Utusan Online - Hiburan |
Posted: Suami pengkritik utama ZizieOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL SIBUK sungguh Zizie dan suaminya melayan tetamu yang hadir ke rumah terbuka mereka di Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini. BARANGKALI akan ada yang beranggapan selepas aktres jelita berkulit putih gebu ini mendirikan rumah tangga, dunianya sudah jauh berubah. Kali terakhir lakonannya menghiasi televisyen adalah melalui drama rantaian Suraya yang pernah disiarkan sekitar dua tahun lalu iaitu sebelum dia bergelar seorang isteri. Selepas itu, dia terus menyepikan diri dan wajahnya kini begitu jarang dapat ditonton di layar kaca sehingga ada yang menyangka Zizie Ezette sudah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia lakonan. "Selagi saya tidak mengeluarkan kenyataan rasmi dari mulut saya sendiri, selagi itulah saya akan terus bergelar pelakon. "Saya cukup sedar ramai yang bertanyakan hal itu (bersara) kepada saya. Mana mungkin saya boleh meninggalkan dunia lakonan begitu sahaja selepas hampir 20 tahun bergelumang dalam industri. "Dengan duit lakonan jugalah saya mampu berdiri teguh sehingga ke hari ini serta dapat membantu ibu dan adik-beradik yang lain menjalani kehidupan yang selesa. "Apa yang boleh saya katakan, buat masa ini saya selesa dengan kehidupan saya sekarang sebagai seorang isteri dan sentiasa menemani suami saya," katanya penuh bersungguh. Zizie atau nama sebenarnya, Zizie Izette Abd. Samad ditemui pada majlis rumah terbukanya bersama suami tersayang iaitu Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin yang diadakan di kediaman mereka di Taman Sering Ukay, Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini. Aktres yang mula menempa nama menerusi filem Kekasih Awal dan Akhir pada tahun 1993 itu juga tanpa selindung memberitahu rindunya terhadap dunia lakonan terus membara setiap masa. Sehinggakan dia sendiri pernah menghabiskan masa yang lama di dalam bilik air dan berlakon di hadapan cermin dengan pelbagai watak yang ingin dilakonkannya. Tetapi, memandangkan statusnya kini sudah berubah, kata aktres berusia 32 tahun itu, dia perlu mengutamakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri terlebih dahulu. Begitu juga dengan watak-watak yang ingin dilakonkannya perlulah mendapat keizinan suaminya terlebih dahulu. "Suami saya tidak membenarkan saya melakonkan watak-watak gedik dan antagonis walaupun saya cuba menyakinkan dirinya bahawa semua itu adalah lakonan semata-mata. "Bukannya tidak ada tawaran yang saya terima selepas saya bergelar isteri. Cuma, masa yang tidak mengizinkan saya untuk berbuat demikian. "Alhamdulillah, apa yang boleh saya katakan sejak mendirikan rumah tangga, watak-watak yang mendatangi saya tidak kurang menariknya. Salah satunya adalah drama bersiri Anessa. Tetapi, nampaknya bukan rezeki saya untuk membintangi drama itu," kata anak jati Batu Pahat, Johor itu yang kelihatan semakin elegan dan langsing sejak bergelar isteri. Dalam masa yang sama, Zizie turut memberitahu suami kesayangannya itu merupakan pengkritik utama khususnya dalam aspek lakonan. Kata Zizie, kalau ada yang tidak disukainya atau kurang berkenan di hatinya, secara spontan Bung Mokhtar akan memberikan pendapatnya dalam loghat Sabah. "Disebabkan itulah saya perlu menjadi lebih memilih sekarang dalam memilih watak yang benar-benar sesuai dengan status saya. Tidak mahu nanti suami saya terasa hati pula," ujar pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2003 untuk drama Aduhai Esah ini sambil ketawa kecil. Semakin selesa Tarikh 16 Disember ini genaplah Zizie dan Bung Mokhtar bergelar suami isteri. Biarpun dihambat kontroversi di awal perkahwinan mereka, ternyata ia merupakan kekuatan untuk pasangan ini terus melayarkan bahtera perkahwinan mereka. Zizie yang ditemui pada petang itu tidak putus-putus melafazkan rasa syukur kerana telah dipertemukan dengan seorang lelaki cukup baik, bertanggungjawab dan budiman. Di awal perkahwinan mereka juga, Zizie pernah memberitahu dia sedikit kekok untuk mengadaptasi dirinya dengan dunia seorang ahli parlimen yang memerlukan dirinya turun padang bertemu rakyat. Namun, selepas kerap mengikuti suaminya berkempen di Sabah sehingga berbulan-bulan lamanya, Zizie mengakui dia sudah mula dapat membiasakan diri dengan pelbagai situasi. Malah, Zizie berasa terharu apabila dia sendiri tidak menyangka ada penduduk di kawasan pendalaman khususnya masih lagi mengingati dirinya sebagai seorang pelakon. "Saya sendiri tidak kisah untuk berpanas dan berhujan dengan suami saya apabila bertemu dengan rakyat dan penduduk di Sabah. "Apa yang penting, apabila saya turun padang bersama-sama suami, kami tidak meminta untuk diberikan layanan eksklusif mahupun VIP. Biarlah kami sama-sama meredah segalanya dengan mereka. "Bukan mahu mendabik dada atau sengaja mahu membangga diri, tetapi saya ini boleh menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan