Adsense

Rabu, 28 Mac 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Budak kampung ke supermodel

Posted:

Budak kampung ke supermodel

Budak kampung ke supermodel

BAGAIKAN peluru, isinya ditembak laju ke arah sasaran meninggalkan kelongsong yang barangkali tidak berguna. Ironi rentetan kehidupan itu dilalui Wilson Tan Siong Ping sepanjang 30 tahun usianya.

Enggan menoleh ke belakang, perjalanan hidupnya yang dilalui penuh berliku sebelum bergelar supermodel lelaki tersohor tanah air ditransformasikan menjadi sebuah pengalaman penuh berharga.

"Tiga tahun lalu sewaktu pulang ke kampung, keluarga halau saya keluar dari rumah! Saya menangis, kata mereka saya bukan darah daging mereka lagi.

"Selepas kejadian itu saya lari dan bertekad tidak akan pulang ke kampung sehinggalah kakak saya datang dan pujuk saya pulang.

"Kini, kedua-dua ibu dan ayah saya peminat nombor satu saya," ungkap supermodel yang mengunakan nama pentasnya Wilson Tan itu sewaktu memulakan bicara bersama Kosmo! pada petang yang diiringi hujan di kafe Godiva Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Benar, dia lebih rela memilih risiko semata-mata mahu mengejar impian. Selain berdepan tentangan keluarga suatu masa dahulu, Wilson juga pasrah melepaskan kerjaya jurutera di pelantar minyak untuk kerjaya di bidang penuh glamor itu.

"Saya tiada jiwa untuk meneruskan kerjaya jurutera yang sememangnya menawarkan gaji lumayan itu, dan sewaktu mula melangkah ke dunia peragaan saya berdepan situasi getir.

"Hidup memang sengsara sebelum orang kenal saya, gaji yang tidak menentu, sedikit dan kadang-kadang ada orang mengeji.

"Berbekalkan duit simpanan daripada hasil kerjaya sebagai jurutera saya mengubah penampilan, ibarat 'membeli' sebuah karisma," katanya menghabiskan sehingga ribuan ringgit untuk kelihatan menonjol dari segi penampilan.

Mujur dia dikurniakan kulit dan ketinggian sempurna seorang peragawan iaitu 190 sentimeter. Namun, Wilson akui dahulunya dia bukan seperti dirinya yang ditatap umum hari ini.

Boleh diibaratkan seekor rama-rama yang keluar dari kepompong, ramai yang tidak menduga daripada seorang budak kampung, Wilson boleh berubah menjadi supermodel.


SOSOK hebat milik Wilson Tan ini diperoleh menerusi latihan dan disiplin penuh dedikasi tanpa mengenal erti putus asa.


"Saya masih ingat asal usul, saya sedar kedudukan saya suatu masa dahulu. Orang yang dekat dengan saya nampak perubahan demi perubahan yang saya lalui.

"Dulu saya seorang yang comot dan selekeh. Langsung tiada aura, kalau orang melihat perbandingan gambar saya dahulu dan sekarang masih ramai yang sukar percaya," ujar anak kedua daripada tiga beradik itu.

Jaga perangai

Pernah dia merasakan untuk menamatkan impiannya memburu gelaran supermodel sehinggalah dia meraih semangat yang jitu sebaik sahaja dinobatkan menjadi model terbaik Asia sempena Asian Model Festival Awards di China tahun lalu.

Baru-baru ini pula, dia dianugerahkan pencapaian penuh berprestij Model Of The Year 2012 pada pertunjukan fesyen Mercedez-Benz Stylo 2012 yang berlangsung di Kuala Lumpur minggu lalu.

Wilson juga sebelum itu memenangi anugerah paling berprestij iaitu Industrial Awards sempena World Championship of Performing Arts pada tahun 2009 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Sesiapa boleh jadi supermodel katanya, ia adalah satu pakej dalaman dan luaran yang melengkapi diri seseorang.

"Kalau ikutkan ukuran antarabangsa, ketinggian yang diperlukan untuk menjadi supermodel adalah 180 untuk wanita dan 187 untuk lelaki.


WILSON lebih rela memilih risiko semata-mata mahu mengejar impian.


"Biasanya, model yang tidak cukup ketinggian akan menceburkan diri untuk iklan produk di kaca televisyen atau papan iklan, yang paling utama ada rupa yang unik, karisma dan menjaga perangai," cerita Wilson yang memulakan bidang peragaan selepas diajak rakan sebiliknya sewaktu menuntut di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Curi duit Thailand

Tahun lalu Wilson tidak terlepas daripada terpalit kontroversi dalam dunia peragaan sendiri. Dia dituduh mencuri sejumlah wang bernilai 500,000 baht Thailand (RM49,000) sewaktu menjadi sami Wat Nuan Chan, di sana.

"Kes itu sudah selesai, apabila mendapat tahu saya difitnah saya terus membuat laporan polis sekali gus mengharamkan individu terbabit mendekati saya dan memasuki negara Thailand dan Malaysia," katanya yang mendakwa difitnah oleh seorang model lelaki dari Vietnam.

Menurut Wilson, model itu sering kali terlibat dengan beberapa konspirasi menjatuhkan model yang sedang meningkat naik di sekitar negara Asia Tenggara.

"Namun, saya sudah maafkan dia. Katanya ketika kebetulan terjumpa, dia disuruh beberapa pihak untuk menjatuhkan saya," tambah Wilson yang berada di negara itu selama sebulan untuk menjadi sami.

Bogel itu seni


POSE seorang supermodel yang baru-baru ini dinobatkan sebagai Model Of The Year 2012 bersempena pertunjukan fesyen Mercedez-Benz Of The Year Stylo 2012 Kuala Lumpur minggu lalu.


Karier supermodel pasti tidak lari daripada dikaitkan isu dan etika sesi fotografi khususnya apabila dikehendaki berbogel. Bagi Wilson, dia melihat perkara itu daripada perspektif seni namun perlu ada batasan.

"Bergambar dalam keadaan bogel adalah perkara biasa di negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat dan Eropah, cuma di Asia kita perlu menghormati budaya ketimuran.

"Berbogel atau separuh bogel bagi saya merupakan seni dan sesuatu yang dipandang tinggi dalam dunia fesyen, namun had saya tidak sampai menunjukkan kemaluan semata-mata untuk sekeping gambar," katanya yang pernah bergambar separuh bogel untuk sebuah majalah luar negara pada bulan April tahun lalu.

Tambahnya, sesi fotografi yang dijalankan itu sebahagian caranya mengumpul pengalaman dan melengkapkan diri dengan pelbagai teknik peragaan.

"Saya suka mencabar diri, suka perkara yang sering berubah-ubah, semakin susah semakin itu yang saya suka," katanya.

Ifa letak harga tinggi?

Posted:

Ifa letak harga tinggi?

Ifa letak harga tinggi?

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


FIGURA ini mengakui dia berkecil hati dengan stesen-stesen radio tempatan yang didakwanya tidak menyokong artis dangdut.


KALI terakhir kelibat Ifa Raziah muncul di layar kaca televisyen pada awal tahun ini menerusi telefilem berjudul, Mr. Labuci di TV9. Sebelum itu dia giat mempersiapkan diri sepanjang menyertai program Maharaja Lawak yang disiarkan menerusi Astro.

Timbul beberapa dakwaan bahawa penyanyi, pengacara, pelakon dan kini merangkap pelawak itu kini sudah berani meletakkan harga yang tinggi untuk bayaran khidmat seninya!

Spekulasi segera timbul bahawa faktor tersebut adalah penyebab kenapa pemilik nama sebenar Saripah Raziah Mustapha itu semakin kurang muncul di kaca televisyen.

Ifa, 37, yang ditemui pada sidang akhbar majlis makan malam Hari Ibu bersama Jamal Abdillah di Restoran Khan Baba, Gombak, Selangor baru-baru ini menjawab spekulasi yang timbul.

Kosmo!: Ifa didakwa semakin cerewet dan menolak beberapa tawaran selepas Maharaja Lawak tamat.Benarkah begitu?

IFA: Selepas Maharaja Lawak tamat saya sebenarnya bercuti rehat selama dua bulan. Bukan saya sahaja suka-suka tetapi saya jatuh sakit sehari selepas program itu tamat sehinggakan tidak boleh keluar suara. Terpaksa saya tolak tawaran. Bulan Mac sudah beransur pulih. Tak berbaloi untuk saya cerewet. Penerbit bimbang bagi tawaran selepas saya keluar Maharaja Lawak sebab ingatkan saya sudah demand (letak harga). Sebab itu saya kurang berlakon sekarang ini.

