Adsense

Sabtu, 19 November 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Gelora hati Maia

Posted: 18 Nov 2011 05:50 PM PST

Hip

Janda Ahmad Dhani akui harus beri nasihat pada anak apabila Al Ghozali terbabit minum arak

BAGAIKAN terjerat dalam sebuah perangkap sulit, Maia Estianty memilih untuk tidak memberikan kenyataan yang cuma mengeruhkan lagi situasi ketika anak sulungnya, Ahmad Al Ghozali berdepan situasi berat. Ketika foto Al sedang memegang botol arak beredar luas menerusi internet, Maia sebagai ibu turut merasai tempias itu. Namun, tiada apa mampu dilakukannya.

Situasi itu akui Maia, terlalu berat untuk dilalui Al, 14, membuatkan dia sedia menjadi tempat kepada anak remaja itu menuangkan seluruh isi hatinya. Biarpun sedih dan kecewa atas apa berlaku, wanita kelahiran Surabaya, Jawa Timur itu tidak pernah menyalahkan Al kerana enggan menambahkan lagi tekanan kepada anak yang kini dalam jagaan bekas suaminya, Ahmad Dhani. "Semua orang pasti pernah berdepan keinginan mencuba sesuatu, didorong perasaan ingin tahu yang terlalu mendalam. Di sini peranan orang tua atau mereka yang berada di sekeliling untuk memberitahu mana baik, mana yang tidak. Al mengaku kesalahannya, malah sudah memohon maaf dan berjanji tidak lagi mengulangi kesilapannya. Kami sudah berbincang dari hati ke hati dan sebagai ibu, saya sentiasa di sisinya untuk memberi kata semangat," kata Maia yang berpisah dengan Dhani pada 23 September 2008, sambil mengakui memerlukan teman untuk berbicara ketika berdepan situasi sulit seperti ini.

Biarpun kesempatan itu jarang beroleh, namun Maia tidak pernah membataskan komunikasi dengan anak-anak malah sentiasa bersikap terbuka untuk berbicara mengenai apa saja topik.

"Al jarang berbicara dengan ayahnya, justeru apa saja masalah pasti saya yang akan dicari. Mungkin secara fizikal kami berjauhan, namun hubungan ibu dan anak itu tidak akan pernah terpisah. Saya terpaksa memberi lebih perhatian kepada Al kerana dia begitu terkesan dengan perpisahan saya dan ayahnya. Banyak kekecewaan dalam dirinya yang harus saya tangani supaya Al tidak rapuh menempuh hidup. Setiap yang berlaku, saya akan berdoa kepada Allah untuk kesejahteraan anak-anak dan Alhamdulillah, doa saya sering dimakbulkan Tuhan," katanya.

Karakter keras bekas suaminya kata Maia, membuatkan anak-anak terpaksa mencuri-curi waktu untuk bersamanya. Biar pernah beberapa kali dia cuba berkomunikasi dengan Dhani, namun ketua Dewa 19 itu tidak pernah bersedia mendengar permintaannya dan anak-anak.
"Sama ada mereka ke rumah saya atau saya keluar bertemu anak-anak, semuanya dilakukan diam-diam. Jika saya meminta izin Dhani, pasti tidak boleh. Jadi mahu atau tidak, saya mencuri waktu sebagai seorang ibu untuk melepas rindu kepada anak-anaknya. Bila isu ini terjadi, saya berusaha untuk bertemu Al kerana dia memerlukan sokongan seorang ibu," katanya.

Penyebaran foto Al merokok dan meneguk minuman keras memaksa Dhani memperketatkan pengawasan terhadap anaknya itu, malah daripada ibunya sendiri. Dhani bagaimanapun, akan menggunakan perantara untuk berbincang dengan Maia mengenai perkara itu malah menetapkan syarat tertentu supaya tidak memburukkan lagi situasi.

"Maia tidak boleh sesekali merokok di depan anak-anak, apatah lagi mengajar mereka berhibur di kelab. Jika hal itu dipersetujui Maia, anak-anak bebas menemuinya bila-bila masa saja," kata Dhani sambil menyifatkan ia cuma alasan apabila memberi Al merokok dan mengambil minuman keras kerana ingin lari daripada masalah orang tuanya.

"Usah salahkan orang lain. Saya pernah melihat ibunya merokok di depan anak-anak, jadi bagaimana jika perbuatan itu tidak menjadi ikutan?

