Adsense

Rabu, 15 Februari 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Azza kini ‘sedar’

Posted: 14 Feb 2012 04:20 AM PST

PERCERAIAN amat menyakitkan sehingga membuatkan Azza, 34, merana dan kemurungan. Dua tahun dia merahsiakan perceraiannya daripada keluarga dan selama itu jugalah dia memendam rasa serta menyalahkan diri sendiri di atas apa yang terjadi.

Azza atau nama sebenarnya Noor Azzarima Zawari bertemu jodoh dengan bekas suaminya, Mohd Ehsan Tun Ahmad Zaidi Edruce, ketika berusia 23 tahun dan ketika itu dia sibuk berlakon sehingga ke luar negara. Sementara Ehsan pula bekerja di tempat asalnya di Sarawak, justeru mereka jarang bertemu dan pada masa sama ada pihak yang menabur fitnah.

"Waktu itu saya muda lagi dan tak fikir panjang. Apa saja orang cakap, saya terus percaya sedangkan Ehsan suami yang baik. Tanpa kepercayaan, hubungan jarak jauh sangat menyukarkan. Saya sayangkan Ehsan tetapi saya mudah terkena hasutan kerana saya belum matang untuk berhadapan dengan cabaran.

"Saya akui banyak melakukan kesilapan dan sepatutnya saya yang berkorban untuk berada di samping suami tetapi waktu itu saya hanya fikirkan diri sendiri dan kerja saya saja sampai tak tahu macam mana mahu membahagikan masa dengan rumah tangga.


"Selepas apa yang berlaku, baru saya sedar fitnah itu boleh membunuh. Oleh kerana saya dah tak tahan, saya yang minta cerai dan sebab itulah saya merahsiakan perceraian itu daripada keluarga terutama emak saya, Rahmah Abdullah kerana saya berasakan semuanya salah saya.


"Selain sibuk berlakon, sukar untuk saya membuat keputusan untuk tinggal bersama suami di Sarawak atau menetap di Kuala Lumpur kerana saya rapat dengan emak dan tak sanggup berjauhan dengannya. Lalu saya ambil jalan tengah duduk seorang diri di Kuala Lumpur. Saya juga bersifat keanak-anakan dan suka mengambil tindakan terburu-buru.

"Dulu saya juga tidak ada ramai kawan, kalau adapun dengan anggota Elite saja. Selepas habis kerja, saya terus balik rumah dan tiada siapa yang menasihatkan saya apa yang perlu dibuat dan perkara yang sepatutnya saya elakkan. Saya asyik fikir yang buruk saja.

"Selepas mengerjakan umrah pada 2003, barulah saya tenang sedikit tetapi hubungan kami tidak boleh dibaiki lagi," katanya yang hanya sempat melayari bahtera rumah tangga selama lima tahun.

Kini Azza sedar hubungan dalam rumah tangga bukan berdasarkan cinta semata-mata tetapi kesabaran, toleransi, percaya dan saling memahami perlu ada. Apabila semua rencah itu ada, tanpa mengira di mana pasangan kita berada, kita tidak bimbang melepaskannya seorang diri.

"Kerja Ehsan memerlukan dia bertemu dengan ramai orang termasuk lelaki dan perempuan. Saya tak faham dan tidak cuba untuk memahaminya sehingga membuatkan saya cemburu. Perkara yang kecil saya besar-besarkan, pada hal ia tak ada apa pun.

"Selepas bercerai, saya terus mengurung diri di rumah, tak mahu berjumpa sesiapa. Segala masalah saya simpan dalam hati dan kesan perceraian itu sangat menyakitkan. Tambahan ketika itu keluarga tidak tahu, jadi bayangkan bagaimana setiap kali berjumpa emak dia bertanyakan Ehsan sehingga saya terpaksa mencipta pelbagai alasan sedangkan hakikatnya kami tidak sebumbung lagi.

"Ada kawan-kawan dan wartawan yang tahu saya sudah bercerai tetapi mereka berpegang pada janji untuk tidak menghebahkannya. Emak tahu pun selepas dua tahun perceraian itu terjadi apabila dia terbaca berita mengenainya dalam majalah. Saya berani 'buka' cerita selepas kawan-kawan menasihatkan saya supaya bercakap perkara yang sebenar kerana mereka kasihankan keadaan saya yang sangat teruk waktu itu.

"Siapa yang mengenali saya dan Ehsan, tak percaya yang kami bercerai kerana Ehsan melayan saya dengan baik. Tiba-tiba saja tahu kami sudah bercerai. Emak pun tak terkata apa kerana ia sudah pun berlaku. Sekarang apabila difikirkan semula berdosanya saya kerana minta cerai dengan suami.

"Apa yang terjadi memberi pengajaran pada saya dan semoga tidak berulang pada perkahwinan saya yang kedua nanti. Saya akan belajar dari kesilapan lalu dengan lebih banyak bersabar, bertolak ansur dan tidak bertindak terburu-buru. Jika ada perkara yang dirisaukan, tanya kepada pasangan anda sendiri dan bukannya merujuk kepada orang lain kerana ia mengundang bahaya.

"Sebelum kami bercerai, saya ambil anak angkat perempuan yang diberi nama Marissa Jannah yang kini berusia tujuh tahun. Saya membina semula kekuatan diri apabila melihat wajah comelnya dan emak kata, kalau saya tak keluar bekerja macam mana saya nak dapat duit untuk membesarkan Marissa.

"Saya bercerai pada 2005 dan pada 2008 barulah saya beroleh kekuatan untuk keluar dari kesedihan dan kemurungan. Itupun disebabkan kawan-kawan terutama Roslan Shah yang setiap hari pujuk saya keluar berjumpa orang, berlakon dan menyanyi semula.

"Kalau Roslan mendapat jemputan membuat persembahan dia akan heret saya sekali sehinggalah saya benar-benar rasa bersemangat semula. Daripada situlah saya rasa hidup ini kembali bermakna kerana ada juga kawan yang sudi berkongsi kesedihan saya. Sejak itu saya tidak menoleh ke belakang lagi dan dengan sokongan keluarga serta kawan-kawan saya mulakan langkah baru," katanya.

Selepas berusaha meninggalkan segala kenangan pahit, Azza sekarang terus aktif berlakon di mana setiap bulan ada saja tawaran berlakon yang datang kepadanya.

Berderet drama lakonannya yang sedang menunggu masa untuk disiarkan. Nama Azza kembali diingati selepas dia berlakon sebagai Wan dalam drama komedi popular, Kiah Pekasam bergandingan dengan Rozita Che Wan.

"Dalam drama itu , Wan adalah saingan kepada Kiah iaitu watak yang dipegang oleh Rozita. Sejak itu pengarah mula 'nampak' akan kewujudan saya dalam bidang lakonan yang agak tenggelam seketika.

"Rezeki Kiah Pekasam kerana ia terus disambung daripada satu kisah ke pada satu kisah yang lain dan insyaAllah dalam perancangan penggambaran siri Kisah Pekasam yang baru akan dirakamkan di Jepun," katanya.

Drama lakonannya yang lain berjudul Suami Terpuji, baru saja disiarkan di TV9 juga mendapat pujian dan sambutan yang bagus.

Azza juga muncul dalam drama Naik Lif Turun Tangga yang akan mengisi slot Senda Pagi di TV3 mulai 12 Mac ini.

Selepas enam tahun menjanda, Azza akan menamatkan zaman solonya dengan seorang pramugara, Azlan Zulaili yang muda beberapa tahun daripadanya.

Azza akhiri zaman solo

SELEPAS enam tahun menjanda, Noor Azzarima Zawari atau Azza, 34, bakal menamatkan zaman solonya dengan seorang pramugara, Azlan Zulaili yang muda beberapa tahun daripadanya.

Namun Azza yakin perbezaan usia itu bukan halangan untuk mereka mendirikan rumah tangga bahagia kerana apa yang penting saling memahami dan menghormati.

"Saya tidak bimbang dengan jarak usia kami kerana selama berkawan, saya dapati Azlan lelaki yang baik dan bertolak ansur. Saya yakin dia akan jadi suami dan bapa yang baik kepada anak-anak kami nanti.

"Keluarganya juga menerima saya seadanya. Bekas suami saya pun sudah beristeri baru, jadi tiba masanya saya juga membina hidup baru. Pada awal perceraian kami, selama dua tahun saya menyembunyikan perpisahan itu daripada keluarga saya.

"Menyimpan rahsia dan memendam rasa ini membuatkan saya merana teruk tetapi saya terpaksa melakukannya kerana tak mahu orang tua saya susah hati. Ketika itu juga kerjaya saya merudum dan hanya air mata jadi teman setia.

"Tetapi berapa lama saya boleh merahsiakan dan akhirnya saya terpaksa beritahu juga kepada mereka situasi yang sebenar. Barulah terlepas beban yang saya galas selama ini dan perlahan-lahan saya mengutip semula sisa hidup yang tinggal untuk membina hidup sendiri tanpa suami," katanya.

Azza yang kini kembali berseri dan bersemangat merencanakan kehidupan barunya, sibuk membuat persiapan untuk menuju hari bahagianya itu.

"Saya akan berkahwin pada masa terdekat dan sedang mencari tarikh yang sesuai. Persiapan sedang dibuat, tiba hari bahagia itu nanti saya akan beritahu semua. Saya berharap jodoh saya dengan Azlan akan berpanjangan.

"Insya-Allah detik yang bahagia itu akan tiba tidak lama lagi dan kami sedang membuat persiapan. Semoga jodoh saya kali ini kekal sehingga ke akhir hayat dan dikurniakan anak-anak yang sihat serta comel," katanya.

Dia berharap 2012 memberi sinaran dalam hidupnya apatah lagi dengan kehadiran Azlan, semoga kebahagiaan menjadi miliknya selamanya.

Trivia Azza

  • Perkara paling ditakuti dalam hidup
    Saya takut mati
  • Terangkan apa kelebihan anda
    Saya kuat bekerja, sayangkan keluarga dan tak boleh hidup tanpa mereka
  • Bahagian pada wajah yang ingin diubah
    Tak perlu ubah apa-apa
  • Impian perkahwinan
    Perkahwinan yang sederhana tetapi meriah serta romantik
  • Suka lelaki tua atau muda
    Yang sedang-sedang saja
  • Perkataan yang sering diucapkan pada kekasih
    Saya jarang mengucapkan perkataan I Love You tetapi kalau sekali saya lafazkan, ia sangat bermakna


  • Gemerlapan Grammy

    Posted: 14 Feb 2012 04:05 AM PST

    MENJADI acara tahunan ditunggu ramai penggiat seni muzik antarabangsa terdiri produser, komposer, penulis lirik dan penyanyi, Anugerah Grammy terus mencuri perhatian ramai.

    Masuk edisi ke-54 penganjuran, acara yang pertama kali berlangsung pada 4 Mei 1959 meneruskan agenda memberi pengiktirafan pada penggiat seni yang mencatat pencapaian membanggakan dalam bidang muzik.

    Lazim dalam sesebuah acara penyampaian anugerah, Grammy tidak terkecuali memberi tarikan pada tetamu yang hadir menerusi persembahan pentas dan segmen karpet merah yang menjadi platform ramai artis bergaya.

    Sudah tentu kegemilangan acara tahun ini meninggalkan kenangan manis buat penyanyi popular Britain, Adele menang besar semua enam pencalonan yang diterimanya.


    Menariknya, Adele tampil mengadakan persembahan bertenaga menerusi lagu popular Rolling in the Deep walaupun dia baru empat bulan selesai menjalani pembedahan tekak.


    Adele mengenakan gaun hitam paras lutut menggamatkan suasana di Staples Center, Los Angeles dengan kehebatan vokal dimiliki. Melihat pada kesungguhannya menyampaikan lagu popular itu, ia bukan mustahil melihat tetamu berdiri memberikan tepukan 'standing ovation'.

    Merujuk pada atur cara Grammy kali ini berlangsung selama tiga jam setengah menyaksikan hampir 20 artis mengadakan persembahan. Memberi tarikan pada perjalanan acara, persembahan dibahagikan mengikut tiga genre dari R&B kepada rock dan pop.

    Bruce Springsteen menarik perhatian ramai ketika menyampaikan lagu barunya, We Take Care of Our Own diikuti Bruno Mars tampil konsep neo-funk membawakan lagu Runaway Baby.

    Dalam banyak persembahan, paling meninggalkan emosi mendalam adalah persembahan Jennifer Hudson ketika menyampaikan lagu popular, I Will Always Love You sebagai penghormatan buat mendiang Whitney Houston.

    Pemilihan Jennifer menyanyikan lagu itu dianggap tepat apatah lagi kelebihan suara yang dimiliki penyanyi kulit hitam itu menyentuh emosi penonton bersama skrin layar besar memaparkan semula klip video Whitney menyanyikan lagu sama.

    Lagu itu dirakam asal Dolly Parton, ia dinyanyikan Whitney untuk album runut bunyi filem lakonannya, The Bodyguard. Lagu ini turut mencipta sejarah menang Album Terbaik pada 1994.

    Ketika melihat senarai persembahan, segelintir berasakan Grammy kali ini mencipta sedikit kejutan apabila tidak menyenaraikan Lady Gaga untuk persembahan. Sebaliknya, kehadiran Nicki Minaj seolah menutup kekurangan itu dengan mengalih tumpuan tetamu terhadap persembahannya.

    Membawa karakter pada aksinya, Nicki memulakan persembahan berjalan ke pentas bersama paderi sebelum seperti membuat pengakuan merujuk lirik lagunya, Roman Holiday. Persembahannya bertambah pelik apabila menayangkan segmen paderi sama menunjukkan rumah dengan tujuan menghalau hantu dari tubuh badan manusia.

    Pada persembahan itu, tangan Nicki diikat pada meja dan kemudian terapung di udara bersama kumpulan penyanyi latar berselubung manakala penari lelaki tidak berbaju.

    Band rock alternatif popular, Foo Fighters menang tiga anugerah, Lagu Rock Terbaik menerusi Walk, Persembahan Hard Rock/Metal Terbaik (White Limo) dan Album Rock Terbaik (Wasting Light) buat kali keempat berturut-turut mengubat hati peminat mereka dengan persembahan bertenaga untuk lagu kemenangan mereka, Walk.

    Gandingan Coldplay bersama Rihanna juga memeriahkan acara dengan persembahan medley We Found Love, Princess of China dan Paradise. Chris Brown dipuji memberikan gaya persembahan cemerlang bersama gaya tariannya ketika menyampaikan lagu Beautiful People.

    Pujian juga diterima Katy Perry ketika mendendangkan single barunya, Part of Me dianggap memberikan persembahan terbaik. Pengkritik berpandangan Katy menunjukkan gaya hebat selepas berpisah dengan bekas suami, Russell.

    Di sebalik konsep dan gimik persembahan dinantikan tetamu, apa yang turut menarik perhatian adalah gaya artis yang hadir melaram di karpet merah termasuk membuat persembahan pentas.

    Melihat gaya Mars bersama bandnya membawakan kombinasi warna kuning emas dan hitam meninggalkan mood klasik zaman 60-an yang memukau dan bersinar.

    Rihanna pula selesa dengan gaya gaun hitam mendedahkan sebahagian keseluruhan belakang badannya menyatakan dia mahu kelihatan ringkas, seksi dan gengster.

    Antara artis yang mendapat kritikan gaya terburuk kali ini diterima Nicki berselubung bersama jubah merah Versace agak menenggelamkan bentuk tubuhnya yang kecil.

    Katy pula kelihatan seksi mengenakan pakaian ketat ketika mengadakan persembahan pentas menerima pujian termasuk gayanya bersama gaun biru muda inspirasi Ellie Saab ketika berjalan di karpet merah.

    Penyanyi solo yang juga anggota band Black Eyed Peas, Fergie dilabel menampilkan gaya terbaik dengan gaun oren jarang walaupun seluar dalam besar hitam kelihatan tidak sesuai dipadankan dengan gayanya.

    Gaun lengan panjang jenama Gomez-Gracia digayakan Carrie Underwood menyerlah penampilannya. Kritikan gaya buruk juga diterima Jessie J yang tampil dengan gaun metalik rekaan Julien Macdonald menggambarkan dirinya seperti wanita tin.