Selama 10 minggu kekal dalam rancangan Maharaja Lawak pastinya meninggalkan impak buat karier dan kehidupan Ifa. Komen Ifa?

Saya dimaki hamun peminat Maharaja Lawak seluruh Malaysia! Ramai yang tak suka saya jadi pelawak. Alasannya adalah untuk menjadi pelawak perlu berwajah buruk tidak terkecuali pelawak wanita, juga tidak perlu cantik. Ia terbukti apabila saya mula bawa watak seperti nenek tua, baru penonton boleh terima.

Gelaran 3P iaitu penyanyi, pelakon dan pengacara sudah Ifa sandang dan kini pelawak pula. Adakah Ifa akan meneruskan bidang yang telah Ifa ceburi ini?

Jadi pelawak lebih susah daripada penyanyi. Oleh kerana saya menanggung tekanan selama 10 minggu itulah yang menyebabkan saya sakit. Kita boleh tertekan walaupun tidak terkurung. Bakat melawak sudah ada dalam diri cuma perlu lebih buat kajian, perlu skrip, jalan cerita dan punch line (penekanan) yang betul walaupun lawak spontan.

Pengalaman Ifa menjadi pelawak wanita?

Selama 17 tahun jadi artis, tempoh paling tertekan apabila menjadi pelawak tapi dalam masa yang sama saya gembira sebab dapat belajar. Bukan senang nak buat orang ketawa.

Kali pertama Ifa muncul sebagai penyanyi menerusi album pop pada tahun 1996, sebelum setahun kemudian muncul pula sebuah album dangdut. Tahun 2004 merupakan kali terakhir Ifa mengeluarkan album sekali gus hanya tampil bersama single. Bagaimana Ifa melihat senario itu?

Tidak mengeluarkan album tidak bermakna saya berdiam diri. Single terbaharu berjudul Luar Biasa sudah dilancarkan pada bulan April tahun lepas namun promosi hanya di YouTube dan menerusi beberapa buah stesen radio. Berlaku kekeliruan pada masa itu sebab single Luar Biasa nyanyian Shahir AF pun dilancarkan pada waktu yang sama. Pendengar keliru dan menyebabkan saya tenggelam akibat judul lagu saya yang sama dengan lagu Shahir. Apa yang pasti, saya bakal muncul dengan single baharu genre balada berjudul Tanpa Ku Sedar pada bulan Mei ini ciptaan sepenuhnya Aesah Mustafa.

Bagaimana pula Ifa melihat perkembangan muzik dangdut negara kita sekarang ini?

Saya kecil hati sebenarnya. Peminat masih ramai tapi stesen radio tidak menyokong artis dangdut. Konon dangdut adalah lagu kampung. Saya merayu kerjasama daripada stesen-stesen radio untuk mennaikkan semula pengaruh lagu-lagu dangdut.

Dangdut dan balada merupakan dua genre dan teknik nyanyian berbeza. Apakah langkah Ifa untuk menjamin kualiti single pada masa akan datang?

Suara perlu diasah dan saya akui dangdut dan balada berlainan lenggok. Peti suara kita juga perlu sentiasa dijaga untuk memastikan vokal kita kemas. Kekurangan saya adalah pada nada rendah, jadi saya akan mula belajar teknik nyanyian dengan Cikgu Siti Hajar pada setiap hari Isnin bermula bulan April nanti.

Perkembangan terkini Ifa?

Saya akan bersama Roslan Shah bakal menjadi hos acara Projek Keamanan 1Malaysia di Taiping, Perak selama empat hari mulai 5 hingga 8 April ini. Bersempena acara itu akan berlangsung juga konsert rock dan dangdut. Antara artis lain yang turut hadir, Haiza, Syida, May, Bandi Amuk dan XPDC.

Selain itu saya juga akan menjadi pengacara majlis Makan Malam Hari Ibu bersama Jamal Abdillah pada hari Ahad, 6 Mei ini, di Shah Alam Convention Centre, Shah Alam. Untuk mendapatkan keterangan lanjut hubungi Pengarah MSiS Event, Suriyani Kassim (019-3834300).

Konsert mega Zaiton Sameon

Posted:

Konsert mega Zaiton Sameon

Konsert mega Zaiton Sameon

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


ZAITON bersama Freddie (tiga dari kanan) dan Azmi (kanan) pada sidang akhbar Konsert Amal Tabung Kebajikan Zaiton Sameon baru-baru ini.


SELEPAS terlibat dalam kemalangan ngeri yang meragut nyawa anak tunggal kesayangannya, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 19 tahun, pada 21 Februari 1990 di Batang Kali, Selangor, penyanyi popular lagu Menaruh Harapan Zaiton Sameon mula hilang punca pendapatan.

Vokal penyanyi yang kini berusia 55 tahun itu dikatakan tidak lagi hebat selepas terlibat dalam kemalangan.

Malah, ada pihak dikatakan telah menutup pintu rezeki penyanyi itu dengan mengatakan Zaiton atau lebih mesra dipanggil Kak Eton tidak lagi waras untuk menyanyi.

Kesan daripada itu, dia tidak lagi dipanggil untuk menyanyi di mana-mana persembahan nyanyian. Jika adapun Zaiton sekadar menyanyi untuk majlis-majlis perkahwinan sehingga kini.

"Saya terpaksa buang rasa malu menyanyi di majlis-majlis orang kahwin demi menampung kehidupan saya. Itupun jarang-jarang dipanggil dan saya cuma dibayar sekitar RM100 ke RM200 sahaja.

"Memang sejak terlibat dengan kemalangan saya tidak lagi mendapat kepercayaan pihak penganjur untuk menyanyi," ujarnya dalam kesedihan kepada pihak media ketika ditemui pada sidang akhbar Konsert Amal Tabung Kebajikan Zaiton Sameon di Hotel Adamson, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Peluang yang diberikan oleh pihak Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) untuk Zaiton mengadakan konsert pertamanya selepas 22 tahun terlibat dalam kemalangan yang bakal berlangsung pada 7 April ini di Dataran Sungai Kerang, Pantai Remis, Perak. Ia akan menjadi bukti Zaiton kepada peminat-peminatnya dan masyarakat bahawa vokalnya masih hebat dan dia masih waras untuk menyanyi.

"Saya sangat teruja untuk menyanyi semula. Alhamdulillah dan terima kasih banyak-banyak buat persatuan Karyawan yang memberi peluang kepada saya untuk mengadakan konsert amal tabung kebajikan Zaiton Sameon," tuturnya yang akan membawakan 10 buah lagu termasuk Menaruh Harapan, Kabut Serangkai Mawar, Black Magic Women, My Way, Perigi Biru dan Siti Payung.

Sementara itu, menurut Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, Karyawan terpanggil untuk membela nasib Zaiton bukan kerana untuk mengaut publisiti sebaliknya sekadar membantunya memperoleh pendapatan daripada sumbangan orang ramai.

"Konsert Amal Tabung Kebajikan Zaiton Sameon itu diadakan secara percuma kepada orang ramai dan mereka boleh memberi sumbangan atau derma kepada Zaiton menerusi tabung yang disediakan.

"Bukan tujuan Karyawan untuk mengadakan konsert amal ini untuk mengaut publisiti tetapi ia adalah tugas dan tanggungjawab sebuah persatuan untuk membela nasib golongan artis di Malaysia," ujarnya.

Jelas Freddie lagi, idea asal untuk mengadakan konsert ini adalah daripada ahli aktif Karyawan sendiri iaitu Azmi Zahari yang merupakan satu ikhtiar alternatif bagi membantu para ahli Karyawan yang kurang bernasib baik seperti Zaiton.

Kehadiran orang ramai pada konsert yang bakal berlangsung pada pukul 8.30 malam itu nanti sangat digalakkan kerana inilah masanya mereka dapat melihat Zaiton kembali menyanyi secara langsung selepas terlibat dalam kemalangan.

Tambah Freddie, selain Zaiton terdapat artis lain juga membuat persembahan seperti Ali Terrarosa, Baggio Damasutra dan Farhana Jalil.

Dalam pada itu, Azmi memberitahu, selain Pantai Remis, Perak, konsert berterusan buat Zaiton akan turut diadakan di beberapa buah negeri terpilih seperti Dataran Raub Pahang; Tanjung Karang, Selangor; Rembau, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Bagaimanapun tarikh dan lokasi tetap konsert-konsert tersebut belum lagi ditetapkan.

Kepada peminat-peminat Zaiton dan orang ramai yang ingin membantu Zaiton boleh hubungi Azmi 012-2280479) atau Ahmad (014-7176276).