Adsense

Rabu, 28 Mac 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Debaran hero, heroin

Posted: 27 Mar 2012 08:26 AM PDT

USIANYA masih muda, tapi si manis 18 yang juga bintang sinetron remaja, Mikha Tambayong ini cukup dikenali sama ada di Indonesia mahupun di negara ini. Semuanya kerana lakonannya yang meletup dalam siri Nada Cinta yang turut disiarkan di saluran Astro Ria itu.

Bersandarkan populariti yang dimilikinya, tawaran berlakon juga mencurah buat pelakon tinggi lampai dan pemilik nama sebenar, Moudy Mikha Maria Tambayong yang dilahirkan tanggal 15 September 1994 ini.

Justeru tidak hairanlah, anak saudara penyanyi terkenal Indonesia, Harvey Malaiholo ini menjadi pilihan penerbit pementasan teater muzikal Gerimis Mengundang untuk memegang watak utama bergandingan heronya yang juga pelakon tanah air, Kamal Adli.

Secara peribadi, Mikha yang pernah memiliki dua album, Cinta Pertama dan Bekas Pacar juga menganggap peluang beraksi dalam teater arahan Ahmad Idham itu sebagai platform buatnya melebarkan sayapnya di negara ini.


"Saya sangat teruja untuk beraksi dalam pementasan ini kerana ia buat julung kalinya saya beraksi dalam projek teater. Justeru, bila ditawarkan buat projek ini, saya terus berbincang dengan mama yang pastinya memberi sokongan padu.


"Sukar saya menolak tawaran produksi muzikal ini kerana saya memang minat buat muzikal yang membabitkan tiga elemen iaitu nyanyian, tarian dan lakonan," katanya.

Mikha juga melihat peluang berlakon dalam muzikal itu untuk mencari tapak dalam bidang lakonan dan membina namanya di Malaysia.

"Saya sangat gembira dan terharu bila dapat tahu lakonan dalam Nada Cinta diterima ramai peminat di Malaysia. Justeru, saya juga berharap lakonan dalam teater muzikal ini juga akan diterima dengan baik peminat teater muzikal di sini.

"Kami berharap pementasan ini akan mengukuhkan lagi hubungan baik kedua-dua negara kerana saya berharap pementasan ini turut dipentaskan di Indonesia selepas ini," katanya.

Mikha ditemui ketika berkunjung ke Balai Berita dan menjayakan sesi fotografi baru-baru ini. Selain Mikha dan Kamal, barisan pelakon lain yang hadir ialah Kamal Adli, Taiyuddin Bakar, Najua Nasir dan Mustaqim Mohamed Zaki. Tidak ketinggalan, penerbitnya, Den Wahab dan isteri, Nora Bustamam.

Ditanya sama ada dia mengenali Kamal sebagai pelakon, kata Mikha yang hangat digosipkan bercinta dengan Randy Pangalila mengakui pada mulanya dia memang tidak tahu Kamal pelakon yang dikenali di Malaysia.

"Saya juga tidak tahu Kamal pernah digosipkan dengan seorang lagi artis Indonesia, Olivia dan pada masa sama, saya baru dapat tahu dia sudah ada teman istimewa yang juga pelakon Malaysia, Intan Ladyana.

"Pada pandangan saya, Kamal seorang pelakon yang kacak dan berbakat tapi ia bukan bermaksud saya akan jatuh cinta padanya kerana kami bekerja secara profesional dalam pementasan ini," katanya.

Berkongsi pengalamannya berlatih dengan Kamal, kata Mikha, sebagai pelakon yang cukup berpengalaman, aktor itu banyak membantunya menjiwai watak Cinta dengan baik.

"Pada mulanya saya berasa kekok juga untuk menjiwai babak romantik Cinta dan Zamani tapi Kamal banyak membantu kami mendapat keserasian seperti dikehendaki pengarahnya.

"Maklumlah, teater muzikal dan lakonan adalah dua cabang berbeza dan ia berlaku secara langsung di hadapan penonton berbanding lakonan dalam sinetron.

"Saya akui memang berdebar menanti reaksi daripada peminat di sini. Apapun, saya gunakan ilmu lakonan sedia ada untuk memberikan yang terbaik pada pementasan ini," katanya.

Bagi Kamal pula, dia memang berminat untuk terbabit dalam pementasan Gerimis Mengundang kerana ingin menyahut cabaran di pentas teater.

"Saya ada asas dalam bidang tarian kerana pernah terbabit dalam Impak Maksima The Musical dulu. Justeru, saya percaya mampu menjayakan pementasan ini sebaik mungkin.

"Saya akui ia memang mencabar kerana saya perlu menyanyi dan menari dalam muzikal ini tapi selepas berlatih, semuanya berjaya dilakukan dengan baik.

"Saya akui nyanyian saya memang tidak sehebat penyanyi di luar sana kerana saya bukannya penyanyi tapi selepas berlatih, saya percaya dapat menyanyi dengan baik seperti dikehendaki Ahmad Idham," katanya.

Ditanya pandangannya mengenai Mikha pula, kata Kamal, bila dapat tahu mereka bakal digandingkan dalam pementasan itu, dia terus menonton Nada Cinta.

"Alhamdulillah, menjelang hari pementasan, kami sudah dapat keserasian seperti dikehendaki pengarah. Mikha juga beri kerjasama yang bagus sepanjang sebulan kami berlatih.

"Bagaimanapun, babak Cinta dan Zamani bercinta sedikit sangat kerana kami baru nak bercinta tapi sudah ada konflik dalam hubungan itu," katanya.

Berkongsi perasaannya ketika ini, kata Kamal, dia berasa sangat gementar dan harap semuanya berjalan lancar dan berjaya. Insya-Allah, apa yang penting sekarang ialah kekuatan cerita muzikal ini yang mampu menarik penonton. Dari segi cabaran pula, paling besar sudah pasti saya perlu menyanyi, menari dan berlakon dalam satu masa," katanya.

Pementasan Gerimis Mengundang membabitkan kerjasama antara Erama Creative, Excellent Pictures Sdn Bhd dan Global Networks Sdn Bhd ini mula dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula semalam (27 Mac) hingga 8 April nanti.

Teater muzikal yang diinspirasikan daripada filem Gerimis Mengundang juga arahan Ahmad Idham ini dijangka menemui penonton di pawagam pada pertengahan tahun ini. Ia adalah prekuel filem Gerimis Mengundang yang mana penghujung cerita dalam pementasan ini adalah permulaan bagi versi filemnya.

TRIVIA MIKHA

  • Aktor Hollywood yang ingin dating?...Ryan Gosling
  • Kali terakhir anda menangis?...Bila sahabat baik meninggal dua minggu lalu
  • Haiwan yang paling ditakuti?...Ayam
  • Sifat lelaki yang paling dibenci?...Terlalu hiperaktif
  • Kereta mewah idaman?...Bentley
  • Aset yang ingin dibeli?...Villa tepi pantai di Pulau Bali, Indonesia
  • Destinasi percutian idaman?...Greece, Itali

    TRIVIA KAMAL

  • Haiwan yang paling ditakuti?...Jenis reptilia
  • Harta atau aset yang nak dibeli?...Rumah dan tanah
  • Destinasi percutian idaman?...Semporna, Sabah
  • Aktres Hollywood yang anda ingin dating?...Megan Fox (nak ajak makan nasi lemak)
  • Kali terakhir anda menangis?...Menjiwai salah satu babak ketika sesi latihan teater muzikal Gerimis Mengundang
  • Sifat wanita yang paling dibenci?...Cepat percaya cakap orang tanpa usul periksa


  • ‘Jangan overshadow saya’

    Posted: 27 Mar 2012 08:21 AM PDT

    TINDAKAN Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menjadi orang tengah menyelesaikan isu gambar bogel membabitkan pelakon baru, Melia Aimelia di laman sesawang dianggap keputusan tepat merujuk peranan persatuan itu sendiri membantu menjernihkan keadaan.

    Episod kontroversi pelakon utama filem Karipap Karipap Cinta arahan Othman Hafsham ini tamat apabila Seniman menemukan pelakon berusia 18 tahun ini dengan wakil penulis blog berkenaan yang memohon maaf secara terbuka pada sidang media yang diadakan di Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Tutup cerita Melia yang masih jadi bualan hangat ramai, timbul pula isu baru membabitkan sikap pemimpin Seniman sendiri.

    Pada sidang media sama, Timbalan Presiden merangkap Ketua Biro Seniman Muda, Zed Zaidi menempelak media yang didakwanya salah melaporkan berita.


    Ia merujuk dua daripada empat isu dibangkitkan dalam sidang media itu adalah berpunca media.


    Pertama, usul memberi kuota khas kepada artis bernaung di bawah Seniman dibawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 4 Mac lalu bukan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), tetapi skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (Prima).

    Isu kedua mengenai cermin gelap dikatakan Zed bukan usul rasmi yang ingin diperkatakan, tetapi sekadar menjawab soalan wartawan secara lisan pada masa ditemu bual.

    Zed dengan lantang juga menjelaskan bukan cermin gelap yang diusulkan, tetapi cadangan menubuhkan skuad Rela untuk artis dalam Seniman.

    Sama ada dakwaan Zed menyalahkan media benar atau tidak, ia terus menjadi persoalan dalam kalangan ramai media cetak dan elektronik yang hadir pada sidang media petang itu.

    Namun, persoalan lain bermain di fikiran mengapa Presiden Seniman, Harun Salim Bachik sendiri tidak turun padang menyelesaikan segala masalah dan isu yang mahu dibangkitkan Seniman.

    Harun ketika dihubungi semalam menyatakan maklumat mengenai isu dibawa dalam sidang media itu tidak begitu jelas diketahuinya.

    Malah, dia mewakili ahli senior mengalukan apa saja tindakan dilakukan Biro Seniman Muda asalkan memadai kepentingan ahli dalam biro itu.

    "Memang tiada perbincangan menyeluruh mengenai isu yang dibangkitkan, sekadar saya mengetahuinya ketika mahu diadakan sidang media.

    "Saya sendiri pada masa itu sibuk dengan kerja, tetapi memandang ini adalah usaha baik dilakukan Biro Seniman Muda.

    "Sepatutnya Zed maklumkan pada saya mengenai isu ini dengan mendalam dan jika ada wartawan bertanya pada saya selepas sidang media, saya boleh menjawab dengan jelas.

    "Apa yang berlaku agak mengecewakan saya dan ia juga menjadi beban pada saya untuk menanganinya.

    "Sebolehnya, saya tidak mahu tindakan Zed memberi kenyataan menampakkan seolah dia 'overshadow' atau lebih menonjol daripada saya," katanya.

    Sebagai Presiden, Harun mengakui ahli Seniman sendiri tertanya sama ada dia masih bertanggungjawab memimpin persatuan tertua itu.

    Katanya, ada ahli menanyakan mengapa hanya Biro Muda aktif mengadakan aktiviti sebaliknya tiada aktiviti untuk ahli senior.

    "Saya juga sukar menjelaskan perkara ini.

    "Buat masa ini, belum ada aktiviti untuk ahli senior, cuma saya menunggu apa-apa aktiviti Biro Muda untuk digabungkan bersama ahli senior.

    "Sejak awal Seniman ditubuhkan dulu, aktiviti untuk ahli muda tidak banyak, tetapi apabila situasi berbeza pula berlaku, ahli senior berasa terpinggir," katanya.

    Bekas Presiden, Datuk Mustapha Maarof pula menyaran jawatankuasa Seniman perlu kuat bekerja dalam mengadakan aktiviti bersama ahli.

    Sebagai ahli paling lama dan pernah memikul tanggungjawab pemimpin persatuan ini selama enam tahun, beliau sentiasa terbuka dan bersedia untuk berkongsi pandangan bersama jawatan kuasa Seniman kini.

    "Sepatutnya acara seperti jelajah terus diadakan agar nama Seniman terus semarak. Pengertian Seniman amat besar pada ahli dan sepanjang saya menjadi presiden dan ahli, persatuan ini dihormati ramai.

    "Ketika itu Seniman pernah mendapat slot RTM, 308 jam, tetapi saya tidak ambil untuk kepentingan peribadi.

    "Sebaliknya memberikan pada syarikat lain manakala Seniman hanya mengambil sedikit keuntungan dan ia dimasukkan bulat-bulat ke dalam Tabung Seniman bertujuan membantu ahli.

    "Jika aktiviti tidak bergerak, jangan salahkan persatuan, tetapi jawatankuasa itu sendiri. Jika sebelum ini, kerajaan memberikan dana bantuan RM30,000 kepada mana-mana persatuan menjalankan aktiviti, tetapi saya agak sedikit kecewa dengan situasi ini apabila ia tiada.

    "Begitu juga, saya berharap jawatankuasa sedia ada terus bekerja keras demi membantu ahli dan ahli sendiri boleh membuat keputusan pemilihan AJK baru pada mesyuarat agung tahunan nanti," katanya.