macam macam hiburan terkini |
- Shila Amzah Akui Janggal Dipanggil 'Nabella'
- Aaron Aziz Teruja Mahu Bertarung Dengan Rosyam
- Ayu Raudhah Sukar Lakonkan Aksi Intim
- Elly Suriati Menangis Kerana Keguguran
- Akui Terkejut, Faizal Tahir Tidak Bersedia Sertai 'Mentor'
Shila Amzah Akui Janggal Dipanggil 'Nabella' Posted: 28 Dec 2011 08:48 PM PST PETALING JAYA: Penyanyi Shila Amzah (gambar)yang kini bergelar pelakon tidak selesa dipanggil Nabella selepas muncul dalam telefilem Patah Seribu arahan Michael Ang. Menurut Shila, pengalaman tersebut menyeronokkan tetapi cabaran terbesar apabila dia terpaksa menjadi orang lain melalui watak Nabella. "Biasanya orang memanggil saya dengan nama Shila, jadi saya rasa janggal apabila dipanggil Nabella. "Bagaimanapun, Michael dan hero telefilem ini iaitu Sharnaaz Ahmad tidak lokek untuk memberi tunjuk ajar kepada saya memandangkan saya baru pertama kali berlakon. "Saya juga rasa seronok kerana dapat menyesuaikan keadaan dengan krew produksi yang sama membikin penggambaran muzik video lagu Patah Seribu sebelum ini," katanya ketika dihubungi mStar Online. Kata Shila, telefilem yang turut dilakonkan oleh Amar Baharin, Sharifah Shahora, Jasmin Hamid dan Mahmud Ali Bashah itu dijangka akan disiarkan pada Februari 2012. "Saya memang meminati bidang lakonan cuma sebelum ini saya tidak mempunyai kesempatan untuk mencubanya. "Saya anggap tawaran untuk berlakon dalam telefilem ini sebagai takdir memandangkan Michael juga telah bertungkus-lumus membuat muzik video saya dan merasakan jalan ceritanya agak menarik. "Sebab utama saya memilih untuk berlakon juga kerana telefilem ini menggunakan tajuk lagu nyanyian dan ciptaan saya serta berlandaskan kepada jalan cerita dalam lagu itu. "Lagu Patah Seribu turut dipilih sebagai lagu tema," ujarnya. Tambah Shila lagi: "Ramai peminat yang tidak sabar untuk menonton lakonan saya dan saya menganggap telefilem Patah Seribu sebagai hadiah untuk mereka pada 2012 nanti." Shila tidak menolak sekiranya ditawarkan untuk berlakon lagi selepas ini sekiranya ada watak yang sesuai. "Buat masa sekarang, saya mahu tumpukan pada nyanyian dan pada tahun depan saya mempunyai banyak perancangan untuk nyanyian," katanya yang akan melancarkan muzik videonya serentak dengan telefilem tersebut kelak. Bagaimanapun, peminat sudah boleh menonton muzik video itu di YouTube. Menyentuh tentang hubungannya dengan heronya dalam Patah Seribu iaitu Sharnaaz Ahmad, Shila akui mereka masih berkawan tetapi hubungan itu sudah melebihi dari kawan. "Hubungan kami sudah melepasi lebih dari kawan tetapi bukan kekasih. Saya mengenalinya sudah lebih setahun dan mula rapat sejak Anugerah Skrin 2011," katanya menjawab spekulasi hubungannya dengan Sharnaaz yang dikatakan sedang hangat bercinta. |
Aaron Aziz Teruja Mahu Bertarung Dengan Rosyam Posted: 28 Dec 2011 08:47 PM PST PETALING JAYA: Pelakon popular filem Ombak Rindu, Aaron Aziz, 35, (gambar) yang sedang menjalani penggambaran filem KL Gangster 2 teruja menunggu babak pertarungan dengan pelakon Rosyam Noor dalam filem tersebut. Menurut Aaron, ini merupakan kali pertama dia berlakon dengan Rosyam dan adegan pergaduhan tersebut dijangka mengambil masa selama tiga hari berturut-turut untuk disiapkan. "Saya dan Rosyam akan bertarung dalam satu adegan pergaduhan yang agak besar selama tiga hari bermula 8 Januari depan di lokasi yang belum diketahui. "Dalam filem ini, saya dan Rosyam bermusuh. Pengarahnya Syamsul mengambil keputusan untuk melakukan penggambaran aksi pertarungan besar ini pada akhir penggambaran," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Rabu. Tambah Aaron lagi, untuk adegan aksi ngeri, dia melakonkan sendiri watak berkenaan seperti yang diminta oleh Syamsul. "Alhamdulillah, setakat ini saya tidak mengalami apa-apa kecederaan sewaktu melakon aksi bertarung walaupun waktu itu saya perlu bertarung dengan ramai orang. "Cuma masalah kepenatan akan mengganggu konsentrasi persembahan lakonan saya," ujarnya. Menyentuh tentang babak pertarungan, Aaron perlu belajar teknik-teknik tertentu untuk menjadikan lakonannya dalam filem tersebut lebih menarik. "Biasanya, setiap koreografi dilakukan semasa hari penggambaran tanpa ada latihan. Alhamdulillah, saya dapat melakukan koreografi aksi itu. Bagaimanapun, apa yang saya persembahkan tidak mungkin dapat menandingi gaya lakonan pelakon Ong Bak, Tony Jaa," ujarnya. Selepas mendapat perhatian peminat menerusi drama Nora Elena, Stanza Cinta, KL Gangster dan Ombak Rindu, Aaron tidak menafikan tawaran lakonan untuknya semakin bertambah sehingga menyebabkan dia perlu bersikap memilih. "Selepas ini saya akan memasuki penggambaran filem psiko seram berjudul Kerat 14 arahan S Baldev di samping Siti Saleha. "Pada penghujung Februari pula saya akan berlakon dalam drama adaptasi novel Adam dan Hawa terbitan Astro," kata Aaron. Selain itu, dia akan terbang ke Tokyo, Jepun pada 11 Januari depan untuk menjayakan program sukan perlumbaan kereta anjuran M7 setelah dilantik sebagai Duta minuman Drive M7 pada 17 September lalu. "Saya akan mengambil peluang ke Jepun pada awal Januari ini untuk bercuti dengan isteri saya, Diyana Halik. "Selepas itu, mungkin saya akan membawa anak-anak dan isteri saya ke Australia untuk menjalani penggambaran Adam dan Hawa pada hujung Februari depan," katanya. Adam dan Hawa dijangka akan menjalani penggambaran di tiga lokasi uar negara iaitu Australia, Mekah dan India. |
Ayu Raudhah Sukar Lakonkan Aksi Intim Posted: 28 Dec 2011 08:47 PM PST PETALING JAYA: Pelakon Ayu Raudhah mengakui sukar untuk melakon adegan intim dan romantik dengan pelakon Aqasha menerusi drama Gemersik Kalbu. Disebabkan itu dia terpaksa membuat latihan beberapa kali untuk memastikan adegan itu berjaya dilakonkan mengikut kehendak pengarah, Heykal Hanafiah. "Saya mengalami cabaran ketika babak intim seperti berlakon di atas katil disebabkan status saya sebagai isteri orang. "Jadi, untuk mengatasi masalah itu, saya kena rehearsal beberapa kali," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran drama "Gemersik Kalbu" baru-baru ini. Drama ini bakal disiarkan di TV3 mulai 2 Januari depan menerusi slot Akasia pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 7 malam. Kata Ayu, dia sudah meminta kebenaran daripada suaminya, pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha untuk melakonkan adegan berkenaan dan mendapat "lampu hijau" daripada suaminya itu. "Suami saya profesional dan membenarkan saya melakonkan babak itu. Kadangkala, dia ada mengikut saya ke set penggambaran jika berkesempatan," katanya. Beralih kepada kehidupannya selepas hampir setahun bergelar isteri, Ayu masih menunggu rezeki cahaya mata selepas mengalami keguguran pada 26 Oktober lalu. "Selepas berakhir penggambaran drama ini, saya akan berehat sementara menerima tawaran lakonan yang lain," katanya yang memegang watak Raihana. Drama ini merupakan hasil adaptasi dari novel "Gemersik Kalbu" yang ditulis oleh Anis Ayuni. Sebelum berlakon drama ini, Ayu sempat menghabiskan bacaan novel tersebut selepas mendapat skrip daripada pengarah. |
Elly Suriati Menangis Kerana Keguguran Posted: 28 Dec 2011 08:46 PM PST PETALING JAYA: Pelakon, Azri Iskandar memberitahu isterinya, Elly Suriati sering menangis kerana tertekan selepas mengalami keguguran ketika mengarahkan filem Penanggal di Kampung Sayong, Kuala Kangsar, Perak pada Rabu. Azri berkata, isterinya seolah-olah tidak boleh menerima kenyataan kerana kehilangan bayi ketika usia kandungan itu telah mencecah empat bulan. "Saya bimbang Elly tertekan dengan apa yang berlaku dan saya sering menyatakan kepadanya bahawa ia bukan salah sesiapa kerana itu adalah ketentuan Allah SWT. Walaupun sedih saya berusaha untuk menenangkan dia," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu. Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, Elly dikatakan menyedari mengalami keguguran apabila hendak membuang air kecil dan secara tiba-tiba berlaku pendarahan yang memaksanya di bawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Azri berkata, selepas membuat pemeriksaan, doktor mengesahkan Elly mengalami keguguran dan terpaksa ditahan di Hospital Kuala Kangsar. Elly ketika kejadian Elly baru sahaja selesai merakamkan adegan pada waktu malam filem itu yang berakhir sehingga lewat pagi. "Penggambaran filem habis lewat sehingga pukul enam pagi. Keguguran itu berlaku mungkin disebabkan dia terlalu aktif dan lasak ketika di lokasi namun itu adalah suratan daripada-Nya," kata Azri. Terdahulu sebelum ini, Elly dan Azri berkongsi khabar gembira apabila memberitahu mereka bakal menimang cahaya mata keempat dan pengumuman itu dibuat semasa pelancaran filem Penanggal baru-baru ini. Elly yang ditemui nyata gembira dengan kehadiran orang baru dalam keluarga mereka dan memberitahu yakin dapat melakukan kerja-kerja pengarahan walaupun sedang berbadan dua. Azri Iskandar. Hasil perkongsian hidup pasangan itu dikurniakan tiga orang anak namun anak keduanya telah meninggal dunia. Dalam perkembangan lain, Azri berkata, penggambaran filem Penanggal yang turut menampilkannya sebagai pelakon akan dihentikan buat beberapa hari sementara menunggu keadaan kesihatan Elly kembali pulih. Penanggal adalah filem arahan pertama Elly dan dibarisi oleh pelakon seperti Zul Ariffin, Umi Shazera, Fasha Sandha dan Datuk Sharifah Aini. |
Akui Terkejut, Faizal Tahir Tidak Bersedia Sertai 'Mentor' Posted: 28 Dec 2011 08:45 PM PST PETALING JAYA: Penyanyi Faizal Tahir terkejut apabila namanya diumumkan sebagai salah seorang daripada enam mentor terpilih bagi program Mentor musim keenam yang bakal diadakan pada tahun hadapan. Pengumuman tersebut dilakukan pada sidang media khas pelantikan enam mentor bagi musim tersebut termasuklah Ramlah Ram, Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Ella, Adam dan Ferhad di Sri Pentas TV3, di sini, Rabu. Faizal berkata, dia sebenarnya masih lagi berfikir dengan tawaran untuk menggalas tanggungjawab sebagai mentor kepada bakat-bakat baru dan tidak memberi apa-apa kata putus kepada pihak TV3 tetapi tidak sangka namanya terus dipanggil pada pengumuman tersebut. "Sebenarnya saya berada di Sri Pentas pada hari ini (Rabu) untuk membincangkan mengenai Anugerah Juara Lagu (AJL) dan tidak sangka pula selepas itu saya menyertai sidang media ini kerana saya belum membuat apa-apa lagi keputusan (mengenai Mentor). "Bagaimanapun, saya terima pemilihan ini. Memang pada mulanya saya enggan sertai Mentor 6, tetapi penerimaan tawaran ini juga bukan kerana terpaksa. Saya akan buat sedaya yang mungkin," katanya. Beritahu penyanyi yang popular dengan lagu "Karma" ini, keengganannya melibatkan diri dalam program popular tersebut adalah kerana tahap keyakinan diri untuk mengajar protege baru agak kurang. Barisan mentor yang bakal beraksi bersama protege masing-masing pada tahun depan. Foto AHMAD IZZRAFIQ ALIAS Malah, Faizal tahu, mengasah bakat seseorang bukannya mudah, malah memerlukan strategi dan kesabaran yang sangat tinggi. "Bukan mudah untuk mendapatkan seseorang protege seperti yang diinginkan. Malah, tahap keyakinan saya untuk mendidik seseorang juga agak kurang kerana saya sendiri masih lagi bertatih dalam bidang muzik ini. "Saya selalu meletakkan satu tahap yang tinggi untuk diri sendiri setiap kali beraksi, inikan pula seorang bakat baru yang akan berada di bawah saya. Lebih menakutkan ialah, saya risau jika tidak dapat mencari protege seperti yang diinginkan. Saya mahu cari seseorang yang lebih daripada seorang juara," tegasnya. Uji bakat Mentor 6 akan berlangsung bermula di negeri Sabah dan Sarawak iaitu pada tarikh 13 Januari depan di Hotel Promenade, Tawau, dan 15 Januari (Hotel Promenade, Kota Kinabalu), 20 Januari (Hotel Imperial, Miri) serta 22 Januari di Hotel merdeka Palace , Kuching. Pada bulan Februari pula, uji bakat bersama setiap mentor akan diadakan di Sri Pentas TV3 melibatkan Fauziah Ahmad Daud atau Ogy (4 Februari), Faizal Tahir (5 Februari), Ramlah Ram (11 Februari), Ferhad (12 Februari), Ella (18 Februari) dan Adam AF (19 Februari). Sementara itu, Ogy pula sudah bersedia untuk menerima segala kritikan pedas yang mampu membakar semangatnya untuk terus mendidik protege yang bakal dipilihnya nanti. "Memang ketika bekerja saya seorang yang sangat tegas dan protege yang dipilih perlu mengikut kriteria-kriteria seperti yang diinginkan seperti boleh bermain alatan muzik dan paling penting, membaca nota muzik. "Apabila mereka tahu dua perkara ini, ia lebih memudahkan saya mengasah bakat mereka menjadi yang terbaik. Dan ya, kritikan pedas yang diberi oleh juri juga saya sudah bersedia untuk menerimanya," seloroh Ogy. |
You are subscribed to email updates from Lebih 1 juta pageviews dari pembaca blog | tq To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |