Adsense

Rabu, 8 Februari 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Rita enggan hipokrit

Posted:

Rita enggan hipokrit

Rita enggan hipokrit

SIAPA yang mahu kisah rumah tangga menjadi berita utama akhbar dan media, namun itulah rencah yang harus ditelan aktres jelita Rita Rudaini Mokhtar, 36, apabila bernikah dengan pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak, 25.

Bahagia yang diharapkan, air mata menjadi peneman. Rita yang ditemui di kediamannya pada hujung minggu lalu mengakui hati wanitanya terguris dan menangisi apa yang berlaku terhadap rumah tangganya.

"Tipulah kalau saya kata saya tidak pernah menangis atau bersedih dengan apa yang berlaku. Saya menangis untuk lepaskan segala beban yang ada di dalam hati.

"Selepas itu saya boleh berfikir dengan selesa dan rasional. Jika saya pendam, kepala saya lagi berserabut. Setiap orang yang berkahwin mengharapkan kebahagiaan tetapi mungkin sudah ini bahagian saya yang diberikan Allah. Saya terima dan laluinya dengan reda," katanya sambil memangku anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin yang kini berusia tiga tahun.

Bukan sekali tetapi kali ini sudah kali kedua rumah tangganya dilanda ribut sebegini. Pada Oktober 2010, Aidil membuat tuntutan hak penjagaan kekal terhadap anak sulung mereka, Airit Rayyan Rizqin dan permohonan perintah isteri kembali taat (nusyuz) yang turut difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban.

Kemudian pada 20 Januari lalu, selepas Aidil keluar dari rumah mereka, Rita telah menerima surat tuntutan berhubung anak-anak mereka daripada Aidil dan kini perkara itu telah diserahkan kepada peguam yang dilantik oleh Rita. Sebelum itu, Rita terlebih dahulu telah 'berperang' di Twitter dengan kembar Aidil, Zaquan Adha yang juga suami kepada aktres Ayu Raudhah.

Biasa hidup berdiikari

Meskipun bertimpa-timpa masalah rumah tangga dan hubungan bersama keluarga mertua melanda Rita, namun ibu kepada Aidit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna yang baru berusia sembilan bulan itu kekal tabah mengharungi segala pahit manis kehidupan berumah tangga.

"Apapun masalah, tidak kisahlah rumah tangga atau masalah lain, besar atau kecil masalahnya, saya kena hadapi dan selesaikan dalam keadaan yang tenang.

"Saya sudah biasa hidup berdikari, sendirian dan tidak bergantung kepada orang lain, jadi saya boleh terima. Pengalaman yang lepas-lepas saya jadikan pengajaran dan panduan untuk saya," ujarnya yang popular dengan filem Mami Jarum.

Disoal di manakah dia mencari kekuatan untuknya terus berdiri dan menghadapi segala cabaran yang datang, balasnya sambil merenung panjang: "Kekuatan adalah diri saya sendiri dan bila ada anak, kekuatan itu bertambah.

"Saya kini bukan sahaja perlu tabah untuk diri sendiri tetapi juga anak-anak yang memerlukan perhatian saya kerana mereka masih kecil. Saya tidak mahu masalah saya dan suami menjejaskan anak-anak."


RITA dan Aidil bersama anak sulung mereka, Airit Rayyan Rizqin.


Sebelum bernikah dengan Aidil, Rita pernah bergelar janda selama tujuh tahun. Andai kata kemelut rumah tangganya tidak surut dan berakhir dengan perceraian sudah bersediakah Rita untuk hidup sekali lagi tanpa suami di sisi?

Lama termenung memikirkan jawapan yang tepat barangkali, jawab Rita: "Saya seorang yang berdikari, apa sahaja yang berlaku saya akan memandang ke depan dan tidak akan sesekali toleh ke belakang.

"Tidak ada orang yang berkahwin mahu bercerai, tetapi saya bersedia dan kekal positif dengan segala kemungkinan yang ditentukan Allah. Harapan saya hanya satu, walaupun apapun yang terjadi, saya hanya ingin yang terbaik untuk saya dan anak-anak, itu sahaja."

Hampir sebulan Aidil tidak pulang ke rumah, kata Rita yang tinggal bersama dua anaknya bersama seorang pembantu rumah, dia tidak pernah menghalang suaminya berjumpa anak-anak kerana sehingga kini mereka masih pasangan suami isteri.

"Walau apa yang terjadi, Aidil pada mata saya tetap seorang ayah yang baik, dia memang sangat sayangkan anak-anak dia," tuturnya.

Sikap terbuka

Apabila rumah tangganya dilanda badai, Rita tidak mengambil sikap berdiam diri, sebaliknya dia cukup terbuka dalam memberi kenyataan kepada pihak media.

Impaknya, satu Malaysia tahu rentetan rumah tangganya. Rita bukan sengaja mencari kontroversi, apatah lagi kisah yang dipaparkan media adalah kisah rumah tangganya sendiri.

Bagaimanapun, Rita mempunyai sebab untuk berbuat demikian, sebabnya dia enggan hipokrit dengan dirinya dan juga orang di luar sana.

"Saya artis, orang kenal saya. Kalau saya sembunyikan perkara sebenar, lambat-laun orang tahu juga. Saya bercakap benda yang betul, daripada perkara ini keluar daripada mulut orang lain adalah lebih baik keluar daripada mulut saya sendiri, faktanya lebih tepat.

"Memang benar orang kata saya buka aib sendiri tetapi kalau itu perkara yang betul dan benar-benar terjadi kenapa saya harus sembunyikan. Akhirnya orang akan tahu juga, lainlah kalau saya ini bukan artis, saya berkahwin atau bercerai dan apa sahaja yang berlaku pada saya tiada siapa yang ambil peduli tetapi hakikatnya bukan begitu," bicaranya lagi.

Masalah rumah tangga yang dihadapinya sedikit sebanyak mengganggu emosinya. Sungguhpun begitu, Rita memastikan masalah itu tidak mengganggu kerjaya seninya.

"Memanglah bila bekerja emosi saya melayang daripada masalah yang saya hadapi. Masalah tidak akan pergi tetapi harus diselesaikan, sebab itu saya harus kekal positif.

"Tetapi bila bekerja, saya tidak akan mencampurkan masalah peribadi dengan kerjaya. Bagaimana besar masalah saya, kerja tetap kerja kerana itu sumber rezeki saya," katanya yang akan terlibat membintangi drama Dan Bila Esok dalam slot Azalea di TV3.

Nora Danish tak kemaruk cari jodoh

Posted:

Nora Danish tak kemaruk cari jodoh

Nora Danish tak kemaruk cari jodoh

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


NORA mengakui baru semalam dia meraikan harijadi ibu Jejai.


PELAKON cantik manis Nora Danish Mohd Hanif, 29, sering sahaja berdepan dengan gosip-gosip nakal mengenai kisah peribadinya. Ada sahaja yang ingin menyelak diari kehidupan ibu tunggal jelita itu sejak dia bercerai dengan bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli atau Jejai, 35, pada tanggal 12 Ogos 2008.

Satu persatu gosip mengenai dirinya keluar di dada akhbar. Daripada cerita mengenai bekas suaminya Jejai menghadiahkannya kereta mewah baru-baru ini, gosip percintaannya dengan kerabat yang berasal dari Terengganu dan terkini dengan pemain bola sepak kacak Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek, 23.

Kosmo! berjaya menghubungi Nora Danish semalam dan seterusnya merungkai segala gosip yang membelenggu diri ibu kepada Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, 4, itu.

Kosmo!: Baru-baru ini timbul cerita mengenai Nora Danish dan Apek saling berbalas Twitter dan mesej di Facebook. Malah, Nora juga pernah bertemu dan berkenalan dengan Apek? Benarkah?

NORA: Selepas gosip itu keluar saya menerima terlalu banyak mesej dan panggilan bertanyakan hal saya dan Apek. Saya terkilan kerana berita mengenai saya dan Apek saling berkenalan dan pernah bertemu sama sekali tidak benar. Saya cuma bangga dan menghormati dia sebagai pemain bola sepak yang bagus. Saya simpati dengan nasib Apek kerana sering dikaitkan dengan ramai wanita termasuk diri saya sedangkan perkara tersebut tidak benar.

Kenapa Nora cakap berita mengenai Apek dengan beberapa wanita yang pernah muncul di dada-dada akhbar tidak benar? Adakah Nora benar-benar mengenali Apek?

Satu persatu cerita mengenai dia dengan wanita itu dan ini timbul. Selepas itu, timbul kenyataan wanita atau Apek menafikannya. Nampak sangat cerita itu tidak benar dan ada orang yang cuba menjatuhkan reputasi dia sebagai pemain bola sepak Malaysia.

Jadi, bagaimana gosip mengenai Nora dan Apek boleh timbul jika ia tidak benar?

Orang yang menulis atau yang menyebarkan cerita itu sengaja mereka-reka cerita. Malah, mereka tidak pernah tanya saya sendiri mengenai perkara itu. Saya jarang tengok perlawanan bola sepak tetapi bila saya tengok perlawanan sengit dan hebat Malaysia menentang Indonesia saya terus minat. Daripada situ, saya mula kenal Apek dan Safee Sali sebagai pemain bola sepak yang bagus. Selepas itu, saya ada tulis Tweet mengenai dua pemain itu. Malah, pernah pergi bersama teman-teman menonton perlawanan bola sepak Malaysia menentang Singapura pada 28 Julai lalu. Mungkin, daripada situ mereka mula menyebar cerita sedangkan saya dan Apek tidak pernah berkenalan dan bertemu.

Selain cerita itu, baru-baru ini Kosmo! dapat tahu Jejai ada membeli sebuah kereta mewah untuk Nora. Benarkah?

Ini juga cerita yang tidak benar sama sekali. Saya tidak menerima kereta mewah daripada dia (Jejai). Memang kami masih berhubung dan hubungan kami rapat walaupun sudah bercerai. Jadi, saya ada minta pandangannya mengenai kereta kerana saya tahu dia mahir mengenainya. Malah, saya ada minta tolong dia tempah kereta untuk saya tetapi saya yang akan membayarnya bukan dia. Namun, selepas uji pandu kenderaan tersebut, saya tidak jadi membelinya kerana merasakan kenderaan tersebut kecil berbanding kereta yang saya bawa sekarang.

Kereta jenis apa yang Jejai tempah dan apakah jenis kenderaan yang digunakan Nora sekarang?

Tak payahlah saya beritahu kereta apa yang ditempah Jejai itu. Sekarang saya memandu kenderaan Mercedes Benz ML.

Jadi, jika bukan dengan Apek, Nora bercinta dengan siapa sekarang ini?

Saya tidak terburu-buru ingin mencari jodoh. Malah, saya tidak mahu fikir lagi mengenai hubungan cinta. Apa yang penting sekarang adalah keluarga dan kerjaya.

Maaf bertanya. Fasha Sandha dengan Jejai khabarnya akan berkahwin sekitar bulan April ini di Jakarta, Indonesia. Apa komen Nora?

Maaf, saya tak mahu komen mengenai mereka.

Khabarnya hubungan Nora dengan bekas mertua juga begitu baik sehingga kini. Malah, Kosmo! dapat tahu Nora meraikan hari jadi bekas ibu mertua, Puan Sri Noor Ashikin Raja Abdullah hari ini (semalam)?

Ya, saya meraikan harijadi ibu Jejai tadi (semalam) di Restoran Pegaga, Hulu Klang, Selangor. Hari jadi dia pada bulan Januari lalu tetapi saya meraikannya pada hari ini (semalam). Saya juga membawa ibu saya bersama-sama.

Boleh Nora ceritakan mengenai perkembangan kerjaya terkini?

Saya baru sahaja habis menjalani pengambaran telefilem Jujur Aku Dayus bersama pelakon Beto Kusyairi untuk slot Cerekarama 11 Februari ini. Memang sudah lama saya teringin berlakon di samping Beto dan peluang itu kini tiba. Selepas bercuti rehat dari 5 hingga 15 Februari ini saya akan ke lokasi penggambaran filem Aku Terima Nikahnya yang menggandingkan saya dengan pelakon Adi Putra. Alhamdulillah, tawaran lakonan datang tak putus-putus malah saya banyak menerima watak berat berbanding dulu yang lebih kepada watak-watak gadis comel dan periang.

Matlamat murni Cinta Masjid

Posted:

Matlamat murni Cinta Masjid

Matlamat murni Cinta Masjid

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


JAMIL (kiri) dan Bukhari (kanan) merasmikan papan tanda di hadapan Masjid Saidina Hamzah di Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur baru-baru ini.


SEBAGAI satu-satunya stesen televisyen siaran percuma yang berlandaskan syariah Islam, TV AlHijrah memperkenalkan sebuah program yang mengimarahkan institusi masjid dengan memperkenalkan sebuah program baharu iaitu Cinta Masjid.

Mungkin jika sebelum ini ada yang menganggap masjid hanya untuk menunaikan solat dan ilmu agama. Namun, sebenarnya masjid juga boleh menjadi pusat perkembangan ilmu dan kegiatan masyarakat setempat.

"Cinta Masjid bertujuan untuk memperlihatkan masjid-masjid yang mempunyai keistimewaan tersendiri yang boleh dijadikan masjid contoh oleh yang lain. Melalui program ini juga, masyarakat dapat perkongsian dari segi fakta dan usaha menjadikan institusi masjid sebagai pusat ekonomi, pendidikan, dan menghidupkan masjid seperti yang dituntut oleh agama Islam," jelas Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Che Bukhari Che Muda.


PELANCARAN program Cinta Masjid turut dimeriahkan dengan sudut pameran buku.


Antara aktiviti yang diadakan selama dua hari berturut-turut pada 4 dan 5 Februari lepas itu ialah aktiviti gotong-royong yang membersihkan kawasan masjid, majlis penyembelihan lembu untuk kenduri bersama masyarakat setempat, pertandingan azan dan mewarna bagi kanak-kanak.

Sementara, aktiviti lain yang diadakan adalah seperti aktiviti yang melibatkan kerjasama erat antara TV AlHijrah dan kariah serta jawatankuasa masjid yang termasuklah siaran secara langsung program berselawat sempena Maulidur Rasul pada hari pelancaran tersebut iaitu program Kuala Lumpur Berselawat.

Pada hari tersebut juga diadakan rakaman program hiburan Islam iaitu Program Dikir Zikir yang akan ditayangkan di saluran TV AlHijrah tidak lama lagi. Program Cinta Masjid juga tidak ketinggalan memberi peluang kepada penduduk setempat untuk mengenali personaliti TV AlHijrah seperti Ustaz Don, Chef Iskandar (hos program Menu Alam), Wan Kamaruddin (hos Khidmat Syariah), Amin Idris, Shahrul Faizi dan Irma Hasmie (hos bersama Assalamualaikum).


USTAZ Don tidak ketinggalan muncul untuk menyampaikan ceramahnya kepada hadirin yang datang.


Pelancaran Cinta Masjid telah dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang bertempat di Masjid Saidina Hamzah di Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur sebagai masjid pertama yang dipilih untuk menerima kunjungan TV AlHijrah.

Menurut Che Bukhari, program Cinta Masjid sebagaimana dirancangkan akan dijalankan sebulan sekali sehingga hujung tahun 2012.

"Insya-Allah jika kami masih mendapat tajaan daripada mana-mana syarikat, akan kami teruskan program ini. Namun, buat masa ini, program ini merupakan kolaborasi TV AlHijrah dan Kumpulan Karangkraf. Ini merupakan program kedua terbesar yang pernah TV AlHijrah anjurkan.

"Pertama kali di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu sempena menyambut hari ulang tahun pertama TV AlHijrah yang jatuh pada hari Maal Hijrah tahun lepas. Alhamdulillah sambutan masyarakat sangat menggalakkan serta kehadiran pada hari tersebut juga dianggarkan mencecah seramai 200,000 hingga 300,000 orang," jelasnya.