Adsense

Khamis, 29 Disember 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Cantik, lasak

Posted: 28 Dec 2011 03:01 PM PST

Hip

Tak tidur gara-gara filem seram

WALAU pada bahagian betis dan lengannya tidak lagi putih mulus dek beberapa kesan lebam berikutan aksi lasak, Carmen Soo tetap bersemangat meneruskan penggambaran filem Dead Mine yang berlangsung di Batam, Indonesia.

Pelakon tempatan yang turut membina kerjaya mantap di Hong Kong, Filipina dan Singapura itu nyata puas apabila berpeluang melakukan sendiri babak mendebarkan dengan bimbingan pengarahnya, Steven Shiel. Membawakan wanita licik dan punya misi di sebalik lagak lembutnya, akui model terbabit hasil kerja penuh teliti Steven selain peluang bergabung dengan ramai bintang Asia lain membuatkannya begitu teruja sepanjang di lokasi.

"Apabila menghadiri uji bakat, saya tidak meletakkan harapan tinggi, namun berharap dapat bekerja di bawah arahan Sheil kerana hasil buah tangannya, Mum & Dad juga antara sebuah filem seram yang bagus.

"Sebaik dipilih, saya tidak sabar melihat Dead Mine muncul di layar lebar seluruh rantau ini. Ia pengalaman menyeronokkan walaupun lebam sentiasa muncul di badan," katanya ketika ditemui di set penggambaran.

Selain aktres berusia 38 tahun itu, Dead Mine turut dibarisi aktor Indonesia, Joe Taslim, Jaitov Yanda dan Mije Lewis serta Miki Mizuno (Jepun), Sam Hazeldine (British) dan Jimmy Taenaka dari Singapura.
Biar jadual di set cukup padat bermula seawal pagi hingga tengah malam, Carmen mengakui dia sudah biasa bekerja lebih masa ketika menjayakan drama bersiri di Filipina.

"Pengalaman bekerja di Filipina untuk beberapa drama siri membuatkan saya sudah imun dengan jadual yang panjang. Kadangkala lebih 24 jam di hadapan kamera tetapi ia memang budaya di sana kerana mereka punya episod yang banyak untuk disiapkan.

"Sekurang-kurangnya pengalaman yang saya raih bekerja dengan pelbagai produksi di beberapa negara mengajar saya supaya lebih kental. Semua ini pengalaman yang cukup manis, begitu juga dengan Dead Mine.

"Apabila di hadapan kamera watak kami saling mencurigai antara satu sama lain tetapi di luar babak kami penuh dengan gelak ketawa. Itu yang menyeronokkan apabila semua pelakon berbincang untuk mendapatkan hasil terbaik," katanya lagi.

Dead Mine berkisar mengenai pemburuan terhadap harta karun peninggalan Jeneral Yamashita yang dikatakan tersembunyi di satu lokasi di sebuah pulau di Indonesia dan sekumpulan orang cuba menjejak emas berkenaan.

Mereka terjumpa sebuah bunker peninggalan tentera Jepun dan cuba merungkai misteri di sebalik penemuan itu namun situasi menakutkan mula melanda kerana sejak itu bermulalah kejadian menakutkan.

Filem aksi seram ini dijadualkan di pawagam tahun depan. Pelakon yang bermula sebagai model pada usia 17 tahun itu baru menyelesaikan sebuah lagi filem seram berjudul The Hunter yang mengambil lokasi di China, Hong Kong dan Malaysia.

Menyingkap semula repertoire lakonannya, Carmen ke Hong Kong pada usia 20 tahun untuk membina nama di pentas peragaan namun disebabkan ketinggiannya dia mencuba nasib pula di arena lakonan.

Wajah jelita saja tidak mencukupi jika tiada bakat tetapi dia membuktikan dirinya hadir bersama pakej lengkap malah sejak itu kerjaya seni melebar hampir ke seluruh rantau ini dan Carmen pernah membintangi filem Gorgeous bersama Jackie Chand dan Shu Qi.

Drama bersiri yang mencetus fenomena di Filipina, Kahit Isang Sanglit bersama Jericho Rosales selain The Pupil di Singapura antara lakonannya yang menyerlah. Tidak hairan sikap profesional serta kemampuan membuatkan dia disenangi banyak produksi luar.

Ditanya apakah dia lebih senang menjayakan projek lakonan di luar negara, katanya tidak pernah terdetik untuk meninggalkan peluang di negara sendiri tetapi kebanyakan undangan adalah daripada luar.

"Ketika menjayakan drama bersiri di Filipina saya pernah menghabiskan masa sembilan bulan di sana. Walaupun masih sempat berulang-alik ke Kuala Lumpur, ada antara tawaran membintangi drama di Kuala Lumpur terpaksa saya lupakan demi komitmen ini.

"Begitu pun, timbul sedikit rasa sedih. Namun saya yakin rezeki tetap ada. Macam The Hunter yang menjalani penggambaran Jun lalu, Malaysia antara lokasinya.

