Adsense

Jumaat, 27 Januari 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Tenang berdepan musibah

Posted: 26 Jan 2012 05:00 AM PST

MEREDAH jauh ke Tasik Chini mengikuti pengembaraan si juara Akademi Fantasia (AF) 7, Hafiz, bulan lalu untuk menyiapkan muzik video projek khasnya bersama Muzium Negeri Pahang, Kita Satu adalah satu perjalanan penuh warna.

Hafiz laju bercerita sambil menyifatkan setiap apa yang dizahirkan sebagai satu pandangan semata-mata.

Namun jauh di hatinya, Hafiz mengakui status selebriti yang diheret membuatkan dirinya sentiasa sedar kisah peribadinya menjadi tatapan umum walaupun berat untuk jiwanya menerima hakikat itu.

Jelas Hafiz: "Inilah yang saya pelajari sejak awal melangkah menjadi penyanyi.

Kisah peribadi bukan lagi rahsia kerana setiap gerak-geri sudah menjadi perhatian ramai. Lantas jika ada bertanya mengenai perasaan saya setiap kali terpalit kontroversi atau kisah negatif, saya hanya pasrah dan berharap agar kisah itu lekas hilang," katanya.

Tambah Hafiz yang kini baru berusia 21 tahun, dia enggan terus dibabitkan dengan kontroversi percintaannya dengan finalis AF, Adira serta pergaduhan yang pernah berlaku antaranya dengan seorang 'pengkid' yang dikatakan bekas kekasih Adira ketika itu.

Namun kini, jiwanya tenang dan lapang.

Entah apa punca dan silapnya, hubungan anak kelahiran Kuching, Sarawak ini dengan Adira terkandas di tengah jalan.

"Saya tidak mahu lagi berbicara soal cinta, apatah lagi apabila mengaitkan lagi saya dengan sesiapa yang sebelum ini pernah punya sejarah dengan saya.
Biarlah yang berlalu itu terus hanyut dan usah lagi diimbas kembali kerana saya menganggapnya sebagai satu pengajaran yang mematangkan saya," katanya tersenyum.

Jelas si pemilik nama sebenar, Mohd Hafiz Mohd Suip ini lagi, sudah tiba masanya untuk meletakkan sepenuh fokus pada kerjaya dan percaturan masa depan tanpa perlu membebankan lagi dengan kisah remeh.

"Saya pegang pesan ayah dan ibu, sebelum sibuk menyayangi orang lain, perlu ingat akan diri sendiri. Lantas saya melihat apa yang pernah dibisikkan kepada saya itu adalah benar belaka. Mengapa harus saya memperjudikan diri sendiri untuk sesuatu yang belum pasti. Justeru, kini saya lebih berhati-hati agar tidak lagi tersilap langkah.

"Namun tidak sekelumit kesal atau terkilan dengan apa yang berlaku terutama berkaitan isu cinta dan pergaduhan sebelum ini kerana semua itu saya lihat sebagai satu pengalaman yang sebenarnya mendewasakan saya. Saya selalu bersyukur kerana apa yang berlaku tidak semuanya berlaku begitu saja, sebaliknya ia membekas 1,001 pengajaran untuk saya lebih matang.

"Kini saya mahu tumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya seronok dengan apa yang dimiliki hari ini.
Walaupun masih muda dan baru, saya sudah dapat apa yang pernah diimpikan sebelum ini. Cuma sekarang saya perlu lebih bekerja keras untuk terus membina nama dan profil sebagai seorang penyanyi," katanya.

Hafiz yang juga anak sulung daripada tiga beradik ini pernah diangkat Vokal Terbaik dan seterusnya mendapat tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu ke-25 tahun lalu menerusi lagu keramatnya, Noktah Cinta.

Malah ketika Anugerah Planet Muzik (APM) tahun lalu, sekali lagi Hafiz berjaya merangkul anugerah Lagu Terbaik Malaysia dan Lagu Terbaik Keseluruhan menerusi lagu Awan Nano.

Jelas Hafiz yang menyifatkan perjalanan kerjayanya sebagai satu permulaan utopia indah buatnya, apa yang penting adalah terus mengukuhkan nama yang ada serta menguatkan lagi empayar yang sudah sedia dibina.

"Saya bersyukur kerana peminat menerima saya seadanya. Malah saya berasa amat bertuah kerana sentiasa berpeluang bekerja dengan ramai komposer yang hebat serta menyanyikan lagu yang indah. Itu satu pencapaian buat saya apabila ramai pihak meletakkan kepercayaan kepada saya. Saya fikir ini adalah peluang terbaik untuk saya kembangkan kerjaya.

"Sekarang saya menerima pula undangan untuk melebarkan sayap jauh ke Indonesia pula selepas ada pihak yang berminat untuk memasarkan album saya di sana sebaik melihat kemenangan saya ketika di APM lalu. Lagu Awan Nano yang dicipta M Nasir sememangnya sebuah lagu yang indah dan sukar untuk diterjemahkan dalam bentuk nyanyian.

"Saya gembira apabila ada pihak melihat keistimewaan itu. Sekarang saya sedang sibuk bersama pihak pengurusan untuk mencatur langkah ke seberang kerana inilah ruang terbaik buat saya jika ingin bertahan lama. Album saya akan dipasarkan di seluruh Indonesia dan jika diberi kesempatan, saya ke sana untuk sebuah persembahan pentas nanti.

"Ini satu lagi perancangan yang baik buat saya kerana setidak-tidaknya, saya dapat membuktikan sesuatu kepada keluarga dan peminat yang tidak henti menyokong selama ini," katanya yang bersedia memperkenalkan Awan Nano dan Noktah Cinta buat peminat di sana.

Setakat ini, Hafiz sudahpun menerima dua lagu sentuhan komposer di sana.
Impiannya untuk berduet atau bekerjasama dengan idolanya, Giring (Nidji).

"Saya sekarang mengumpul material untuk album baru. Genre dan konsepnya masih sama iaitu pop balada yang sememangnya menjadi kekuatan kepada saya. Insya-Allah, album terbaru ini akan dipasarkan selewat-lewatnya pertengahan tahun ini bagi mengubati kerinduan peminat yang sering kali bertanya," katanya.

Trivia Hafiz

  • Hafiz pernah mengacara program Menuju Puncak di Astro Ria.
  • Terbabit dalam projek alih suara bahasa Malaysia untuk watak Ben Tennyson dalam Ben 10: Alien Swarm.
  • Terbabit dalam teater KITA The Musical pada 2010.
  • Menerima Anugerah Ikon Belia Sarawak untuk Kategori Kebudayaan dan Kesenian sempena Majlis Perhimpunan Belia Sarawak 2011.
  • Pertaruhkan lagu Awan Nano pada Anugerah Juara lagu ke-26, Ahad ini.


  • Full content generated by Get Full RSS.

    Podium promosi program RTM

    Posted: 26 Jan 2012 04:47 AM PST

    MERAIH tumpuan penonton menyaksikan sesuatu program hingga mencatat rating tinggi menjadi matlamat kebanyakan program TV apabila bersiaran. Namun, usaha ini bukan mudah dicapai tanpa faktor kandungan program berkualiti dan paling penting, soal promosi memainkan peranan lebih aktif.

    Menyedari kepentingan promosi dalam menyampaikan maklumat mengenai program bersiaran kepada penonton, Radio Televisyen Malaysia (RTM) melangkah setapak ke hadapan memperkenalkan program baru dikenali Podium.

    Membawa kelainan pada program ini, Podium bertindak sebagai platform promosi menghebahkan senarai program menarik yang akan disiarkan menerusi saluran TV1 dan TV2.

    Produser merangkap pengacara, Hairy Samsuddin berkata, siaran program ini bermula sejak 1 Januari lalu menerusi TV1 jam 1 petang, 7 dan 8 malam manakala 9.58 malam di TV2. Bersiaran setiap hari, program ini hanya mengambil durasi siaran selama dua minit.


    "Matlamat program ini mahu mempromosi pelbagai program menarik yang disiarkan RTM menerusi dua saluran ini. Program ini sebenarnya turut merancang disiarkan di saluran TVi (saluran 180) di Astro dijangka bermula awal Mac nanti.


    "Untuk TV1, RTM memilih mempromosikan program dokumentari popular, National Geographic bersiaran jam 7 malam manakala TV2 menampilkan program jajaran dinamakan Sinema, setiap hari jam 10 malam.

    "Bermula Isnin, Podium mempromosikan slot Teater Lagenda P Ramlee diikuti Citra menampilkan drama Melayu pada Selasa, Bollywood (Rabu), Golden Dragon (Khamis) dan filem Inggeris menerusi Blockbuster disiarkan selama tiga hari pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.

    "Menerusi Podium, RTM berharap usaha promosi ini dapat membantu menaikkan rating program-program ini. Program ini dijalankan secara bergerak termasuk turun padang bertemu penonton lebih dekat," katanya ketika dihubungi semalam.

    Hairy yang pernah mengacara program hiburan Diva, menyatakan program seperti National Geographic antara yang meraih sambutan tinggi sehingga pernah mencecah sejuta penonton. Dalam pada itu, program ini yang mendapat sokongan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) juga bertindak mempromosi sukan Olimpik selepas RTM menjadi penyiar rasmi.

    "Podium akan mempromosikan program sukan Olimpik dan senarai program ini bakal dimaklumkan kemudian. Fokus program ini bukan saja di TV tetapi sebolehnya kami mengadakan aktiviti turun padang membabitkan penonton turut serta.

    "Selain usaha RTM mempromosi program terbaik yang disiarkan, Podium juga bertindak memperkenalkan tujuh penyampai yang bertanggungjawab mengendalikan program ini setiap hari.

    "Barisan penyampai ini antara wajah baru yang dipilih menerusi uji bakat.
    Asalnya, saya memilih mereka yang mempunyai karakter bersesuaian dengan RTM untuk menampilkan suatu yang baru dan segar.

    "Oleh itu, pemilihan penyampai baru dilakukan dan walaupun tanpa pengalaman mengacara, mereka diberi latihan intensif selama seminggu dari jam 8 pagi hingga 6 petang sebelum ke udara.

    "Alhamdulillah, saya lihat perubahan pada penampilan diri mereka dari minggu pertama ada sedikit kekurangan tetapi pada minggu seterusnya, mereka membuktikan mempunyai pengikut sendiri," katanya.

    Barisan penyampai termasuk Arief Farhan, Cha Sulaiman, Fafa Azmi, Sha-Sha Al-Alkhred, Azizi Zakaria, Sharmin Looi dan Hairy. Rakaman dijalankan setiap minggu di perkarangan lobi Wisma TV, Angkasapuri, Kuala Lumpur menyaksikan Arief mengacara pada Isnin diikuti Cha (Selasa), Sharmin (Rabu), Hairy (khamis) manakala gandingan Azizi dan Fafa untuk siaran Jumaat, Sabtu dan Ahad.

    "Podium mempunyai penyampai daripada pelbagai latar belakang berbeza seperti Arief seorang pelakon, Cha penyanyi di bawah komposer Julfekar, Shermin dan Fafa terbabit dalam bidang peragaan, Azizi juga penyanyi manakala Sha-Sha pernah menimba pengalaman sebagai peserta program Pilih Kasih musim kedua.

    "Kami melakukan siaran di lobi kerana ingin memberi tarikan pada pengunjung yang hadir ke Angkasapuri melihat sendiri bagaimana rakaman dijalankan.

    "Idea Podium dicetuskan Ketua Penolong Pengarah, Unit Pemasaran dan Promosi RTM, Zamzarina Zamri dan saya sendiri berpandangan program ini banyak membantu menaikkan rating program disiarkan di RTM," katanya.

    Memberi tarikan, Podium juga mahu menarik perhatian penonton menyertai kuiz yang disiarkan menerusi program National Geographic dan Blockbuster. Kedua-dua kuiz ini dijalankan selama 20 minggu bermula 16 Januari sehingga 3 Jun.

    "Sebanyak 40 i-Pad2 menanti untuk dua pemenang setiap minggu diberikan menerusi program National Geographic manakala seorang pemenang setiap minggu untuk program Blockbuster.

    "Menariknya, hadiah bonanza untuk Blockbuster iaitu kereta Perodua Myvi akan menjadi rebutan untuk pemenang mingguan dan perlu menonton setiap program ini untuk menjawab kuiz yang disediakan," katanya.



    Full content generated by Get Full RSS.