Harian Metro: Rap |
Posted: 18 Nov 2011 05:32 AM PST BAGAI stigma yang terus melekat pada pemilik wajah manis dengan senyum meleret, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al Yahya atau Scha, 28, setiap kali muncul di layar lebar mahupun televisyen, lakonannya masih bernafas atas paksi yang sama. Namun setiap kali itu juga Scha membalas dengan senyum untuk terus optimis dan menyifatkan semua itu adalah satu kritikan yang akhirnya menyuntik seribu semangat. Hakikatnya, Scha akui sukar melepaskan dirinya dari terus terperangkap dengan watak Dania dalam drama siri popular yang memperkenalkan nama dan bakatnya sebelum ini, Awan Dania. Jelas watak yang dihidupkan, gadis lasak yang kasar namun punya perasaan sayang jauh tersembunyi melekat terus di hati peminat hingga sukar buatnya untuk lari. Tidak sekadar itu, perwatakan dan personalitinya juga bagai sudah sinonim dan selari hingga watak yang ditawarkan buatnya tidak banyak berubah.
"Namun ia tidak bermakna saya tidak mampu mencuba yang lain sebaliknya rezeki yang datang belum boleh menggerakkan saya ke fasa yang berbeza. "Saya sendiri memang mengidamkan watak lebih serius dan banyak bermain dengan emosi dalaman. "Lakonan Nasha Aziz dalam Trauma umpamanya banyak memberikan saya inspirasi untuk tampil sebegitu satu hari nanti jika diberi peluang. Insya-Allah saya akan pertimbangkan jika ada pihak yang ingin memberi peluang dan saya yakin mampu melakukannya. "Jika dilihat dari perspektif berbeza, saya gembira kerana pihak produksi tidak henti memberi kepercayaan kepada saya membawa watak gadis lasak dan kasar begitu. Ada beberapa tawaran terpaksa saya tolak kerana diberikan watak sama," katanya. Anak kacukan Melayu, Arab dan Cina ini sekali lagi diberi kepercayaan membangunkan watak utama dalam filem terbaru sentuhan sutradara muda, Syamsul Yusof melalui Aku Bukan Tomboy yang kini ditayangkan di pawagam sejak Khamis lalu. Meskipun berkali-kali dirinya menjelaskan kelainan yang cuba dibentuk, keseluruhan pada mata kasar, watak Farisa yang didukung masih sama. Malah skrip Aku Bukan Tomboy ditulis Datuk Yusof Haslam khusus untuk Scha selepas melihat lakonannya dalam Evolusi KL Drift 2. Bergandingan dengan barisan pelakon terkenal lain termasuk dua aktor kacak, Shaheizy Sam dan Syamsul sendiri selain Salina Saibi, Sheera Iskandar, Harun Salim Bachik, Eira Syazira dan Zarina Zainoordin, anak kedua daripada empat beradik ini menyifatkan dirinya terlalu kerdil jika dibandingkan dengan yang lain. Mengakui tidak semudah dilihat bagi membawakan watak Farisa meskipun masih sama personaliti luarannya, ia adalah satu pengalaman manis yang jelas membuka ruang terbaik untuk terus mengutip ilmu dan mengukuhkan empayar lakonannya. "Memang watak Farisa masih sama, lasak, kasar dan keanak-anakan. Namun ini adalah satu cabaran kepada saya kerana sejak awal lagi Datuk Yusuf dan Syamsul memerhati gerak lakonan saya kerana bimbang ia akan menyamai Dania. "Pemerhatian Datuk terutamanya begitu tajam dan teliti kerana dia inginkan sesuatu yang berbeza daripada saya. Dania seorang perempuan yang bergaya, menggunakan mekap dan masih penuh sifat lembutnya berbeza dengan Farisa. "Keseluruhan plot watak yang cuba diserap memang berbeza baik dari aspek personaliti, pemakaian mahupun jalan cerita yang diberikan. Saya sendiri dapat merasai kelainan yang cuba diterjemahkan Syamsul menerusi filem ini. "Saya lebih puas berkarya dan melakukan eksperimen sendiri yang mana Farisa mampu mengusik emosi dan jiwa penonton dengan hanya bersandar pada wataknya sendiri. Saya yakin penonton akan terhibur," katanya yang mengakui ada melakukan beberapa perubahan pada watak Farisa bagi mencantikkannya lagi. Mengenai gandingannya bersama Sam dan Syamsul, Scha yang sebelum ini tampil hebat dalam Antoo Fighter dan Libas, mengakui gandingan mereka bertiga memberikan satu pengalaman baru. Mengenali Syamsul sebelum ini dalam beberapa filem bersama, Scha tidak pernah mengubah persepsinya yang pengarah muda itu seorang yang berbakat besar dan punya kredibiliti tinggi. Namun pertemuan kali pertama dengan Sam dianggapnya perkenalan yang baik apabila keserasian antara mereka mudah diikat hingga tidak lama membina jiwa dalam gerak lakonan di lokasi penggambaran. "Saya mengagumi mereka berdua kerana masing-masing punya profil kerjaya dan deretan pengiktirafan dalam lapangan seni. Saya memang terlalu kecil jika dibandingkan mereka berdua. "Namun baik Sam mahupun Syamsul, mereka tidak melihat apa yang saya rasakan janggal sebagai satu masalah sebaliknya pelbagai persoalan kami bincangkan bersama bagi menguatkan lagi perjalanan cerita. "Perasaan gusar dan malu awalnya itu hilang kerana mereka berdua memimpin saya bagi memberikan sebuah jalinan lakonan yang sama dan selari. "Saya seronok belajar daripada apa yang cuba disampaikan bagi memperbaiki mana yang perlu. "Sam umpamanya begitu mudah memberi jiwa kepada saya dan mengasah gerak lakon untuk menyusur sama dengannya. "Syamsul pula sudah biasa mengarahkan saya dan tahu mana kekuatan yang harus saya tekankan. "Pendek kata, gandingan kami bertiga dengan barisan pelakon yang lain akan membuatkan penonton terhibur dan rasa terikat untuk menonton hingga ke akhir cerita," katanya yang sedang mempertimbangkan tiga tawaran. Aku Bukan Tomboy mengisahkan gadis tomboi, Farisa yang dibesarkan bapanya selepas kehilangan ibunya sejak kecil. Di sebalik hati seorang gadis kasar, Farisa menyimpan hati kepada seorang lelaki yang akhirnya menjeratnya ke kancah cinta tiga segi antara Harry dan Burn. Selain mengharungi cinta dengan Harry dan Burn, Farisa tidak terlepas dari kecaman dan gangguan golongan 'pengkid' seperti Bell dan Sam yang turut mengharapkan cintanya. Farisa bosan dan rimas kerana enggan terjebak dengan hubungan songsang. Persoalannya, adakah terlalu sukar buat si gadis tomboi untuk merasai kehidupan sebagai gadis normal yang bencikan hipokrasi demi memiliki cinta sejati? Namun itulah hakikatnya yang cuba dipaparkan dalam filem ini. PROFIL: Nama Sebenar: Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al Yahya Drama: Bella, Honeyz, Awan Dania, Naik Hantu, Awan Dania 2, Sadiq & Co Dan Kita Carefree Filem: Antoo Fighter, Amukan Drakulat, Histeria, Papadom, Evolusi Kl Drift 2, Libas, Aku Bukan Tomboi dan Awan Dania The Movie Pengacaraan: Chopp!, Sehati Sejiwa, Sehati Berdansa 3 dan Kata Kau |
Posted: 18 Nov 2011 05:18 AM PST JULUNG kalinya, 'booth' Rap (Rentak Artis Popular) yang menjalankan aktiviti pertandingan Metro Idol, Gadis Metro dan Meet & Greet bersama artis terkenal di Karnival Gegaria Harian Metro 2011 (KGHM2011) sebelum ini, memperkenalkan 'Jom Nyanyi' Santai untuk pengunjung yang ingin melepas gian menyanyi sekali gus mempamerkan bakat mereka. 'Jom Nyanyi' Santai diwujudkan bukan untuk dipertandingkan sebaliknya aktiviti ini khusus buat pengunjung yang gemar menyanyi dan merasai pengalaman membuat persembahan di 'booth' Rap yang menjadi medan kunjungan artis-artis tempatan mempromosikan filem dan album mereka.
Bayaran yang dikenakan untuk satu lagu hanya RM2. Peserta hanya dibenarkan menyanyi dua lagu untuk satu sesi bagi membenarkan pengunjung lain mendapat peluang menyanyi. Aktiviti bermula esok, dari jam 10 pagi hingga 2.30 petang. Pengarah Projek KGHM2011, Ahmad @ Salim Bachok berkata, idea mengetengahkan Jom Nyanyi itu dicetuskan ekoran permintaan tinggi daripada pengunjung yang gemar berkaraoke.
"Objektifnya, untuk memberi pengalaman kepada pengunjung membuat persembahan untuk hiburan semua. Ia juga boleh dimanfaatkan oleh mereka yang minat menyanyi tetapi keberatan menyertai Metro Idol kerana mempunyai masalah gementar memasuki pertandingan. "Tidak mustahil, bertitik tolak daripada acara ini mereka yang berbakat mampu mengembangkan sayap nyanyian memandangkan pengunjung kami terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kerjaya. Paling penting, kami mahu semua pengunjung terhibur," katanya. Keseluruhan pengisian program 'booth' Rap sepanjang dua hari penganjuran karnival itu, akan diisi dengan pertandingan Pencarian Gadis Metro dan Metro Idol yang cukup popular. Pendaftaran Metro Idol yang hanya mengenakan bayaran RM20 dibuka seawal jam 10 hingga 11 pagi ini. Seramai 10 atau lebih peserta (bergantung kepada keputusan juri) yang mengambil bahagian dalam pertandingan Metro Idol akan dipilih ke final yang diadakan esok, jam 4.30 petang. Juara akan membawa pulang wang tunai RM500, tempat kedua (RM300) dan ketiga (RM200) manakala pertandingan ala ratu cantik, Gadis Metro menawarkan hadiah wang tunai RM250 untuk juara, RM150 (naib juara) dan RM100 (tempat ketiga).
Menyerikan aktiviti 'booth' Rap, tentunya sesi ramah mesra di antara artis dan pengunjung yang membabitkan Alyah, Kat Mentor, kumpulan One Nation Emcees dan Meet Uncle Hussein sekitar jam 3 petang. Sebelah malam, akan berlangsung Konsert Gegaria yang dihoskan pelawak dan pelakon, Along Cham bermula jam 9 malam. Artis popular yang membuat persembahan ialah Alyah, Black, Kat Mentor, One Nation Emcee dan kumpulan Meet Uncle Hussein. Esok, sebahagian artis yang terbabit dalam konsert akan mengambil bahagian dalam sukaneka yang turut dijayakan pengunjung. Program akan diadakan seawal jam 9 pagi. Sebelah petang pula, aktiviti di booth dihangatkan dengan kemunculan penyanyi rock legenda, Amy Search yang akan mempromosikan Konsert Fenomena - 30 Tahun Search di lokasi seterusnya, Stadium Yunos, Larkin pada 3 Disember dan Padang Astaka, Kuala Lumpur (17 Disember). Sehari sebelumnya, Amy berada di Pulau Pinang untuk menjayakan konsert di Stadium Batu Kawan. Turut memeriahkan acara itu, Black yang akan mengadakan kuiz bersama peminat. KGHM2011 menyediakan pelbagai acara menarik dan memberi peluang kepada pengunjung mengambil bahagian termasuk memenangi hadiah menarik. Tarikan utama tentunya motosikal DV 110 sumbangan Demak Motor yang akan diberikan kepada pengunjung bertuah. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |