Adsense

Selasa, 13 September 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Ejen Nora atur strategi

Posted: 12 Sep 2011 08:16 AM PDT

TIDAK akan kembali seorang aktres ini ke pentas teater sekiranya tiada keperluan. Contohnya, kalau mahu, dia boleh saja muncul dalam pementasan P Ramlee The Musical (PRTM) kerana itu produksi terbitannya sendiri.

Bagaimanapun seperti yang dinyatakan, dia tidak perlu memaksa-memaksa diri memegang watak yang bukan lahir daripada jiwanya.

Begitulah prinsip kerja Datin Seri Tiara Jacquelina - seorang pencinta seni yang sentiasa teruja membangunkan kesenian melalui ideanya yang tidak pernah kering-kering.

Sebelum ini, kita sudah melihat kejayaan Tiara membina satu karakter epik yang gah. Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumilah muncul di pentas Istana Budaya (IB) pada 2006 selepas diperkenalkan dalam sebuah filem epik yang hebat pada 2005.


Seterusnya apabila pementasan PRTM dipersembahkan pada 2007, Tiara hanya bertindak selaku Produser Eksekutif dengan memantau produksi di belakang tabir.

Dia lebih ghairah menonjolkan bakat Liza Hanim sebagai Saloma, Musly Ramlee sebagai P Ramlee dan Melissa Saila (Seniwati Norizan).

Namun tahun ini, Tiara sudah bersedia untuk kembali ke IB. The Secret Life of Nora (TSLON) akan menjadi satu lagi medan ujian dan pentas kepuasan Tiara dalam mempersembahkan satu lagi karya berkualiti.

Mungkin bagi yang mengikuti perkembangan Tiara sejak awal dulu, mereka masih ingat bahawa dia pernah dan masih menguruskan sebuah kumpulan persembahan bergelar Kit Kat Klub.

Melalui Kit Kat Klub, Tiara mengumpul serta mengasah bakat anak kota yang meminati bidang tarian dan seni persembahan (performing arts). Antara mereka yang pernah bersama Kit Kat Klub adalah pelakon Sofia Jane, Maria Farida, Pat Ibrahim (koreografer), Jay KOOL, Khalid Ahmad (Asiarasa), Sheila Haran, Datin Ezureen Malek (Baby) dan Nasha Aziz.

Mereka sering membuat persembahan pada majlis pelancaran produk, makan malam, pesta hari jadi serta bermacam lagi agenda hiburan.

Dalam pertemuan dengan Tiara, baru-baru ini, dia akui muzikal terbarunya itu, TSLON boleh diibaratkan sebagai satu 'tribute' kepada persembahan Kit Kat Klub tetapi dalam skala yang jauh lebih besar.

"Memang saya puas kerana sebelum ini impian saya untuk melakonkan watak epik sudah tercapai dalam filem dan pementasan Puteri Gunung Ledang. Selepas berehat beberapa tahun, sudah sampai masanya saya kembali ke pentas dengan watak moden yang berbeza pula dan selepas mencari idea, terlintas di fikiran saya ini watak Nora.

"Saya tidak nafikan Kit Kat Klub memang ada nilai sejarah dan sentimental buat diri saya dan rakan artis yang pernah bersama saya dulu. Jadi kali ini, saya mahu 'enjoy' di pentas dengan meminjam 'mood' Kit Kat Klub untuk dipindahkan ke dalam Nora," katanya.

Ramai tahu, Tiara juga sangat gemarkan elemen 1Malaysia serta antarabangsa dalam persembahannya. Kalau dalam filem Puteri Gunung Ledang dia berjaya meminang Christine Hakim, Alex Komang dan Dian Sastrowardoyo, menerusi pementasan itu pula Tiara berjaya mengetengahkan Stephen Rahman-Hughes dan pelakon bukan Melayu, Sukania Venugopal.

Kali ini dalam TSLON, Tiara menampilkan pula pelakon handalan dari West End London, Ryan Silverman sebagai watak utama Ejen Roger untuk bergandingan bersamanya yang mendukung peranan primadona (Nora) di sebuah pusat hiburan yang akhirnya turut menjadi ejen perisik.

Ryan akui walaupun ini kali pertama dia beraksi di rantau Asia, namun dia tetap optimis dengan pembabitannya dalam TSLON kerana tertarik dengan jalan cerita watak serta perjalanan produksi itu yang begitu terancang, mengikut acuan pementasan bertaraf antarabangsa.

Tiara berkata, dia mendapat inspirasi watak Ejen Nora itu daripada filem Melayu klasik, Nora Zain yang pernah dilakonkan Seniwati Saadiah. Namun pementasan itu bukanlah 'remake' ke atas filem itu, sebaliknya mempunyai jalan cerita tersendiri serta latar belakang watak berbeza.

Menambahkan lagi tarikan komersial, Tiara turut menyunting pengacara paling popular Aznil Nawawi sebagai Mr J. Barangkali ramai peminat ingin melihat apakah lagi kejutan Aznil selepas berjaya dengan watak Profesor Klon dalam filem Cicak-Man.

Penyanyi terkenal, Adibah Noor turut memegang peranan penting dan kehadiran Adibah pastinya memantapkan lagi sisi vokal pementasan ini. Adibah memegang watak sebagai Khatijah iaitu rakan baik Nora di kala susah dan senang. Seorang lagi pelakon watak penting ialah Stephanie Van Driesen yang melakonkan peranan wanita pesaing Nora.

Pementasan ini bukan saja dipenuhi dengan lakonan dan nyanyian tetapi juga babak aksi dan 'stunts' yang hebat, sesuai sebagai pelengkap kisah cinta berbaur ejen perisikan.

Khas bagi mempromosikan teater muzikal ini juga, sebuah klip video lagu Siapa Dia dihasilkan. Ia berupa lagu lama yang pernah dipopularkan penyanyi veteran Zainab Majid tetapi digubah semula oleh Roslan Aziz yang turut bertindak selaku pengarah muzik TSLON.

TSLON diarahkan Steven Dexter dengan skrip tulisan Elliot Davis bagi versi Inggeris dan Mamat Khalid (versi Melayu). Ia akan mula dipentaskan di IB pada
29 September hingga 16 Oktober ini.Tiket boleh dibeli di kaunter box-office IB atau di laman web www.airasiaredtix.com atau telefon 03-87754666 untuk
pertanyaan.

Mamat cari kelainan

Posted: 12 Sep 2011 05:32 AM PDT

SESUDAH filem Hantu Kak Limah Balik Rumah mencipta sejarah dengan kutipan box-office, pengarahnya, Mohamad Mohd Khalid atau Mamat Khalid terus melajukan langkah dengan menghasilkan beberapa lagi filem pelbagai genre.

Selain filem aksi Apokalips, terbaru beliau mara dengan filem bertemakan seram, Rentaz.

Menampilkan pelakon punya nama besar seperti Awie, Khir Rahman dan Shah Jaszle, ia mengisahkan Bob, lakonan Awie yang mengikut telunjuk syaitan yang menyerupai manusia bernama Taisyan (Khir Rahman).

Walaupun melalui pelbagai dugaan hidup sewaktu kecil, Bob berjaya membina hidup lebih baik tatkala dewasa. Bagaimanapun, satu hari dia mengalami kemalangan dan dalam keadaan koma, syaitan datang menuntut janji Bob.


Ditemui pada sesi penggambaran Rentaz di Perangin Mall, Georgetown, Pulau Pinang, Mamat berkata, idea untuk menghasilkan Rentaz diperoleh menerusi minatnya pada motosikal berkuasa besar dan spiritual.


"Sudah lama sebenarnya dua perkara ini bermain di kepala saya. Boleh dikatakan hampir dua tahun saya cuba menggabungkan dua perkara ini untuk dimuatkan dalam Rentaz.

"Saya memang minat dengan motosikal berkuasa besar dan pada waktu sama dalam usia sekarang saya lebih gemar mendekati perkara yang dapat meningkatkan pengetahuan dan mengukuhkan keimanan. Dua elemen ini sangat kuat bermain di kepala saya kebelakangan ini dan menyebabkan timbul idea menghasilkan Rentaz.

"Untuk membangunkan skrip dan lakon layar pula mengambil masa lapan bulan.
Begitu pun ingin saya nyatakan, tajuk filem Rentaz belum ditetapkan lagi kerana saya ada lagi satu tajuk iaitu Lebuh Raya Ke Neraka untuk digunakan terhadap filem terbaru arahan saya ini," katanya.

Menurut Mamat lagi, dia lebih menggemari tajuk Lebuh Raya Ke Neraka kerana ia menggambarkan apa yang berlaku dalam filem ke-10 arahannya terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd itu. Bagaimanapun, dia memilih satu lagi tajuk iaitu Rentaz kerana bimbang sekiranya tajuk pertama pilihannya itu dianggap kurang sesuai atau menjadi kontroversi, ia boleh ditukar serta-merta.

"Rentaz pula timbul daripada perkataan asal rentas iaitu menggambarkan keadaan Bob yang sedang koma, rohnya mula merentasi ke alam barzakh," katanya yang turut mengakui bertuah kerana dapat bekerja dengan pelakon hebat.

Kata Mamat lagi, selain itu, dia berasakan mahu menghasilkan sesuatu yang segar menyebabkan lahirnya Rentaz. Lebih daripada itu, peluang diberikan GBSB membolehkan apa yang diimpikannya sebelum ini dapat dizahirkan.

"Saya sendiri teruja sepanjang proses penggambaran Rentaz kerana jarang ada filem tempatan menampilkan kedua-dua tema ini dalam satu filem iaitu aksi dan spiritual. Malah pembikinannya pula dibuat berbeza berbanding filem lain.

"Memang benar sebelum ini kita ada filem mengenai rempit yang turut menampilkan motosikal kapcai tetapi dalam Rentaz, motosikal berkuasa besar menjadi cabaran untuk saya menonjolkan aksi seperti 'willy' dan babak kemalangan," katanya.