anak Anne itu? Anne memang menitikberatkan soal itu kerana apa yang penting ialah anak-anak saya. Tapi, bila cakap tentang perhubungan, saya kini solo dan tiada sesiapa dalam hidup saya, jadi tidak salah jika saya berkenalan dengan sesiapa. Namun buat masa ini, belum lagi hingga ke tahap tersebut. Usia bukan penghalang dan jodoh pertemuan ditentukan Allah. Dia juga sudah kenal dengan anak-anak Anne. Keluarga pula bagaimana? Tidak kisah dengan perhubungan Anne dan Aliff? Alhamdulillah, keluarga Anne tidak berkata apa-apa. Apa pun, Anne sentiasa memerlukan restu keluarga untuk berbuat apa jua dalam hidup ini. Anne juga sentiasa berdoa semoga Tuhan berikan yang terbaik buat Anne dan anak-anak. Anne bukan mahu terlalu ingin hebohkan tentang perhubungan ini, tapi Anne tidak mahu menjadi hipokrit. Ini kerana jika orang nampak kami berdua, orang masih akan bercakap. Jadi lebih baik Anne jujur. BERIKUT pula sedutan temu bual bersama Aliff, 21, yang bakal muncul dengan single, Jangan Ganggu Pacarku. Kosmo!: Benarkah ibu Aliff datang ke Kuala Lumpur untuk merisik Anne? Boleh komen? ALIFF: Sebenarnya, apa yang digembar-gemburkan dalam laman Twitter dan Internet mengatakan keluarga saya datang merisik Anne adalah tidak benar dan hanya propaganda. Memang ummi Aliff pergi berjumpa keluarga Anne, tapi hanya untuk mengeratkan silaturrahim memandangkan ummi ingin tahu dengan siapa anaknya berkawan. Kedua-dua keluarga Aliff dan Anne tidak kisah dengan hubungan kalian berdua? Kedua-dua keluarga kami tiada masalah, kami semua okay sahaja. Tidak salah, jika Aliff mahu berkawan dengan sesiapa. Biasalah, jika kita berkawan, mesti lepak dan keluar bersama, jadi saya memang rasa ia bukan masalah besar. Sebab pastinya jika kita berkawan rapat dengan sesiapa, ibu bapa pasti ingin kenal dengan rakan kita itu. Berapa lama Aliff sudah mengenali Anne dan bagaimanakah sekiranya kalian berdua bertemu jodoh? Baru empat bulan. Jodoh adalah untuk setiap orang dan kita tidak boleh melawan takdir. Jika dijodohkan oleh Tuhan kami bersama, saya tidak kisah. Tapi buat masa ini, belum lagi kerana memang saya terlalu muda untuk fikirkan perkara ini. Kalau jodoh, tidak kira apa pun, saya harus kotakan tanggungjawab sebagai suami. Kami sebenarnya masing-masing faham dan sentiasa menyokong. Ada pihak kata Aliff terlalu muda untuk Anne. Boleh komen? Pada saya, status dan usia bukan menjadi kayu ukur dalam sesebuah perhubungan. Apabila kita berkawan dengan orang, saya akan lihat karakternya. Lagipun, saya tidak boleh menjaga hati semua orang kerana orang sentiasa berkata-kata. So, just do whats best and always think positive. Saya akui kami sangat rapat berkawan dan ia bukan perkara besar. Saya tidak mengerti mengapa mereka harus memperbesarkan hal ini. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |