Harian Metro: Rap |
‘Rentaz satukan kasih kami’ Posted: 11 Sep 2011 06:23 AM PDT SEPANJANG lapan tahun berkawan, soal cinta tidak pernah wujud antara Mohd Shahrizal Jaszle Jasmin atau Shah Jaszle, 23, dan Miera Leyana Kasmi (Miera Leyana), 19. Apatah lagi sebelum ini mereka bersekolah sama iaitu di Sekolah Menengah Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Bagaimanapun, kedua-duanya akui sekadar meminati antara satu sama lain. Sewaktu digandingkan pertama kali selepas masing-masing memilih lakonan sebagai kerjaya menerusi Luna Fantasiku, soal cinta juga tidak wujud memandangkan masing-masing pada waktu itu sudah berteman. Bagaimanapun, segalanya berbeza apabila mereka ditemukan pengarah prolifik, Mamat Khalid dalam filem terbaru arahannya, Rentaz yang menjalani penggambaran di Pulau Pinang, ketika ini.
Perkara itu menyebabkan sebahagian rakan media yang dibawa khas dari Kuala Lumpur menyaksikan penggambaran filem Rentaz seperti tidak percaya dan menganggap ia mungkin gimik terbaru. Ini kerana mereka berdua memegang peranan pasangan kekasih dalam filem yang turut menampilkan Awie dan Khir Rahman sebagai teraju utama itu. "Sebenarnya saya kenal Miera sewaktu dia belajar dalam tingkatan dua dan saya tingkatan lima. Memang minat itu ada tapi ketika itu dia sedang berkawan rapat dengan kawan baik saya. "Kisahnya saya dan kawan baik saya itu bercadang keluar sama. Kawan saya cakap dia mahu membawa teman rapatnya sekali. Saya sendiri tidak tahu siapa. Apabila dia muncul bersama Miera, saya diam saja," katanya. Selepas tamat pengajian dan membawa haluan masing-masing, dia tidak tahu bagaimana perkembangan Miera sehinggalah mereka ditemukan dalam Luna Fantasiku. "Dunia ini kecil. Pusing-pusing akhirnya bertemu semula. Bagaimanapun, waktu itu kami ibarat bertemu rakan lama. Lalu peluang itu saya gunakan untuk bertanya khabar dan berkongsi cerita apa yang berlaku selepas saya meninggalkan zaman persekolahan. Waktu itu Miera bagaimanapun berkata, dia sedang berkawan dengan seorang lelaki. Jadi kami terus berkawan lagi," katanya. Jelas Shah Jaszle, waktu sama mereka terus menghubungi antara satu sama lain sekadar bertanyakan perkembangan masing-masing. Menjelaskan mengapa tiba-tiba hatinya makin terpaut kepada Miera, kata Shah Jaszle, dia sangat menggemari sikap Miera yang 'sempoi' tetapi matang sekalipun membicarakan perkara yang serius. "Begitu juga dengan kerjaya. Miera walaupun muda tetapi komited terhadap kerjayanya. Dia sudah banyak berubah kalau dibandingkan dengan kemunculan awalnya dalam bidang lakonan dan sewaktu kami sama-sama membintangi Luna Fantasiku. Sewaktu penggambaran Rentaz sekarang, dia semakin matang dan dapat membezakan antara kerja dan hal peribadi," katanya. Apabila dinyatakan bahawa perasaan yang timbul antaranya dengan Miera tidak lebih daripada cinta lokasi, Shah Jaszle menafikan perkara itu, apatah lagi keluarga kedua-dua belah pihak sudah mengetahui hubungan mereka. Bagi Miera pula, apa yang berlaku antara dia dan Shah Jaszle seperti sudah ditakdirkan. "Saya takut sebenarnya, selepas putus cinta dengan bekas kekasih dulu, saya tidak bercadang untuk bercinta dengan sesiapa buat sementara waktu. Namun takdir tiada siapa yang tahu. Saya bagaimanapun cuba menerima hubungan ini secara berpada-pada, maksudnya tidak mahu terlalu taksub," katanya. Waktu sama, Miera meluahkan rasa bimbangnya kalau-kalau hubungan mereka terlalu diperbesar-besarkan. "Saya tidak mahu timbul sebarang salah faham. Saya senang dengan Shah kerana dia seorang lelaki matang, berdikari dan rajin. Lagipun dia juga banyak mengajar dan membimbing saya dalam dunia lakonan," katanya. Begitupun Miera tidak menafikan dia pernah menyimpan perasaan terhadap Shah Jaszle sejak zaman sekolah lagi tetapi disebabkan ketika itu dia lebih dulu berkenalan dengan teman baik Shah Jaszle, perkara itu dipendamkan saja. Dalam pada itu, menjelaskan mengenai gandingannya dengan Shah Jaszle dalam Rentaz, Miera berkata, mereka begitu seronok membintangi filem itu apatah lagi dibimbing Mamat Khalid. Mungkin disebabkan mereka sedang bercinta, ia memudahkan lagi penghayatan mereka terhadap watak masing-masing. Seloroh seorang teman, mungkin itu sudah 'rezeki' Mamat Khalid! PROFIL SHAH JAZLE: Nama Penuh: Mohd Shahrizal Jaszle Jasmin Drama: Anak Emak, Dari Mata Ke Hati, Bila Mama Pakai Celana, Filem: Azura, Rentaz PROFIL MIERA LEYANA: Name Penuh: Miera Leyana Kasmi Drama: Luna Fantasiku, Bio-Nik, Apa Itu Cinta, Ceria Ceria Cikgu Rubina, Kecuali Cintamu, Kamelia Katrina, Ada Ubi Ada Batas, Kamelia Katrina, Aalia, Sejambak Bukan Serumpun, Nana Naruto Filem: Apokalips, Rentaz |
Posted: 11 Sep 2011 06:11 AM PDT PENAMPILAN Nurul Elfira Loy atau Elfira Loy, 17, dalam filem Jepun, Second Chance, bagaikan satu pengiktirafan besar kepada artis remaja itu sendiri dan pelakon Malaysia lain amnya. Dalam filem arahan Kurosaki Hiroshi itu, Elfira membawa peranan sebagai Rin, seorang jururawat. Penampilannya menerusi filem itu bagaimanapun tidak memerlukan dia berbahasa Jepun sebaliknya berdialog dalam bahasa Inggeris.
Menurut ibu Elfira yang hanya dikenali sebagai Filzah, anaknya itu meluangkan masa selama sebulan pada Julai lalu di Jepun bagi menyiapkan penggambaran filem berkenaan. "Sememangnya ia satu pengalaman yang berharga buat Elfira kerana dapat menimba pelbagai pengalaman baru apabila terbabit dalam produksi antarabangsa," katanya.
"Sepanjang berada di sana, kami cukup kagum dengan sikap masyarakat mereka yang begitu profesional ketika penggambaran. Selain makan minum kami dijaga, mereka juga menitikberatkan soal waktu solat. Pendek kata, kami dijaga dengan cukup baik," kata Filzah. Elfira sebelum ini popular dengan drama Kum Kum dan Ekspres Dania di Astro. Dia sebenarnya mula mencipta nama dalam drama TV termasuk Roh Naterah, Hani, Senja Permai, Syurgamu Ramadhan, Sayang Abah dan Tentang Bulan The Series. Sementara itu, seperti yang dinyatakan, JFF8 di Malaysia yang berlangsung pada 15 hingga 20 September ini menempa sejarah tersendiri apabila tayangan Second Chance dibuat. Ia berkisar kepada kisah percintaan yang menampilkan lakonan mantap Suzuki Kyoka, Hasegawa Hiroki dan Fukada Kyoko. JFF8 bukan sekadar mempromosi budaya masyarakat Jepun ke Asia Tenggara, malah memberi peluang kepada peminat filem Negara Matahari Terbit ini menyaksikan pelbagai variasi filem menarik yang ditayangkan di rangkaian pawagam utama Golden Screen Cinema (GSC). Majlis pelancaran dan sidang media JFF8 berlangsung di GSC Pavilion Kuala Lumpur pada esok, 13 September, disusuli tayangan perdana Second Chance. Pawagam terbabit dalam menjayakan JFF8 termasuk GSC Mid Valley, GSC 1 Utama (sayap baru), GSC Pavilion Kuala Lumpur manakala di Pulau Pinang bertumpu di GSC Gurney Plaza, pada 22 - 25 September ini khusus bagi peminat di utara. Sebanyak 10 judul filem pilihan ditayangkan menerusi festival kali ini, antaranya Double Trouble lakonan Kobayashi Kaoru, Yasuda Narumi dan Ito Atsushi. Tidak ketinggalan karya pengarah terkenal Yamada Yoji menerusi About Her Brother lakonan Yoshinaga Sayuri, Shofukutei Tsurube dan Aoi Yu. Filem lain termasuk I Just Didn't Do It arahan Suo Masayuki dan karya animasi Mai Mai Miracle. Turut ditayangkan, filem berkisar kehidupan pramugari dan pramugara, Railways arahan Nishikori Yoshinari serta Sawako Decides, The Dark Harbor dan Your Friend. Festival filem unik anjuran Yayasan Jepun Kuala Lumpur dengan kerjasama GSC itu menawarkan tiket berharga RM5 saja bagi satu-satu tayangan filem. Semua filem yang ditayangkan mempunyai sari kata bahasa Inggeris. Sempena JFF8, pembaca bertuah Harian Metro bakal menerima 100 pas percuma menyaksikan filem hebat itu. Caranya mudah, anda hanya perlu membawa keratan asal akhbar ini atau keratan rencana yang disiarkan pada 3 September lalu dalam Harian Metro untuk menukarkannya dengan pas percuma di GSC 1 Utama bermula jam 11 pagi pada 14 September ini. Pembaca hanya layak mendapat sepasang tiket untuk satu keratan selagi stok masih ada. Pertukaran berdasarkan siapa cepat dia dapat! Bagi peminat filem Jepun, tiket boleh juga dibeli di GSC Box-Office, GSC E-Payment (Online Ticketing) atau www.gsc.com.my or GSC Mobile App (iPhone) dua hari sebelum tayangan di pawagam. Maklumat lanjut layari laman web www.gsc.com.my / www.facebook.com/gscinemas / www.twitter.com/gscinemas. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |