Adsense

Sabtu, 10 Mac 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Pencerita muda

Posted: 09 Mar 2012 06:03 AM PST

USIA pembabitan penyanyi juga komposer terkenal ini baru menjengah enam tahun dalam bidang seni. Namun nama dan jenama yang dicipta sudah jauh melangkaui kebanyakan penghibur lain.

Taylor Swift lebih awal merangkul pengiktirafan dan anugerah termasuk trofi Grammy atas kehebatannya mengarang lagu serta mengalunkan vokal tersendiri.

Bagaimanapun, dalam pada sibuk mencari ilham bagi mencipta lagu untuk koleksinya, bintang muda berusia 23 tahun kelahiran Reading, Pennsylvania, Amerika Syarikat ini perlahan-lahan membina nama dalam lakonan pula.

Tidak sesekali mengabaikan masa dan tanggungjawabnya sebagai penyanyi, pemilik vokal bersahaja ini gigih mencuri ruang membuktikan bakat lakonannya.


Muncul dalam filem Valentine's Day sebelum ini di samping nama besar termasuk Julia Roberts dan Ashton Kutcher, Swift menerima pujian positif sehingga menyuntik semangatnya untuk terus beraksi.


Jelasnya, lakonan adalah satu lagi cabang seni yang membolehkannya bercerita dan menyampaikan mesej kepada penonton.

"Percaya atau tidak, pertama kali memegang skrip dan cuba melontar dialog, saya tidak rasa janggal. Menyampaikan cerita dengan emosi yang tepat bagi memastikan penonton dapat merasakan apa yang ingin diceritakan.

"Sepanjang menjadi penyanyi dan menyampaikan setiap lagu di depan peminat, emosi dan gerak bercerita tetap saya lakukan agar peminat dapat menghayati setiap lagu yang saya nyanyikan. Lantas, saya tidak rasa terlalu aneh meskipun bidang lakonan adalah sesuatu yang baru buat saya.

"Lihat saja Valentine's Day, saya hanya selamba menghidupkan watak mengikut kehendak skrip dan tuntutan pengarah hingga akhirnya ramai pihak memberikan ulasan positif. Itu sudah cukup buat saya gembira dan yakin untuk mencuba watak yang lain pula," katanya.

Mengenai kekangan waktu apabila dua kerjaya harus dilakukan serentak, Swift yang kini sudahpun selesa dengan tiga album studio dan lebih 10 anugerah antarabangsa, menyangkal dirinya menghadapi masalah membahagikan masa, sebaliknya lakonan dan nyanyian adalah dua komitmen yang masih mampu ditanganinya dengan baik.

"Tidak pernah menjadi masalah kepada saya dalam mengimbangi dua kerjaya ini.
Saya akan meletakkan sepenuh fokus kepada lakonan apabila saya tidak terikat dengan jadual promosi album, konsert ataupun persembahan pentas lain," katanya yang pernah muncul dalam Jonas Brothers: The 3D Concert Experience, CSI: Crime Scene Investigation dan Hannah Montana: The Movie sebagai cameo.

Terbaru, penyanyi yang popular menerusi lagu You Belong To Me dan Love Story ini tampil dengan filem animasi terbaru sentuhan pengarah Chris Renaud berjudul The Lorax.

Meminjamkan suaranya bagi watak Audrey dalam filem yang turut membariskan pelakon lain termasuk Zac Efron, Danny DeVito dan Ed Helms, Swift menyifatkan peluang yang diberi adalah sesuatu yang cukup istimewa kerana dapat menghidupkan watak yang dibangunkan idolanya ketika kecil iaitu Dr Seuss.

"Saya bagaikan bermimpi apabila berpeluang melakonkan watak yang pernah difikirkan Dr Seuss lama dulu. Saya terharu dan cukup gembira dengan peluang yang diberi kerana Dr Seuss sememangnya idola yang banyak memberi inspirasi kepada saya selama ini.

"Setiap hasil kerjanya dan buku tulisannya pasti memberikan impak dan saya sendiri adalah salah seorang peminat yang tidak henti mengikuti setiap satu naskhah sentuhannya. Jujurnya, Dr Seuss adalah inspirasi buat saya dan banyak mempengaruhi hasil kerja saya terutama dalam mencipta lagu dan melodi.

"Jika ada yang masih ingat, setiap jalur cerita yang disampaikan Dr Seuss dalam bukunya, dengan gambar yang diletak bagi menterjemahkan perjalanan cerita dan dialog pada setiap watak yang ada dalam cerita itu begitu seimbang sehingga mampu mengundang pembaca tersenyum dan menerima mesej yang ingin disampaikan.

"Justeru, saya sangat bertuah apabila kini saya pula yang tampil menghidupkan watak Audrey yang saya sifatkan hebat dan sempurna," katanya.

Selain berasa bangga dan gembira, Swift turut tertarik dengan plot cerita dan mesej yang cuba disampaikan menerusi The Lorax.

"Lebih empat dekad lalu, Dr Seuss sudahpun menulis cerita ini dan setiap watak yang dibangunkan adalah sebuah kehidupan yang klasik. Saya sendiri membesar dengan karya sentuhannya dan kali ini siapa sangka, saya pula berpeluang meminjamkan suara untuk watak Audrey yang saya sifatkan menarik dan penuh warna.

"The Lorax adalah sebuah filem animasi yang mengangkat plot cerita mengenai alam sekitar dan kepentingan hidupan hijau dalam dunia. Bayangkan, sejak zaman dulu pada 1971 lagi, Dr Seuss sudahpun memikirkan soal ini iaitu manusia terlalu tamak dan lupa diri hingga sanggup mengabaikan kehidupan lain termasuk pokok dan tumbuh-tumbuhan semata-mata untuk kepentingan sendiri.

"Audrey pula seorang gadis yang misteri dan berbeza kerana minatnya lain daripada orang lain hingga membuatkan Ted (lakonan Zac Efron) bersungguh-sungguh untuk mendapatkan perhatiannya. Saya meneliti watak dan karakter Audrey, ternyata ia memberikan saya perspektif yang berlainan sebagai seorang pelakon," katanya yang mengagumi lakonan Efron.

Sementara itu selepas mencetuskan fenomena menerusi dua album terdahulu, Taylor Swift pada 2006 dan kemudian Fearless pada 2008, Swift yang pernah diangkat sebagai pelapis muzik Country terbaik di Amerika Syarikat muncul dengan percubaan terbarunya, Speak Now.

Speak Now mengandungi 14 lagu termasuk Mine, Sparks Fly, Back to December, Speak Now, Dear John, Mean, The Story of Us, Never Grow Up, Enchanted, Better Than Revenge, Innocent, Haunted, Last Kiss dan Long Live.



Ayu kini penyanyi lounge

Posted: 09 Mar 2012 05:46 AM PST

SETAHUN menyepi, Juara One In A Million (OIAM) musim kedua, Norayu Damit atau Ayu, 23, yang muncul pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL26), baru-baru ini cukup menarik tumpuan peminat dan wartawan.

Masing-masing tidak terlepas untuk mendekatinya dan bertanyakan cerita di sebalik 'kehilangan' selama hampir setahun daripada persada seni hiburan. Ayu nampak ceria dan mesra melayan sesiapa menegurnya berbeza dengan zaman awal kemunculannya dulu.

Lantas dengan kemunculan semula Ayu di depan kamera, satu sesi fotografi diatur untuknya di Balai Berita, baru-baru ini.

Kelihatan sedikit berisi selepas melahirkan anak kedua, Ayu akui dia semakin bahagia menjalani kehidupan sebagai seorang ibu dan isteri.


"Saya bersyukur kerana suami saya (Syed Fauzi Syed Baharuddin) cukup memahami kerjaya seni saya dan memberi galakan. Saya masih aktif menyanyi malah baru saja merakamkan lagu," katanya yang dikurniakan anak, Haikal, 2, dan Alya, tujuh bulan.


Apa yang sangat menarik, Ayu sudah hampir enam bulan menyanyi di Glass Lounge, Hotel Crowne Plaza Mutiara, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Di situ ditemani seorang pemuzik berpengalaman, Jeff yang bermain piano dan muzik program.

Tugas itu memang hebat kerana menguji kemampuan Ayu menyanyi secara 'live' setiap malam kecuali Isnin di depan pengunjung hotel itu yang rata-ratanya bukan Melayu termasuk pelancong asing.

Jelasnya, tawaran menyanyi di lounge itu atas cadangan seorang rakannya. Memandangkan enam bulan lalu dia kurang mendapat undangan persembahan, maka tawaran menarik itu terus diterimanya.

"Setiap malam saya perlu bersedia dengan 25 lagu untuk tiga sesi persembahan.
Bagi saya kepuasan menyanyi 'live' di lounge sangat berbeza kalau dibandingkan dengan platform lain.

"Saya puas kerana saya dapat memperbaiki 'repertoire' persembahan terutama lagu Inggeris baru dan lama. Ada lagu rancak dan perlahan. Tidak cukup dengan itu, interaksi dengan penonton juga harus dijaga kerana sudah tentu kehadiran mereka ke sana untuk bersantai dan berhibur. Ini bermakna saya kena lebih bertutur bahasa Inggeris kerana ramai juga pengunjung bukan Melayu.

"Dari segi 'grooming', sekarang saya buat sendiri. Kalau sebelum ini, jurumekap akan mengikut saya ke mana-mana pertunjukan pentas, sekarang saya kena berdikari," katanya.

Masih lagi bernaung di bawah label Monkey Bone Records, Ayu bakal menghadiahkan peminat dengan sebuah album baru yang mengandungi enam 'cover version' Melayu.

Istimewanya, lagu berkenaan adalah himpunan karya balada yang pernah menjadi hit suatu ketika dulu.

"Enam lagu itu adalah Kabut Serangkai Mawar (Zaiton Sameon), Flora Cinta (Min Malik), Setia Kasih (Haleeda), Salam Buat Kekasih (Nadia), Dendam Dalam Diam (Nora) dan Penghujung Rindu (Jamal Abdillah).

"Dengan terhasilnya album 'tribute' ini, ia lambang penghormatan saya kepada penyanyi 'senior' yang hebat. Susunan muzik dibuat baru oleh Kuncidemak.

"Album ini menunggu masa untuk dilancarkan saja dan dijangkakan sekitar Jun nanti. Proses rakaman mengambil masa kira-kira sebulan namun tajuk album ini masih lagi dalam perbincangan.

"Harapan saya agar peminat akan dapat menerima cara nyanyian saya untuk lagu berkenaan. Usahlah terlalu membandingkannya dengan penyanyi asal," pinta Ayu.