Adsense

Selasa, 13 September 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Tutup kisah lama - Faezah Elai

Posted:

Tutup kisah lama - Faezah Elai

Tutup kisah lama - Faezah Elai

TIADA bicara hati dapat diluahkan aktres dan model terkenal, Faezah Elai, 29, selain menarik nafas lega selepas sah bergelar isteri kepada pengarah drama, Mohamad Heykal Mohd. Hanifah, 38, pada 9 September lalu.

Dewan Kondominium Plantino, Gelugor, Pulau Pinang, menjadi saksi penyatuan dua hati ini di hadapan Jurunikah Kawasan A Timur Laut, Abdullah Yahya kira-kira pukul 3.35 petang.

Seri wajah wanita yang baru bergelar isteri itu dilihat selepas upacara majlis pembatalan air sembahyang selesai dilakukan di hadapan seramai 300 ahli keluarga kedua-dua pasangan terbabit.

Pada majlis pernikahan itu, Faezah Elai menerima mas kahwin sebanyak RM1001 dan 11 dulang hantaran berbalas sembilan.


HEYKAL mengucup dahi Faezah sebaik mereka sah disatukan sebagai suami isteri.


Pasangan tersebut bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar wang hantaran dan dikatakan akan mengumumkannya pada majlis resepsi, 3 Disember nanti di Dewan Bankuet, Kem Tun Abdul Razak, Bukit Gedung manakala Heykal akan mengadakan majlis keesokan harinya, bertempat di Hotel Tanjung Bungah.

Walaupun sebelum ini ceritera cintanya berlagu kencang di persada dunia hiburan tempatan angkara dikatakan menjadi punca runtuhnya gerbang istana Heykal dengan isterinya, namun dia mempunyai pandangan tersendiri dalam menilai kehidupannya sebagai pasangan merpati dua sejoli.


BERDEBAR. Mungkin itu yang dirasakan Faezah sewaktu Heykal melafazkan akad. Mereka sah bergelar suami isteri dengan hanya sekali lafaz.


Pasangan itu yang ditemui sejurus selesai majlis akad nikah tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan bersyukur untuk menjalani kehidupan berumahtangga.

"Alhamdullillah...saya bersyukur kerana semua yang dirancang berjalan dengan lancar dan sehingga saat ini saya masih tidak menyangka sudah bergelar isteri orang.

"Malah, apa yang saya harapkan agar semua cerita-cerita lama dapat ditutup dan tidak perlu dibangkitkan lagi," kata anak kelahiran Gelugor itu sejurus selesai majlis akad nikah.

Malah menurut anak sulung daripada tiga adik-beradik itu lagi, keikhlasan cintanya terhadap sang suami adalah berdasarkan hati yang tulus dan niat yang baik.

"Ikatan perkahwinan ini sudah tersurat dan kita sebagai hamba Allah perlu ikuti setiap perintah-Nya. Jodoh dan pertemuan juga diberikan oleh-Nya. Perkahwinan saya dan Heykal juga tiada kaitan dengan spekulasi sebelum ini dan saya tidak mahu aibkan sesiapa malah inginkan kebahagiaan yang berganda dalam rumahtangga kami ini," jelasnya penuh jujur.


PELAKON ini mahu semua spekulasi lama tentang hubungan mereka dipadam sebaik mereka berkahwin.


Mengenai detik pertemuan cinta mereka mereka katanya, semuanya bermula selepas keluar menonton wayang bersama pada bulan Mac lalu.

Menurutnya, pertemuan yang singkat itu disusuli pula dengan ucapan 'saya cinta awak' daripada Heykal dan ianya cukup memberi kesan dalam jiwa sehinggakan berjaya merungkai isi hati kedua-dua pihak.

"Pengenalan antara kami sebagai rakan biasa bermula pada pertengahan tahun lalu sebelum masing-masing meluahkan perasaan cinta. Kami tidak melangsungkan majlis pertunangan tetapi hanya mengadakan majlis merisik pada bulan April lalu sebelum kedua-dua pihak keluarga meletakkan tarikh pernikahan," ujarnya.

Ditanya tentang keistimewaan Heykal, pelakon yang pernah membintangi drama bersiri La Dolce Amira memberitahu, sikap mengambil berat dan romantis suaminya itu membuatkan hatinya tertawan selain kedua-duanya berasal dari negeri yang sama.


PASANGAN yang bekerja dalam aliran sama ini tidak mempunyai masalah untuk menyokong antara satu sama lain.


Sementara itu, bagi Heykal yang berstatus duda pula berkata, perkahwinan kali keduanya itu diharap memberi lembaran kepada mereka berdua.

"Kami akan lupakan segala perkara yang lalui dan akan menjadikannya sebagai iktibar serta pengajaran dalam mencari kebahagiaan hidup sebagai pasangan suami isteri di masa depan.

