Adsense

Selasa, 13 September 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Cemburu ada makna

Posted: 12 Sep 2011 03:30 PM PDT

Hip

Dapat kunci kebebasan

SUKA atau tidak, dua bintang realiti Akademi Fantasia, Stacy dan Akim masih tetap dikaitkan antara satu sama lain sekali pun jawapan biasa yang keluar daripada bibir masing-masing hanya menyatakan mereka sekadar sahabat akrab.

Malah kemunculan album baru Stacy yang diberi judul Stay-C mengukuhkan lagi kisah kekuatan hubungan merpati dua sejoli itu apabila si jejaka turut menghasilkan seni kata buat lagu ciptaan Kuncidemak, Cemburu. Sambil tersenyum simpul, akui empunya nama sebenar Stracie Angie Anam, 21, dia sendiri tidak tahu teman suka dukanya mempunyai bakat terpendam malah menganggap ia sebagai kejutan.

"Saya sendiri tidak tahu Kuncidemak memberikan lagunya kepada Akim untuk dilengkap liriknya. Apa yang saya tahu kedua-duanya bersahabat baik dan sebaik diserahkan, saya menyenangi lagu ini.

"Namun tidak bermakna Cemburu membawa makna kepada hubungan yang tidak lebih daripada kawan ini. Sebagai teman karib Akim, saya begitu senang hati mendendangkan lagu yang digarapnya sendiri," katanya selepas pelancaran album itu, baru-baru ini.

Turut dihadiri ibu serta saudara-mara terdekat, majlis yang dimeriahkan kehadiran peminat setianya meninggalkan momen berharga apabila insan kesayangan sama-sama meraikan ulang tahunnya yang ke-21.
Walaupun sambutan berlalu lebih dua minggu daripada tarikh pelancaran album keduanya iaitu pada 18 Ogos lalu, sambutan tetap meriah, malah Stacy sempat berseloroh meminta kunci kebebasan daripada ibu tercinta, Agnes Kallos.

Pada majlis terbabit, Stacy tidak ketinggalan menyampaikan tiga dendangan yang dipetik daripada album barunya iaitu Kisah Dongeng, Kasanova selain Cemburu dengan persembahan bertenaga.

Nyata angka 21 memberi pengertian berbeza buat si manis dari Kota Kinabalu, Sabah itu apabila meletakkan takrif kematangan sepanjang merencana kerjaya seni yang diterokai kira-kira empat tahun lalu.

"Dua tahun mencari bahan dan merealisasikannya bukanlah satu tempoh singkat kerana saya perlu memperhalusi setiap bingkisan sebaik mungkin apatah lagi kali ini saya mempertaruhkan balada sebagai rentak pilihan.

"Peminat sudah biasa mendengar saya menyampaikan lagu rancak. Jadi apabila memilih irama melankolik ini, ia memberi cabaran berlainan dan penghayatan seakan membawa kita ke alam berbeza," katanya yang semakin menyerlah menerusi lagu Kisah Dongeng.

Sememangnya jangka masa dua tahun melengkapkan buah tangan terbabit berbaloi apabila satu persatu single yang diperdengarkan kepada umum memancing perhatian hingga mampu menduduki carta.

Itulah kepuasan yang dinantikan selama ini kerana setiap inci bahan seawal pemilihan lagu, konsep hingga imej feminin yang diserlahkan menerusi gaya kulit dalam album umpama mahu menonjolkan kematangannya kepada dunia.

Bukan tukar pengenalan diri

Namun apabila ditebak mengenai imej di pentas yang tidak menampakkan perbezaan dengan kemunculan awal di arena seni suara, dengan ringkas ulasnya, imej gadis matang hanya untuk album.

Katanya, di pentas dia lebih selesa bergaya ringkas sekali gus memudahkan pergerakan ketika menari memandangkan dirinya cukup sinonim dengan tarian rancak tatkala di pentas persembahan.

Mengenai judul album yang menggunakan nama Stay-C, tegasnya ia sekadar kelainan pada ejaan bukan bermakna mahu menukar pengenalan diri untuk perjalanan seni yang seterusnya.

"Nama saya tetap menggunakan ejaan Stacy, tetapi untuk album ini saya memberikan kelainan kerana bagi saya Stay-C membawa bermacam makna seperti 'stay cool' atau 'stay creative," katanya lagi.

Antara lain lagu yang dimuatkan ialah Bosan, Lalai, Kapsul, Pelangi Senja serta sebuah dendangan duet bersama idola pujaannya, Amy Search bersama lagu ciptaan Edrie Hashim, Gempur.

"Sudah tentu saya teruja sebaik saja rocker tersohor yang juga mantan Pengetua AF itu menyatakan kesediaan bergabung suara dengan saya. Ia umpama penghormatan buat orang baru seperti saya.

"Gempur juga menjadi lagu terakhir yang kami rakamkan untuk album ini. Apa yang pasti saya berpuashati dengan keseluruhan hasilnya dan mahu berkongsi rasa ini dengan semua peminat," tambahnya.


Berjinak-jinak dengan lakonan

Posted: 12 Sep 2011 03:25 PM PDT

Hip

Shila meneliti tawaran membintangi filem muzikal romantis terbitan Malaysia-Indonesia

HANYA selepas benar-benar bersedia barulah penyanyi muda, Shila Amzah, 21, menerima pelawaan sebuah syarikat untuk membintangi filem usaha sama Malaysia - Indonesia yang akan memulakan penggambaran akhir tahun ini.

Begitupun, penyanyi lagu Memori Tercipta itu terpaksa merahsiakan dulu butiran lanjut mengenai produksi terbabit memandangkan kontrak hitam putih belum lagi ditandatangani. Cuma akuinya, antara faktor yang membuatkannya terbuka hati bekerjasama dengan penerbitan berkenaan berikutan tarikan genre muzikal romantis yang menunjangi kronologi kisah.

"Sebenarnya tawaran itu hadir tepat pada masanya apabila saya sudah bersedia sepenuhnya untuk beraksi di layar perak. Sebelum ini memang ada undangan tetapi komitmen terhadap nyanyian selain masih teragak-agak membuatkan saya terpaksa menolak.

"Mereka mengajukan tawaran kira-kira tiga bulan lalu dan sebaik membaca skrip, saya sudah tertarik dengan watak yang diberikan. Selepas berbincang dengan keluarga, saya mengiyakan permintaan pihak berkenaan.

"Langkah menceburi bidang lakonan juga antara usaha mengembangkan bakat di cabang seni berbeza. Agak gusar awalnya tetapi saya yakin persediaan rapi mampu melicinkan kerja," katanya yang bakal digandingkan dengan aktor seberang sebagai teraju utama.
Jelas anak gadis kepada pelakon dan penyanyi popular, ND Lala itu, bapanya antara insan yang sudah dianggap sebagai guru tidak rasmi kerana selain membimbingnya melayari hidup, beliau turut menurunkan ilmu lakonan dan nyanyian.

Memahami ragam anak remaja, kata Shila atau nama sebenar Nurshahila Amir Amzah, bapanya seorang yang terbuka malah memberi kebebasan kepada mereka memilih bidang digemari namun tegas dalam soal disiplin.

"Saya berada di arena seni sejak 11 tahun yang lalu bermakna sejak zaman sekolah rendah lagi sudah mula merakamkan album dan menyanyi secara langsung. Papa tidak pernah memaksa, saya sendiri berminat dan sebagai bapa dia membuka jalan.

"Cuma nasihatnya minat dan bakat saja tidak cukup, sebaliknya perlu gandakan latihan serta berdisiplin. Saya masih ingat dulu sebelum menyampaikan lagu Inggeris di rumah papa meminta saya berlatih supaya sebutan dan nahu setiap baris lirik betul hingga membuatkan saya menangis. Namun ketegasannya berbaloi," katanya lagi.

Patah Seribu jadi taruhan

KETIKA ini Shila muncul bersama single terbaru Patah Seribu yang mula disiarkan di radio, manakala penggambaran video muziknya pula diadakan sebelum Ramadan lalu dengan memilih Sharnaaz Ahmad untuk menyerikan klip video itu.

Katanya, penghayatan Sharnaaz ketika muncul dalam drama Ungunya Cinta meninggalkan impak terhadap penonton terutama dirinya hingga dalam babak tertentu Shila menitiskan air mata.

Patah Seribu yang juga lagu balada hasil nukilan Shila, berada lama dalam simpanannya tetapi baru kini berani dikongsi dengan khalayak.

"Sebenarnya dalam senarai kini sudah ada hampir 30 lagu. Saya mahu mencantikkan dulu melodinya dan syukur single pertama ini mampu memancing perhatian.

"Sepatutnya ia diperdengarkan lebih awal iaitu pada Mac lalu, namun terpaksa ditunda untuk memberi laluan kepada album 3 Suara yang saya rakamkan bersama Ning Baizura dan Jaclyn Victor," katanya.

Beberapa lagu hasil ciptaan sendiri juga sudah mula dirakamkan untuk paparan di YouTube malah maklum balas pemerhati sangat menakjubkan apabila setiap hari bilangan penonton meningkat.

Shila berkata buat sementara waktu jadual kerja dikendalikan syarikat ayahnya, Urus Stabil Sdn Berhad.

"Sebenarnya saya punya syarikat sendiri yang sudah lama beroperasi tetapi buat sementara waktu, papa akan menguruskan segala-galanya. Inilah cabaran baru buat saya kerana semuanya dilakukan sendiri," katanya yang rancak mengatur promosi untuk single baru.

Terima kasih kepada Unit Perhubungan Awam Kementerian Pertahanan Bahagian Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM)