Adsense

Sabtu, 31 Mac 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Ariel makin glamor

Posted: 30 Mar 2012 03:53 PM PDT

Hip

Vokalis Peterpan masih disokong peminat walaupun dibenci

TANGGAL 24 Mac lalu pasti terpahat kenangan manis buat penulis kerana berpeluang menemubual vokalis Peterpan, Ariel atau nama sebenarnya, Nazriel Irham di dalam Penjara Kebon Waru, Bandung. Namun, misi dan pertemuan yang diatur pihak Universal Music Malaysia dan PT Musica Studio's, Indonesia, agak berbeza dan mencabar.

Pertemuan empat mata bersama Ariel itu turut dihadiri lima peminat bertuahnya dari Jakarta dan Bandung yang dipilih kedua-dua syarikat rakaman berkenaan dibenarkan pihak pengurusan penjara, namun tetap bersyarat. Kumpulan wartawan Malaysia juga perlu 'menyamar' sebagai peminat Ariel.

Kehidupan dalam sini memang agak membosankan. Tiga bulan pertama saya sendiri tak dapat menafikan betapa sukar untuk membiasakan diri. Lama kelamaan saya semakin OK... cuma tabiat merokok saya lebih teruk daripada sebelum saya berada di dalam ini. - Ariel

Bererti dalam tempoh hampir sejam bersama Ariel dalam sebuah bilik kreatif di penjara berkenaan, sesi borak atau lebih tepat temubual itu dijalankan tanpa sebarang buku nota, pen, kamera atau apa saja alat rakaman, selain tiada langsung soalan berbaur peribadi.

Sebaliknya, daya ingatan kuat amat diperlukan ketika itu. Apatah lagi selesai pertemuan itu, rakan media harus bertungkus lumus menyiapkan berita untuk dihantar ke Kuala Lumpur. Terdahulu, kedatangan kami disambut baik Ariel yang masih kekal kacakdan tenang wajahnya, sambil sesekali tersenyum.

Rambutnya yang kembali panjang turut digayakan dengan cekak. Cuma, barisan giginya sudah kekuningan dek terlalu kuat merokok selepas hampir dua tahun menghadap jeriji besi dan dinding batu, selain dikelilingi tembok batu. Mesranya bukan main dan setiap persoalan yang diajukan disambut baik.

"Kehidupan dalam sini memang agak membosankan. Tiga bulan pertama saya sendiri tak dapat menafikan betapa sukar untuk membiasakan diri. Lama kelamaan saya semakin OK... cuma tabiat merokok saya lebih teruk daripada sebelum saya berada di dalam ini," kata Ariel sambil meminta izin untuk menyalakan api rokok ketika pertemuan itu berlangsung.
Sepanjang pertemuan, niat di hati mahu juga memberanikan diri mengajukan soalan peribadi membabitkan dirinya dengan Luna Maya. Khabar angin mengatakan hubungan mereka sudah putus, selain masing-masing dikatakan sudah bertemu pengganti. Namun, ia terus tersekat selain mengenang dan menghormati permintaan penganjur.

Di Indonesia kisah kononnya cinta mereka sudah terkandas di tengah jalan turut didorongi kisah Luna pernah dilihat mesra dengan seorang pemilik kafe di kawasan Kemang, Jakarta Selatan. Luna dan lelaki itu dikatakan asyik memadu kasih dengan suasana cukup romantis disulami senda tawa, manakala lelaki berkenaan turut dikatakan menggenggam erat tangan Luna.

Spekulasi perpisahan mereka turut dikatakan berpunca dengan Luna yang sudah tidak lagi melawat Ariel di rumah tahanan seperti kebiasaan. Ariel pula dikatakan beralih arah kepada Momo dengan kekerapan vokalis kumpulan Geisha itu melawatnya di penjara.

Menurut pihak PT Musica Studio's yang diajukan persoalan itu, mereka menidakkan bahawa hubungan Ariel dan Luna sudah putus di tengah jalan. Cuma kurang pasti tahap kesahihannya atau ia tidak lebih daripada sekadar jawapan selamat atau cover line Ariel atau Luna.

Kisah perpisahan mereka terus menjadi tanda tanya kerana ia turut ditepis khabar kononnya Ariel dan Luna sudah bernikah dalam penjara. Lagu nyanyian solo terbaru ciptaan Ariel berjudul Dara dikatakan didedikasikan khas buat Luna.

"Sebelum ini Luna pun pernah hadir ke penjara bersama anak tunggal Ariel, Alleia Anata Irham. Kisah itu turut diperkatakan media di sini. Secara nyatanya memang lagu Dara kalau dihayati liriknya memang terang-terangan ditujukan kepada Luna. Mengenai Momo pula ia tak lebih kepada urusan profesional. Ini kerana Momo juga menjadi rakan duetnya untuk lagu Peterpan berjudul Cobalah Mengerti yang dinyanyikan semula. Lagu duet mereka dimuatkan dalam album instrumental memuatkan lagu popular Peterpan sebelum ini sekitar awal bulan depan," kata seorang pekerja di PT Musica Studio's.

