Adsense

Rabu, 15 Februari 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Kenapa kontroversi saja?

Posted: 14 Feb 2012 01:49 PM PST

Hip

Berharap kerjaya lakonan turut diberi perhatian MENGAKUI kehidupan peribadinya sering diberikan lebih tumpuan, Zarina Anjoulie Lavocah masih menaruh harapan supaya kerjaya seni turut diberi perhatian yang berpatutan.Bukan hendak membanggakan diri, tetapi hakikatnya dia juga berasakan mempunyai kesungguhan dan bakat untuk menghasilkan lakonan yang baik.

Ramai yang dikatakan sudah lama jadi pelakon, tetapi berapa ramai yang dapat peluang berlakon bersama pengarah dan pelakon terbaik. - Zarina Anjoulie, Pelakon


Dikenali dengan cerita kehidupannya yang dikatakan suka bersosial berlebih-lebihan dan paling menggemparkan bergambar dalam aksi mengghairahkan menerusi sebuah majalah di Indonesia, Zarina menganggap semua itu tidak menjejaskan tumpuannya sebagai pelakon.

Malahan dia mahu terus membuktikan hasil kerja lakonannya mendapat perhatian daripada penerbit dan pengarah filem berkaliber.

Malahan mengharapkan dengan lakonan yang mantap dapat mengurangkan kisah kehidupan peribadinya yang sentiasa sensasi.
Langkah awal Zarina dalam bidang lakonan mendapat bimbingan secara tidak langsung daripada Datuk Paduka Shuhaimi Baba menerusi drama bersiri sumpah anak Anak Pontianak.

Baru menghabiskan program muzikal TV iaitu Kampus yang dihasilkan oleh Akademi Seni Warisan Dan Budaya (ASWARA), dia kini sedang menghabiskan penggambaran filem Ular arahan Jason Chong dan diterbitkan oleh KRU Studios.

Tatkala penggambaran filem Ular di Pulau Pangkor hampir habis, dia 'disambar' pula oleh Mamat Khalid untuk beraksi dalam filem Amir Dan Lukman Pergi Ke Laut. Penggambaran filem arahan Mamat itu rancak dilakukan di sekitar Ipoh, Perak.
"Datuk Shuhaimi, KRU dan sekarang dengan Abang Mamat Khalid, mereka semua bukanlah sebarangan orang dalam industri ini (perfileman).

"Sudah tentu mereka ambil saya berlakon bukan sebab kontroversi atau cerita sensasi tapi sudah tentu kerana bakat dan kemampuan saya.

"kalaupun cerita kontroversi itu memang lebih menarik, tapi janganlah menafikan kebolehan saya berlakon," katanya.

Mamat Khalid sendiri tidak menafikan dia mengambil Zarina berlakon dalam filem terbarunya itu kerana wanita ini memang ada bakat dan kesungguhan yang baik terhadap kerja lakonannya, tetapi memerlukan sokongan serta bimbingan.

Cuma cerita sensasi dan kontroversi saja menenggelamkan kemampuan sebenar dirinya untuk menonjolkan diri sebagai antara pelakon yang bagus.

Ditemui ketika penggambaran filem Amir Dan Lukman Pergi Ke Laut, Zarina berkata, dia juga berasa beruntung kerana menerusi filem itu berpeluang digandingkan dengan pelakon hebat seperti Sofi Jikan.

"Ramai yang dikatakan sudah lama jadi pelakon, tetapi berapa ramai yang dapat peluang berlakon bersama pengarah dan pelakon terbaik.

"Sebab itulah, saya berasakan sungguh bernasib baik dan bertuah kerana walaupun dianggap baru, tapi sudah dapat peluang berlakon dengan orang seperti Sofi Jikan. Kita tahu, Sofi Jikan antara pelakon terbaik," katanya yang memegang watak Balkis iaitu kekasih kepada Ketua gangster lakonan Sofi Jikan.

Terkilan idea kena ciplak

Posted: 14 Feb 2012 01:44 PM PST

Hip

KECEWA dan terkilan. Itu saja yang mampu diungkapkan produser, Global Network Entertainment Sdn Bhd (GNE), Den Wahab apabila impian untuk mengekalkan tradisi menjadi produksi pertama mementaskan sesuatu kelainan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) tidak kesampaian.

GNE yang sepatutnya menjadi produksi pertama mengisi slot Bila Hati Di Geletek dengan judul Panggung Pecah Perut menggabungkan pelawak baru dan lama ke pentas IB seolah-olah dikhianati apabila idea dan konsep mereka diciplak oleh produksi lain yang terlebih dulu diberi kebenaran dipentaskan di panggung berprestij itu.

"Sudah tentu saya terkilan apabila perkara ini timbul. Saya kecewa kerana tidak dapat mengekalkan produksi yang mementaskan produk pertama di pentas IB seperti produk saya sebelum ini.

Menerusi kertas kerja saya kepada IB pada Disember tahun lalu, sudah tertulis idea dan konsep untuk membawa pelawak baru dan lama serta peserta program Raja Lawak dan Maharaja Lawak Mega. Di situ sudah jelas idea dan konsep yang cuba saya ketengahkan. - Den Wahab, Produser

"Saya tidak mahu memanjangkan hal ini dan terpaksa memujuk hati, tetapi sejak minggu lalu saya banyak mendapat panggilan telefon daripada wartawan yang tertanya-tanya dengan apa yang berlaku, malah sebaik-baiknya saya cuba mengelak untuk menjawab," katanya yang dihubungi Hip bagi menjawab ruangan gosip 'Dengarnya' berjudul 'Ada Kes Pilih Kasih di Istana Budaya' akhbar ini semalam.

Begitupun Den berkata, sejak pementasan Lawak Ker? Der.. pada 3 Februari lalu, ramai pihak yang terkeliru, malahan media juga ingin tahu kedudukan sebenar pementasan Panggung Pecah Perut.

"Pada hal antara mereka pernah tahu idea dan konsep komedi yang dipentaskan di majlis pelancaran program IB sebelum ini. Produksi , adalah kali pertama akan saya bawakan pada September depan seperti yang sudah dimasukkan di dalam kalendar program IB dan tidak ada mana-mana produksi lain termasuklah pada bulan Februari ini.

"Menerusi kertas kerja saya kepada IB pada Disember tahun lalu, sudah tertulis idea dan konsep untuk membawa pelawak baru dan lama serta peserta program Raja Lawak dan Maharaja Lawak Mega. Di situ sudah jelas idea dan konsep yang cuba saya ketengahkan.
"Tiba-tiba kita dengar ada produksi lain menarik diri pada bulan Februari dan digantikan dengan pementasan komedi yang turut mengakui kali pertama dipentaskan di IB. Lebih terkilan apabila saya sendiri tidak dimaklumkan oleh pihak IB mengenai slot yang dikosongkan pada Februari lalu malah boleh ditawarkan kepada produksi lain pula.

"Saya percaya jika perkara ini berlaku kepada produksi lain, mereka akan berasa perasaan sama seperti saya rasakan sekarang," katanya yang hanya mampu berserah kepada tuhan soal rezeki yang dikurniakan.

Sebagai agensi kerajaan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kebudayaan dan Kesenian (KPKK) perkara ini boleh membimbangkan banyak produksi teater tempatan untuk terus berkarya sekali gus mencemarkan industri teater tempatan itu sendiri.

"Kadang-kadang terlintas di fikiran, selepas ini IB tidak perlulah mengadakan majlis pelancaran kalendar program IB kerana idea dan konsep sesuatu produksi itu boleh diciplak oleh mana-mana individu. Kalau bukan dipentaskan di IB, mereka masih boleh mementaskan di mana-mana lokasi bagi untuk mengaut keuntungan daripada perahan idea orang lain," katanya kesal.

Sebelum ini GNE bersama-sama Execellent Ventures pernah mementaskan teater permotoran pertama berjudul teater muzikal Impak Maksima dengan membawa dua kereta drift ke pentas.

Teater itu juga menjadi produk teater tempatan pertama yang diundang oleh Esplanade, Singapura untuk dipentaskan di sana dengan membawa nama IB. Ia diikuti dengan pementasan teater muzikal Teratak Minang yang menggabungkan pelakon dua negara serumpun bersama Indonesia. Teater amal itu juga sebahagian daripada kutipan tiket turut disumbangkan kepada mangsa gempa bumi di Padang, Indonesia. GNE juga menjadi produksi pertama yang menganjurkan konsert tribute kepada komposer sekali gus mengangkat bidang itu lebih dihargai.