Adsense

Khamis, 29 Disember 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Puntianak Puaka Bunga Tanjung

Posted: 28 Dec 2011 06:10 AM PST

BAKAT dan emosi sewaktu berada dalam set penggambaran dimiliki bintang muda, Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen, mula membuatkan ramai pengarah memuji dan sedia membimbingnya.

Pada usia baru mencecah 17 tahun, siapa sangka gadis kacukan Kelantan-Siam ini sudah membintangi lebih 10 drama terbitan pelbagai produksi besar.

Lakonannya dapat dilihat menerusi drama bersiri Spa Q 1,2 dan 3, Ahmad Durrah, Datin Wanabe dan genre seram, Mistik Alam Hitam.

Bagi Nelydia, dia sentiasa mahu karakter lakonan dinamik dan mencabar diri sendiri. Tidak mustahil, satu hari nanti, dia bakal menggugat pelakon lain yang sedia ada.


Dalam lakonan terbaru menerusi drama bersiri untuk slot terbaru TV9 bertajuk Puaka Bunga Tanjung arahan Fairuz Loy, Nelydia diberi tugas memegang dua peranan sekali gus iaitu sebagai watak gadis moden dan purba.


"Watak Mayang dan Sanur yang diberikan kepada saya adalah dua karakter berbeza dalam drama ini yang berlatarkan zaman 1960-an dan moden. Mayang seorang wanita kampung berusia 30-an sementara Sanur pula wanita yang bertukar menjadi puntianak. Membawa dua watak dalam satu drama nyata mencabar diri saya dan saya berazam memberikan yang terbaik kepada penonton.

"Drama ini sangat berbeza kerana inilah kali pertama membawa watak yang tidak sama perasaan dan penampilan. Ia akan ditayangkan sebanyak lapan episod dalam sebuah program baru slot seram stesen TV9.

"Apa lebih menariknya, cerita ini juga mengisahkan kisah silam dua generasi yang datang semula kepada sebuah keluarga akibat balas dendam selepas 30 tahun. Ia juga diselitkan kisah cinta yang mendapat tentangan," katanya, kini sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Berbicara sewaktu ditemui pada sesi penggambaran drama terbabit di sebuah kawasan perkampungan tradisional Melayu di Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini, Nelydia berkata:

"Pengalaman baru ditimba dalam drama Puaka Bunga Tanjung sangat menarik apatah lagu bergandingan dengan beberapa pelakon berpengalaman seperti Faizal Hussin, Namron dan Fizz Fairuz.

"Saya tidak kekok kerana pengalaman bergandingan dalam drama Iqra' bersama Abang Eman Manan dulu sangat membantu dan saya anggap Abang Eman seorang pelakon yang hebat," katanya.

Berguru dengan pelakon hebat seperti Ellie Suriaty dan Erma Fatima pula banyak membimbing Nelydia dari segi ekspresi, intonasi serta 'mood'. Tambahan pula ia kisah klasik dan zaman moden yang sangat menarik.

Mengenai tawaran berlakon diterima, Nelydia berkata pada usia belasan tahun sekarang, perjalanannya masih jauh dan banyak lagi yang perlu diselami dalam menjadikan dirinya seorang pelakon serba boleh.

Selain itu dia juga terpaksa menempuh perjalanan hidup dengan begitu berhati-hati agar namanya tidak tercalar.

"Apatah lagi setiap pergerakan kita sekarang senang dirakam dan mudah disebarkan dalam internet menerusi pelbagai teknologi canggih diperkenalkan dalam dunia serba moden.

"Apa yang pasti, saya sentiasa mengambil iktibar daripada kes kakak yang pernah terbabit dalam kontroversi bersama seorang pelakon komedi sebelum ini.

"Ini antara panduan sentiasa berada dalam fikiran saya. Ibu bapa banyak memberi peringatan supaya tidak melanggar tata susila orang Melayu. Kalau boleh, saya tidak mahu terbabit dalam kontroversi dan mahu bersikap positif kerana sehingga kini, saya masih mendengar dan menerima tempias orang bercakap mengenainya hingga sekarang.

"Bagi saya, berkongsi pengalaman dengan pelakon orang lama banyak membantu mematangkan diri dan sentiasa memikirkan apa yang dimahukan untuk masa depan.

"Lagipun, ayah mahu saya melanjutkan pengajian dan jika boleh menjadi pelakon memiliki pelbagai ilmu dan mempunyai kelayakan dalam bidang tertentu.

"Pendek kata, cari pengalaman dan ilmu sebaik mungkin kerana tidak mahu terburu-buru semata-mata mengejar glamor dan populariti dengan cara mudah tanpa memikirkan kesan jangka panjang," katanya mengakui banyak berfikir daripada banyak sudut dan membaca buku novel untuk menimba ilmu.

Nelydia berkata lagi, dia tidak mahu tamak dalam mengejar impian menjadi pelakon kerana tidak mahu apa yang diimpikan atau dikejar berciciran.

"Paling utama sekiranya tidak bertembung jadual lokasi, saya akan memenuhi tawaran berlakon. Saya juga tidak mahu merosakkan skrip jika saya tidak mampu membawanya, saya akan berlaku jujur mengatakan tidak boleh dan jika boleh, saya kata boleh.

"Bagi saya rezeki tetap ada asalkan kita jujur untuk membina reputasi dengan cara terbaik dalam bidang seni walaupun bukan senang memuaskan hati semua orang," kata pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah menengah di Subang Jaya, Selangor ini.

"Saya mahu mendapat keputusan baik dalam peperiksaan SPM dan itu fokus paling utama sekarang. Mendapat penghormatan berlakon dan mempunyai peminat ketika di bangku sekolah juga membuatkan saya perlu bijak memikirkan masa depan yang saya rasakan tiba tanpa sempat berfikir langkah seterusnya. Apapun, faktor itu juga cepat mematangkan diri," katanya.

PROFIL

Nama: Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen
Nama komersial: Nelydia Senrose
Tarikh lahir: 30 Julai 1994
Keluarga: Anak ketiga daripada tujuh beradik
Kerjaya: Pelakon Lakonan Drama dan Cerekarama: Spa Q 1, 2, 3, Ahmad Durrah, Datin Wanabe, Sirah Cinta, Pak Suman, Khalifah, Anak Aku Artis, Syah Jihan



Full content generated by Get Full RSS.

Taruhan ‘pop corn movie’

Posted: 28 Dec 2011 05:49 AM PST

KETIKA lambakan filem komedi seram dan aksi hangat diperkatakan sekarang, tampil filem terbaru MIG yang juga menjadi filem penutup hujung tahun ini berjudul Papa, I Love You berkonsep kekeluargaan yang mula menjengah pawagam hari ini.

Filem ke-52 daripada MIG arahan Hashim Rejab ini menampilkan Lisa Surihani, pelakon kanak-kanak terbaik Festival Filem Malaysia ke-24, Mia Sara Nasuha dan pendatang baru, Zalif Sidek sebagai pelakon utama serta dibantu Zaidi Omar, Syanie, Adeline Tsen dan ramai lagi.

Hashim yang sebelum ini pengarah filem Sekali Lagi kembali dengan hasil sentuhan filem bercorak drama komedi yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga.
Selain itu, Hashim juga salah seorang pengarah muda yang berada dalam Skim 10 Pengarah Muda yang diperkenalkan MIG sebelum ini.

"Saya ibaratkan filem kali ini sebagai 'pop corn movie' yang memberi hiburan, tetapi tetap menerapkan unsur-unsur pengajaran. Sekarang ini, banyak berlaku permasalahan dalam institusi kekeluargaan, jadi dengan adanya filem seperti ini diharap anak-anak muda dapat menghargai segala pengorbanan dan kasih sayang seorang bapa kepada anaknya sendiri.

"Filem yang menggabungkan dua jalan cerita berlainan berkisarkan mengenai pengorbanan serta kasih sayang seorang ayah kepada anaknya. Cerita tertumpu kepada hubungan Baha bersama anaknya, Mia dan juga Elly yang mempunyai konflik terhadap bapanya disebabkan suatu insiden yang begitu meruntun hatinya," katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem itu di MBO Subang Parade, kelmarin.

Bercakap mengenai proses pembikinan filem itu, tiada sebarang masalah yang timbul sepanjang menjalani sesi penggambaran kerana semua pelakon dan kru produksi memberikan komitmen yang tinggi serta menunjukkan kesungguhan dalam pembikinan filem ini.

"Tetapi bila sesebuah filem membabitkan pelakon utama kanak-kanak, kita pasti ada sedikit kesulitan menghadapi kerenah kanak-kanak yang sukar dijangka, mujurlah Mia senang nak diuruskan dan cepat belajar dialog serta dapat menghayati watak dengan sebaiknya," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pemilihan Zalif sebagai pelakon utama filem ini, Hashim berkata, Zalif sudah memberikan lakonan yang terbaik walaupun ini adalah filem pertama yang menampilkannya sebagai pelakon utama. Sebelum ini, Zalif pernah berlakon dalam filem Bini-Biniku Gangster, memegang peranan sebagai Mat Saja.

Produser juga dilihat berani meletakkan Zalif sebagai teraju utama di samping pelakon popular, Lisa dan merasa yakin filem ini dapat menarik penonton ke pawagam.

Perkara ini selaras dengan misi MIG sentiasa memberi dan membuka peluang serta ruang kepada generasi muda khususnya untuk mengembangkan lagi bakat yang ada bagi melahirkan pelapis muda yang kreatif dalam membangunkan modal insan dalam industri perfileman tempatan.

Filem ke-2 arahan Hashim Rejab yang menjalani penggambaran sekitar Kuala Lumpur pada pertengahan Mac lalu membabitkan kos keseluruhan penggambaran dan promosi sebanyak RM1.5 juta.

Papa, I Love You berkisarkan cerita mengenai Baha, seorang bapa tunggal yang kematian isteri. Baha mempunyai anak tunggal bernama Mia (lakonan Mia Sara), seorang kanak-kanak yang bijak serta petah berkata-kata. Konflik kehidupan Baha bermula selepas kematian isterinya. Pelbagai dugaan yang datang, tetapi sebagai seorang bapa, Baha akan melakukan apa saja untuk menggembirakan anak kesayangannya itu.

Sementara itu, Elly watak lakonan Lisa adalah seorang wanita yang tegas walaupun pada luarannya kelihatan seperti wanita yang lemah lembut berdepan konflik dengan ayahnya, Datuk Kudin (Zaidi Omar). Konflik antara mereka dua beranak tidak pernah selesai walaupun Datuk Kudin berusaha untuk memulihkannya lantas dia mengambil kesempatan menerusi hubungan akrab anaknya itu dengan Baha dan Mia untuk kembali menjernihkan segala permasalahan berlaku.

Untuk mengetahui kesudahan konflik di antara Elly dan Datuk Kudin sudah terlerai atau tidak, jangan lupa saksikan filem Papa, I Love You di pawagam berdekatan mulai hari ini.



Full content generated by Get Full RSS.