"Memang rindu terhadap keluarga dan rakan. Kebanyakan masa saya bergerak antara Singapura, Malaysia dan Filipina. Ia memenatkan dan pada masa sama pengalaman menyeronokkan," katanya yang mengintai peluang ke China, India dan Taiwan pula.

Full content generated by Get Full RSS.

Impian menggunung Faizal

Posted: 28 Dec 2011 02:34 PM PST

Hip

Pengalaman 15 tahun dalam muzik, tapi belum sedia cipta lagu sendiri

KELIBATNYA kerap kelihatan di televisyen, mengendalikan sekumpulan pemuzik profesional. Sebagai Pengarah Muzik untuk beberapa program hiburan yang menampilkan penyanyi popular negara serta yang terbaru Vokal...Bukan Sekadar Rupa, tugas Faizal Uzir boleh dianggap sebagai tulang belakang kepada sesebuah program itu.

Pincang muzik yang dipersembahkan, pincanglah juga keseluruhan program itu meskipun dari segi produksi dan artis yang membuat persembahan mempunyai reputasi yang bukan sembarangan. Bukan mudah menggalas tanggungjawab itu. Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Muzik dari UiTM Shah Alam ini, sebelum berada pada kedudukan sekarang, dia terlebih dulu menimba pengalaman dengan menjadi pemuzik pengiring untuk pelbagai acara hiburan.

Sebaik tamat pengajian pada 1996, banyak membuat persembahan sebagai pemuzik undangan untuk beberapa acara membabitkan artis penyanyi seperti Mas Idayu dan Hattan. Dari situ belajar serba sedikit dan mencari pengalaman untuk dijadikan ilmu.

Perkenalannya dengan pemuzik dan pengarah muzik, Helen Yap banyak mengubah kehidupan Faizal. Helen dianggap sebagai sifu dan juga mentornya dalam bidang ini.

Bermula sebagai pemuzik biasa hinggalah diberi kepercayaan oleh pihak stesen untuk menjadi pengarah muzik program hiburan mereka. Program hiburan pertama sebagai pengarah muzik adalah rancangan hari raya Teratak Siti Nurhaliza kira-kira tahun.
Bercerita mengenai tugasnya itu, jejaka berusia 37 tahun ini berkata, antara perlu dilakukan adalah membuat susunan semula muzik untuk disesuaikan dengan persembahan seseorang artis itu.

"Contohnya, kalau ada penyanyi tidak mahu intro sesebuah lagu itu seperti dalam cakera padat, saya akan menggubahnya. Begitu juga jika terdapat lagu yang disampaikan secara medley, kerja saya menyusun semula muzik itu mengikut apa yang dimahukan penyanyi terbabit.

"Biasanya sebelum melakukan tugas itu, saya terlebih dulu mengkaji tahap suara mereka untuk disesuaikan dengan muzik yang hendak digubah. Biasanya hanya penyanyi yang tahu mengenai muzik saja yang akan saya layan. Jika tidak, saya akan buat sendiri," kata Faizal yang pernah menganggotai kumpulan muzik Dominan.

Antara penyanyi yang pernah mendapat sentuhannya adalah Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Ziana Zain, Faizal Tahir dan Dayang Nurfaizah.

"Diberi kepercayaan menjadi tulang belakang persembahan penyanyi ini ibarat satu ganjaran di atas kerja keras saya. Mereka adalah penyanyi yang sangat profesional," kata Faizal yang menjadikan Datuk Ramli MS dan Aubrey Suwito sebagai idola.

Impiannya selepas 15 tahun berkecimpung dalam bidang muzik ialah mahu melebarkan kebolehannya di peringkat Asia, sekurang-kurangnya di luar tanah air sendiri. Anak jati Kluang, Johor ini menyimpan hasrat untuk dikenali sehingga ke peringkat lebih tinggi dan meletakkan tempoh lebih lima tahun untuk dia merealisasikan impiannya itu.

"Saya ingin dikenali seperti komposer dan pengarah muzik terkenal Indonesia, Erwin Gutawa. Sebelum itu, saya harus mempersiapkan diri terlebih dulu dengan mengisi pelbagai ilmu serta mengumpul pengalaman dalam bidang muzik," katanya.

Sekalipun bercita-cita besar seperti Erwin, tetapi Faizal tidak pula mempunyai impian mencipta lagu sendiri. Ia bertentangan dengan impiannya. Memberi alasan belum bersedia, tidak seharusnya ada pada diri Faizal yang mengaku sudah 15 tahun dalam bidang muzik.

"Pernah juga saya mencuba untuk menulis lagu tapi hasrat itu terbantut kerana dalam fikiran saya terlalu banyak melodi yang harus dimuatkan dalam sesebuah lagu sehingga sukar untuk saya buat pilihan.

"Seorang komposer dan juga penggubah lagu memang berbeza. Komposer akan mencipta apa saja melodi yang terlintas di fikirannya, manakala penggubah lagu begitu cerewet kerana terlalu banyak melodi yang ingin disumbat dalam sesebuah lagu itu. Jadi saya fikir, biarlah tugas mencipta lagu itu diberikan pada orang lain," itulah alasan Faizal mengapa tidak bersedia menghasilkan karya sendiri.

Full content generated by Get Full RSS.