Utusan Online - Hiburan |
Posted: Ary bangga dipanggil 'chef'Oleh WANDA IDRIS KELUARGA bahagia ARY sentiasa menyokong perjalanan kerjayanya. LIMA tahun menyepi daripada dunia seni, tiba-tiba dia muncul. Tetapi kali ini bukan seperti lazimnya sebagai personaliti televisyen sebaliknya menjadi peserta francais program realiti masakan terkenal, MasterChef versi Malaysia. Ya, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa si kecil molek ini pandai memasak dan Ary Malik mengakui penyertaan dalam program kulinari popular itu turut mengubah pendirian dan hala hidupnya ketika ini. Bukan mahu melupakan bidang seni, kerjaya yang dicintai dan telah diceburinya lebih dua dekad itu tetapi sejak terlibat dalam MasterChef Malaysia, ada keinginan lain yang bersarang dimindanya. "Saya mahu menerbitkan buku masakan dan merancang untuk membuka sebuah restoran," katanya membuka rahsia. "Perancangannya dalam tahun ini. Buat masa ini, saya sedang mencari penerbit untuk mengedarkan buku resipi saya dan untuk restoran pula, saya masih merencana persediaan dan sedang meninjau lokasi yang sesuai," tambahnya. Bersama-sama suami, seorang pengarah kreatif yang dikenali sebagai Sha Bromo serta tiga anak perempuan, Nuhr Zoe Iman, 14, serta Dinda Pelangi Timor, lapan dan Ratu Chinta Mecca, enam, Ary yang ditemui baru-baru ini bagaimanapun memberitahu, keluarga tetap menjadi keutamaannya. "Menjadi isteri dan mommy tetap nombor satu dan sepenuh masa. Dunia seni pula sudah menjadi sebahagian darah daging saya sejak melangkah masuk dalam bidang pengiklanan pada usia remaja. "Saya amat mencintai dunia seni kerana ia luas. Bukan sahaja sebagai pelakon dan penerbit, saya juga suka melukis bersama suami dan anak-anak," katanya. Sudah terlibat selama 23 tahun dalam bidang seni, antara iklan yang pernah disertainya termasuk Coca-Cola, Maxwell House, Lipton Tea, Colgate, Pantene dan juga Peter Stuyvesant Travel. Kata pemilik nama sebenar, Nurita Maliha Aryanee Malik itu lagi, sebagai seorang seni, dia juga amat menghargai adat dan budaya dan kini baginya, sudut seni yang paling digemari adalah berada di dapur menghasilkan suatu hidangan. "Jika ada yang bertanya, saya selalu mengatakan bahawa tugas pertama saya adalah sebagai isteri/mommy, kedua sebagai seorang artis dan penerbit dan jika diizinkan-Nya serta murah rezeki, insya-Allah tahun ini ada tugas ketiga iaitu sebagai seorang chef dan sekali gus menceburi bidang kulinari," katanya sambil tersenyum manis. Menghilang diri Ditanya mengenai 'kehilangannya' dalam industri seni tempatan, Ary memberitahu, dia berada di Singapura mengikut suaminya yang mempunyai tugas di republik tersebut. Sepanjang di sana, kata Ary, dia dan suaminya berkesempatan menerbitkan beberapa produksi dari pelbagai genre seperti rancangan realiti, rancangan muzik, drama dan filem. Bertindak sebagai penerbit bersama suaminya, Ary juga berlakon dalam beberapa terbitan yang diarahkan oleh Sha. "Sempat juga kami memenangi beberapa anugerah pada Anugerah Pesta Perdana untuk terbitan Drama Bersiri berjudul Mandai United meliputi Videografi/Sinematografi Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Reka Imej Terbaik. "Bagaimanapun, selepas beberapa lama di sana, saya dan suami berbincang dan bersetuju untuk kembali menetap di Kuala Lumpur," cerita Ary. Menurut aktres itu yang juga merupakan kakak kepada penyanyi Flora Cinta, Min Malik, keputusannya kembali ke tanah air telah memberinya peluang menyertai MasterChef Malaysia. Malah anak-anaknya merupakan insan yang beria-ia menggalakkan dia untuk terlibat dalam program kulinari popular itu dan anak sulungnya jugalah mencari dan mengisi borang penyertaan secara online. "Saya sememangnya seorang yang suka berada di dapur. Saya boleh menghabiskan masa berjam-jam di ruang itu dan biar sibuk mana sekalipun, saya akan tetap cuba menyediakan masakan untuk keluarga. "Dan satu keluarga juga tahu bahawa saya amat menggemari rancangan masakan di televisyen. Saya selalu berseloroh dengan anak-anak tiap kali menonton rancangan Masterchef dan berkata 'Oh, Mommy knows how to do that...maybe one day I will enter the show'. "Tidak sangka, franchise Masterchef dikembangkan sehingga ke Malaysia dan apabila saya dan keluarga pulang ke tanahair, anak sulung saya (Zoe Iman) memberitahu bahawa ada uji bakat untuk Masterchef Malaysia. "Zoe jugalah yang begitu bersungguh membuka Internet dan mencari secara online borang penyertaannya. Anak saya yang bongsu, Ratu Chinta juga mencadangkan kepada saya supaya tukar kerjaya yang menjadi pilihannya, menjadi Famous Chef! "Anak kedua saya, Pelangi Timor juga menyokong cuma dia seorang yang hatinya agak lembut, jadi pada dua tiga minggu yang pertama (sewaktu Masterchef Malaysia bermula), hari-hari Pelangi menangis kerana merindui saya. "Kata Zoe, setiap hari dia tidur memakai baju saya sehinggakan dia tidak mahu menukar baju tidur dan keluar bersama Dadanya untuk ke kedai dengan mengenakan pakaian itu," katanya. |
Azean masih tegar mencari rezeki Posted: Azean masih tegar mencari rezekiOleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN KEPERITAN hidup yang dilalui primadona ini tidak pernah meragut semangatnya untuk terus berkhidmat kepada keluarga. Walaupun masa seharian kini banyak dihabiskan di atas katil, tanggungjawab sebagai pencari rezeki masih digalas pada bahunya demi menampung keperluan hidup sehari-hari. Menurut Azean Irdawaty, 61, kini dengan kudrat kecil yang dimiliki dia masih menjalankan perniagaan jualan langsung seperti biasa. Walaupun tidak seaktif dulu, Azean atau lebih mesra dengan panggilan Kak Yan akan tetap meneruskan perniagaan ini selagi termampu. "Sekarang lebih mudah sebab Kak Yan hanya perlu menjalankan perniagaan jualan langsung ini melalui telefon.Tidak perlu selalu bergerak pun boleh buat bisnes. "Namun itu juga bergantung kepada kemampuan. Kadang-kala sampai hari tak sihat tu, untuk bercakap juga Kak Yan tak larat," katanya ketika di temui di kediamannya di Bandar Utama, Selangor baru-baru ini. Kekuatan yang dimiliki wanita ini sentiasa menjadi inspirasi mereka di luar sana. Walaupun menjalani rutin harian penuh kepayahan sebagai pesakit barah, ia sedikit pun tidak pernah melunturkan hati wanita ini untuk terus membanting tulang demi eringan beban kewangan yang ditanggung keluarganya. "Sebenarnya apa yang Kak Yan dapat ini hanya cukup untuk menampung perbelanjaan di rumah sahaja. "Bagi perbelanjaan perubatan pula Kak Yan akui terpaksa bergantung kepada belas ehsan orang luar. Ini kerana jumlahnya bil perubatan yang terlalu tinggi tidak memungkinkan Kak Yan untuk menjelaskannya. Mana hendak cari duit seorang diri dalam keadaan macam ni," jelasnya. Bercerita tentang perkembangan penyakitnya kini, menurut Azean walaupun ada tanda-tanda positif ketumbuhan di tulang belakangnya kini sudah mengecut, namun dia kini terpaksa menanggung satu lagi berita sedih apabila tidak akan dapat meneruskan rawatan kimoterapi yang berjumlah RM9,874 sebulan. "Memanglah doktor tidak bagi saya berhenti dari meneruskan rawatan ini, namun memandangkan bayaran untuk meneruskan rawatan ini terlalu tinggi Kak Yan terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti menerima rawatan tersebut. "Malah jika diikutkan juga, bekalan ubat-ubatan seharian juga hanya akan bertahan sehingga hujung bulan ini sahaja. Untuk bulan depan, Kak Yan masih lagi tidak tahu bagaimana untuk mendapatkannya lagi," jelasnya. Reda dengan ketentuan yang sudah ditakdirkan ini, menurut wanita besi ini dia tidak pernah membelakangi kuasa Allah. Ini kerana Azean tahu hidup mati bukan bergantung kepada ubat-ubatan yang diambilnya, sebaliknya pada ketentuan Allah semata-mata. "Kak Yan pernah cakap kepada anak-anak, jika Allah nak panjangkan usia dengan ubat-ubatnya ini maka panjanglah umur Kak Yan. "Dan sebab itu walaupun tidak mampu meneruskan rawatan dan hanya berserah sahaja kepada takdir, sekurang-kurangnya Kak Yan sudah berpuas hati kerana telah berusaha sebaik boleh untuk mengubati penyakit ini," katanya. Tidak terpinggir Kehadiran ramai rakan artis di dalam memberikan sokongan buat dirinya sentiasa menjadi inspirasi buat wanita ini di dalam meneruskan kehidupannya. Malah bagi anak seni ini, dia juga sebenarnya tidak pernah merasai dipinggirkan dari dunia seni walaupun sudah lama tidak muncul di dalam di kaca televisyen. "Ada di antara rakan-rakan artis yang sering melawat Kak Yan , kadangkala terubat rasa pilu di hati melihat kepada keprihatinan mereka. "Walaupun begitu, Kak Yan tidak pernah kecil hati dengan mana-mana rakan artis lain yang tidak sempat menjenguk. Sebagai seorang artis Kak Yan sendiri tahu jadual anak seni itu macam mana kadang kala kesibukan membataskan mereka dan rasanya bukan niat mereka untuk meminggirkan Kak Yan," katanya. Walaupun menghadapai waktu sukar, pelakon ini tidak pernah merasakan ia sebagai penyebab untuk terus meratapi perjalanan takdirnya. Malah bagi pelakon hebat ini dia tahu hanya kekuatan semangat yang mampu menyembuhkan kesedihan yang di tanggung. "Kak Yan reda dan terima segala yang telah ditentukan. Apa yang penting Kak Yan perlu kuat untuk meneruskan perjuangan selama ini," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |