Adsense

Rabu, 12 Oktober 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Farah rindu suami di Chiang Mai

Posted: 11 Oct 2011 07:12 AM PDT

PELUANG mendekati jiwa dan personaliti Farah Diana Anuar sepanjang mengikuti penjelajahannya di negara Gajah Putih minggu lalu membuka ruang melihat kematangan dan kebahagiaan yang tidak mampu disorok lagi si empunya senyuman manis ini.

Meskipun bicaranya halus dan sesekali menyusun berhati-hati cerita yang ingin dikongsi, bintang popular yang lahir dari program Akademi Fantasia musim kedua ini sudah berani untuk berkongsi saat bahagianya sejak bergelar isteri, tiga bulan lalu.

Belum sempat soal pengalaman dan perkembangan seninya diungkap, lekas episod indahnya memimpin kebahagiaan hidup berumah tangga menjadi topik utama disembangkan terutama apabila terpaksa berjauhan dengan insan tersayang, Johan Johari hampir sebulan bagi menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengantara program Rasa Halal di Laos dan Thailand.

Jelasnya, itulah pengorbanan dan bukti persefahaman antara mereka kerana segala-galanya adalah tuntutan kerjaya yang mustahil diketepikan meskipun jauh di lubuk hatinya, terdetik perasaan rindu yang tidak mampu digambarkan.


"Dulu ketika mengendalikan Rasa Halal sepanjang lima musim, saya tidak perlu fikirkan sesiapa kerana masih sendiri. Namun kini apabila mendapat saja jadual penggambaran, saya terus memikirkan suami yang akan saya tinggalkan sementara.


"Saya bersyukur kerana Johan sentiasa memahami dan dia sendiri yang menyuruh untuk saya kekal mengacarakan program itu.

"Memang saya akui fikiran saya melayang merindui suami namun alhamdulillah setiap hari kami akan berhubung dan bertanya khabar.

"Namun ia bukanlah sesuatu yang baru atau pelik bagi kami kerana sejak bercinta lagi, memang kami berdua jarang bertemu kerana masing-masing sibuk dengan kerja dan kebetulan Johan tinggal bersama keluarga serta bekerja di Pulau Pinang, saya pula di Kuala Lumpur.

"Apapun manisnya, Johan datang membuat kejutan kepada saya pada awal Oktober lalu ketika saya bersama tenaga kerja berada di Bangkok. Sempat juga dia meluangkan masa selama tiga hari untuk bertemu saya dan menghabiskan masa bersama. Itu sudah cukup menghilangkan rasa rindu saya kepadanya," katanya yang menetap bersama suami dan keluarga mentuanya di Bukit Jambul, Pulau Pinang.

Ditanya pula pengalaman dan rutin hariannya sepanjang bergelar isteri, anak ketiga daripada enam beradik yang juga kelahiran Kuala Lumpur ini seronok menceritakan gelagatnya yang kini gigih belajar untuk menyediakan masakan kegemaran suaminya iaitu udang masak sambal.

Meskipun terikat dengan jadual kerja dan percaturan seni yang bagai tiada akhirnya, Farah yang turut mengacarakan program bual bicara Nasi Lemak Kopi O
di TV9 menyifatkan rasa penat yang dirasainya dalam mengukuhkan lagi ikatan
kasih sayang dalam perkahwinan adalah satu kepuasan yang sukar di gambarkan.

"Kelakar juga apabila saya mengambil keputusan untuk berkahwin di usia muda seperti ini kerana masih terlalu banyak yang perlu saya pelajari.

"Bagaimanapun, saya tidak menyesal dan suami pula sentiasa di belakang menyokong. Mujur ibu mentua dan keluarga suami juga begitu akrab dengan saya dan mereka juga banyak memberi tunjuk ajar kepada saya.

"Sebenarnya sepanjang bercinta, kami bukanlah seperti pasangan biasa yang setiap hari bertemu sebaliknya hanya beberapa kali saja kami sempat dating kerana begitu sibuk ketika itu.

"Lantas keputusan kami berkahwin ini adalah untuk lebih mengenali antara satu sama lain dan terus menyulam rasa cinta antara kami selain menguatkan lagi keserasian yang ada.

"Setakat ini, segala kelengkapan dan keperluan suami baik untuk kerja dan peribadinya sudah mampu saya uruskan sendiri.

"Malah, saya sendiri sudah cekap menyediakan masakan kari buatnya. Cuma jika ada kelapangan, saya akan duduk bersama ibu mentua untuk belajar cara memasak dan bagaimana untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga.

"Sekarang saya memang sedikit sibuk berulang-alik dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur memandangkan saya masih terikat mengendalikan program Nasi Lemak Kopi O setiap Jumaat dan undangan persembahan," katanya yang mengakui tidak pernah merancang untuk menimang cahaya mata sebaliknya menyerahkan segala-galanya kepada rezeki.

Jika ada yang tertanya mengapa si pemilik wajah manis dengan raut pesona anggun masih kekal mengendalikan program Rasa Halal sepanjang enam musim, mungkin perlu memberi peluang memerhati komitmen dan kesungguhannya di lokasi penggambaran.

Letak ke tepi soal penat dan letih kerana sentiasa terkejar-kejar dengan kesuntukan masa, Farah hanya menyifatkan disiplin adalah kunci utama bagi menghidupkan apa saja tugas dan tanggungjawab yang diberi.

"Bayangkan saya terpaksa menyiapkan semua 13 episod Rasa Halal dalam masa kurang dari sebulan dengan menjelajah beberapa negara yang tidak semudah ditonton di televisyen.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tenaga kerja program ini sudah bagaikan keluarga yang mana saya tidak berasa janggal untuk berbincang atau memberi pandangan.

"Sudah enam musim Rasa Halal bersama saya dan memang dapat saya rasakan hubungan itu. Ia begitu dekat kepada saya dan sentiasa memberikan pengalaman baru.

"Tidak setakat berpeluang pergi melawat ke negara orang, malah saya juga
punya ruang terbaik bagi mengenali budaya, masyarakat dan jenis makanan mereka.

"Bagi musim keenam, saya akan menyuntik beberapa pembaharuan dan kelainan. Saya akan cuba berkongsi maklumat secara santai dan bersahaja selain lebih cenderung mempamerkan budaya dan komuniti Islam di sana. Insya Allah, penonton akan melihat perbezaan dan kelainan bagi musim baru ini," katanya.

Selepas mengembara mengenali pelbagai cara penyediaan makanan halal dan tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi ke beberapa negara termasuk Hong Kong, China dan Vietnam, Rasa Halal Laos dan Thailand. Musim baru ini akan disiarkan setiap Selasa, jam 7.30malam mulai 6 Disember di Astro Oasis.

PROFIL:

NAMA SEBENAR: Farah Diana Anuar
TARIKH LAHIR: 25 Januari 1985
UMUR: 26 Tahun
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
KELUARGA: Anak ketiga dari enam adik-beradik
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Johan Johari
PENDIDIKAN: Jurusan Seni Persembahan (Muzik dan Vokal) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM)
JURUCAKAP PRODUK: Power Roots, Intimate, Syahirah

PROGRAM: Fulus Mania (Durian Runtuh) Di Astro Ria, Rasa Halal Orient (Astro Oasis) Musim 1 Hingga 6, Generasi Asli @ 1Malaysia dan Nasi Lemak Kopi O

ALBUM: Antara Dua dan Fantasia
DRAMA: Popular dan Akademi
FILEM: Man Laksa

PENCAPAIAN: Artis Harapan Terbaik AIM ke-12, Hadiah Penghargaan Top 10 New Singers Prize Di Festival Muzik Asia, Shanghai 2005, Artis Baru Wanita Popular ABPBH 2005

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada lagi alunan Lembaran Terakhir

Posted: 11 Oct 2011 06:56 AM PDT

HUJAN pagi semalam seakan membawa khabar sedih pemergian Biduan Negara, Datuk Mohd Jais Ahmad atau lebih dikenali sebagai Ahmad Jais, jam 9.20 pagi.

Allahyarham yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam pada 1 Oktober lalu akibat sesak nafas, meninggal dunia pada usia 75 tahun.

Penyanyi yang popular dengan lagu Di Ambang Sore, Budi Setahun Segunung Intan dan Azizah itu mula dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Selangor kerana mengadu penat selepas menjayakan satu persembahan Aidilfitri di Matic, Jalan Ampang pada 9 September sebelum dipindahkan ke DEMC kerana mempunyai rekod perubatan di situ.

Dalam usia emas, Allahyarham mempunyai penglihatan yang baik dan lebih suka memandu kereta sendiri biarpun pada malam hari kerana tidak percaya kalau orang lain yang memandu.


Ke mana pun pergi, lebih yakin memandu sendiri dan hidup sendirian selepas kematian isteri, Datin Mas Alilah Mas Nayin pada 22 Jun 2009.


Allahyarham juga tidak mengamalkan amalan tertentu untuk menjaga suara kerana baginya suara adalah anugerah Tuhan.

Namun, katanya, sejak kecil ibunya tidak membenarkan dia minum ais batu.

Katanya, ais itu sejuk di luar tapi panas di dalam. Dia tidak pernah menyentuhnya sejak sekolah rendah lagi kerana mengikut kata-kata ibunya yang dipegang sehingga hayatnya.

Walaupun dipanjat usia dan keadaan kesihatan kurang sihat, Allahyarham tetap bersemangat menyanyi. Ketika menjayakan Konsert Terima Kasih Harian Metro pada 26 Mac lalu di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Allahyarham berganding dengan artis generasi baru, Bunkface untuk lagu popularnya, Umpan Jinak Di Air Tenang dan persembahan mereka disaksikan 100,000 penonton.

Pemergian Allahyarham satu kehilangan besar kepada industri seni tanah air.
Penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin mengakui sebagai anak seni yang sama-sama berjuang dengannya, pemergian Ahmad Jais amat dirasai.

"Saya pernah menjayakan beberapa persembahan bersama arwah dan menyifatkan beliau seorang individu yang ceria dan gembira. Tidak pernah saya melihat dia dalam 'mood' yang tak baik sebaliknya muncul dengan wajah riang. Seorang yang mesra dan mudah didekati.

"Malah, arwah juga seorang yang sentiasa menjaga penampilannya. Setiap kali muncul di pentas, beliau pasti tampil kemas dalam gaya tersendiri. Kali terakhir saya bersua serta beraksi di pentas sama dengannya sekitar Jun lalu.

"Saya kagum kerana arwah anak seni sejati yang aktif dalam bidang seni sepanjang hayatnya.

"Saya yakin dengan keikhlasan dan ketelusan arwah menghiburkan masyarakat, beliau disayangi ramai orang dan peminat yang sentiasa menyokongnya," katanya.

Jamal Abdillah menyifatkan beliau seorang yang begitu merendah diri dan tidak pernah menunjukkan kesusahan dalam kepayahan dialaminya.

"Arwah sentiasa mengukir senyuman dan tampil dengan wajah gembira. Saya juga tidak pernah mendengar beliau merungut mengenai apa-apa pun berkaitan industri hiburan tanah air.

"Bagaimanapun, industri hari ini (semalam) kehilangan seorang artis yang memiliki suara tiada tandingan dan galang gantinya. Kini tiada lagi suara lemak merdu dan meruntun jiwa dapat menghiburkan pendengar dengan dendangan lagu Melayu asli yang hebat, mantap dan bertenaga. Usia tidak menjadi penghalang arwah menampilkan persembahan terbaik," katanya.

Penyanyi Aishah yang juga popular dengan lagu Bahtera Merdeka menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang suka berterus-terang.

Katanya, dalam satu persembahan arwah pernah bertanya kepadanya mengapa suka sangat mendendangkan lagunya.

"Ketika itu, kami baru beraksi di pentas sama, jadi saya terkejut. Sebenarnya arwah mahu memuji saya kerana dapat menyanyikan lagu Bahtera Merdeka dengan baik.

"Saya masih ingat kata arwah yang beliau pun tidak pernah terfikir menyanyikan lagu itu dengan lenggok.

"Pernah beberapa kali membuat persembahan bersama, arwah yang sering melihat saya membawa anak di belakang pentas, menegur mengatakan tidak tahu bagaimana saya mampu menguruskan anak dan menyanyi dalam masa yang sama.

"Sebagai seorang yang mengambil berat, jika saya tidak membawa anak bersama, beliau akan tanya juga. Begitulah sikap arwah yang ceria, peramah dan sangat suka berterus-terang. Apa saja yang beliau suka atau tidak suka, pasti diluahkannya," katanya.

Dilahirkan di Kapar, Klang, Selangor pada 28 Mac 1936, Allahyarham berhijrah ke Singapura pada 1959 dan sering menyertai pertandingan menyanyi dan menjadi juara pertandingan Lagu Asli Singapura pada 1959 dan 1960 hingga tidak dibenarkan bertanding pada 1961.

Tidak patah semangat, Ahmad Jais menyertai Lagu Pop Singapura dan menjadi juara pada 1961 lalu kembali menyertai Lagu Asli Singapura pada 1962 dan menjadi juara.

Sewaktu membuat persembahan di Panggung Victoria bersama kumpulan Seriwarna, kehebatan suaranya menyanyikan lagu Di Ambang Sore diperakui tokoh muzik terkenal Singapura, Zubir Said yang banyak terbabit dengan dunia rakaman.

Panggung Victoria juga menjadi tumpuan golongan elit dan bangsawan hingga ramai membuka mata dengan kemerduan suaranya.

Album pertama dirakamkan pada 1965 dengan lagu Kucupan Azimat dan Ahmad Jais merakamkan lebih 100 lagu dan menghasilkan 15 album.

Antara lagu popularnya, Bunga Ku Puja Di Petik Orang, Dikau Pujaan, Gelisah, Bahtera Merdeka, Harapan Kecewa, Kau Pergi Tanpa Relaku dan Lembaran Terakhir.

Selain menyanyi solo, Allahyarham juga terkenal dengan lagu duet bersama pasangannya, Allahyarham Datin Rafeah Buang menerusi lagu Juwitaku Sayang dan lagu Budi Setahun Segunung Intan duet dengan Kartina Dahari yang dimuatkan dalam filem Aksi Kucing.

Setiap kali menyambut Aidilfitri, alunan suaranya untuk lagu Selamat Hari Raya menjadi kemestian menjelang Syawal.

Kemuncak kariernya dalam bidang seni hadir pada 23 Mac 2007 apabila mengadakan Konsert Bahtera Merdeka anjuran Istana Budaya diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan.

Sepanjang kariernya, Allahyarham turut berlakon filem Aksi Kucing, Dara Kula dan Si Badul. Pada 2001 menerima anugerah Artis Sepanjang Zaman Papita dan Anugerah Biduan Veteran di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2002 (ABPBH 2002).

Allahyarham menerima darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda ke-63 pada 2006.

Al-Fatihah...semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama mereka yang dikasihi Allah...amin.

Full content generated by Get Full RSS.