Utusan Online - Hiburan |
Posted: Tidak akan sorok hal kahwinOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
BUTIR bicaranya diatur satu persatu. Barangkali jelitawan ini tidak mahu lagi kata-katanya disalah erti dan menjadi permainan pihak tertentu yang tidak senang dengan dirinya. Apatah lagi apabila soalan yang diajukan kepadanya adalah tentang soal perkahwinan yang dikatakan akan berlangsung dalam waktu terdekat ini. Di alam maya sudah heboh membicarakan isu perkahwinan Fasha Sandha. Lebih-lebih lagi apabila beberapa keping gambar dirinya yang sedang mencuba gaun pengantin sudah tersebar. Tidak cukup dengan itu, angin sepoi-sepoi bahasa juga mula bertiup apabila Fasha dan kekasihnya, Toh Muda Rizal Ashram Ramli atau Jejai dikatakan memilih Jakarta, Indonesia sebagai lokasi untuk memeterai cinta mereka pada bulan Februari depan. Lalu, apabila bertemu dengan si cantik manis ini, peluang itu diambil untuk bertanyakan kebenaran di sebalik khabar angin yang sedang bertiup kencang tatkala ini. Hanya melemparkan senyuman manis, Fasha nampaknya lebih selesa mengunci rapat mulutnya sebagai tanda untuk tidak mahu bercerita lanjut tentang perkahwinannya. "Apa yang boleh saya katakan, saya tidak mahu menjaja cerita tentang perkahwinan saya berlebih-lebihan selagi masanya belum tiba. "Ini adalah tentang soal jodoh. Kita sendiri tidak tahu apa yang bakal terjadi di kemudian hari. Seandainya saya terus mencanang tentang cerita kahwin saya tetapi jika ada sesuatu yang terjadi, saya juga yang akan menanggung akibatnya. "Jadi, adalah lebih baik untuk saya menunggu masa yang sesuai untuk menghebahkan kepada umum. Saya sama sekali tidak akan menyorokkan hal perkahwinan saya kepada umum. Itu janji saya," kata Fasha dalam nada sedikit tegas namun penuh diplomasi sewaktu ditemui pada majlis pelancaran filem Penanggal di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Menyentuh tentang hari perkahwinannya yang dikatakan akan berlangsung pada bulan Februari pula, Fasha dengan pantas memberitahu perkara itu tidak mungkin akan berlaku. Ini kerana katanya, ketika itu dia akan berada di Paris, Perancis selama 10 hari bagi menyempurnakan penggambaran drama bersiri terbaru lakonannya, Seindah Sakura bersama Fahrin Ahmad. Bersedia Mengulas lanjut tentang perkahwinannya juga, satu yang pasti kata pemilik nama penuh Nur Fasha Sandha Hassan itu, dia tidak akan membuat sidang akhbar khas seperti artis lain untuk mengumumkan hari perkahwinannya. "Seperti mana yang saya jelaskan tadi, saya tidak akan sesekali menyorokkan perkahwinan saya dan saya akan pastikan semua media akan mendapat berita itu dengan adil dan saksama. "Itu juga antara faktor mengapa saya tidak mahu menceritakan lebih lanjut tentang perkahwinan saya kerana tidak mahu ada yang berkecil hati. "Bagaimanakah caranya untuk saya membuat pengumuman nanti, semuanya masih belum saya fikirkan. Doakan yang terbaik untuk saya," kata pelakon drama bersiri Natasha, Chinta dan Cinta Elysa ini sambil tersenyum manis. Menyentuh tentang kesediaannya untuk menjadi seorang isteri dan ibu, Fasha dengan penuh terbuka memberitahu dia sememangnya sudah bersedia ke arah itu. Malah, aktres berusia 27 tahun itu juga bersedia untuk melepaskan kariernya sebagai seorang pelakon demi menumpukan perhatian kepada rumah tangga. "Saya memang sudah lama bersedia. Apabila sudah bergelar isteri nanti, saya mahu menjaga rumah tangga, fokus kepada keluarga dan perniagaan. "Kalau berlakon pun, saya akan memilih projek yang terbaik sahaja. Dalam konteks ini, saya mengagumi dan mahu menjadi seperti Datin Sofia Jane yang bijak membahagikan masanya untuk keluarga dan kerjaya seni," ujar anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu penuh bersungguh. Sebagai langkah persediaan, dia merancang dan menanam impian untuk melebarkan lagi sayap perniagaannya, Chinta Hair Salon & Beauty dengan membuka cawangan kedua. Memandangkan peminatnya cukup ramai di negeri kelahirannya, berkemungkinan besar Fasha akan memilih lokasi tersebut untuk membuka cawangan salon kecantikannya itu. Bercerita tentang sambutan terhadap Chinta Hair Salon & Beauty yang sudah hampir setahun beroperasi di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Fasha melahirkan rasa syukurnya dengan kunjungan pelanggan yang tidak pernah putus. "Saya juga sendiri turun padang mengunjungi salon saya sekurang-kurangnya empat kali seminggu baik sebelum atau selepas penggambaran. "Ini penting buat saya untuk mendapat maklum balas daripada pelanggan dan peminat secara terus demi kebaikan perniagaan saya juga. "Bukan itu sahaja, dengan adanya saya di salon, ia juga memberi peluang untuk saya bertemu dengan peminat. Inilah juga masanya untuk mereka beramah mesra dan mengambil gambar bersama saya. "Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan sambutan dan rezeki yang diberikan kepada saya menerusi salon ini," kata anak kedua daripada empat beradik ini lagi. Semakin memilih Hampir sedekad melayari lautan seni sebagai seorang aktres, bukan sedikit cabaran yang harus dilalui Fasha. Seringkali juga lakonan dan lontaran suaranya dipersenda masyarakat, tetapi Fasha yang mula dikenali menerusi filem Black Maria (2003) ini lebih selesa melihatnya dari sisi positif. Begitu juga dengan kisah panas dan kontroversi yang tidak pernah berenggang dengan Fasha sejak menjadi pelakon, namun baginya, itu adalah pengalaman yang semakin mematangkan dirinya. "Pada awal pembabitan saya dalam bidang lakonan, semuanya adalah untuk mencari peluang dan mencuba nasib. Alhamdulillah, nasib memang menyebelahi saya apabila saya didatangi dengan tawaran berlakon yang tidak pernah putus. "Semakin saya dewasa dengan pengalaman yang saya perolehi sepanjang perjalanan saya dalam dunia seni, saya melihat saya semakin matang dalam apa jua yang saya lakukan. "Begitu juga dengan soal tawaran di mana saya semakin selektif dan memilih kerana saya mahu meluaskan lagi bakat lakonan saya. Enggan menjadi pelakon stereotaip, saya cuba mencari watak dan skrip yang dapat mencabar diri saya," kata aktres filem Berlari Ke Langit, Cicakman dan Anak Halal ini lagi. Mengenali Fasha, dia antara pelakon yang terkenal dengan disiplinnya lalu tidak hairan mengapa dia terus menjadi pilihan penerbit dan pengarah drama tempatan. Tidak mahu dilabelkan sebagai tamak, setinggi mana pun darjat popularitinya, Fasha memberitahu dia masih lagi selesa untuk menerima satu tawaran sahaja dalam satu-satu masa. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Solehah platform timba ilmuOleh KHADIJAH IBRAHIM (DARI kiri) juara Solehah, Amie Sofia Ahmad, Wan Nor Mazuani Wan Mokhtar (kedua) dan Nurul Eswani Syafazlin Abdul Halim bersama hadiah masing-masing di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur, baru-baru ini. TUJUAN Amie Sofia Ahmad, 25, menyertai program realiti Solehah terbitan TV AlHijrah adalah untuk menjadikan ia sebagai platform menimba ilmu. Namun siapa sangka, Amie Sofia, bukan sahaja berpeluang mengumpul ilmu selama 13 minggu daripada program yang bermula pada 23 September lalu, malah dia turut dilimpahi rezeki yang tidak diduga. Sebagai juara Solehah yang berlangsung di Dewan Muktamar Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur, malam Jumaat lalu, anak bongsu daripada enam beradik itu menerima sebuah kereta Proton Saga FLX 1.3, wang tunai RM30,000, trofi, hadiah perabot bernilai RM10,000 serta pakej umrah. Amie Sofia yang merupakan anak kepada pengarah Ahmad Ibrahim atau Mat London berkata, berdasarkan prestasinya sepanjang program berlangsung dia hanya berani mengimpi kedudukan di tangga kedua atau ketiga. "Sungguh, saya tidak duga akan jadi juara, sebab semua peserta hebat berbanding saya. Sebab itu jugalah, saya hanya impikan tempat kedua atau ketiga sahaja. "Apa pun saya bersyukur. Saya ingat nak bagi kereta pada mama dan akan guna wang kemenangan untuk sambung pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang kaunseling di Universiti Utara Malaysia (UUM) tahun depan," katanya yang menerima hadiah daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Amie Sofia yang berpengalaman sebagai guru hafazan dan pendidikan Islam di Institusi Al-Quran Kuala Lumpur yang juga pemegang Ijazah Takhassus Qiraat, Universiti Al-Azhar itu berharap perjuangannya untuk menyalurkan syiar Islam di kalangan generasi muda dipermudahkan Allah. Sementara itu, Wan Nor Mazuani Wan Mokhtar, 22, yang merupakan pemenang kedua Solehah pada malam penentu itu berjaya membuat hati penonton terusik. Dia yang pada mulanya memilih tajuk Perintang Ibadah sebagai intipati tazkirah akhirnya menukar kepada Pengertian Solehah. "Saya tukar tajuk sebab merasakan tajuk itu lebih dekat dengan diri. Sebelum saya mengajak orang berubah, saya sendiri perlu berhijrah. "Ternyata program Solehah ini banyak menggubah saya dan perubahan itulah ingin saya kongsikan dengan orang ramai menerusi tazkirah yang saya sampaikan," katanya. Sebagai pemenang kedua, Wan Nor Mazuani menerima wang tunai RM20,000, pakej umrah, perabot serta trofi. Bagi pemenang ketiga Solehah, Nurul Eswani Syafazlin Abdul Halim, 24, dari Kulim Kedah, berkata, dia menyertai Solehah dengan niat untuk mempertingkatkan kemahiran diri. Katanya, sepanjang program berlangsung, dia bukan sahaja dapat menimba ilmu, malah memperkukuhkan jati diri. "Saya tidak pernah impi bertanding macam ini. Apa pun program ini memberi kesan besar kepada diri saya. Setelah apa yang dilalui, kini rasa tanggungjawab untuk mengembangkan syiar Islam lebih menebal," katanya yang menerima wang tunai RM10,000, pakej umrah, perabot dan trofi. Lain-lain peserta Solehah yang bertanding pada acara yang dikendalikan oleh Nurul Iman Dzulkefly dan Irma Hasmie Ibrahim itu adalah Wan Suhaili Wan Mohd. Yusof, 24, Mariyam Sa'ari, 24, Sarah Azizul, 25, Siti Adibah Zelkefly, 21, Rosmarieza Rafiee, 25, Renny Johnnuin, 21, dan Tuan Nor Shazni Tuan Muda, 23. Sementara itu, tiga juri tetap iaitu Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail, Prof. Madya Dr. Mariani Md. Nor dan Isfadiah Mohd. Dasuki diberi tanggungjawab untuk menilai para peserta sejak awal hingga akhir episod. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |