Adsense

Sabtu, 10 Mac 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Momo kerap melawat Ariel

Posted:

Momo kerap melawat Ariel

Momo kerap melawat Ariel

SEJAK minggu lalu, nama Narova Morina Sinaga, 26, atau nama pentasnya Momo Geisha menjadi carian hangat di Internet. Semuanya gara-gara foto dia sedang melawat Ariel Peterpan di penjara tersebar baru-baru ini.

Menafikan hubungan istimewa antaranya dan Ariel kepada media di Indonesia, namun kedatangan Geisha ke Malaysia pada minggu ini untuk promosi album terbaharu mereka, Meraih Bintang, membuktikan seolah-olah ada cinta bertaut antara dia dengan bekas kekasih aktres Luna Maya itu.

Senyuman meleret di bibirnya dan hilai tawa anggota Geisha yang lain sewaktu menjawab persoalan cinta dengan Ariel umpama memberi isyarat bahawa ada sesuatu yang istimewa terjalin antara Momo dan Ariel.

Jika sekadar sebatas hubungan kerja, masakan Momo mengaku dia pernah melawat Ariel di penjara sebanyak tiga kali.

Bukan itu sahaja, Momo juga tahu secara terperinci keadaan Ariel di dalam penjara apabila secara berseloroh memberitahu Ariel masih kekal kacak walaupun terpaksa terperuk di sebalik tirai besi sejak lebih setahun lalu.

"Ya, memang saya ada melawat dia (Ariel) di penjara. Saya pergi melawatnya bersama pihak pengurusan label band saya dan Peterpan iaitu Musica Studios selain disertai anggota Peterpan yang lain beberapa bulan yang lalu.

"Ketika itu saya melawatnya kerana urusan kerja sahaja. Kebetulan foto yang tersebar di Internet itu hanya nampak kami berdua, jadi orang ramai mula membuat spekulasi mengenai kami. Hakikatnya ketika itu saya bukan datang sendirian," jawabnya bersungguh-sungguh.

Ditebak pula soalan tentang jika benar atas urusan kerja buat pertama kali, mengapa menerusi laporan media Indonesia, Momo dikatakan kerap melawat Ariel sedangkan Luna Maya dilaporkan sudah lama tidak melawat penyanyi itu di penjara, Momo menghela nafas panjang sebelum menjawab.


MOMO menafikan dia dan Ariel mempunyai hubungan cinta, sebaliknya memberitahu mereka hanya berkawan.


Katanya: "Secara jujur memang saya pernah melawat Ariel ketika kes dia sedang hangat. Waktu itu saya hadir bersama anggota band Geisha yang lain untuk memberi sokongan kepadanya.

"Selepas itu ada dua hingga tiga kali saya pergi melawatnya apabila jadual saya kosong daripada aktiviti band Geisha. Bagaimanapun, hubungan kami hanya sekadar teman, tidak lebih daripada itu."

Momo juga menjelaskan yang Ariel kini berada di dalam keadaan yang sihat dan masih lagi berkarya walaupun sudah lama tidak berada di dalam atmosfera seni.

"Dia kelihatan baik sahaja dan sihat. Setiap kali melawatnya, Ariel jenis orang yang tidak suka memperlihatkan kesusahan yang ditanggungnya, jadi pertemuan kami terasa seperti berlangsung di luar penjara. Bertemu dengan Ariel memang seronok walaupun kami bertemu di ruang yang agak terbatas pergerakannya," cerita Momo lagi.

Popular kerana Ariel

Sambung Momo, sewaktu dia pergi melawat Ariel sebagai seorang teman, tidak pernah terlintas di fikirannya ia akan menjadi satu kontroversi yang besar. Jika dilihat keadaannya kini, diakui Momo semakin popular kerana kontroversi cinta yang terbaru ini.

"Saya bingung, mengapa hal itu diperbesarkan oleh pihak media. Salahkah saya mahu melawat teman di penjara?" soalnya.

Momo kemudian menjelaskan, salah satu sebab dia kerap bertemua Ariel adalah kerana dia telah dipilih oleh band Peterpan untuk menyanyikan sebuah lagu yang dibikin oleh Ariel di dalam album instrumental band tersebut.


ARIEL PETERPAN yang kini masih menjalani hukuman di penjara kerana video porno bersama Luna Maya dikhabarkan sedang menjalin hubungan cinta dengan vokalis Geisha, Momo.


Disoal lagi, apa keistimewaan dia kerana dalam ramai-ramai penyanyi di Indonesia, dia menjadi pilihan Ariel untuk menyanyikan lagu ciptaan Ariel, sambil ketawa, Momo berkata: "Itu saya tidak tahu sebabnya, saya rasa soalan itu harus ditanya terus kepada Ariel.

"Jika ditanya saya, satu sebabnya, mungkin kami duduk di bawah satu label. Kedua, mereka mungkin mahu penyanyi wanita yang menyanyikan lagu itu.

"Waktu berjumpa kami banyak berbincang soal projek tersebut, dan saya juga menyanyikan lagu itu di depannya. Saya berbesar hati dapat membantu mengembalikan semula nama Peterpan walaupun menerusi satu lagu sahaja."

Beritahu Momo lagi, sejak mengenali vokalis penuh kontroversi tersebut, dia melihat Ariel sebagai seorang lelaki yang bertanggungjawab terhadap teman-temannya.

Terpisah daripada dunia luar tidak menghalang Ariel untuk terus berkarya dan membantu ahli Peterpan yang lain.

"Memang sejak awal lagi, saya lihat Ariel seorang yang bertanggungjawab dan semangatnya kuat untuk membantu ahli Peterpan yang lain supaya terus hidup dalam dunia seni. Sebagai teman, ini antara bantuan dan sokongan yang saya dapat beri kepada band Peterpan," bicaranya tanpa berselindung.

Kak Pah rai para ibu

Posted:

Kak Pah rai para ibu

Kak Pah rai para ibu


DATUK SHARIFAH AINI begitu teruja untuk menghiburkan para ibu dalam majlis sambutan Hari Ibu miliknya yang bertema Kasihnya Ibu pada 12 Mei ini.


SEMPENA dengan sambutan Hari Ibu yang disambut pada bulan Mei setiap tahun, Seri Dewi Production Sdn. Bhd. dan Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur akan menganjurkan sebuah majlis makan malam amal pada 12 Mei ini.

Bertempat di Taming Sari Grand Ballroom, Hotel Royale Chulan, majlis makan malam yang mengangkat tema Kasihnya Ibu itu akan menampilkan penyanyi wanita tersohor negara iaitu Datuk Sharifah Aini.

"Sambutan Hari Ibu hanya disambut setahun sekali dan inilah kesempatan yang terbaik buat anak-anak meluangkan sedikit masa bersama ibu untuk hadir pada sebuah majlis makan malam yang cukup istimewa.

"Selain dapat menikmati makan malam bersama-sama ibu, tetamu yang hadir juga akan dihiburkan dengan lagu-lagu yang dipersembahkan sendiri oleh saya selama tiga jam," ujarnya.

Mengenai konsep persembahan pula, Kak Pah menjelaskan kebanyakan lagu-lagu yang dinyanyikan nanti adalah lagu yang mempunyai mesej tentang rasa kasih dan sayang terhadap ibu tercinta.

Antara lagu-lagu tersebut seperti Kasihnya Ibu, Mama, Dodoi Si Dodoi, Mawar Putih Untuk Mama dan Ibu. Tidak ketinggalan juga lagu-lagu seperti Di Mana Kan Ku Cari Ganti, Tiada Kata Secantik Bahasa, Engkau Laksana Bulan serta beberapa buah lagu Inggeris.

Menurutnya lagi, selain dihiburkan dengan lagu-lagu nyanyiannya, tetamu juga berpeluang untuk memenangi hadiah menarik menerusi cabutan bertuah yang akan diadakan semasa majlis tersebut.

"Salah seorang tetamu yang bertuah akan berpeluang untuk memenangi satu tiket penerbangan ke Jeddah, Arab Saudi yang ditaja sepenuhnya oleh syarikat penerbangan Oman Air," ujarnya.

Bagi yang berminat untuk turut serta pada majlis makan malam amal tersebut, mereka boleh membuat pembelian tiket secara dalam talian menerusi laman sesawang www.iam.org.my atau menghubungi talian 019-3488054 dan 019-3973558.

Tiket-tiket pula berharga RM5,500 dan RM2,500. Pihak penganjur juga turut mengalu-alukan pembelian tiket untuk orang perseorangan.