Saya akan perkara itu biasa jika bukan berlaku di rumah ibunya sendiri.
Bagaimana saya mahu percaya dia mampu mendidik anak-anak dengan baik? Seorang ibu tidak boleh merokok. Berhibur itu tradisi, saya tidak melarang tetapi ibunya pula yang mengajar," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tintin versi filem 3D

Posted: 18 Nov 2011 05:41 PM PST

Hip

Filem: The Adventures Of Tintin: The Secret Of The Unicorn
Genre: Animasi, Pengembaraan
Pengarah: Steven Spielberg Pelakon: Jamie Bell, Andy Serkis, Daniel Craig, Simon Pegg, Nick Frost Tayangan: Mulai 10 November 2011 BAGI penggemar siri komik Tintin, pastinya kisah anak muda yang memburu berita hangat dan suka menjelajah ke serata dunia menyiasat pelbagai kejadian aneh, pelik dan penuh misteri masih kuat melekat dalam ingatan.

Sekali gus bagi kebanyakan pencintanya, watak wartawan bernama Tintin secara tidak langsung membakar semangat untuk melakukan pengembaraan sama, malah populariti komik terbabit membolehkannya dialih ke lebih 80 bahasa, termasuk bahasa Malaysia dengan jualan 230 juta naskhah di seluruh dunia.

Diterbitkan kali pertama pada Januari 1929, hasil nukilan Georges Remi atau nama pena 'Herge' dalam sebuah akhbar kanak-kanak berbahasa Perancis berjudul Le Petit Vingtième, kemasyhurannya kekal hingga kini.

Justeru apabila dua pengarah ternama, Steven Spielberg dan Peter Jackson berganding bahu menghasilkan animasi komik berkenaan dalam bentuk tiga dimensi (3D), sudah tentu ramai ingin berkongsi debaran itu.
Mengambil judul The Adventures of Tintin: The Secret of the Unicorn, garapan kisah merangkumkan tiga siri daripada komik terbabit iaitu The Crab with the Golden Claws, The Secret of the Unicorn serta Red Rackham's Treasure.

Kronologi dimulakan dengan cantik, di sebuah pasar terbuka yang menunjukkan pemberita muda, Tintin (Jamie Bell) membeli sebuah model kapal lama yang kebetulan turut menarik perhatian seorang lelaki, Sakharine (Daniel Craig), untuk mendapatkan barang itu daripadanya.

Perjalanan hidupnya berubah apabila kediamannya digeledah seseorang seperti mencari sesuatu dan anjing kesayangan, Snowy, menemui gulungan kertas berbentuk peta yang mendorong Tintin merungkai misteri di sebalik model kapal itu.

Sifat ingin tahu yang sekian lama sebati dalam diri menyebabkan Tintin memecah masuk sebuah rumah agam yang ditinggalkan hingga membawa kepada penculikannya ke dalam sebuah kapal pelayaran besar yang dikendalikan Sakharin.

Masih tidak mengetahui motif penculikan, Tintin cuba melepaskan diri hingga bertemu kapten kapal sebenar, Kapten Haddock (Andy Serkis) yang berkongsi cerita mengenai sejarah datuknya yang pernah diserang lanun ketika membawa harta yang banyak.

Cuma disebabkan terlampau mabuk, ceritanya sukar difahami, malah kadangkala dia sendiri tidak mengingati peristiwa penting yang dikongsi datuknya kerana penyiasat muda itu yakin ia masih berkaitan Sakharine.

Perjalanan yang penuh mendebarkan itu sudah tentu tampak hidup malah kehadiran dua pegawai polis kembar yang lucu, Thompson dan Thomson (Simon Pegg dan Nick Frost) mewarnai sesetengah babak.

Cuma babak terawal ketika Tintin mahu merungkai misteri penemuan gulungan kertas kecil dengan lelaki misteri yang ditemuinya agak meleret, namun selepas setengah jam pertama momentum persembahan terus meningkat.

Umpama menonton filem Indiana Jones yang dipenuhi aksi mendebarkan terutama ketika penyiasat muda itu mahu melarikan diri daripada kapal besar begitu mencemaskan ditambah suntikan elemen 'humor' dek telatah Kapten Haddock yang kaki botol.

Filem ini memaparkan teknologi yang sempurna bersama mainan visual yang menarik, begitu juga karakternya yang menarik tetapi watak Tintin tidak sehebat seperti digambarkan di dalam siri komiknya.

Biar apa pun, peminat setia siri komik ini pasti mahu menyaksikan kehebatan hero kecil mereka merungkai misteri seterusnya memerangkap penjahat dengan cara tersendiri.

Full content generated by Get Full RSS.