"Harap selepas ini tidak timbul lagi perkara-perkara lama dan saya akan melindungi isteri saya serta tidak akan teragak-agak untuk masuk campur dalam apa jua hal yang berlaku terhadapnya," jelasnya sambil menjeling ke arah isteri Faezah Elai.

Berhubung tentang penerimaan anak-anak Heykal, celah Faezah Elai, dia tidak mempunyai masalah dengan tiga cahaya mata suaminya itu dan akan menerima mereka sebaik mungkin.

Bagaimanapun, pasangan ini belum memutuskan lagi mengenai perancangan lokasi berbulan madu yang dijangka akan dilaksanakan selepas selesai majlis resepsi di kedua-dua belah pihak nanti.

Malah Faezah sendiri memberitahu agenda itu terpaksa 'dilupakan' seketika memandangkan jadual kerjanya yang amat padat. Sebelum majlis, dia sibuk dengan penggambaran slot Samarinda, Jiwa dan Lara, kini selepas bernikah pula dia akan menjalani penggambaran filem Tanda Putra Negara di London.

"Alhamdulillah, rezeki berlakon datang mencurah dan walaupun sibuk berlakon, saya akan tetap mendahulukan rumah tangga saya," ikrarnya.

Shila Amzah kini bebas

Posted:

Shila Amzah kini bebas

Shila Amzah kini bebas

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

SEMENJAK muncul naib juara dalam rancangan One In A Million (OIAM) pada tahun 2008, Shila Amzah dikatakan antara penyanyi yang mempunyai potensi besar untuk pergi jauh dalam bidang nyanyian. Dia dilihat mewarisi bakat bapanya, N.D Lala yang sememangnya dikenali sebagai penyanyi popular era 90-an.

Bagaimanapun, setelah tiga tahun bergelar anak seni Shila dilihat masih gagal untuk memikat hati para pendengar dan kebanyakan lagu-lagu nyanyiannya seperti jarang diputarkan di stesen-stesen radio.

Kemudian pada bulan Ogos yang lalu dengan tiba-tiba terdengar perkhabaran mengenai keputusannya untuk meninggalkan syarikat rakaman Monkey Bone yang telah menguruskan kerjaya seninya selama tiga tahun.

Berkesempatan menemuinya pada pertengahan bulan puasa yang lalu, penyanyi yang kini baru berusia 21 tahun itu tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak atas kegagalannya untuk lebih menyerlah berbanding penyanyi lain.

"Sepanjang tiga tahun bersama Monkey Bone, ternyata memang banyak yang telah saya pelajari tentang selok-belok dalam dunia nyanyian. Dengan pengalaman yang ada, rasanya sudah sampai masanya untuk saya bebas bergerak sendiri.

"Apa yang saya boleh katakan tiada masalah yang berlaku antara saya dan pihak pengurusan lama. Lagipun perkara ini sudah dibincangkan bersama dan mereka bersetuju untuk melepaskan saya," jelasnya.

Bukan mahu memperkecil-kecilkan usaha yang telah dilakukan oleh pihak Monkey Bone untuk menaikkan namanya, namun Shila menyatakan formula yang digunakan oleh syarikat lamanya itu dirasakan kurang sesuai buat dirinya.

Jelas penyanyi yang kerap tampil dengan iklan-iklan komersial itu lagi, lebih baik dia mengundurkan diri sekarang agar syarikat lamanya itu dapat memberikan tumpuan kepada artis-artis lain di bawah mereka.

"Buat masa ini perjalanan karier nyanyian saya semuanya diuruskan oleh ibu. Lagipun selama ini ibu yang selalu menemani saya ke mana-mana sahaja termasuklah ketika membuat persembahan dan menjalani sesi fotografi," ujarnya.

30 buah lagu

Selain mempunyai bakat yang besar dalam bidang seni suara, pemilik nama sebenar Nur Shahila Amir Amzah ini juga sebenarnya turut mempunyai kebolehan untuk menghasilkan lagu.

Menurut Shila, sehingga kini dia sudah mempunyai simpanan 30 buah lagu yang telah dihasilkannya sendiri semenjak dia berusia 16 tahun. Bagaimanapun, dia tidak berani untuk menonjolkan lagu-lagu hasil ciptaannya itu.

"Buat permulaan ini saya telah pun memperkenalkan lagu ciptaan saya sepenuhnya yang berjudul Patah Seribu. Alhamdulillah, apa yang saya tahun lagu ini telah pun dimainkan di kebanyakan radio-radio tempatan," ujarnya.

Ujarnya lagi, memandangkan lagu berkenaan juga semakin diterima pendengar, dia telah merancang untuk menghasilkan sebuah video muzik yang akan diarahkan oleh Michael Ang. Menariknya, dia akan bergandingan dengan pelakon Sharnaaz Ahmad untuk berlakon dalam video muzik tersebut.

"Saya memilih Sharnaaz untuk membintangi video muzik Patah Seribu itu kerana tertarik dengan drama dan telefilem lakonannya. Kalau segalanya berjalan lancar, penggambaran akan dilakukan dalam bulan ini," ujarnya.