macam macam hiburan terkini |
- Joey Hasrat Nikah Watie (Elite) Januari 2012
- Gula-gula berbentuk pokok ganja
- Bedah untuk kelihatan seperti Superman
- Pertandingan gusti suri rumah
- Pelajar nafi pencipta asal logo penghormatan Steve Jobs
- Mak nyah bakal jadi wakil rakyat
- 'Sepah The Movie' Diteruskan Walaupun Sepah Berpecah
- Erra Fazira, Umie Aida Jadi Juri 'Pilih Kasih 3'
Joey Hasrat Nikah Watie (Elite) Januari 2012 Posted: 10 Oct 2011 06:42 PM PDT KUALA LUMPUR: Selepas melalui kontroversi dalam rumah tangganya, pelakon dan penyanyi, Joey telah memutuskan untuk bernikah dengan bekas anggota kumpulan Elite, Norwati Sadali (Watie Elite) pada Januari tahun depan. Joey atau nama sebenarnya Zulkifli Daud berkata, keputusan untuk mengambil Watie sebagai isterinya adalah tepat kerana merasakan penyanyi dan pelakon popular itu memenuhi ciri-ciri yang diingininya selama ini selain menganggap ia sebagai jodoh. "Pertemuan kami seperti telah ditentukan untuk hidup bersama. Saya merasakan Watie adalah orang yang dapat membahagiakan hidup saya hingga ke akhir hayat," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Maharaja Lawak Mega di sini, Isnin. Dalam pada itu, mengulas mengenai hubungan mereka berdua, Joey menjelaskan ia semakin bertambah baik dan dia mengagumi ketabahan kekasihnya itu. "Dengan segala tohmahan yang dilemparkan kepadanya sudah tentu dia akan berasa tertekan dan runsing. Tetapi kami sering berbincang bagi menyelesaikan masalah yang berlaku dan Alhamdulillahlah semuanya kembali okey. "Tambahan pula kami berdua pernah mengalami detik hitam kehancuran rumah tangga jadi kami lebih memahami antara satu sama lain," ujarnya. Baru-baru ini, Watie ketika ditemui menjelaskan dia sedang keliru sama ada ingin meneruskan hasrat untuk berumah tangga dengan Joey ataupun tidak kerana tertekan dengan tohmahan sesetengah pihak terhadapnya. Watie meluahkan dia amat kecewa dengan tuduhan orang yang mengaitkannya sebagai dalang kepada keretakan rumah tangga Joey walaupun kes penceraian pelakon itu dengan bekas isterinya, Noraini Mohamad Nasir sudah selesai. Sementara itu, ditanya lanjut mengenai perancangan mendirikan rumah tangga dengan Watie, Joey menjelaskan dia tidak berfikir untuk mengadakan majlis besar-besaran tetapi lebih menumpukan kepada ikatan yang bakal terjalin nanti. "Saya tidak begitu memikirkan tentang majlis perkahwinan secara besar-besaran kerana sebaliknya yang lebih penting ialah kehidupan selepas berkahwin nanti, Insya-Allah," jelasnya. |
Gula-gula berbentuk pokok ganja Posted: 10 Oct 2011 06:40 PM PDT BUFFALO, Amerika Syarikat (AS) - Gula-gula berbentuk pokok ganja yang dijual secara bebas di beberapa pasar raya mengejutkan aktivis antidadah dan pemimpin bandar itu walaupun ia dikatakan tidak memudaratkan kanak-kanak. Gula-gula Pothead Ring Pots dan Pothead Lollipops diedarkan ke kedai-kedai oleh pembekal terkenal syarikat Kalan LP dari Philadelphia. Presiden syarikat itu, Andrew Kalan berkata, gula-gula tersebut berada di pasaran sejak enam hingga sembilan bulan lalu di 1,000 kedai di seluruh negeri New York turut mempromosi supaya ganja dibenarkan di sisi undang-undang. Namun, seorang ahli majlis perbandaran, Darius Pridgen berkata, membenarkan sebuah kedai berlesen menjual gula-gula itu adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.- Agensi |
Bedah untuk kelihatan seperti Superman Posted: 10 Oct 2011 06:39 PM PDT MANILA - Seorang lelaki Filipina yang obses dengan watak Superman telah menjalani pembedahan dalam usahanya untuk mengubah dirinya menjadi adi wira itu. Lelaki itu, Herbert Chavez, 35, telah beberapa kali melakukan pembedahan plastik dalam tempoh 16 tahun semata-mata ingin mendapatkan dagu dan hidung seperti Superman, lapor televisyen ABS-CBN. Dia juga melakukan suntikan silikon di bibir dan implan bahagian paha untuk kelihatan lebih berotot, kata laporan tersebut. Akuan Facebook miliknya memaparkan puluhan gambar dan kapsyen menerangkan mengapa dia melakukan pembedahan plastik untuk menjadi Man Of Steel atau Superman. "Saya bercadang untuk kelihatan seperti Superman sejak kecil lagi. Saya mahu menjadinya dan kelihatan seperti Superman akan membuatkan saya gembira dan berpuas hati asalkan saya tidak mengganggu sesiapa," katanya menerusi Facebook semalam. - AFP |
Posted: 10 Oct 2011 06:37 PM PDT BANDAR RAYA MEXICO - Pertandingan yang melibatkan pertarungan antara suri rumah tangga sebagai ahli gusti jalanan menarik minat ramai penduduk Mexico. Dikenali sebagai gusti lucha libre, golongan suri rumah yang menjadi ahli gusti itu akan tampil di gelanggang dengan memakai topeng untuk menyembunyikan identiti mereka daripada diketahui oleh peminat. Membawa watak fiksyen di gelanggang, golongan suri rumah itu merupakan ahli gusti separuh masa. Seorang ahli gusti lucha libre yang dikenali sebagai Catrina, 56, sudah 26 tahun menyertai pertandingan gusti. Wanita berstatus nenek itu mempelajari pergerakan gusti semasa mempelajari seni mempertahankan diri bagi mengelak daripada menjadi mangsa bekas suaminya yang gemar memukulnya. Seorang lagi pengusti lucha libre, Estrella Dorada yang telah bersuami dan mempunyai empat orang anak lelaki pula sudah bergusti selama 18 tahun. Pertandingan itu menampilkan beberapa bintang lain yang popular dalam kalangan peminta gusti seperti Chispita dan La Llorona. - Reuters |
Pelajar nafi pencipta asal logo penghormatan Steve Jobs Posted: 10 Oct 2011 06:36 PM PDT HONG KONG - Seorang pelajar seni reka di Sekolah Rekaan Universiti Politeknik Hong Kong, Jonathan Mak semalam menyatakan logo penghormatan pengasas syarikat komputer Apple, Steve Jobs bukan ciptaan aslinya. Menurutnya, dia bukan yang pertama mereka logo tersebut yang menampilkan buah epal dan mempunyai bayangan bentuk sisi muka Jobs. Rekaan Mak yang berusia 19 tahun itu menjadi popular di alam siber ekoran kematian Jobs. Ia menjadi popular selepas disiarkan oleh Mak pada Khamis lalu selepas Jobs meninggal dunia. Rekaan itu mendapat ribuan komen dengan topi dan baju T dijual di laman lelongan e-Bay memaparkan ciptaannya. Logo tersebut juga digunakan oleh pelakon Hollywood, Ashton Kutcher di laman profail Twitternya. Mak membuat komen tersebut selepas terdapat komen di laman Twitter bahawa seorang pereka yang berada di United Kingdom (UK) dikenali sebagai Raid71 sebenarnya telah mencipta logo tersebut pada Mei lalu. Rekaan pereka UK itu itu turut meletakkan bayang Jobs tetapi dimensinya tidak sama seperti ciptaan Mak. "Saya lebih gembira untuk memberitahu bahawa terdapat seseorang yang membuatnya sebelum saya," kata Mak. Jobs yang mencipta revolusi dalam penciptaan komunikasi menerusi pengeluaran telefon bimbit iPhone dan gajet iPod meninggal dunia pada Rabu lalu semasa berumur 56 tahun. - Reuters |
Mak nyah bakal jadi wakil rakyat Posted: 10 Oct 2011 06:35 PM PDT WARSAW - Calon parti Gerakan Palikot, Anna Grodzka semakin hampir untuk dipilih sebagai wakil rakyat pertama daripada kalangan mak nyah selepas partinya memperoleh tempat ketiga dalam keputusan keseluruhan pilihan raya Parlimen Poland kelmarin. Dilahirkan sebagai lelaki, Grodzka yang kini berusia 57 tahun selesai menjalani pembedahan penukaran jantina pada tahun lalu dengan bantuan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Trans-Fuzja yang memberi tumpuan kepada perubahan gender. Mengulas mengenai perkembangan tersebut, Grodzka berkata, dia teruja dengan prestasi memberangsangkan yang dipamerkan oleh partinya dalam pilihan raya berkenaan. "Buat masa ini, saya tidak pasti sama ada saya akan terpilih tetapi saya gembira melihat keputusan yang diperoleh Gerakan Palikot," katanya. Grodzka sebelum ini merupakan calon parti berkenaan di bandar Krakow yang merupakan bandar kelahiran bekas ketua mazhab Kristian Roman Katholik, mendiang Pope John Paul II. "Jika saya dipilih sebagai wakil rakyat di Krakow, saya akan menjadi wakil rakyat pertama daripada kalangan mak nyah bukan sahaja di Poland tetapi di seluruh dunia," ujar Grodzka. "Saya akan mengetengahkan rang undang-undang berhubung pertukaran gender di Parlimen sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat," tambahnya. - AFP |
'Sepah The Movie' Diteruskan Walaupun Sepah Berpecah Posted: 10 Oct 2011 06:34 PM PDT KUALA LUMPUR: Filem Sepah The Movie tetap akan diteruskan penggambarannya walaupun kumpulan Sepah sudah berpecah. Penerbit filem itu, Hasni Maulod menganggap anggota kumpulan itu mampu boleh bersikap profesional bagi menjayakan filem itu walaupun mereka berpecah selain mereka juga masih muda. "Kami mengikuti perkembangan kumpulan Sepah sejak mereka menyertai Maharaja Lawak dan drama Sepah sehinggalah kami menemui penulis skrip drama itu untuk berbincang menghasilkan filem ini. "Sebelum berpecah anggota Sepah iaitu Shuib, Jep dan Mamat telah menandatangani perjanjian untuk membintangi filem ini. Jadi, atas sebab itu kami merasakan tiada masalah yang akan berlaku walaupun kumpulan itu sudah berpecah," katanya pada sidang media filem tersebut di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, di sini, Isnin. Kata Hasni pihaknya tidak bermaksud untuk mengeksploitasi Sepah disebabkan kontroversi yang melanda diri mereka. "Pada saya, apabila dilanda masalah, mereka perlu meninggalkan masalah peribadi yang akan menjejas kemampuan mereka untuk melakukan yang terbaik," katanya. Sementara itu, Jep dan Mamat sepakat untuk bersikap profesional dalam filem ini bagi menghormati kontrak yang telah ditandatangani. "Sebenarnya kami dah lama nak berpecah tetapi secara tidak rasmi. Apabila sudah menandatangani kontrak, tidak sangka pula saya dan Shuib menerima tawaran untuk membuat album seterusnya menubuhkan Sepahtu. "Jadi apabila kami sudah membuat persetujuan, kami perlu lebih profesional," kata Jep. Dalam pada itu, Mamat yang bergerak seorang diri dengan mengekalkan nama Sepah tidak mempunyai masalah untuk berlakon bersama-sama. "Walaupun kami sudah berpisah, mereka masih sahabat saya dan kami pernah menjulang suatu yang sangat besar. "Apa yang terjadi telah ditakdirkan oleh Allah. Mereka sahabat saya dan kami pernah bersujud bersama-sama," ujarnya. Sepah The Movie turut dilakonkan oleh Jehan Miskin, Yus dari kumpulan Jambu, Asrul Raja Lawak, pelakon baru Anzalna Nasir dan Ramona Qadira iaitu finalis Dewi Remaja 2010/2011. Filem arahan MP Roslin ini akan menjalani penggambaran pada minggu hadapan dan dijangka menemui penonton pada Jun 2012. |
Erra Fazira, Umie Aida Jadi Juri 'Pilih Kasih 3' Posted: 10 Oct 2011 06:33 PM PDT SUBANG JAYA: Pelakon popular, Erra Fazira dan Umie Aida dipilih menjadi juri untuk program realiti lakonan Pilih Kasih musim ketiga. Penerbitnya Rosyam Nor berkata, pemilihan dua pelakon wanita itu adalah bagi memantapkan lagi program realiti tersebut di samping dapat berkongsi pengalaman luas mereka kepada peserta-peserta yang terpilih menyertai pertandingan itu. "Saya mencari pembaharuan bagi memantapkan program ini dengan menampilkan dua pelakon yang cukup disegani dan berpengalaman dalam industri seni tanah air. "Dengan adanya Erra Fazira dan Umie Aida dapat membantu saya membuat pemilihan dan secara tidak langsung mereka dapat menurunkan ilmu kepada pelakon-pelakon baru," ujarnya pada sidang media Majlis Pelancaran Program Pilih Kasih Musim Ketiga, di sini, Isnin. Tambahnya, pemilihan kedua-dua pelakon tersebut juga selepas perbincangan yang dibuat dengan pihak penaja iaitu Telekom Malaysia Berhad (TM) dan RTM. "Pemilihan Erra dan Umie juga dilihat mampu memantapkan lagi program ini. Peranan mereka juga besar dalam memilih dan membentuk peserta menjadi seorang bintang. Mereka bukan hanya bertindak sebagai juri tetapi lebih kepada menurunkan ilmu lakonan kepada peserta-peserta," jelasnya. Dalam pada itu, mengakui perjalanan kerjaya kedua-dua juara terdahulu agak perlahan, pencarian musim ini lebih tertumpu kepada rupa paras dan bakat seseorang peserta tersebut. "Saya akui juara sebelum ini agak lambat memulakan perjalanan kerjaya mereka kerana ada watak-watak tertentu sahaja yang boleh mereka bawa. "Oleh itu kali ini kami mencari peserta yang mempunyai pakej lengkap yang boleh membawa semua watak," katanya. Program ini bakal mengekalkan pengarah tersohor, Erma Fatima, Hamzah Tahir, Fauziah Nawi dan Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah sebagai tenaga pengajar. Program yang diterbitkan oleh Suhan Movies & Trading Sdn Bhd ini bakal memulakan uji bakat di beberapa lokasi bermula 22 dan 23 Oktober ini di The Summit, Batu Pahat, Johor disusuli Aeon Bukit Tinggi Klang, Selangor pada 29 dan 30 Oktober dan di SP Central Square Sungai Petani, Kedah pada 12 dan 13 November. Ia turut diadakan di Central Point Palm Square, Sabah pada 26 dan 27 November, diikuti The Spring Kuching, Sarawak pada 3 dan 4 Disember dan berakhir di KL Sentral pada 10 dan 11 Disember depan. Program Pilih Kasih 3 akan bersiaran bermula 20 November depan di saluran TV2, pada setiap Ahad, bermula pukul 9 malam. |
You are subscribed to email updates from Lebih 1 juta pageviews dari pembaca blog | tq To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |