Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Sudah ada cinta baharuNORA DANISH MOHD. HANIF hadir ke sesi fotografi dengan wajah polos, cukup sekadar cermin mata hitam menjadi pelengkap aksesori. Berpimpin tangan dengannya adalah anak kesayangan yang cukup bijak dan comel, Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, tiga tahun. Rayqal yang lebih teruja untuk berposing sambil mulut mungilnya menyatakan dia mahu membuat sesi fotografi. Seiring lincah jurusolek mengoles wajah cantik pelakon yang sudah tidak perlu diperkenalkan lagi ini, kami berbicara. Nora berbicara tentang sisi kerjayanya yang semakin menapak tinggi, mengejar momentum sebenar seorang pelakon penuh integriti. Hal itu dapat dilihat sejak pertengahan tahun lalu, sejak dia membawa karakter Dhia dalam drama rantaian Tentang Dhia yang mendapat sambutan hangat. Berganding dengan aktor Adi Putra sebagai pasangan suami isteri yang teraniaya, saham Nora melonjak naik. Padahal, itu bukan hasil lakon pertamanya. Nora sudah terbabit dengan lebih segudang naskhah baik drama ataupun filem. Hanya kali ini, kredibiliti dia sebagai seorang pelakon mula membuka banyak mata orang yang beranggapan Nora terkadang terlalu comel untuk dipelbagaikan watak, terutama untuk menggalas karakter yang bermain dengan banyak emosi. Nora senyum sebelum semangat bercerita. Dia mengaku kalau Tentang Dhia memang telah membuka mata banyak pihak tentang kredibiliti sebenarnya. "Namun sebenarnya, yang membuat cerita itu bagus, bukan sebab saya, tetapi kerana skrip, jalan cerita dan seluruh produksi yang terlibat. Bayangkan, waktu baca skrip saja saya sudah menangis, yang membawa maksud cerita itu memang memberi kesan yang besar terhadap sesiapa saja," katanya yang mengaku hampir menolak tawaran tersebut kerana bimbang tidak mampu memberi hasil kerja yang baik. Bertitik tolak daripada Tentang Dhia yang mengangkat Nora ke satu tahap lakonan yang lebih serius, ia kini disambung dengan drama rantaian Ariana Mikhail yang hangat ditayangkan di TV9 setiap pukul 8.30 malam hari Isnin dan Selasa. Masih membawa watak seorang isteri, kali ini dia berganding pula dengan Hussein atau Sein yang juga menampakkan keserasian. Dalam masa yang sama, dia akan kembali berganding dengan Adi Putra dalam sebuah filem yang diberi judul Aku Terima Nikahnya yang akan memulakan penggambaran dalam masa terdekat. Begitu bersyukur dengan kesempatan terbabit bersama produksi yang mempercayai bakatnya yang boleh diperkembangkan, kata Nora ia juga adalah tanda aras terhadap kembara seninya yang kini sudah mencecah usia 10 tahun. "Bagai tidak percaya tahun ini sudah genap 10 tahun saya menjadi pelakon. Saya kira, kini memang banyak peluang lakonan yang hebat telah saya terima, selain dapat berganding dengan aktor yang hebat-hebat. Alhamdulillah," ujarnya. Tambah Nora, seiring kematangannya juga, dia mengaku menjadi selektif terhadap beberapa tawaran. Jelasnya ringkas: "Saya tidak kisah karakter yang bagaimana diberikan kepada saya, tetapi yang penting adalah impak yang ditinggalkan terhadap karakter yang saya bawa." Diminta membayangkan 10 tahun akan datang di mana kedudukannya dalam industri, pantas dia memberitahu bahawa barangkali dia sudah tidak bergelar anak seni lagi, namun hanya waktu yang menentukan. Walau bagaimanapun ada harapan besar yang disemat dalam hati. Kata Nora: "Sementara nak tunggu 10 tahun akan datang, besar harapan saya agar dalam perjalanan seni ini, sekurang-kurangnya saya diiktiraf dengan anugerah."
Hati sudah diisi Di selang-seli cerita serius tentang kerjaya, Nora tidak juga lokek berkongsi tentang ceritera cintanya. "Yang pasti bukan dengan Khairul Fahmi Che Mat (Apek)," ujar Nora sambil ketawa mengenang entah bagaimana boleh bergegar gosip mengenai dia dengan penjaga gawang bola sepak negara itu baru-baru ini. Ya, entah ribut mana datang menerpa, mantan isteri Toh Muda Rizal Ashram Ramli ini tiba-tiba dikaitkan dengan Apek. Dia mengaku mengenali Apek sebagaimana seluruh Malaysia mengenali penjaga gol itu, tetapi tidak lebih daripada itu sehingga sampai kepada bibit cinta. Cinta yang tumbuh di hati Nora adalah milik jejaka lain, bukan Apek. Malah akuinya, sewaktu kecoh isu dia digosip dengan Apek, kekasihnya tidak melatah. "Dia adalah kekasih terhebat di dalam dunia," akui Nora ketawa mengekeh. Ditanya jika hati sudah berkenan dan cinta sudah lama bersemayam, apa yang ditunggu oleh Nora untuk menamatkan status ibu tunggal yang dipikulnya sejak lebih tiga tahun lalu. Adakah dia masing dikejar bayang-bayang hitam tentang perkahwinannya yang roboh tidak lama dulu. Jawab Nora, dia sentiasa optimis dengan kehidupannya. Dia juga bukan seorang yang kuat menjeruk rasa. Apa yang sudah berlaku, dia jadikan pengajaran. Malah dia mengaku, kegagalan rumah tangganya dahulu adalah satu pelajaran yang terbaik buat dirinya, sementelah waktu mendirikan rumah tangga dulu, dia baru berusia 24 tahun. Kini, pada usia 30 tahun, dia lebih yakin dan mendapat banyak pengalaman baharu. Lebih-lebih lagi, suaminya bukan seorang lelaki yang terlalu buruk perangai. "Dia masih menjalankan tanggungjawab dengan memberi nafkah terhadap saya dan anak. Keluarga mertua saya juga masih mengambil berat terhadap saya dan Rayqal. Kami tidak pernah dilupakan," katanya penuh syukur. Berbalik soal kembali mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya, Nora menjawab: "Saya percaya kepada cinta. Saya juga tidak menolak perkahwinan kedua. Memang ingin kembali berumah tangga tapi bukan dalam masa terdekat ini." | ||
Posted: Sarimah Ibrahim ubah anginOleh HARYATI KARIM MAHU berkahwin semula, Sarimah tunggu lamaran daripada kekasihnya, Guillamae. LIMA tahun mengikat kontrak sebagai artis eksklusif Astro yang kontraknya sah sehingga Mei tahun ini, pengacara popular Sarimah Ibrahim kini mengubah angin dengan menyertai stesen radio swasta Red FM sebagai penyampai radio bagi segmen pagi (6 -10 pagi), Isnin sehingga Jumaat iaitu Red Breakfast bersama Lil Kev bermula 13 Februari lalu. Sarimah yang ditemui pada majlis pelancaran penjenamaan baharu radio Red FM baru-baru ini mengakui yang dia sedikit terkilan kerana pendedahan yang diterima ketika menjadi artis eksklusif Astro tidak seperti yang diharapkan sekali gus menyebabkan dia membuat keputusan untuk berpindah ke Red FM. Wanita yang berusia 34 tahun ini berharap dengan penghijrahannya itu, dia dapat meluaskan lagi kerjaya seninya selain mengakui kehidupan peribadinya sedang melalui fasa bahagia bersama seorang lelaki Perancis yang mula memikat hatinya sejak dua tahun yang lalu. Dalam perkembangan lain, Sarimah juga akan muncul dengan sebuah buku motivasi hasil nukilannya berdasarkan pengalaman serta pemerhatian keadaan sekelilingnya. Buku itu dijangka berada di pasaran pada pertengahan tahun ini. Kosmo!: Mengapa Sarimah menerima tawaran daripada Red FM, bukankah sebelum ini Sarimah berpeluang menjadi penyampai di stesen radio di bawah naungan Astro. SARIMAH: Saya terima kerana ini merupakan kerja yang tetap kerana saya bukannya orang kaya atau berkahwin dengan orang kaya selain tawarannya tiba pada masa yang tepat. Saya mencari sesuatu yang boleh mendedahkan saya kepada peminat. Walaupun sebelum ini saya merupakan artis eksklusif Astro, setelah sekian lama menunggu peluang yang diharapkan tidak tiba, mungkin tiada rezeki. Mungkinkah perpindahan Sarimah ke Red FM disebabkan Sarimah merajuk kerana peluang yang diharapkan tidak diperoleh di Astro? Saya harap dapat pendedahan yang lebih, selepas bertahun-tahun apa yang saya jangkakan tidak diperoleh. Sebelum ini ketika diberitahu saya akan menyertai radio mereka akan memberi saya satu segmen yang lebih meluas penyampaiannya tetapi tidak begitu. Jadi saya buat keputusan masuk ke Red FM kerana mereka memberikan pendedahan yang saya inginkan. Adakah Sarimah menyesal menandatangani kontrak eksklusif bersama Astro sebelum ini? Saya tidak menyesal kerana saya percaya setiap apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Jika saya tidak bersama Astro terlebih dahulu, Red FM tidak akan menemui saya. Saya berterima kasih atas kerjasama bersama Astro sebelum ini. Selepas kontrak saya tamat pada bulan Mei, mungkin saya akan bergerak secara bebas. Maknanya selepas ini, peminat akan melihat wajah Sarimah di mana-mana stesen televisyen? Ya, mungkin bergantung pada tawaran kerana selepas bulan Mei saya sudah tidak terikat dengan Astro, tugas saya di Red FM sehingga pukul 10 pagi sahaja. Sebelah petang saya bebas melakukan aktiviti seni yang lain untuk mana-mana stesen televisyen. Alhamdulillah, setakat ini rezeki saya sudah ada sehingga bulan Jun depan. Harapan Sarimah sebagai penyampai radio Red FM? Saya ingin mengubah tabiat pendengar radio di Malaysia. Apa yang ingin saya lakukan ialah menggalakkan lebih ramai pendengar stesen radio Melayu untuk mendengar stesen radio bahasa Inggeris. Saya juga ingin memutarkan bukan saja lagu bahasa Inggeris tetapi juga lagu Melayu seperti lagu-lagu nyanyian Hafiz dan Jaclyn Victor. Standard mereka setanding dengan penyanyi antarabangsa, tetapi itu akan berlaku jika pihak atasan memberikan kelulusan. Selain itu saya juga mengambil kesempatan di Red Breakfast untuk mendidik peminat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka. Nampaknya hubungan cinta Sarimah dan Guillamae (kekasih) bertambah intim. Bila mahu menamatkan zaman solo? Soalan itu sepatutnya bukan disoal kepada saya tetapi kepada dia. Sebenarnya memang saya takut untuk memulakan hubungan baharu, fobia juga kerana kegagalan perkahwinan sebelum ini tetapi cinta dan mati dua hal yang berada di luar kawalan saya. Saya akan berkahwin kerana saya juga inginkan anak, umur bukan muda lagi tetapi saya tidak mahu tergesa-gesa bimbang nanti jadi seperti perkahwinan sebelum ini, biarlah kami benar-benar mengenali antara satu sama terlebih dahulu. | ||
Posted: Beyonce paten nama anak
PASANGAN selebriti Beyonce Knowles dan Jay Z mematenkan nama puteri pertama mereka, Blue Ivy Carter. Langkah tersebut diambil untuk mencegah kemungkinan penggunaan nama anak sebagai jenama dagangan produk-produk bayi oleh pihak lain. Menurut laporan di dalam Aceshowbiz, pelantun lagu Ladies itu dan suami telah memfailkan permohonan ke Pejabat Paten dan Dagang Amerika Syarikat baru-baru ini, setelah terdapat beberapa pihak berusaha menggunakan nama anak mereka sebagai nama kedai dan sebagainya. Sebelumnya, perancang busana Joseph Mbeh memakai nama Blue Ivy Carter NYC pada 11 Januari 2012. Sementara pemohon lain pula meminta menggunakan nama bayi mereka seperti Blue Ivy Carter Glory IV untuk produk wangian pada 20 Januari. Bagaimanapun permohonan itu ditolak dengan alasan nama Blue Ivy milik bayi Beyoncel dan produk yang menggunakan nama tersebut akan memberikan kesan yang salah kepada pelanggan. Namun, ada satu butik di Wisconsin yang lebih dahulu menggunakan nama dagang 'Blue Ivy' sebelum anak Beyonce lahir dan ia kekal dengan nama tersebut. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |