Adsense

Selasa, 21 Februari 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Nafi sudah tenggelam

Posted:

Nafi sudah tenggelam

Nafi sudah tenggelam

BERGELAR anak kepada penyanyi popular Rohana Jalil, pastinya ramai yang beranggapan bahawa tidak sukar buat Kilafairy untuk mencipta nama dengan begitu pantas.

Pernah mendapat jolokan sebagai 'Angelina Jolie Malaysia' oleh segelintir peminat kerana memiliki bibir seakan-akan aktres popular itu semakin menjadi sebutan ramai apabila membawakan watak gadis gedik dalam filem sulungnya berjudul Karak pada tahun lalu.

Bagaimanapun, namanya kini seakan-akan semakin tenggelam dengan kemunculan lebih ramai pelakon baharu sama ada di kaca televisyen atau layar perak sehingga ada yang mengatakan kedudukannya sebagai pelakon mula terancam.

Ketika ditemui sewaktu sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini, pemilik nama sebenar Shakila Nisha Jahangir Khan mengakui dia terpaksa berhadapan dengan saingan pelakon baharu, tetapi tidak merasakan dirinya tergugat dengan situasi tersebut.

"Kalau melihat kepada keadaan yang berlaku sekarang ini, industri hiburan di Malaysia semakin meriah dengan kehadiran ramai artis baharu yang sangat berbakat dan ini adalah satu perkembangan yang cukup baik.

"Namun, saya rasa tidak perlu merasa cemas kerana kebanyakan artis baharu yang muncul itu juga adalah terdiri daripada kalangan rakan-rakan saya sendiri dan kami saling menyokong di antara satu sama lain," ujar anak bongsu daripada tiga beradik ini.

Menurut Kilafairy, tidak dinafikan memang terdapat segelintir peminat yang merasakan dirinya semakin tenggelam serta dibayangi oleh ramai pelakon wanita baharu yang semakin menyerlah dan kerap mendapat liputan media.

Ujarnya, biarpun menyedari seseorang pelakon itu memerlukan publisiti untuk lebih dikenali, namun dia agak kurang gemar tampil di media sekiranya tidak muncul dalam sesuatu produk sama ada drama atau filem terbaharu.


KILAFAIRY tidak mahu terburu-buru mengejar populariti dalam usianya yang masih muda ini.


Bercerita lebih lanjut tentang kerjaya pula, pelakon berkenaan memberitahu dia masih lagi mendapat banyak tawaran berlakon tetapi terpaksa ditolak kerana jadualnya yang padat memandangkan kini dia juga turut menuntut di sebuah kolej.

"Selalunya kalau ada tawaran yang diterima, saya akan diberikan watak yang sudah klise seperti antagonis dan gadis gedik. Kalau ada tawaran yang sesuai pula pasti akan bertembung dengan jadual kuliah saya.

"Bukan saya mahu jadi terlalu selektif dalam memilih tawaran berlakon, tetapi saya percaya kalau hendak terus bertahan dalam bidang ini sesesorang pelakon harus bijak memilik watak yang ditawarkan," ujarnya yang bakal muncul dalam filem Hora Hore pada tahun ini.

Pada masa yang sama, Kilafairy menegaskan buat masa ini dia mahu memberi lebih tumpuan kepada pengajiannya di peringkat Diploma Lanjutan Fesyen, Pemasaran dan Pengurusan di Kolej Antarabangsa Raffles.

Ujarnya, dalam usia yang baru menjangkau 20 tahun, dia tidak mahu terlalu terburu-buru mencipta nama dalam bidang seni dan percaya rezeki tetap ada di mana-mana dan masih banyak pengalaman yang mahu diperolehinya.

"Boleh jadi disebabkan kesibukan saya sebagai seorang pelajar, maka kemunculan saya dalam drama atau televisyen agak kurang sehingga menyebabkan ramai yang beranggapan saya semakin tenggelam.

"Ketika ini saya hanya mahu tumpukan kepada pengajian saya terlebih dahulu. Biasanya kalau saya berlakon atau membuat persembahan nyanyian pun adalah sewaktu mempunyai waktu terluang dan cuti semester," ujarnya.

Diminati ramai

Selain berlakon, Kilafairy juga sebenarnya turut mewarisi bakat nyanyian yang diwarisi oleh ibunya yang sudah mencipta nama sebagai penyanyi hebat serta kerap membuat persembahan di merata-rata tempat.

Menariknya, kini lagunya berjudul Roman yang mengandingkannya bersama kumpulan baharu yang dikenali sebagai Roman semakin diminati ramai dan kerap disiarkan di stesen radio popular.

"Sebenarnya saya sendiri sudah jangkakan lagu tersebut akan digemari ramai, walaupun pada asalnya lagu itu dihasilkan adalah untuk lagu tema sebuah drama bersiri berjudul Tihany yang disiarkan di TV9 pada akhir tahun lalu.


TIDAK tertekan dengan kemunculan ramai artis baharu, Kilafairy melihat senario tersebut dari sudut positif.


"Ketika mula-mula saya diperdengarkan lagu Roman oleh Amylea Azizan yang juga komposer lagu tersebut, saya terus jatuh cinta dan mengakui ia adalah sebuah lagu yang melonjakkan nama saya dalam bidang nyanyian pula," ujarnya.

Menurut Kilafairy, pada mulanya dia memang agak terkejut apabila dia telah dipilih berduet dengan kumpulan Roman untuk menyanyikan lagu tersebut, namun peluang yang diberikan itu digunakan sebaik-baiknya.

Ujarnya lagi, dia turut mengagumi bakat yang dimiliki oleh Amylea sebagai seorang komposer muda dan mereka terus bekerjasama untuk menghasilkan single sulungnya yang kini masih lagi dalam proses.

"Untuk single terbaharu ini saya keluarkan perbelanjaan sendiri dan menggunakan khidmat Amylea sepenuhnya. Kini proses rakaman sudah hampir separuh siap dilakukan, cuma kami sedang mencari tajuk yang sesuai untuk single berkenaan," ujarnya.

Menurutnya, dia meletakkan harapan yang cukup tinggi agar peminat dapat menerima kehadirannya dalam bidang nyanyian setelah single terbaharunya itu akan turut diterima seperti lagu Roman.

Buka perniagaan

Sebagai seorang pelajar yang mengambil jurusan fesyen dan perniagaan, Kilafairy juga bakal bergelar sebagai seorang usahawan muda apabila dia akan membuka sebuah butik pakaian.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai perniagaannya yang akan dijalankannya itu, dia bersama-sama dengan kakaknya akan membuka butik yang terletak di USJ 19 City Mall, Subang Jaya dan kini butiknya itu dalam proses pengubahsuaian.

"Sementara menunggu butik berkenaan siap sepenuhnya untuk proses pengubahsuaian, kami sudah bermula dengan perniagaan yang dikenali sebagai 'garage sale' di kawasan sekitar USJ 19 City Mall tersebut.

"Kebanyakan barang yang terjual pula adalah barangan terpakai seperti baju, aksesori wanita dan kasut. Setakat ini perniagaan yang kami jalankan ini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan," ujarnya.

Jelasnya, apabila selesai sepenuhnya proses pengubahsuaian, butik tersebut akan dikenali sebagai Rack dan mereka akan menjual pelbagai fesyen baju, termasuk yang direka sendiri oleh kakaknya.

"Sebenarnya kakak saya adalah seorang pereka fesyen dan buat permulaan kami akan menjual pakaian wanita sahaja terlebih dahulu. Mengenai harga pula ia tidaklah terlalu mahal dan saya jamin ia mampu untuk dimiliki oleh semua golongan," ujarnya.

Tentang pembabitannya dalam bidang perniagaan, Kilafairy memberitahu memang impiannya sejak kecil adalah mahu menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya dan berharap impian tersebut menjadi kenyataan.

Abby teruja nak tunai umrah

Posted:

Abby teruja nak tunai umrah

Abby teruja nak tunai umrah

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my


ABBY ABADI akan muncul dengan single Aku Tak Mahu.


KEGAGALAN dalam kehidupan berumah tangga memberikan satu tamparan yang hebat buat pelakon Abby Abadi apabila rumah tangganya sekadar bertahan selama enam tahun sahaja setelah bercerai dengan pelakon Norman Hakim pada tahun 2008.

Kemudian, hasratnya untuk hidup bersama dengan lelaki yang dicintai pula berkecai setelah hubungannya dengan pelakon sedang meningkat naik, Zul Ariffin pula menemui titik noktah.

Biarpun melalui fasa kehidupan yang begitu sukar dan agak pahit untuk ditelan, tetapi ia ternyata bukanlah penamat segala-galanya sehingga melunturkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan yang mendatang.

Menurut pelakon yang mula popular menerusi drama bersiri Gerak Khas itu ketika ditemui baru-baru ini, Abby menyatakan segala yang berlaku langsung tidak menjejaskan kehidupan sehariannya. Malah, pelakon berkenaan juga memberitahu dia bakal mengerjakan umrah pada bulan hadapan.

Kosmo!: Semenjak kebelakangan ini kisah mengenai Abby lebih banyak berkisarkan tentang hubungan dengan Zul Ariffin. Bagaimana pula dengan perkembangan kerjaya Abby ketika ini?

ABBY: Kalau bercerita tentang kerjaya, baru-baru ini saya baru sahaja selesai menghasilkan sebuah single berjudul Aku Tak Mahu. Selain itu, ada tawaran berlakon yang saya terima dalam tempoh terdekat, tetapi saya terpaksa tolak memandangkan saya akan mengerjakan umrah.

Bila Abby akan mengerjakan umrah?

Insya-Allah, kalau tiada halangan saya akan berangkat ke tanah suci Mekah pada 11 Mac nanti. Segala persiapan telah pun dibuat dan saya akui memang cukup berdebar menantikan tarikh keberangkatan memandangkan saya pergi tanpa ditemani oleh ahli keluarga.

Adakah pemergian Abby ke Mekah untuk mengerjakan umrah disebabkan mahu mengubat hati yang terluka?

Sebenarnya niat saya untuk mengerjakan umrah sudah lama, tetapi banyak halangan yang terpaksa saya lalui dan saya anggap masih belum rezeki saya pada waktu itu. Saya bersyukur apabila akhirnya hasrat saya telah termakbul pada tahun ini. Jadi, ia bukanlah disebabkan saya mahu mengubati hati yang kecewa sehingga mengambil keputusan untuk mengerjakan umrah. Saya tidak nafikan hati ini memang berbelah bahagi, namun Allah itu maha pengasih dan penyayang dan selalu berdoa agar kehidupan saya selamat di dunia dan akhirat.

Ada rakan-rakan artis lain yang akan turut menyertai Abby ke Mekah nanti?

Tentang itu saya kurang pasti dan pemergian saya ke sana akan ditemani oleh Mama Juwie. Pada mulanya saya memang tidak mahu memberitahu kepada sesiapa pun tentang mengerjakan umrah kerana tidak mahu dipandang sinis oleh segelintir pihak. Kemudian apabila saya berfikir semula, rasanya tidak salah kalau saya memberitahu kepada orang ramai tentang niat saya ini kerana pasti ia boleh menjadi ikutan pula kepada para peminat. Kalau melancong ke luar negara boleh dihebahkan kepada peminat, kenapa hendak berahsia pula jika mahu mengerjakan umrah.

Setelah hubungan Abby dan Zul berakhir, pernah terfikir untuk mencari pengganti?

Semenjak bergelar solo memang ada beberapa lelaki yang cuba mendekati saya dan mahu menjadikan saya kekasih, tetapi sudah tentu saya tidak sewenang-wenangnya untuk menerima walaupun pelbagai janji yang ditaburkan. Pada usia yang sudah mencecah 34 tahun, memang saya berharap dapat memiliki seorang suami yang bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal rumah tangga. Cuma buat masa ini saya bahagia dengan kehidupan sekarang dan lebih selesa untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.

Boleh ceritakan lebih lanjut mengenai single Aku Tak Mahu?

Ini adalah sebagai langkah permulaan buat saya untuk membuat kemunculan semula dalam bidang nyanyian. Mengenai lagu tersebut ia telah dihasilkan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim. Saya percaya kalau peminat mendengar lagu ini pasti akan mengaitkannya dengan kisah percintaan saya dengan Zul Ariffin, tetapi ia sebenarnya langsung tidak ada kena-mengena. Ketika saya meminta lagu daripada pihak KRU, mereka memberi lima buah lagu yang kesemuanya hampir sama liriknya dan akhirnya saya memilih lagu ini.

Astro Bella ganti Astro B4U

Posted:

Astro Bella ganti Astro B4U

Astro Bella ganti Astro B4U

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com.my


NAIB Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh (tengah) bergambar dengan kakitangan Astro yang terlibat dengan penubuhan saluran baharu, Bella pada majlis pelancaran saluran tersebut di Kuala Lumpur minggu lalu.


BERMULA 5 Mac ini, para penggemar rancangan telenovela di Malaysia pastinya akan lebih teruja dengan pelancaran Astro Bella.

Menghimpunkan telenovela-telenovela terbaik dari seluruh dunia seperti Latin, sekitar Asia dan juga tempatan, Astro Bella bagaimanapun tidak akan menayangkan cerita-cerita sinetron dari Indonesia. Malah, saluran Astro Bella itu juga bakal menggantikan saluran B4U yang akan ditamatkan siarannya pada 5 Mac ini.

Menurut Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh, pihak Astro memutuskan untuk melakukan sedikit rombakan pada pakej Mustika yang merangkumi saluran Warna, Citra dan B4U setelah mengambil kira maklum balas daripada penontonnya.

"Pakej Mustika yang diperkenalkan pada tahun 2009, pada mulanya merangkumi saluran Warna, Citra dan B4U. Setelah hampir dua tahun pakej ini dilancarkan dan setelah mengambil kira maklum balas daripada pelanggan kami, Astro memutuskan untuk menamatkan siaran B4U dan menggantikannya dengan saluran Bella," ujarnya.

Menyasarkan golongan wanita berusia 18 tahun ke atas, Astro Bella akan bersiaran selama 24 jam dengan pengisian telenovela-telenovela yang menarik antaranya Fish Port Princess (Filipina), Rivals (Filipina), Diabla Daniela (Latin), Pasion Morena (Latin), Eternamente Tuya (Latin) dan siri mini Girlfriends (Itali).

Telenovela yang sememangnya terkenal dengan pengisian melodramatik yang rata-ratanya berunsurkan cinta, dendam, perebutan kuasa, persahabatan serta keperibadian setiap watak yang dilakonkan, dijangka menyentuh hati penonton.

Jelas Khairul, dengan pelancaran saluran Astro Bella itu ia akan menyempurnakan lagi pakej Mustika serta menyokong dua saluran yang sudah menempah tempat di hati para penonton iaitu Astro Warna (saluran 132) dan Astro Citra (saluran 131).

"Astro akan terus mengekalkan penyiaran saluran Warna yang telah berjaya menghasilkan komedi terbaik daripada pelawak-pelawak tempatan. Rancangan seperti Raja Lawak, Maharaja Lawak Mega telah meraih antara penilaian yang tertinggi dan semestinya menjadi peneraju utama pakej Mustika.

"Begitu juga dengan saluran Astro Citra yang juga begitu sinonim dengan filem-filem blockbuster serta siri drama epik antarabangsa dan tempatan," katanya.

Tambahnya, bagi peminat-peminat filem Bollywood yang pernah melanggan pakej Mustika untuk menikmati filem-filem Hindi di bawah saluran B4U, mereka masih boleh menikmati filem-filem tersebut menerusi saluran 108, Zee.

Astro Bella yang akan disiarkan di saluran 133 akan mula bersiaran bermula 5 Mac ini melalui pakej Mustika pada harga RM12.95 sebulan. Untuk melanggan, sila layari laman web www.astro.com.my/mustika atau hubungi 1-300-82-777.