Menyingkap sisi lain, biarpun memegang gelaran sebagai banduan, Ariel dan jenama kumpulan Peterpan itu masih disokong peminatnya sekali pun dibenci pelampau Islam di sana. Malah saban hari, ada saja peminatnya yang tidak melepaskan peluang melawatnya di penjara.

Konsert jelajah Peterpan yang menampilkan dua vokalis sementara menggantikan Ariel iaitu Glen Fredly dan Fadly dari kumpulan Padi di beberapa daerah di Jakarta turut mendapat sambut hebat peminat tegar sejak Februari lalu. Cinta Ariel terhadap muzik juga tidak pernah berkubur. Slogan tertulis dalam bahasa Indonesia di bilik kreatif berbunyi 'Fisik terkurung bukan berarti kreatifitas terkubur' ketika berlangsungnya pertemuan itu, jelas menggambarkan apa dilakukan Ariel terhadap kecintaannya terhadap dunia muzik.

"Selain Dara, saya ada mencipta satu lagi lagu tetapi belum berjudul. Album terbaru Peterpan di sisi anggota asal Ukie, Reza, Lukhman dan anggota baru David juga dijangka muncul tahun ini. Ia sepatutnya dilancarkan Julai 2010 tetapi saya dimasukkan ke penjara pada Jun 2010.

Ia sudah lama terperap. Untuk album terbaru ini juga nama Peterpan tidak akan digunakan lagi. Sudah ada nama baru untuk kumpulan kami. Tetapi saya belum dapat mendedahkannya saat ini. Biar ia menjadi rahsia kami terlebih dulu," katanya yang sejak Januari lalu turut menjalani proses asimilasi yang memerlukannya bergaul dengan masyarakat luar iaitu bekerja selama lapan jam sehari di sebuah firma perunding seni bina sehingga dibebaskan kelak.

Ariel yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya ke-31 pada 16 September ini merengkok di penjara berkenaan selepas didapati bersalah menyebar video lucah dipercayai aksinya sendiri bersama Luna Maya dan Cut Tari, dengan hukuman selama tiga tahun enam bulan.

Bagaimanapun, difahamkan Ariel dijangka diberi pengampunan awal daripada tempoh hukuman ditetapkan (berbaki satu tahun enam bulan).

Sesiapapun yang berada di tempat Ariel semestinya mahu dibebaskan awal dan menempuhi rutin harian seperti manusia lain.

"Kalau ditanya memang banyak benda ingin saya lakukan selepas keluar penjara nanti. Tetapi sejujurnya saya mahu berehat seketika daripada dunia seni dan bertemu kembali keluarga, teman dan anggota Peterpan lain. Malah, sepanjang dua tahun dalam penjara, saya melihat suratan ini sebagai satu hikmah. Mungkin hanya orang yang hidup dalam penjara saja dapat merasainya. Kini saya merasainya. Masyarakat akan anggap saya gila jika tidak menyesali apa yang saya lalui ini.

"Cuma, kesempatan berada di sini juga tanpa diduga menjadi ruang terbaik untuk saya lebih mendekatkan diri dengan Tuhan. Ertinya, hubungan saya dengan Tuhan yang selama ini diambil ringan juga mulai berubah. Saya lebih mensyukuri nikmat hidup," katanya yang turut berpeluang menghabiskan buku bacaan tebal yang selama ini tak pernah sempat dihabiskan dek sibuk dengan komitmen bersama Peterpan.

Menurut pihak PT Musica Studio's, biarpun belum dibebaskan, sudah ramai promoter dan penganjur acara hiburan menghubungi pihaknya bertanyakan bila tarikh Ariel keluar penjara kerana mahu menawarkan persembahan untuk Ariel dan Peterpan.

Info: DARA
Ciptaan: Ariel
Lirik: Ariel

Dara jangan kau bersedih
Ku tau kau lelah
Tepiskan keluh dunia
Biarkan mereka… Biarkan mereka

Tenangkan hati di sana
Tertidur kau lelap
Mimpi yang menyenangkan
Biarkan semua… Biarkan semua

Oo oo oo, Oo oo oo

Kurangi beban itu
Tetap lihat ke depan
Tak terasingkan dunia
Dua jiwa yang perih
Masih ada di sana, untuk kita berdua
Dalam hati yang menyatu
Tempat kita menua

Dan jangan bersedih
Ku tau kau lelah
Tepiskan keluh dunia