Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Tahun sibuk EllaWALAUPUN telah lama berada di dalam industri seni, aura dan bahang Ratu Rock Malaysia masih lagi dirasai dan dinantikan oleh peminatnya seantero dunia. Wanita yang telah memulakan perjalanan karier seninya seawal umur 17 tahun ini masih lagi menjadi yang terhangat di pasaran tidak kiralah di dalam bidang nyanyian mahupun lakonan. Berbicara mengenai lakonan, Norzila Aminuddin atau lebih dikenali dengan nama Ella ini pernah beberapa kali tampil di layar perak dan antara filem hebat lakonannya ialah Bayangan Maut, Pemburu Bayang dan yang terakhir Hanya Kawan. Namun, berbanding pencapaiannya di dalam bidang nyanyian, ianya berbeza bagai langit dan bumi. Walaupun filem-filem lakonannya berjaya mengaut kutipan pecah panggung, Ella yang ditemui pada majlis sidang akhbar yang perkenalkan dirinya sebagai penyanyi pembuka tirai persembahan Whitesnake World Tour 2011 - Live In Malaysia di Hotel Hilton Kuala Lumpur berkata bidang nyanyian masih menjadi keutamaannya. "Filem terakhir lakonan Ella ialah Hanya Kawan dan itu pada tahun 1997. Bukannya kerana ketiadaan tawaran berlakon untuk Ella, namun kesibukan jadual merupakan salah satu sebab mengapa Ella menolak. "Ini kerana jika Ella berlakon, Ella perlukan banyak masa untuk terlibat dalam penggambaran. Namun, ada satu tawaran yang Ella masih pertimbangkan. Ella tidak boleh beritahu ia sekarang kerana ia belum lagi dipastikan. Tapi, Ella akui watak tersebut sangat menarik dan kerana itu Ella pertimbangkan," cerita Ella yang mana katanya produksi tersebut memberi peluang pada Ella untuk memilih hero gandingannya kelak. Akui Ella juga, sebenarnya antara sebab yang sering menghalangnya daripada menerima tawaran berlakon adalah kerana dia tidak mempunyai bakat di dalam bidang tersebut, dan bukannya kerana kejayaan yang dinikmatinya Ella semakin jual mahal atau sombong. "Ella suka tengok orang berlakon, tapi hakikatnya pada diri Ella sendiri, Ella tidak pandai berlakon. Itu sebabnya Ella tolak banyak tawaran sebelum ini kerana Ella tidak mahu kecewakan mereka," jelas wanita kelahiran Pulau Pinang ini.
Mungkin ini masanya yang ditunggu-tunggu oleh peminat fanatik Ratu Rock ini, iaitu penghasilan sebuah album yang akan mengubati kerinduan mereka terhadap wanita berpewatakan manja ini. Komitmen tetap Ella sentiasa difokuskan kepada penghasilan album baharunya yang belum lagi mempunyai judul. Apa yang dibicara Ella, album baharunya bakal dilancarkan sebelum hujung tahun ini yang mana progres album ini telah pun sempurna lebih daripada 50 peratus. Album yang bakal lahir ini mengandungi lapan buah lagu dan single pertama daripada album tersebut bakal dikeluarkan dalam masa sebulan dua lagi. "Album Ella belum lagi diberi judul kerana ia belum siap sepenuhnya. Bagaimanapun, album tersebut akan Ella lancarkan pada tahun ini juga. Kerana itu Ella sedikit sibuk dengan penghasilan album ini kerana Ella mahukan yang terbaik bagi album ini. "Ella hanya memuatkan sebanyak lapan buah lagu kerana jika terlalu banyak, kelak orang tidak mahu mendengar. Jadi, biarlah ia menjadi cukup-cukup sahaja," jelas Ella yang mana albumnya akan diedarkan oleh Warner Music.
Selain sibuk dengan penghasilan album, Ella juga di dalam perancangan untuk mengeluarkan jenama jeans sendiri. Ini kerana, ceritanya, setiap kali membuat penampilan di mana-mana persembahan dan negara, pasti peminat akan mendekatinya untuk bertanyakan mengenai jeans yang dipakainya. "Peminat selalu tanya Ella, dari mana beli jeans, jenama apa, model apa, dan soalan-soalan yang terperinci. Jadi, setelah difikirkan, baik Ella mereka jeans sendiri dan menjualnya kepada peminat. "Saya memang peminat jeans, jadi tidak salah jika saya berkongsi minat saya itu bersama peminat," tutur Ella yang juga mengatakan jeans itu akan dikeluarkan di dalam pelbagai saiz bagi lelaki dan wanita. Jelasnya, mungkin jika tiada halangan, jenama jeans itu akan dilancarkan pada tahun hadapan selepas selesai dengan pelancaran album baharunya. Menyelit persoalan yang sering ditanya pihak media mahupun peminat, bilakah Ella ingin mendirikan rumah tangga, jawab Ella diselangi ketawa besar dengan gelagat manjanya, Ella menjelaskan jika benar dirinya sudah berpunya dan ingin menamatkan zaman solonya, dia tidak akan menyembunyikan perkara tersebut. Jelasnya juga, dia juga tidak akan teragak-agak untuk berbicara mengenai hal tersebut dan akan mengumumkan berita gembira itu. Full content generated by Get Full RSS. | ||||
Posted: Esha dampingi Emraan
ESHA GUPTA yang selama ini terkenal di India sebagai model bertaraf gred A kini bakal menceburi bidang perfileman di Bollywood dan filem sulung lakonannya yang berjudul, Informer bakal menggandingkannya dengan aktor Emraan Hashmi. Menurut sumber, pada mulanya karakter tersebut telah ditawarkan kepada aktres Prachi Desai tetapi Prachi khabarnya tidak pasti mahu berlakon dalam filem yang mempunyai banyak babak erotik apatah lagi bergandingan dengan Emraan yang dikenali dengan gelaran Raja Pencium Bersiri Bollywood itu. Apabila Prachi akhirnya menolak tawaran tersebut, penerbit filem itu Mahesh Bhat dan pengarahnya, Kunal Deshmukh kemudian melakukan uji bakat terhadap Esha dan mendapati dia sangat bersesuaian dengan watak tersebut. "Kunal mendapati Esha menepati ciri-ciri karakter tersebut yang merupakan bukan gadis tipikal yang boleh dimanipulasi sesuka hati oleh lelaki. Itu ciri paling utama perlu ada karakter utama filem Informer dan Esha ternyata memilikinya," tambah sumber. Full content generated by Get Full RSS. | ||||
Posted: Kembara Field Trip USAOleh KHAIRUL AMRI HASSAN
BAYANGKAN diri ditempatkan di benua asing yang jauh terpisah, dalam kepayahan menyesuaikan diri dengan cara hidup, bahasa, budaya, adat resam dan cuaca yang ternyata berbeza daripada Malaysia, pada masa yang sama perlu menjalani rutin harian sebagaimana masyarakat di sana. Itu antara cabaran yang perlu ditempuh oleh sembilan orang remaja dalam rancangan realiti pertukaran pelajar dari Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Field Trip USA 2. Konsepnya masih sama seperti musim pertamanya pada tiga tahun lalu, yakni pelajar-pelajar yang terpilih dari Malaysia perlu tinggal bersama keluarga angkat dan harus bijak menyesuaikan diri dengan cara hidup keluarga baharu mereka di lapan buah negeri berlainan sekitar Amerika Syarikat. Hakikatnya kesemua mereka itu cukup bertuah kerana peluang untuk menyandang gelaran sebagai rakyat Amerika Syarikat yang mana menuntut mereka untuk berdikari, bersekolah dan membuat pelbagai aktiviti dalam masa enam bulan sepanjang di sana. Bagi pengacaranya pula, Qushairi Razali atau lebih tepat dipanggil Qi, 34, pengalaman berganda dinikmatinya apabila sekali lagi diberi kepercayaan mengemudi rancangan kelolaan 8TV itu. "Pertama sekali, syukur Alhamdulillah masih diberikan kepercayaan untuk saya mengacarakan rancangan itu dan diharapkan atas kejayaan Field Trip musim pertama dan kedua ini akan ada lagi musim-musim seterusnya. "Namun, apa yang menarik adalah peluang untuk mengembara ke lapan buah negeri yang sebelum ini belum pernah saya lawati dan merasai kehidupan sebenar di sana walau cuma sekejap," katanya yang ditemui selepas sidang akhbar Field Trip USA 2 di Redbox Pavillion, Kuala Lumpur baru-baru ini. Menghurai lagi perbezaan antara musim pertama dan kedua rancangan itu, lokasi luar bandar menjadi prioriti untuk kali ini berbanding tempat-tempat popular seperti New York dan Los Angeles pada musim terdahulu. Jika dicongak, sudah 16 buah negeri di Amerika Syarikat berjaya dilawati daripada 50 buah negeri di benua itu. Selama 35 hari tempoh masa pula yang diambil untuk menyudahkan penggambaran 10 episod di sembilan buah rumah di lapan buah negeri di Amerika Syarikat. Pun begitu, pengalaman yang tidak ternilai pastinya terukir bagi setiap pelajar yang berpeluang merasainya. Contohnya Ammalina Aisyah Azman, 18, yang diberikan kesempatan tinggal bersama seorang ibu tunggal beranak dua di West Palm Beach, Florida. Ujarnya, momen indah bersama keluarga angkat di sana kadangkala membuatkannya tidak lena tidur apabila tiba di tanah air. "Setiap hari pasti saya akan merindui piza keju Amerika hasil air tangan ibu angkat saya," ringkas jawapannya tapi sarat dengan makna. Begitu juga jawapan yang diberikan lapan orang rakannya yang lain seperti Satyan Gunasekaran yang melunaskan tempoh enam bulan di Minnesota, Sanjiv N. Naddan (Seattle, Washington), Najmin Roslan (Oregan, Ohio), Chia Yen Gan (Charlotte, Carolina Utara), Kwek Thiam Chye (Wisconsin Rapids, Wisconsin), Thulaja Thessa (Goldfield, Iowa), Cherlyn Chin Ling Liew (Hagerstown, Indiana) dan Roderick Kelvin Gondipon (Indianapolis, Indiana). Field Trip USA sebelum ini pernah memenangi Program TV Paling Diminati di Shout! Awards 2009 . Program realiti 30 minit ini disiarkan pada pukul 9.30 malam setiap hari Rabu bermula 28 September lalu selama 10 minggu di 8TV atau saluran 708 di Astro. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |