Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Titian yang panjangTIDAK dinafikan bahawa sambutan terhadap muzik rock tidaklah sehangat dahulu, namun ia langsung tidak menghalang kumpulan Search untuk terus kukuh bertahan selama tiga dekad dalam industri muzik tempatan. Bagi yang mengikuti perkembangan kumpulan tersebut, nama-nama seperti Amy (vokalis), Kid (gitar utama), Nasir (gitar bass), Nordin (gitar irama) dan Yazit (dram) sememangnya sudah cukup sinonim kepada mereka. Malah, lagu-lagu seperti Fantasia Bulan Madu, Isabella, Gadisku dan Rozanna adalah antara ratusan lagu-lagu nyanyian mereka yang terus menjadi siulan ramai termasuklah golongan muda pada hari ini. Sudah berjuang selama 30 tahun dalam arena muzik rock tanah air, pelbagai kenangan manis serta pahit getir yang telah dilalui oleh mereka sepanjang bergelar anak seni. Selain rentetan kejayaan demi kejayaan yang diraih terutamanya menerusi penjualan album, kumpulan tersebut juga sebenarnya pernah terpalit dengan memori hitam apabila pernah dibubarkan seketika dan kerap bertukar ahli kumpulan. Namun, segala pengalaman yang pernah dilalui itu telah menjadikan mereka lebih kukuh dan pada hari ini kumpulan Search masih lagi terus berdiri teguh untuk menghiburkan peminat setia mereka. Menyingkap serba sedikit mengenai sejarah kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1981 itu, Yazit selaku pemain dram menceritakan bahawa pada awal kemunculan dahulu mereka belum lagi menggunakan nama Search. Jelasnya, selama beberapa bulan mengadakan persembahan di merata-rata tempat ketika mula-mula ditubuhkan, mereka langsung tidak menggunakan sebarang nama untuk kumpulan mereka. "Sebenarnya nama Search ini dipilih adalah hasil daripada perbincangan sesama rakan-rakan. Ketika berkumpul bersama 11 orang rakan di rumah, masing-masing akan memberikan satu nama. "Kemudian nama-nama yang dipilih itu diletakkan pula di kelab tempat kami sering mengadakan persembahan untuk dipilih oleh pengunjung. Akhirnya majoriti pengunjung yang datang telah memilih nama Search dan ia terus kekal sehingga sekarang," jelasnya. Vokalis utama Search, Amy yang ditemui sewaktu sidang akhbar kedua Konsert Fenomena 30 Tahun Search baru-baru ini berkata, tempoh 30 tahun dirasakan berlalu dalam masa yang cukup pantas buat mereka. Jelasnya, kira-kira 10 tahun selepas Search ditubuhkan, dia sendiri sebenarnya pernah terfikir bahawa adakah kumpulannya itu akan dapat bertahan untuk tempoh yang lebih lama lagi. SEARCH sudah melalui zaman sukar dan senang bersama lima anggota asal mereka ini sejak 30 tahun lalu. Dari kiri: Din, Amy, Nasir, Kid dan Yazit. "Sudah tentu kini saya sangat bersyukur kerana Search masih lagi terus wujud dan sudah tentu ia memberi satu erti yang cukup besar buat kami kerana sudah berusia tiga dekad. "Apa yang membuatkan kami terharu adalah sokongan yang terus diberikan kepada kami. Bukan sahaja peminat yang membesar bersama lagu-lagu kami, malah kepada golongan muda yang turut mengikuti perkembangan Search selama ini," ujarnya. Tambah Amy, sebagai menghargai sokongan diberikan kepada peminat, dia berharap agar Konsert Fenomena 30 Tahun Search yang akan berlangsung di Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuala Lumpur dapat dijadikan hadiah yang paling bermakna. Ujarnya, dia memberi keyakinan bahawa ketiga-tiga konsert yang akan berlangsung itu akan memberi kepuasan dan kenangan yang tersendiri memandangkan ia adalah sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun Search yang ke-30. "Kepada mereka yang akan hadir pada konsert itu nanti, mereka bukan sahaja akan dihiburkan dengan lagu-lagu popular kami, malah mereka akan turut mendapat sehelai baju-t eksklusif sebagai cenderamata. "Lebih menarik lagi, pengunjung yang bertuah pada malam konsert turut berpeluang untuk membawa pulang hadiah lumayan iaitu sebuah kereta Perodua Viva di setiap lokasi," jelasnya. Menurutnya lagi, buat masa ini persiapan untuk mengadakan konsert sedang berjalan dengan lancar dan mereka sekarang sedang giat berlatih menjelang konsert pertama yang akan diadakan di Pulau Pinang pada 19 November ini. Isabella Tidak dinafikan lagu berjudul Isabella sebenarnya adalah merupakan lagu yang telah membawa nama Search ke puncak kejayaan sehingga menjadi band rock Malaysia yang cukup terkenal di luar negara. Menerusi album Fenomena yang dihasilkan pada tahun 1989 serta mengandungi beberapa lagu hit seperti Isabella, Pawana dan Gadis Misteri telah terjual sebanyak 220,000 unit di Malaysia dan 600,000 unit di Indonesia. Menariknya, berdasarkan lagu berkenaan juga telah terhasilnya dua buah filem berjudul Isabella yang menggandingkan Amy dan Nia Zulkarnaen serta filem Fenomena yang menampilkan Datuk M. Nasir, Amy dan Ramona Rahman sebagai teraju utama pada tahun 1990. Menurut Amy, dia sendiri mengakui bahawa lagu Isabella memang telah memberi impak yang cukup besar terhadap kumpulannya dan lagu itu juga seolah-olah sudah melekat di hati peminat. "Boleh dikatakan Isabella adalah satu lagu yang dilihat menjadi kemuncak kepada perjalanan Search untuk berjaya di Malaysia dan dapat mengembangkan lagi sayap di luar negara seperti di Indonesia. "Sehingga ke hari ini kalau kami diundang untuk membuat persembahan di Indonesia, pasti mereka meminta lagu Isabella untuk dinyanyikan oleh kami dan ia seolah-olah sudah menjadi lagu wajib," jelasnya. SEARCH memotong kek ulang tahun ke-30 mereka bersama satu-satunya individu yang mempertahankan mereka dalam industri saat banyak orang tidak yakin dengan grup ini, Datuk M. Nasir (jaket coklat). Menurut Amy lagi, mereka juga turut mempunyai keinginan untuk mengadakan konsert secara besar-besaran di negara tersebut setelah kali terakhir melakukannya pada tahun 1993. Jepun Mengakui amat berpuas hati dengan pencapaian yang diraih sepanjang 30 tahun Search berada dalam industri muzik tanah air, Amy menjelaskan sebenarnya masih ada lagi impian yang belum dapat direalisasikan. Ujarnya, sejak dari dahulu lagi mereka sebenarnya mempunyai impian yang cukup besar iaitu mengadakan satu persembahan istimewa untuk para peminat muzik rock di negara Jepun. Ditanya tentang apa yang membuat mereka tertarik sehingga berhasrat untuk mengadakan persembahan di negara berkenaan, Amy menjelaskan kebanyakan lagu-lagu yang mereka nyanyikan dapat diterima oleh pendengar di sana. "Jurutera bunyi yang selalu bekerjasama dengan Search untuk konsert-konsert besar iaitu Yamaguchi pernah membawa beberapa album Search ke negaranya dan ibunya sendiri tertarik apabila mendengar lagu-lagu nyanyian kami. "Malah, saya mendapat tahu ada peminat muzik rock Jepun yang turut memiliki koleksi album Search. Kalau boleh saya berharap sangat sekiranya dapat membuat persembahan selama lima minit atau sebuah lagu sahaja di hadapan mereka," jelasnya. Ujarnya lagi, antara lagu yang akan dipersembahkan oleh mereka nanti sekiranya mendapat peluang yang diimpikan itu adalah lagu Isabella atau Fantasia Bulan Madu. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Eksentrik Widuri Bob TutupolyOleh KHAIRUL AMRI HASSAN KERJASAMA. Bob bersama pemilik Erama Records, Datuk Md. Efendi Hamdan. 54tahun bukan tempoh masa singkat untuk berkhidmat menghiburkan orang ramai. Begitu juga pada usianya yang baru saja mencecah ke angka 72 pada 13 November lalu. Katanya: "Selama boleh menyanyi maka saya menyanyilah." Kekuatan untuk bertahan dari zaman ke zaman yang bersilih ganti diakui Bob atas dasar sokongan peminat. "Lebih 50 tahun menyanyi, kita hiburkan orang dan bagi apa yang mereka mahu. Apa yang orang sekarang jarang buat adalah pergi kepada mereka dan menyanyi. Di situ letaknya sumber kekuatan saya," ujarnya yang ditemui ketika sesi minum petang dan pelancaran single terbaharu Melodi Cinta di Hotel Legend, Kuala Lumpur baru-baru ini. Bob atau nama sebenarnya Bobby Willem Tutupoly masyhur dengan lagu Widuri dan tidak sah jika dalam apa jua undangan dia tidak menyanyikan lagu 'berhantu' itu. Selain itu lagu-lagu seperti Lidah Tidak Bertulang, Tiada Maaf Bagimu dan Tinggi Gunung Seribu Janji turut meniup namanya di seluruh Nusantara. "Lagu Widuri dimestikan dalam setiap acara, sudah jadi sinonim, walau sudah lama tapi sentiasa diperbaharui seperti lagu Getaran Jiwa," bicara Bob. Sepanjang tempoh menyanyikan lagu nostalgia itu, Bob tidak terlepas daripada berdepan situasi yang melucukan dan mungkin dianggap aneh baginya. "Bayangkan pernah sekali saya terlupa lirik lagu Widuri sebab terlalu kerap menyanyikan lagu itu. Sehingga saya terpaksa tanya pemuzik di sebelah apa kata-kata pertama lagu itu," ceritanya mengenai lagu yang dirakam 35 tahun lalu itu. Ada juga kisah unik yang berlaku di sebalik penghasilan lagu Widuri sebenarnya. Katanya kalau bukan kerana seorang budak daif yang memintanya menyanyikan lagu itu nescaya tiada apa yang ada pada Widuri hingga ke hari ini. "Widuri dirakam tahun 1977 selepas balik dari New York. Masa itu sudah sembilan lagu selesai dirakam dalam piring hitam. Tiba-tiba datang seorang budak meminta saya nyanyikan sebuah lagu, tapi orang-orang lain ketika itu tidak kasi. "Tapi saya bertegas untuk nyanyikan lagu itu dan akhirnya lagu terakhir itu yang popular dan penerbit datang ucapkan tahniah pada saya," singkapnya yang percaya pada tuah. Tegasnya lembut: "Saya adalah seorang yang bertuah, segalanya berjalan lancar dalam karier dan kehidupan, sesungguhnya orang tidak boleh hidup tanpa tuah." Ditanya adakah Bob punyai rahsia sendiri untuk menjaga suara hingga kekal selama tempoh lebih separuh abad, tuturnya ringkas: "Tiada pantang!" "Saya tak pernah jaga suara, saya minum apa yang saya mahu dan tak ada pantang," itu jawab penyanyi yang merangkap pelakon filem Gli Innamorati Della Becak (Kisah Cinta si Tukang Becak, 1958), Penasaran (1977) dan Sebelah Mata (2008). Bob yang bertandang ke tanah Malaysia demi kerjasamanya dengan Erama Records mempromosikan single terbaharunya berjudul Melodi Cinta. Single itu turut termuat bersama sembilan buah lagu lain dalam album yang dijangka diterbitkan pada awal tahun depan. "Lagu ini menceritakan perasaan terharu dan terima kasih saya kepada peminat, sebagai artis tanpa peminat siapa kita," katanya yang akan memasarkan album itu di Malaysia terlebih dahulu sebelum ke negaranya Indonesia serta Brunei. Ada sebab mengapa pilihan itu dibikin Bob. Dia sebenarnya kesal dengan isu cetak rompak yang membadai industri kreatif terutama muzik Indonesia. "Melodi Cinta diterbitkan eksklusif di Malaysia dulu sebagai tanda penghormatan saya, di Indonesia banyak masalah pembajakan (cetak rompak), kalau tunggu lagi sampai kapan (bila)? "Pembajakan tidak akan hilang dan saya akan makin tua dan mungkin saya yang akan hilang dulu, now or never!" gesa Bob. Bob menambah, kadangkala dia turut berputus asa akibat masalah tersebut dan tambah mendukacitakan apabila dalam tiga album yang dipasarkan di sana cuma satu saja daripadanya yang benar-benar asli. Antara lagu yang terkandung dalam album Melodi Cinta adalah Ku Tetap Mencintaimu, Kemuning, Di Mana dan Widuri yang akan dinyanyikan dalam bahasa asing. Bob pernah berasa kesal dan merajuk untuk terus menyumbang bakat dalam nyanyian, kerana terasa dipinggirkan. "Penyanyi-penyanyi lama sudah makin dipinggirkan, kalau mahu terus kekal kena ada isu-isu sensasi, malah untuk siapkan album pun perlu keluarkan wang sendiri," katanya yang berminat jika diberikan peluang berduet dengan penyanyi Malaysia. Full content generated by Get Full RSS. |
Norman tawar hati dengan FFM 24? Posted: Norman tawar hati dengan FFM 24?Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA NORMAN ABDUL HALIM SELEPAS filem Magika terbitan KRU Studios berjaya memenangi tujuh kategori daripada 12 kategori yang dicalonkan pada Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM 23). Tahun ini, KRU Studios sekali lagi mencipta rekod apabila filem Hikayat Merong Mahawangsa tercalon menerusi 12 pencalonan daripada 23 kategori yang dipertandingkan dalam Festival Filem Malaysia Ke-24 (FFM 24)) yang bakal berlangsung pada esok, 20 November di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Norman Abdul Halim ketika ditemui selepas sidang akhbar filem Cinta Kura-Kura di Cineleisure, Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini menyatakan perasaan syukur kerana sekali lagi menerima pencalonan sebanyak 12 kategori untuk filem Hikayat Merong Mahawangsa pada FFM 24. Walaupun pernah berasa tawar hati untuk bertanding dalam FFM 24 setelah kemenangan filem Magika pada FFM 23 dipertikaikan banyak pihak, namun dia tetap merasa gembira dan bersyukur. "Saya bersyukur filem Hikayat Merong Mahawangsa mendapat pencalonan luar biasa dalam pertandingan FFM 24 tahun ini. "Untuk mengulangi perkara yang serupa seperti tahun lepas ia sesuatu yang sukar. Namun, saya percaya pada rezeki. "Magika menang banyak anugerah dan kami menerima banyak maklum balas. Sehinggakan saya tawar hati untuk bertanding sebab bila menang orang tetap pertikaikan dan bila kalah pula mereka bagi persepsi sebaliknya," katanya. Mujurlah, kata Norman, Yusry dan Edry menguatkan semangatnya untuk terus bertanding. Norman juga menganggap sistem penjurian adalah subjektif di mana setiap juri mempunyai kriteria tersendiri. Disebabkan itu, orang tidak dapat meramal keputusan juri. Pembakar semangat Begitupun, Pengarah Urusan KRU Studios dan juga Penerbit Hikayat Merong Mahawangsa itu menganggap pencalonan tersebut sebagai pembakar semangatnya untuk menghasilkan lagi filem-filem bermutu di masa akan datang. Lebih mengujakan, katanya, Yusry juga berjaya menempatkan diri dalam kategori Pengarah Filem Terbaik untuk filem epik tersebut. Mengulas lanjut mengenai kejayaan filem Hikayat Merong Mahawangsa, pada mulanya dia mengaku tidak meletakkan harapan terlalu tinggi. "Saya tidak letak harapan yang tinggi pada filem ini kerana ia bukan 100 peratus berbahasa Melayu. Cuma 60 peratus sahaja dan selebihnya berbahasa Inggeris. Saya pun tidak pasti sama ada ia layak bertanding sebagai filem berbahasa Melayu atau tidak. Tapi, tak sangka akhirnya dapat 12 pencalonan. Ini satu pencapaian yang luar biasa. Ia adalah pengiktirafan dalam industri perfileman tempatan. Dalam pada itu, Norman juga memberitahu kini pihak KRU Studios sedang menyasar untuk menerbitkan sebanyak 50 buah filem berkualiti dalam masa tiga tahun. Norman juga merancang untuk menambah tenaga produksi, terutama krew yang bertanggungjawab untuk menghasilkan skrip terbaik sekali gus menghasilkan filem yang baik. "Untuk tahun yang akan datang kami ingin meletakkan sasaran untuk mengeluarkan 50 buah filem dalam masa tiga tahun. Ia termasuk filem bergenre bahasa Inggeris, Cina dan Tamil. "Disebabkan itu, pihak KRU Studios sedang dalam proses menubuhkan sebuah unit khas untuk mengumpul material dari segi skrip," katanya. Bercerita tentang filem Cinta Kura-Kura, Norman memberitahu, filem itu merupakan salah satu filem yang diterbitkan untuk tujuan komersial. Filem itu dibintangi oleh Tiz Zaqyah, Aeril Zafrel, Zizan Raja Lawak, Shy8, Fara Fauzana dan Fizz Fairuz. "Filem Cinta Kura-Kura ini diarahkan oleh pengarah baharu iaitu Nizam Zakaria dan ia akan ditayangkan pada bulan Mac 2012. Kami juga mempunyai beberapa strategi untuk menerbitkan filem untuk tujuan pertandingan atau komersial," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |