Harian Metro: Rap |
‘Saya bukan tiru Yuna’ Posted: 10 Oct 2011 06:22 AM PDT DIA mengagumi Yuna dan menganggapnya antara penyanyi wanita berbakat pernah hadir di negara ini. Justeru, sukar untuk Imratul Najwa Abdul Latif atau lebih dikenali sebagai Najwa Latif menafikan Yuna sebagai ikon atau inspirasi dalam perjalanan muziknya. Pun begitu, jika dikatakan dia mahu menjadi klon Yuna, gadis berusia 16 tahun dan popular dengan lagu Cinta Muka Buku ini kurang bersetuju kerana dia percaya muzik mereka jauh berbeza. Bagi Najwa, tidak adil dirinya dianggap klon Yuna jika kesamaan itu diukur melalui penampilan mereka yang bertudung.
"Genre muzik kami sangat-sangat berbeza. Malah, kalau ada yang menganggap imej bertudung ini sebagai meniru bagi saya itu tidak adil. Saya sudah lama memakai tudung "Dari segi berfesyen, saya begitu tertarik dengan gaya diperkenalkan Hana Tajima. Pakaian dan gaya tudung cukup ranggi, tetapi masih memelihara kesopanan seseorang wanita Muslim. Saya percaya Yuna orang yang bertanggungjawab mempopularkan fesyen Hana Tajima di Malaysia," kata gadis kelahiran Batu Pahat, Johor ini. Perjalanan karier muzik Najwa bermula apabila dia mengambil pendekatan memperkenalkan muziknya menerusi laman Youtube sebagaimana dilakukan Zie Avie menerusi lagu Kantoi, Yuna (Dan Sebenarnya) dan Ana Raffali (Tolong Ingatkan Aku). Tanpa disedari, lagu Cinta Muka Buku yang dicipta olehnya sementara sentuhan lirik oleh kakanya, Syafika mendapat perhatian pelayar laman itu sehingga akhirnya dilamar NAR Records. "Melodi menjelma di kepala sewaktu saya sedang bermain gitar di bilik. Saya merakamkannya ke dalam MP3 dan memaklumkan pada kakak yang saya dapat melodi menarik. "Kebetulan masa itu kakak sedang melayari laman sosial, Facebook (FB). Kalau tidak silap, ada kawan baru kahwin dan mereka berkenalan melalui FB. Jadi, kakak rasa topik perkenalan dalam FB sesuai dijadikan lirik untuk dipadankan lagu saya. "Tambahan pula, FB laman sosial yang banyak manfaat jika digunakan secara betul dan sesiapa pun termasuk kanak-kanak juga ada FB. Justeru, ia berkait dengan gaya hidup masa kini," katanya. Sesudah kejayaan Cinta Muka Buku, Najwa kini dalam perancangan menghasilkan single kedua diberi judul Carta Hati. Apa yang menarik lagu ini masih mengekalkan Syafika sebagai penulis lirik. "Ada orang tanya apakah saya tidak mahu menggunakan khidmat penulis lirik profesional atau yang sudah ada nama? Saya bukan jual mahal atau tidak mahu cuba, tetapi saya percayakan bakat kakak menulis lirik walaupun dia masih baru. "Usia kakak dengan saya cuma beza enam tahun dan kami berdua masih remaja jadi lirik-lirik yang dikarang oleh kakak bersesuaian dengan lagu dan perjalanan hidup saya sendiri," katanya. Mula bermain gitar sejak di tingkatan dua, Najwa yang mengikuti kelas muzik di Yamaha di Batu Pahat pernah dihadiahkan gitar oleh bapanya ketika dia memperoleh keputusan 7A 1B dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR). Barangkali ada yang terlepas pandang berita kejayaan Najwa yang dipilih sebagai pemenang Anugerah Bakat Muda Selangor dalam bahagian muzik kategori solo menumpaskan dua finalis lain iaitu Amanda Imani dan Amirah Ali pada 17 September lalu. Najwa sama sekali tidak menyangka memperoleh pengiktirafan berkenaan memandangkan penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Temenggong Ibrahim Batu Pahat ini sendiri merasakan ia terlalu awal. Malah, katanya, dia belum bersedia menghadapi cabaran anak seni dan sangat bimbang serta takut sekiranya namanya dipalit gosip yang tidak membina. "Saya takut sebenarnya, tapi dalam masa yang sama saya menceburi bidang nyanyian ini kerana ingin memperkenalkan muzik saya. Tetapi sekarang saya sedang belajar memahami permainan dunia seni. "Kalau boleh saya ingin orang respons pada muzik saya saja, tetapi saya tahu ia mustahil. Sekarang ini pun orang sudah mula kenal, kalau keluar bersiar-siar ada yang menegur. Saya harap tidak lupa diri dan mahu kekal bersederhana seperti mana sekarang," katanya. Cinta Muka Buku Kita berkenalan hanya dalam laman muka buku Dan pabila kau kata kau mahu jumpa aku Bagaimana harus bersua Banyak persoalan yang berada di minda Banyak soalan banyak juga jawapannya Pabila kau renung tajam-tajam mata aku Dan pabila kau katakan kau suka aku Bagaimana harus bersua Banyak persoalan yang berada di minda Banyak soalan banyak juga jawapannya Pabila kau katakan kau suka aku PROFIL NAMA PENUH: Imratul Najwa Abdul Latif |
Posted: 10 Oct 2011 06:13 AM PDT PENAMPILAN kumpulan Sepah menerusi program realiti Raja Lawak musim ketiga pada 2008 mencetus fenomena tersendiri. Trio yang dianggotai Mohd Nazdri Zainal Abidin atau Jepp, Shahmira Muhammad (Shuib) dan Mohd Noor Murad (Mamat) antara lain dilabel antara generasi pelapis berbakat.
Apatah lagi gandingan mereka dengan jenaka dan aksi spontan merangkul gelaran juara sulung Maharaja Lawak, baru-baru ini. Selepas beberapa kali desas-desus mengenai perpecahan kumpulan itu menjadi bualan ramai, akhirnya Jepp dan Shuib tampil menjelaskan persoalan itu.
Perpecahan kumpulan berkenaan turut mendapat maklum balas pelbagai daripada peminat dan karyawan seni. Pelakon dan pelawak, Zainal Ariffin Abd Hamid atau Zaibo pernah mengeluarkan pelbagai kenyataan dan teguran kepada kumpulan itu ketika menilai setiap aksi persembahan pada program Raja Lawak. Zaibo turut berasa sedikit kecewa dengan krisis yang melanda kumpulan berbakat besar itu. "Saya pernah memaklumkan kepada mereka ketika salah satu minggu persembahan Raja Lawak bahawa adalah satu dosa besar kalau Sepah berpecah. Kenyataan menyindir itu mempunyai maksud yang mendalam kerana saya percaya bakat dan keistimewaan yang ada pada setiap anggota kumpulan itu. "Memang bakat mereka tidak perlu dipertikaikan lagi. Saya akui tidak begitu rapat dengan mereka. Saya juga tidak tahu apa yang berlaku kepada mereka sebenarnya. "Tidak dinafikan, setiap artis terutama apabila berkumpulan mempunyai pelbagai perangai dan ragam masing-masing. Terpulang kepada kita untuk mengatasi dan menyelesaikan setiap perkara serta masalah yang dihadapi," katanya. Sebagai insan seni senior, Zaibo memaklumkan kehidupan artis bagaikan satu putaran roda kadang kala di atas dan kadang kala di bawah. Walaupun berdepan konflik, Zaibo memuji kesungguhan mereka untuk tidak mempersia-siakan bakat dan peluang yang ada. Bagi aktivis teater dan pelakon terkenal, Fauziah Nawi memaklumkan isu yang membabitkan kumpulan itu adalah ibarat satu masalah rumah tangga yang tidak diketahui banyak pihak. Masing-masing sudah pasti tahu mengenai kesan yang akan berlaku kepada perjalanan karier seni mereka pada masa depan. "Mereka sudah dewasa dan tahu apa yang dilakukan. Apa yang lebih penting, selagi ia tidak menjejaskan minat dan kecenderungan mereka untuk terus mencipta nama dalam dunia seni. "Mereka berjaya membuktikan kemampuan dengan kejayaan merangkul dua gelaran pada program realiti. Bukan hanya bersandar pada nasib, malah dengan bakat yang ada berjaya meletakkan mereka pada satu tahap yang tinggi. Ternyata mereka mempunyai keistimewaan dan tarikan tersendiri," katanya. Walaupun tidak mempunyai pengalaman bekerja dengan trio itu, Fauziah mengakui kumpulan itu berpotensi besar dalam dunia seni. Senada dengan rakan artis, Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani berkata, Sepah dikenali sebagai trio, justeru, jika ia dibubarkan sudah pasti satu perkara yang agak menyedihkan. Bagaimanapun, situasi itu tidak pernah menghalang pihak Astro untuk menutup ruang kepada sesiapa saja tampil menerusi program mereka. "Sebagai salah satu daripada peserta Raja Lawak 2008 dan Maharaja Lawak musim ini, memang kami mengakui bakat mereka. Kami sentiasa menyarankan kepada mereka untuk tampil dengan kertas kerja masing-masing. Jika ia sesuai dan menarik, sudah pasti kami terima. "Keutamaan kami adalah kepada pelanggan. Jika program itu menarik dan mendapat sambutan sudah pasti kami akan terus menyiarkannya," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |