Adsense

Selasa, 7 Februari 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Mahu keluar kota cari protege

Posted: 06 Feb 2012 04:24 PM PST

Hip

Faizal sedia ulangi uji bakat jika gagal temui anak didik

FAIZAL TAHIR sedia mengadakan uji bakat kedua sekiranya calon protege yang memenuhi kriteria dikehendaki pada sesi pencarian Mentor musim keenam di Sri Pentas, di Bandar Utama, gagal ditemuinya.

Penyanyi merangkap komposer itu berkata, bukan mudah mencari protege yang punya aura dan jika perlu, dia sedia ke luar Kuala Lumpur bagi membuka peluang kepada bakat berpotensi yang terlepas sesi pertama. "Bagaimanapun, saya yakin kita punya ramai anak muda berbakat, cuma mungkin mereka gementar apabila berada di pentas uji bakat. Untuk menjadi anak didik saya, keyakinan, kemahiran komunikasi dan personaliti ialah keutamaan selain vokal.

"Daripada penampilan serta persembahan, saya sudah nampak calon yang benar-benar bersedia dan hanya perlukan suntikan semangat supaya mereka yakin terhadap diri sendiri," katanya yang ditemui ketika mengendalikan sesi terbabit, semalam.

Sejak pendaftaran dibuka pada jam 11 pagi, lebih 500 calon hadir menguji kebolehan vokal dan nyanyian masing-masing dengan tapisan awal dilakukan Ajai bersama Penerbit Mentor, Muhamad Sufian Isa.

Selain Faizal, pertandingan realiti mencari penyanyi pelapis kali ini membariskan lima lagi mentor daripada pelbagai latar belakang iaitu Fauziah Ahmad Daud, Ramlah Ram, Ella, Ferhad dan Adam AF.
Tidak mengehadkan peluang kepada calon yang boleh membawakan pop rock atau rock, penyanyi lagu Karma itu bagaimanapun enggan dirinya dilabel sebagai Mentor, sebaliknya hanya pembimbing kepada bakat muda.

Menganggap gelaran itu terlalu besar buatnya, sebagai individu yang turut menyerlah menerusi pertandingan realiti, akuinya dia sekadar mahu berkongsi pengalaman dan menurunkan ilmu yang boleh dijadikan panduan kepada penyanyi pelapis.

"Saya juga masih dalam proses pembelajaran dan apabila diamanahkan membimbing bakat muda, saya anggap ia amanah besar. Namun cukuplah melihat saya sebagai pembimbing, bukannya mentor," katanya lagi.

Mengulas mengenai protege pilihan, tegasnya biarlah individu terbabit mampu menonjol dengan aura tersendiri, bukan dibayangi penyanyi lain atau lebih tepat tidak menjadi klon artis.

"Saya sedar kadang-kadang kita terikut penyanyi idola. Macam hari ini, mujur tidak ramai yang membawakan lagu saya atau berusaha menjadi seperti saya kerana saya bukan mencari klon Faizal Tahir.

"Jadilah diri sendiri dan dendangkan apa juga genre lagu, asalkan sesuai dengan tona vokal atau pertandingan ini. Jika bagus sudah pasti boleh mara ke peringkat seterusnya, tetapi kalau 'hancur' saya tidak akan beri peluang kedua," katanya.

INFO

  • SESI uji bakat pertama membabitkan Fauziah diadakan pada 4 Februari, disusuli sesi Faizal, semalam. Seterusnya, uji bakat bersama Ramlah pada 11 Februari, Ferhad (12 Februari), Ella (18 Februari) serta Adam (19 Februari).
  • SEMUA uji bakat diadakan di Sri Pentas, Bandar Utama.
  • CABARAN Mentor musim baru akan disiarkan setiap Ahad bermula 4 Mac ini, jam 9 malam.
  • LIMA juara Mentor terdahulu ialah Pija, Fiq, Black, Mohamad dan Salma.

Penat layan lawak suami

Posted: 06 Feb 2012 04:16 PM PST

Hip

NABIL dan isteri.

NABIL dan isteri.

Nazirah akui Nabil tidak cerewet, rajin berkemas

ISTERI Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, Ahmad Nabil Ahmad, Nazirah Ayub, 24, akui cukup penat dengan telatah suaminya. Namun. tidak sesekali jemu mendengar lawak jenakanya, di rumah mahupun di luar.

Lebih tiga bulan mereka bergelar suami isteri, ikatan yang terjalin nyata semakin erat, lebih-lebih lagi apabila dapat melihat kemesraan kedua-duanya ketika bercuti bersama peminat dan pemenang Gemilang Bersama Bintang (GBB) ABPBH2010 ke Jakarta-Bandung, baru-baru ini. Sepanjang percutian empat hari tiga malam itu, Nazirah yang sentiasa di samping Nabil dilihat tidak lekang dengan senyuman dan sering tergelak besar setiap kali suaminya berjenaka, ataupun mengusik peminatnya.

"Alhamdulillah, kami memang bahagia sekarang dan peluang dapat bercuti merangkap prabulan madu kami sesuatu yang sangat menyeronokkan. Saya juga senang bergaul bersama Fasha Sandha, Black dan peminat mereka. Rasa seperti satu keluarga besar sedang bercuti pula.

"Bercerita mengenai Nabil, memang saya penat kerana idea lawaknya tidak pernah putus. Ada saja topik yang hendak dibualkan, begitu jugalah di rumah.

"Nabil hanya akan berhenti membuat lawak ketika dia tidur dan bermain game. Ketika itu pun saya sempat gelak kerana dalam serius bermain game, dia boleh marah TV sekiranya dia kalah. Namun, satu perkara mengenainya, dia tidak mahu dikacau ketika bermain game," kata Nazirah mendedahkan rahsia.
Bekas pramugari sebuah syarikat penerbangan tempatan, Nazirah akui senang bersuamikan Nabil yang tidak pernah cerewet dalam soal makan. Apa saja makanan yang terhidang akan dijamah tanpa banyak soal.

"Nabil memang tidak susah dalam bab makan. Dia suka lauk yang kering seperti ikan, ayam atau telur goreng dan kicap. Itu pun sudah cukup baginya. Ada kalanya saya saja masak makanan Negeri Sembilan atau mi kari yang memang digemarinya.

"Sejak duduk berdua ini, barulah nampak dirinya yang sebenar. Sebelum ini kami tinggal di rumah keluarga dan semua urusan, Nabil sering meminta ibunya yang buat termasuklah hidangan.

"Di rumah, Nabil memang rajin berkemas. Ketika kami berpindah, dialah yang mengemas seorang diri dan saya hanya membantu mana yang patut," cerita wanita peramah ini.

Sudah menjadi asam garam di alam perkahwinan, Nazirah memang mengakui ada kalanya sedikit perselisihan faham timbul juga, membuatkan mereka pernah bermasam muka.

"Tidak dinafikan memang pernah kami berselisih faham, gaduh-gaduh manja. Biasalah, masing-masing masih mahu mencari keserasian. Namun tidaklah serius kerana kami gaduh sekejap saja.

"Biasanya Nabil yang cepat mengalah kerana kami sebenarnya memang tidak boleh lama berjauhan, walaupun di rumah sendiri. Saya juga akan cepat kalah jika dia buat lawak, untuk mengambil hati saya," kata Nazirah yang kini bergelar suri rumah sepenuh masa.

Sebagai isteri kepada artis popular, Nazirah berkata, dia menipu sekiranya tiada perasaan curiga terhadap suaminya, lebih-lebih lagi jika terpaksa mengikuti penggambaran di luar kawasan.

"Sedikit sebanyak ada rasa curiga kerana dia orang yang dikenali. Dari dulu pun memang saya harus belajar memahami kerjayanya sebagai penghibur. Begitu juga dia harus tahu tanggungjawabnya sebagai suami. Kami tidak boleh bergaduh hanya kerana benda kecil dan masing-masing harus bijak memahami.

"Saya juga saya jarang ikut dia ke lokasi. Jika dia buat persembahan dalam masa dua jam, saya masih boleh ikut. Tetapi jika dia menjalani penggambaran filem, memang saya tidak akan ikut," katanya.