Utusan Online - Hiburan |
Michelle umpama jelmaan Suu Kyi Posted: Michelle umpama jelmaan Suu KyiOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
UNTUK melakar nama sebagai bintang bertaraf antarabangsa sememangnya memerlukan kerja keras dan usaha yang berlipat-lipat ganda. Apatah lagi untuk seorang artis kelahiran Asia dan dari sebuah negara kecil seperti Malaysia. Harus diakui pelbagai kerenah perlu dihadapi apabila berhadapan dengan karyawan seni dari Barat khususnya. Barangkali kejayaan Datuk Michelle Yeoh yang telah memahat namanya dengan begitu kemas di peta dunia membuktikan kesungguhannya membuahkan hasil yang cukup lumayan. Semuanya bermula dengan watak Gadis Bond dalam filem Tomorrow Never Dies (1997), nama Michelle terus mekar sehingga dia dianggap sebagai pencetus semangat kepada bintang Asia lain yang mahu berjaya sepertinya. Deretan filem-filem yang telah dibintangi Michelle membuktikan bahawa bakat yang dimilikinya tidak pernah dipandang enteng walau ada ketikanya Michelle cukup sedar akan watak yang diberikan sudah menjadi terlalu klise. Hampir tiga dekad bergelar pelakon, kebanyakan filemnya adalah bercorak aksi. Bukan merungut dengan setiap tawaran yang diberikan kepadanya, tetapi sebagai seorang aktres, Michelle mahu terus mencabar dirinya. "Percaya atau tidak, menjadi seorang pelakon dari benua Asia, tawaran yang mendatangi saya semakin teruk. "Bayangkan pada usia saya ketika ini, tiada lagi watak yang benar-benar sesuai untuk saya bawakan. Apakah setiap masa saya perlu berlakon dalam filem aksi sehingga ke akhir hayat saya? "Apa yang boleh saya katakan, tiada lagi watak yang cukup bagus untuk wanita Asia seperti saya. Mahu atau tidak, kita sendiri harus mencarinya sendiri demi mengecapi kepuasan yang diinginkan," jelas wanita berusia 49 tahun itu panjang lebar membuka bicaranya. Bernasib baik Lantaran itu bekas Ratu Cantik Malaysia 1983 menganggap dirinya begitu bertuah dan bernasib baik apabila diberikan skrip yang cukup hebat menerusi filem The Lady. Bagi Michelle, The Lady bukan sebuah filem biasa kerana watak yang dibawakannya dalam filem itu dianggap telah membuka lembaran hidup dalam kariernya sebagai seorang aktres. Barangkali ketika ini umum sudah pun mengetahui Michelle membawakan watak Aung San Suu Kyi, seorang pemenang Anugerah Nobel dan pejuang demokrasi Myanmar yang dikagumi dunia. Aanak kelahiran Ipoh, Perak itu menyifatkan tawaran filem itu yang diarahkan oleh Luc Besson datang tepat pada waktunya dan dihasilkan khusus untuk dirinya. Kata Michelle, projek filem tentang kisah hidup Suu Kyi sebenarnya bermula sejak tiga tahun lalu apablia skrip dan lakon layarnya ditulis oleh Rebecca Frayn. Apabila watak itu ditawarkan kepadanya, tanpa berfikir panjang, Michelle menyatakan persetujuan untuk membawakan watak tokoh demokrasi itu lalu menyiapkan dirinya dengan menyelami emosi, jiwa dan kehidupan Suu Kyi. Untuk membawakan watak biografi atau watak sebenar bukan satu tugas yang mudah. Begitu juga dengan Michelle. Dia sendiri perlu menjaga diet dengan melebihkan makan sayuran, buah-buahan dan makanan yang dikukus. Tidak cukup dengan itu, dia juga mendisiplinkan dirinya dengan mengamalkan rejim senaman sehingga dia berjaya mendapat tubuh kurus sama seperti Suu Kyi. "Saya harus akui untuk menjadi Suu Kyi menuntut kesabaran dan mencabar kredibiliti saya sebagai seorang aktres. "Semuanya perlu dilakukan secara terperinci. Saya sendiri harus menyelidik dan memahami dunia Suu Kyi yang sebenar. Apatah lagi, saya melakonkan watak seorang pemimpin yang masih hidup. "Saya tidak mahu hanya melakukan mimik muka dan ia juga tidak mencukupi jika saya hanya mengikut lenggok tubuhnya serta bercakap sepertinya. "Saya percaya telah melakukan sebaik mungkin dan saya sendiri puas hati dengan komitmen untuk The Lady. Lebih mengharukan saya, apabila rakyat Myanmar yang terlibat sebagai pelakon tambahan dalam filem ini melihat saya sebagai jelmaan Suu Kyi. Sehingga mereka menggelarkan saya sebagai Daw Suu (Makcik Suu)," jelas Michelle yang telah menghabiskan sebahagian daripada waktu lapangnya dengan menonton pelbagai video temu ramah Suu Kyi semata-mata mahu mempelajari karakter wanita berjiwa kental itu. | ||
The Lady memang milik Michelle Posted: The Lady memang milik MichelleOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL LUC Besson (tengah) sewaktu di lokasi penggambaran filem The Lady yang bermula sejak Oktober tahun lalu. SEWAKTU kali pertama Datuk Michelle Yeoh bertemu dengannya untuk membincangkan tentang filem The Lady, pengarahnya, Luc Besson merasakan ia adalah peluang terbaik untuknya menzahirkan kisah Suu Kyi ke layar perak. Apatah lagi, kisah tentang pejuang demokrasi Myanmar itu belum pernah diceritakan dalam mana-mana medium sebelum ini. Lalu, apabila Michelle memberikan skrip tulisan Rebecca Fryn kepadanya, Luc berasa teruja untuk mengarahkan filem tersebut walaupun sebelum ini dia lebih selesa duduk di belakang tabir sebagai seorang penerbit. Bagi Luc, kisah hidup Suu Kyi cukup menakjubkan sehingga dia menganggap ia hampir menyamai mana-mana karya agung Shakespeare. "Semakin lama saya membaca skrip itu, saya berasa begitu dekat dengannya lalu membuat keputusan untuk mengarahkannya. "Subjek tentang kehidupan Suu Kyi memang cukup menarik untuk diceritakan. Saya merasakan tiada pihak yang mahu menghasilkan filem tentang beliau adalah kerana tiada pelakon yang layak untuk menjadi Suu Kyi. "Bukan senang hendak mencari pelakon yang mampu menzahirkan Suu Kyi dengan sempurna. Malah, watak itu tidak boleh diberikan sewenang-wenangnya kepada mana-mana pelakon. "Adalah sesuatu yang mustahil jika watak Suu Kyi diberikan kepada Nicole Kidman misalnya. Jadi, sememangnya Michelle cukup layak untuk memainkan watak hebat ini," ujarnya bersungguh-sungguh. Luc yang sebelum ini cukup terkenal dengan filem-filem aksi seperti Nikita, The Fifth Element dan The Messenger: The Story of Joan of Arc turut menjelaskan proses penggambaran filem The Lady merupakan antara yang paling mencabar baginya. Apatah lagi, kerajaan Myanmar melarang pihaknya menjalani sebarang penggambaran di negara itu. Sebagai alternatif, Luc memilih Bangkok, Thailand selain England. Malah, larangan tersebut langsung tidak mematahkan semangatnya untuk memberikan yang terbaik untuk filem berkenaan. "Mungkin sebahagian daripada kita hanya mengetahui sedikit sahaja tentang kehidupan Suu Kyi. Tetapi jika dikaji sedalam-dalamnya, wanita berjiwa kental ini sebenarnya seorang ikon. "Dalam masa dia mahu menuntut demokrasi untuk negaranya, dia juga perlu melunaskan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu. "Bayangkan bagaimana kesengsaraan yang perlu dihadapi oleh Suu Kyi selepas dia dikenakan tahanan dalam rumah selama hampir 15 tahun. Sehinggakan dia sendiri tidak dibenarkan melawat suaminya yang nazak dan sebaliknya. "Menerusi filem ini, semuanya akan diceritakan. Saya percaya The Lady mampu memberi gambaran sebenar tentang kehidupan seorang wanita luar biasa," jelas Luc yang telah membina set yang agak besar terutama untuk babak di rumah dan bilik penjara Suu Kyi. Seperti mana Michelle yang membuat penyelidikan terperinci tentang Suu Kyi, begitu juga dengan Luc yang telah melakukan banyak rujukan berdasarkan video dan buku. Bukan itu sahaja, kebanyakan pelakon tambahan dalam filem ini merupakan rakyat Myanmar dan ada sesetengahnya pernah berhadapan dengan situasi sebenar ketika saat-saat genting insiden penangkapan Suu Kyi. Malah, salah seorang pelakon kelahiran Myanmar, Thein Win yang memegang watak ahli anggota Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) dalam The Lady pernah menghadiri mesyuarat bersama Suu Kyi pada tahun 1991. "Sehinggakan dia menitiskan air mata apabila melihat Michelle yang tidak ubah seperti Suu Kyi. Babak Suu Kyi mengucapkan selamat jalan kepada anaknya juga benar-benar menyentuh hatinya seolah-olah situasi itu wujud kembali," kata Luc lagi. Sempat juga Luc memberitahu pihaknya meminta bantuan Kedutaan Perancis di Yangon untuk menghantar mesej kepada Suu Kyi meminta kebenaran untuk bertemu dengannya secara peribadi. "Saya menyangka dia tidak pernah ambil tahu tentang filem-filem saya tetapi anak kedua Suu Kyi, Kim memberitahu bahawa ibunya sedar akan kewujudan filem-filem tersebut," cerita Luc sambil ketawa. Seperkara yang cukup dititikberatkan oleh Luc adalah keaslian jiwa Suu Kyi itu terpelihara agar masyarakat yang menonton filem itu mempunyai pemikiran tersendiri terhadap wanita tersebut. The Lady yang sudah siap sepenuhnya akan memulakan tayangan perdananya pada Festival Filem Antarabangsa Rome yang berlangsung di Itali pada 27 Oktober hingga 4 November ini. Bukan itu sahaja, The Lady juga ditayangkan kepada umum di Festival Filem Antarabangsa Toronto 2011 yang kini sedang berlangsung di Kanada sehingga 18 September ini. Memandangkan musim anugerah kini sudah bermula, The Lady dilihat mampu memberikan saingan hebat kali ini sekali gus berpotensi untuk cemerlang di pentas anugerah. Apakah keberkesanan watak Suu Kyi yang dilakonkan oleh Michelle Yeoh mampu memberikannya trofi Pelakon Wanita Terbaik dalam semua festival filem termasuk Oscar nanti? Sama-sama kita nantikan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |