Hip
Alleycats menyediakan 30 lagu untuk Konsert Sampaikan SalamAPAKAH rahsia penyanyi Alleycats, Datuk David Arumugam mengekalkan kelunakan suara dan menyampaikan lagu bernada tinggi walaupun usianya sudah lebih separuh abad?
Minum air suam, kosongkan perut. Itulah yang saya amalkan, katanya sambil tersenyum.
Saya memastikan mengosongkan perut beberapa jam sebelum persembahan. Perut yang kosong membantu memanjangkan nafas, sambungnya lagi. David kini sedang sibuk menjalani latihan untuk konsert Konsert Sampaikan Salam daripada Alleycats selama tiga hari bermula 16 September di Istana Budaya (IB).
Menurutnya, beliau percaya konsert Alleycats akan sentiasa ditunggu oleh peminat walaupun sudah tiga tahun mereka tidak muncul mengadakan persembahan besar dan berprestij. Keyakinan ini kerana Alleycats mempunyai deretan lagu popular yang segar sehingga hari ini dan digemari oleh pendengar daripada pelbagai generasi.
Terkenal dengan gaya rambut Afro dan ungkapan Trimakasih, David tidak berseorangan di atas pentas dalam konsert itu nanti apabila beliau bakal ditemani oleh anak saudaranya, Darshini.
Darshini adalah anak kepada mendiang adiknya, Loganathan yang meninggal dunia kerana barah paru-paru kira-kira empat tahun lalu.
Bertemu David pada sesi latihan konsert Sampaikan Salam baru-baru ini, penyanyi yang sentiasa nampak muda ini ramah berbicara walaupun kelihatan agak letih dan sedikit kurus.
"Konsert ini adalah yang kedua dijalankan di tempat berprestij seperti Istana Budaya. Tiga tahun lalu selepas pemergian Loga, saya terbabit dengan konsert amal kanser paru-paru bagi membantu mengutip derma kerana Loga meninggalkan kita disebabkan penyakit itu," katanya.
Menurutnya, memilih Dasha juga bukanlah sekadar mengenang Loga tetapi lebih daripada anak saudaranya itu memang seorang yang berbakat besar dalam bidang seni. Dasha akan menyanyikan rangkaian lagu yang pernah dinyanyikan oleh mendiang bapanya.
"Antara keistimewaan konsert ini berbanding sebelumnya adalah apabila anak Loga akan turut sama menyanyikan lagu Alleycats bersama saya dan seorang lagi penyanyi kita iaitu, Glen.
"Kalau konsert sebelum ini menampilkan penyanyi undangan seperti Jaclyn Victor, tetapi kali ini apa salahnya kita tampilkan pula anak Loga yang berusia 20an. Alleycats jarang menggandingkan penyanyi wanita dalam persembahan dan ini adalah kelainan bagi Konsert Sampaikan Salam," katanya.
Konsert dibahagikan tiga segmen
Mengenai jumlah dan lagu yang akan menerpa telinga peminat pada konsert istimewa itu, David menjelaskan menjawab semuanya terpulang kepada keadaan pada hari berlangsungnya konsert itu.
"Ikut pada keadaan dan selagi kita boleh nyanyi, kita akan dendangkan kepada peminat. Tetapi sepanjang latihan selama kira-kira tiga bulan, kita sudah memilih hampir 30 lagu dan semuanya daripada album Alleycats yang setia didengar peminat.
Kita pastikan akan mendendangkan lagu-lagu Alleycats yang suka didengar peminat sehingga menjadikan kami popular," katanya yang memberitahu Alleycats terkenal kerana peminat yang menjadikan lagu-lagu yang dinyanyikan mereka popular.
Kumpulan yang sudah melahirkan album seperti Alleycats, Drama Kehidupan, Kerana, Suara Kekasih, Dilema Sekuntum Cinta dan terkenal dengan lagu- lagu hitz seperti Sampaikan Salam, C.I.N.T.A, Aku Kerinduan serta Suatu Pengertian ini memberitahu, sebagai menghargai peminat konsert kali ini juga akan dijalankan melalui tiga segmen.
"Segmen pertama menampilkan lagu 1Malaysia. Menariknya segmen ini apabila ia akan diiringi orkestra tradisional Istana Budaya manakala bagi segmen kedua pula, akan menonjolkan bakat anak Loga yang menyanyikan lagu bersama saya serta Glen. Kita namakan segmen ini sebagai In Memory With Loganathan kerana lagu-lagu yang disampaikan adalah bagi mengenangkan kehadirannya.
"Bagi segmen ketiga pula, ia adalah segmen kumpulan kami, Alleycats sendiri dan kita akan nyanyikan lagu-lagu popular yang mahu didengar peminat," katanya yang pernah membuat persembahan di Kelab Mocambo di Hong Kong pada tahun 1976.
Menjangkakan konsert itu akan berlangsung selama dua jam, David berkata konsert itu adalah kehadiran semula Alleycats dalam menghargai kesetiaan peminat yang sudah banyak menyokong kerjaya mereka sebagai penyanyi.
Berkenaan soal sambutan serta penjualan tiket, David jujur memberitahu dia tidak mengambil tahu perkara itu.
"Saya tidak tahu berkenaan soal tiket dan sudah berapa banyak terjual. Apa yang saya mahu lakukan adalah memberikan sesuatu kepada peminat. Jika sebelum ini saya menyanyi di kelab malam, agak berbeza berada di tempat seperti Istana Budaya. Latihan memantapkan vokal dan sebagainya perlu diutamakan," katanya.
Ketika ditanya, kenapa Glen dipilih menjadi pasangannya, dia melihat Glen sebagai individu dan penyanyi yang cukup berbakat besar.
"Lagipun Glen sudah lama dalam industri muzik. Dia adalah pemuzik dan saya lihat dia boleh menjadi pengganti Loga," katanya.