Adsense

Sabtu, 31 Mac 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Vanessa konflik baru

Posted: 30 Mar 2012 07:31 AM PDT

MISTERI dan penuh strategi. Awalnya senyum namun perlahan-lahan watak jahat dan emosi keliru disuntik hingga mampu mengundang rasa cemas dan marah kepada penonton. Bunyinya mudah, namun untuk menghidupkan karakter sebegitu, hanya si pemilik wajah jelita ini saja punya jawapannya.

Bintang terkenal juga bekas Ratu Cantik Amerika Syarikat kulit hitam pertama dua dekad lalu, Vanessa Williams sedia memikul tanggungjawab barunya untuk menggalas watak Renee Perry dalam siri popular, Desperate Housewives musim kelapan yang kini sedang hangat ditayangkan di 8TV.

Mengakui Renee membawa tekanan buatnya, tetapi itulah cabarannya. Namun ini bukanlah baru buatnya kerana bakat lakonannya sudah pun menemui peminat sejak musim ketujuh yang lalu lagi. Bezanya kali ini, wataknya makin rumit.

Vanessa yang sebelum ini sudah terbukti dengan lakonan hebatnya dalam beberapa filem dan drama siri percaya kemunculannya dalam drama siri sentuhan Marc Cherry ini mampu memberikan kelainan dan warna baru selepas ia puas menghiburkan peminat sebanyak enam musim terdahulu.


Jelasnya, Desperate Housewives bukan lagi sebuah drama siri sebaliknya ia bagai jalur kehidupan yang memberikan pengalaman tersendiri kepada setiap pemegang watak terutama dirinya yang dianggap keluarga baru.


"Soal lakonan dan cabaran menghidupkan sesebuah watak bukan lagi menjadi masalah kerana pengalaman sebelum ini saya jadikan rujukan. Namun berbeza kali ini, Desperate Housewives memang terkenal dengan setiap watak yang dibangunkan punya kekuatan masing-masing. Bukan saja pada karakter dan sikap, malah emosi turut ditekankan pada setiap pelakon perlu bijak bermain ekspresi wajah untuk mencerminkan elemen komedi.

"Awal meneliti skrip dan memahami pembangunan watak, saya sudah dapat membayangkan keistimewaan watak ini. Mana tidaknya, selepas bermusim-musim drama siri meletak fokus pada empat watak wanita, musim ketujuh dan kelapan ini Renee pula dihidupkan untuk menambahkan lagi konflik.

"Menariknya mengenai produksi ini, ia bagaikan sebuah keluarga dan kehidupan yang realistik di kawasan Wisteria Lane. Bertahun-tahun memegang watak dan berkampung di lokasi yang sama, mereka sudah sebati dengan suasana sebenar drama siri ini. Saya sebagai keluarga baru harus mengikut rentak mereka.
Sepanjang dua musim penggambaran, saya sudah sayang dengan apa yang kami ada setiap hari di lokasi.

"Saya seronok berada bersama keluarga Desperate Housewives yang saya sifatkan penuh warna, cerita dan jiwa," katanya dalam satu temubual bersama media antarabangsa baru-baru ini.

Konflik dan kemelut yang diterjemah dalam drama siri popular ini bagai tidak pernah berakhir.

Ada saja drama yang ditimbulkan namun setiap satunya disuntik kemas hingga mampu memancing selera peminat untuk terus melekat menonton ke akhir.

Selepas menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah, peminat seluruh dunia sudah sinonim dengan watak-watak utamanya termasuk Teri Hatcher sebagai Susan Delfino, Felicity Huffman (Lynette Scavo), Marcia Cross (Bree Van de Kamp) dan bintang jelita, Eva Longoria yang cukup comel melakonkan watak Gabrielle Solis (Gaby).

Kali ini, Renee pula diadun sama untuk memberikan lebih warna kepada
persahabatan wanita-wanita di Wisteria Lane.

"Awal ketika Renee diperkenalkan berpindah ke Wisteria Lane, dia seorang wanita yang kaya-raya namun tidak pernah sensitif terhadap sekelilingnya.
Selain suka bermegah dengan kemewahan dan kecantikannya, Renee acap kali menimbulkan kekeliruan di kalangan kejiranannya dengan sikap misteri.

"Namun lama-kelamaan dia mula menunjukkan sikap baiknya. Cakapnya lembut, sentiasa optimis dan menjadi pendengar yang baik kepada teman dan jiran yang datang meluahkan rasa. Mulanya dia langsung tidak menyukai kanak-kanak, namun kerana punya strategi dan niat misterinya, Renee bersikap sebaliknya dan ingin memiliki anak sendiri.

"Kebetulan, Renee adalah kawan kolej kepada Lynette. Jadi mereka menjadi akrab bersama dan sekali gus wataknya menguatkan lagi hubungan wanita-wanita
di Wisteria Lane.

"Musim kelapan pula watak Renee dikembangkan lagi untuk menjadi 'penambah rasa' kepada keseluruhan plot ceritanya. Macam-macam lagi insiden dan keadaan yang berlaku membabitkan Renee. Namun saya seronok dengan apa yang diberikan dan pastinya peminat akan terhibur dengan apa yang ditampilkan," katanya.

Vanessa yang kini sudah menjengah usia 49 tahun masih tampak anggun melakonkan watak Renee.

Pelakon yang juga penyanyi terkenal dengan lapan album sebelum ini termasuk Next, Silver & Gold, Everlasting Love dan The Real Thing ini hanya mengharapkan apa yang ditampilkan akan menyumbang impak buat penonton setianya.

Musim ini dimulakan dengan kemunculan Susan, Gaby, Bree, Lynette dan Carlos yang cuba mengebumikan mayat bapa tiri Gaby secara rahsia.

Bapa Tiri Gaby dibunuh oleh Carlos kerana ingin melindungi isterinya akan tetapi perasaan bersalah pasti menyelubungi setiap individu dengan cara yang berbeza.

Susan mula mengasingkan diri dari kawan-kawan dan keluarganya sementara Gaby mencuba menenangkan Carlos yang dihantui perasaan bersalah.

Lynette dan Tom pula menghadapi kesukaran melayari bahtera perkahwinan mereka dan Bree pula menemui jejaka idamannya, Detektif Chuck Vance.

Musim terbaru ini menampilkan Ben Faulkner yang bakal menyerikan lagi kehidupan mereka di Wisteria Lane. Mary Alice melihat dirinya lebih bernilai kerana berkongsi rahsia dan membongkar rahsia di sebalik kehidupan setiap suri rumah ini.

Saksikan kesudahan siri popular musim kelapan ini setiap Selasa jam 10.30 malam di 8TV atau saluran Astro 708. Penonton juga boleh menonton cerita kegemaran anda di laman sesawang www.8tv.com.my / www.tonton.com.my atau ikuti kami di www.facebook.com/8TVfb, www.twitter.com/8tv dan www.youtube.com/8tvaddicts.




Pengakuan artis

Posted: 30 Mar 2012 07:17 AM PDT

ARTIS memang terkenal dengan penafian dan secara rasionalnya siapa yang mahu mengaku bersalah lebih-lebih kesalahan yang dilakukan itu memalukan.

Justeru itu, sejauh manakah Bilik 7, program baru diperkenalkan ntv7 mampu memperoleh pengakuan jujur daripada artis?

Engku Azmin Engku Zaini, 31, selaku produser Bilik 7, berkata, pihaknya menerima respon yang baik daripada golongan artis tatkala konsep program ini diusulkan kepada mereka.

"Memang kami mengharapkan artis yang diundang membuat pengakuan paling jujur tetapi kami juga tidak boleh mendesak mereka untuk mendedahkan segalanya.


"Pengacara Azwan Ali yang diundang menjayakan episod pertama Bilik7 misalnya ada meluah perasaan kecewa terhadap masyarakat yang memandang hubungan dia adik-beradik seperti tidak bersatu atau erti kata lainnya sebagai porak-peranda. Sehinggakan, ada yang meletakkan kesalahan itu di bahu orang tuanya.

Hakikatnya hubungan mereka seperti saudara kandung yang lain.

"Bagaimanapun ada beberapa perkara. Sensitif yang luahkan Azwan terpaksa dihormati atas permintaannya kerana membabitkan banyak pihak. Yang penting objektif program ini untuk memberi ruang kepada artis menjelaskan perkara sebenar, memperbetulkan isu-isu yang tidak tepat atau tidak betul.

"Ini kerana, ada segelintir artis yang lebih berdiam diri daripada menjelaskan kontroversi yang melanda walaupun mungkin ada sebahagian laporan tidak benar," katanya.

Kunjungan Harian Metro ke ntv7 baru-baru ini, bagi melihat proses rakaman
episod kedua Bilik 7 itu membabitkan artis remaja wanita yang cukup panas, Zarina Anjoulie Lavocah. Ia akan bersiaran pada 12 April, jam 8.30 malam.

Isu yang diutarakan Richie Rachman selaku pengacara berkisar kepada penyebaran gambar bogel dan berbikini yang dipercayai Zarina adalah pelakunya.

Pemilihan Richie selaku perantara menurut Azmin amat bertepatan kerana dia bijak mengawal situasi, memujuk artis membuat pengakuan selain pengalamannya sebagai wartawan, editor, pengacara juga penyampai radio.

Berdurasi 30 minit, program yang disiarkan sebanyak 13 episod itu turut membabitkan pelakon Lisdawati, produser Raja Azmi, Pian Cecupak, Radhi OAG, Gambit Saifullah dan Natasha Hudson.

"Untuk mendapatkan artis yang boleh memberikan komitmen adalah cabaran terbesar kami. Setakat ini itu saja barisan nama artis yang memberi persetujuan untuk tampil membuat pengakuan dalam program ini.

"Kami cuba mendapatkan Remy Ishak, Mawi serta beberapa lagi nama bagaimanapun semuanya masih dalam proses perbincangan," katanya.

Azmin menambah, Bilik 7 memberi gambaran kepada penonton artis sebagai 'suspek' manakala pengacara berada di posisi pegawai penyiasatan. Siasatan dibuat berdasarkan laporan akhbar yang dipetik menerusi akhbar arus perdana seperti Harian Metro, Metro Ahad, Berita Harian dan Berita Minggu.

Ditanya, dengan membangkitkan semula isu yang sudah reda bukankah akan menghangatkan kembali isu yang pernah terbesar.

Bagaimana pula dengan keadilan pihak media sekiranya artis membuat penafian sedangkan banyak laporan kontroversi adalah berlandaskan fakta.

"Sukar untuk kami jangkakan apakah isu panas yang pernah tersebar sebelum ini kembali hangat. Kami berharap penonton memandang positif objektif yang dibawa program ini,"katanya.