dan dengan sesiapa sekali pun. "Atas alasan itu, apabila saya diundang untuk mengikut suami, saya tidak akan pernah menolaknya," ujar Zizie yang menghabiskan kebanyakan masanya di Sabah untuk setia bersama suami di sisinya. Dalam pertemuan itu juga, tidak sah seandainya soal cahaya mata tidak diajukan kepada pelakon cantik ini. Bagai sudah menyangka soalan itu akan ditanya, dengan penuh hemah, Zizie menjelaskan dia dan suaminya masih belum mempunyai rezeki untuk menimang anak. Dengan penuh jujur dia memberitahu, baik dia mahupun Bung Mokhtar, masing-masing memiliki tahap kesihatan yang baik untuk memiliki anak. "Bagi saya, semuanya telah diatur dan ditentukan oleh Allah. Mungkin Dia mahu saya dan suami menghabiskan masa berdua sekerap yang mungkin sebelum Dia mengurniakan cahaya mata kepada kami. "Kami memang mahukan anak dan Insya-Allah, kalau ada rezeki nanti, kami akan menerimanya dengan senang hati," kata pemilik trofi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Sri Angkasa 1994 menerusi drama Alegori itu lagi. |
Posted: Hantu Bonceng kutip RM8 jutaOleh ABD. AZIZ ITAR SEBAHAGIAN daripada wakil-wakil media cetak dan elektronik yang hadir pada majlis rumah terbuka Ahmad Idham yang diadakan di kediamannya di Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini. AHMAD Idham antara pengarah filem tempatan yang banyak mencatat kejayaan apabila kebanyakan karya arahannya seperti Adnan Sempit mengutip kutipan tiket melebihi RM7 juta sewaktu tayangannya pada tahun lalu. Bagaimanapun, pengarah berusia 40 tahun itu lebih berbangga dengan Hantu Bonceng apabila filem ke-21 arahannya itu bukan sahaja mencatat kutipan tiket RM8 juta selepas ia ditayangkan seluruh negara sejak 30 Ogos lalu. Malah, dia juga lebih berbangga kerana filem yang dibintangi oleh Zizan Raja Lawak dan Juliana Evans itu merupakan filem terbitan syarikat produksinya sendiri iaitu Excellent Pictures Sdn. Bhd. yang ditubuhkannya pada tahun 2004. "Kalau mengarahkan filem orang maka yang berjaya dan untung sebenarnya adalah penerbit atau syarikat produksi terbabit. Tetapi untuk Hantu Bonceng, saya lebih puas dan bangga kerana ia adalah filem terbitan saya sendiri. "Saya bangga kerana selepas lima hari tayangan filem itu mengutip kutipan RM5 juta dan sehingga 11 September lalu angkanya mencecah RM8 juta. Ini adalah kejayaan sebenar dan pencapaian saya yang terbaik setakat ini," ujarnya kepada Hits. Kejayaan filem yang kelima terbitan Excellent Pictures Sdn. Bhd. dengan kos mencecah RM1 juta itu secara tidak langsung telah menyuntik semangatnya bagi mengarah serta menerbitkan filem sendiri pada masa akan datang. Sehubungan itu, Ahmad Idham berazam untuk menerbitkan sekurang-kurangnya empat buah filem setahun bagi memenuhi permintaan dan kepercayaan para peminat filem Melayu yang semakin meningkat akhir-akhir ini. "Saya memang telah mengarahkan 21 filem tetapi cuma lima daripadanya yang saya terbitkan melalui syarikat saya. Hantu Bonceng adalah filem kelima terbitan saya sendiri," ujarnya sewaktu ditemui para wartawan hiburan baru-baru ini. Pada pertemuan di rumah agam yang baru didiami sebulan lalu di Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu, Ahmad Idham berkata dia semakin yakin dengan keupayaannya selepas Hantu Bonceng mendapat sambutan hangat para peminat. Jelasnya, biarpun empat filem terbitan Excellent Pictures Sdn. Bhd. sebelum ini kurang mendapat sambutan para penonton tetapi ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus menerbitkan filem sendiri. "Contohnya, pada tahun 2006 saya telah menerbit dan mengarahkan filem Tipah Tertipu yang menelan kos RM1.1 juta tetapi sayangnya kutipan tiketnya hanya RM700,000. Namun, saya tidak pernah berputus asa. "Saya kemudiannya banyak mengarahkan filem terbitan MIG Productions seperti Adnan Sempit yang mengutip kutipan lebih RM7 juta. Semua itu memberi semangat dan keyakinan untuk saya menerbitkan filem sendiri," tuturnya. Tambahnya, ekoran kejayaan Hantu Bonceng yang kini masih ditayangkan di 68 pawagam seluruh negara, dia kini sedang dalam proses pos-produksi bagi menghasilkan lebih banyak filem dalam pelbagai genre pada masa depan. "Macam yang saya cakap tadi, selepas ini sasaran saya adalah menerbit dan mengarahkan sekurang-kurangnya empat filem melalui syarikat saya itu. Terbaru saya sedang dalam proses untuk mengarahkan filem berjudul Mail Lambong lakonan Zizan Raja Lawak," jelasnya. Hantu Bonceng boleh dikatakan bertuah kerana bukan sahaja terletak di bawah Skim Wajib Tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sejak tayangannya penghujung Ogos lalu, tetapi ia juga kurang berdepan dengan saingan. Ini kerana, sepanjang tempoh itu iaitu selama lebih dua minggu, hanya Hantu Bonceng yang merupakan satu-satunya filem Melayu yang ditayangkan di pawagam sebelum filem Raya Tak Jadi! menyusul mulai 15 September ini (esok). |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |