Adsense

Isnin, 12 September 2011

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Fazley & Adik Kongsi Hari Dapat Anak

Posted: 11 Sep 2011 06:39 PM PDT

PETALING JAYA: Penyanyi lagu Asmara Ini, Fazley Yaakob, 33, menganggap tarikh 9 September 2011 sangat unik kerana anak ketiganya, Piyush lahir pada hari yang sama dengan anak kepada adik ketiganya, Faizal.

Menurut Fazley, anaknya dan anak Faizal turut dilahirkan di sebuah hospital swasta yang sama di Kuala Lumpur.

"Saya rasa gembira kerana ibu dan bapa saya menerima dua kelahiran cucu baru serentak. Isteri saya dan isteri Faizal seperti berjanji pula untuk bersalin pada hari ini (Jumaat).

"Jantina kedua-dua bayi itu juga lelaki. Memang sebolehnya mereka nak hamil dan bersalin sama-sama. Tak sangka pula hajat mereka tercapai," kata Fazley ketika dihubungi mStar Online di sini, Jumaat.

Anak ketiganya itu dilahirkan pada pukul 9 pagi, secara pembedahan seberat 3.3 kilogram. Bagaimanapun Fazley enggan mengumumkan nama penuh anaknya sehingga nama tersebut didaftar di Jabatan Pendaftaran Negara.

"Saya sudah ada nama anak tetapi tak mahu beritahu sekarang. Saya hanya boleh berikan nama timangannya iaitu Piyush.

"Anak saya ini dilahirkan lebih besar daripada dua anak yang dilahirkan sebelum ini dan mempunyai lesung pipit di pipi," katanya suami kepada Azrene Soraya, 32, ini lagi.

Fazley menambah, kelahiran anak ketiga ini mungkin merupakan kelahiran yang terakhir memandangkan doktor menasihatkan isterinya agar berehat daripada hamil lagi disebabkan ketiga-tiga anaknya dilahirkan secara pembedahan.

"Saya bersyukur kerana dikurniakan tiga orang anak lelaki dan memang selepas berkahwin, saya dan isteri mengidamkan tiga hingga empat orang anak lelaki. Tetapi kami tidak menolak sekiranya dikurniakan rezeki anak lagi dan menerima anak perempuan," ujarnya yang turut merancang untuk membuat kemunculan semula dalam bidang nyanyian selepas tiga tahun.

Katanya, album kelimanya yang berjudul Lima akan diterbitkan pada November depan termasuk sebuah lagu yang memuatkan suara anak-anaknya berjudul Lagu Dari Papa.

"Saya menamakan album itu dengan tajuk Lima kerana album ini merupakan album saya yang kelima dan kebetulan jumlah ahli keluarga saya menjadi lima orang

Anaknya yang pertama, Ahmad Fariedz (Payish) yang berusia 2 tahun 11 bulan juga dilahirkan pada bulan Syawal manakala anak keduanya, Ahmad Fieradz (Piyash) kini berusia 1 tahun 5 bulan.

Stacy Tidak Keliru Imej

Posted: 11 Sep 2011 06:38 PM PDT

PETALING JAYA: Penyanyi popular, Stacy, 21, akui tidak keliru dengan imej sebenarnya apabila ada pihak mempersoalkan imej yang ditampilkan semasa majlis pelancaran album terbarunya, Stay-C lebih ringkas berbanding imej di dalam album tersebut.

Selesa dengan imej ringkas berseluar panjang ketat dan baju t, Stacy menjelaskan kelainan imej yang dilihat dalam album Stay-C itu hanyalah untuk memenuhi kehendak yang diingini pada album itu bagi menampakkan kematangan album keduanya yang turut memuatkan lagu berentak balada.

"Saya lebih selesa memakai pakaian yang ringkas dengan berseluar dan berbaju t apabila menari kerana kebanyakan lagu-lagu saya berentak rancak.

"Biarpun saya turut menyanyikan lagu balada untuk album kedua ini, tetapi saya tetap selesa memakai pakaian yang selesa kerana terdapat lagu rancak lain yang memerlukan saya menari," katanya ketika sidang media dan pelancaran album Stay-C di Zeta Bar, Hotel Hilton, Kuala Lumpur.

Tambahnya: "Saya hanya akan memakai pakaian seperti gaun labuh ketika ke majlis tertentu, sesi fotografi atau pun membuat persembahan mengikut kesesuaian lagu.

"Tetapi untuk majlis pelancaran kali ini, saya lebih selesa memakai pakaian seperti ini yang lebih melambangkan imej sebenar saya dan bersesuaian dengan umur saya yang baru memasuki 21 tahun."

Stacy yang baru menyambut hari kelahirannya pada 18 Ogos lalu tampil dengan tujuh buah lagu dalam album keduanya itu iaitu Kasanova, Cemburu, Bosan, Lalai, Kapsul, Gempur dan Pelangi Senja.

Antara lagu-lagu tersebut, lirik lagu berjudul Cemburu ditulis oleh sahabat baiknya, Akim AF7.

Biarpun pasangan ini pernah digosipkan bercinta, namun Stacy menganggap lirik lagu itu hanyalah sekadar lirik dan tidak pasti ditujukan kepada sesiapa mahupun dirinya.

"Pada mulanya saya tidak tahu Akim menulis lirik Cemburu kerana lagu itu dihasilkan bersama-sama dengan komposer KunciDemak.

"Jadi, saya terkejut setelah mendapat tahu Akim telah menulis lirik lagu itu dan turut gembira kerana liriknya menarik.

"Tetapi saya tidak pasti maksud yang cuba disampaikan oleh Akim menerusi lirik itu dan sekadar menyanyikan lagu itu," ujarnya lagi yang mengambil masa dua tahun untuk menyiapkan album tersebut.

Berhubung tajuk album yang menggunakan nama Stay-C yang memberikan kelainan kepada ejaan namanya sebelum ini, dia berkata Stay-C hanya digunakan untuk tajuk album itu dan tidak akan mempengaruhi ejaan nama asalnya.

"Saya masih mengekalkan ejaan nama Stacy tetapi untuk album ini saya memberikan kelainan dari segi ejaan tetapi masih mengekalkan sebutannya.

"Malah peminat boleh kaitkan juga Stay-C dengan 'stay cool' atau 'stay creative'," katanya yang turut berduet dengan idolanya iaitu Amy Search menerusi lagu Gempur.

Amanda Imani “Buang Masa” Kerana Rambut

Posted: 11 Sep 2011 06:37 PM PDT

WALAUPUN baru sahaja berusia 20 tahun, penyanyi Amanda Imani sudah pun mencatat kejayaan yang tersendiri apabila dia berjaya membawa pulang dua anugerah bagi kategori Lagu Asal Terbaik dan Penyanyi Baru Terbaik pada pertandingan 20th International Pop Music Festival Discovery 2011 di Varna, Bulgaria, Mei lalu.

Kejayaan Amanda memberikan ruang luas buatnya untuk mengembangkan kerjaya sebagai seorang penyanyi dan justeru itu pada usia remaja, dia sudah mampu membiayai kos kehidupan sendiri tanpa bantuan keluarga.

Bagaimanapun, kata Amanda, ini tidak bermakna dia perlu boros dalam setiap apa yang ingin dibelanjakan.

"Walaupun mempunyai duit poket sendiri, tidak bermakna saya akan menghabiskan wang dengan memiliki barangan yang tidak berfaedah. Tetapi saya akan membeli barangan yang berjenama jika ia benar-benar diperlukan.

"Lihatlah koleksi-koleksi kesayangan saya ini, tidak semua barangan saya adalah berjenama. Cuma saya gemar membeli sesuatu yang boleh memberi kenangan manis buat diri sendiri," katanya.

Faralyna ‘Sembunyi’ Untuk Berlakon

Posted: 11 Sep 2011 06:36 PM PDT

TIDAK pernah terlintas untuk menjadikan bidang lakonan sebagai kerjaya tetap, pelakon drama Asmara, Faralyna Idris, 20, pada asalnya sekadar mencari pendapatan sampingan bagi membantu keluarga apabila menceburkan diri dalam bidang itu.

Kata Faralyna atau lebih mesra mengelar dirinya Fa, dia mencuba nasib ketika dipaksa oleh ibu kepada pelakon Diana Danielle iaitu Norsiah Ramli untuk pergi ke uji bakat lakonan sebuah drama.

"Fa dan Diana berkawan baik di sekolah, jadi ibunya sering menyuruh saya untuk pergi uji bakat lakonan. Malah dia sendiri yang memperkenalkan saya kepada individu dalam bidang seni.

"Pada ketika itu juga memang keluarga kami mempunyai masalah kewangan, sekurang-kurangnya dengan berlakon saya dapat menampung duit poket persekolahan saya sendiri tanpa menyusahkan keluarga," katanya yang memulakan lakonan dalam drama Kisah Kaisarah.

Menurutnya, kegiatan lakonan pada awalnya dibuat secara sembunyi tanpa pengetahuan keluarga. Bagaimanapun selepas kerjayanya menjadi semakin serius, rahsia tersebut terpaksa diberitahu bagi mendapatkan restu terutama daripada ayahnya.

"Bapa saya ingin saya jadi juruterbang sebab itu saya terpaksa sembunyikan terlebih dahulu aktiviti lakonan saya ini. Lagi pula dia tidak berapa yakin dengan industri ini kerana dilihat tidak menjamin masa depan.

"Perancangan saya ialah untuk menjadikan lakonan sekadar suka-suka dan selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya ingin mengambil kursus penerbangan.

"Tapi semakin lama laluan saya sebagai pelakon semakin terbuka dan diterima, malah selepas drama Asmara, ayahlah yang menjadi peminat nombor satu saya," katanya.

Dari sebuah drama ke sebuah drama, nama dan bakat pelakon jelita ini semakin dikenali dan mendapat perhatian pengarah drama dan filem tempatan.

Dia yang membintangi filem baru Gila-Gila Remaja kini sibuk dengan latihan tarian untuk filem tersebut dan mengharapkan agar penonton dapat menerima kehadirannya dalam dunia seni tempatan.

"Saya harap penonton akan dapat terima lakonan saya di layar lebar, ini merupakan peluang untuk saya tunjukkan bakat kepada penonton dan peminat," katanya.

Selain Faralyna, filem tersebut turut menampilkan Hairul Azreen, Kay AF9, Aida AF9, dan Nabila Dali.

Belum rancang kahwin

Dalam pada itu, dia yang hangat bercinta dengan pelakon Hairul Azreen Idris, 23, belum merancang untuk mengikat tali pertunangan atau berkahwin dalam masa terdekat, biarpun mengakui lelaki tersebut merupakan teman paling rapat dalam hidupnya buat masa ini.

Bagaimanapun dia berkata, mereka belum cukup matang untuk bergelar tunangan atau pasangan suami isteri.

"Saya mengenali dia lebih tiga tahun lalu. Buat masa ini dia merupakan orang yang paling rapat dalam hidup saya selepas kematian ibu saya pada 2007.

"Namun begitu kami masih terlalu muda untuk menjalinkan sebarang ikatan yang serius. Tunggu usia dan kewangan sudah stabil nanti baru boleh fikirkannya," tutur Fa.

10 soalan menarik

1. Perkara yang tidak dapatdilupakan ketika zamanpersekolahan?

Ketika di Tingkatan Tiga, saya danseorang rakan baik dan kami seringkeluar pada waktu rehat untuk makandi luar, kemudian kami masuk balik kesekolah.

2. Berapa kali putus cinta ?

Semasa zaman persekolahan, sayatidak ada teman lelaki jadi tidak pernahmengalami perasaan putus cinta.

3. Filem Melayu yang palingdigemari?

Gila-Gila Remaja dan Prebet Lapuk.

4. Duit raya paling banyakpernah dapat?

Sewaktu sekolah saya pernahdapat RM1,000 daripada keluarga.Maklumlah keluarga adik-beradik ibudan bapa saya ramai.

5. Aset yang ada buat masa ini?

Setakat ini rumah dan kereta.

6. Skirt atau seluar?

Saya lebih selesa seluar berbandingskirt kerana lebih ringkas danmemudahkan pergerakan.

7. Hero paling diminati?

Adi Putra kerana lakonan danketampanannya.

8. Cita-cita masa kecil?

Juruterbang kerana itu adalah impianayah saya yang mahu saya jadijuruterbang.

9. Hadiah paling bermakna?

Pada tahun 2004 ketika sayaberumur 13 tahun, saya bercutibersendirian di New York selamasebulan. Pada asalnya dengan ibutetapi ibu saya ketika itu ada hal yangtidak dapat dielakkan, lalu dia telahmengaturkan perjalanan saya selamasebulan di sana.

10. Orang paling rapat?

Selepas ibu meninggal dunia 2007,saya rapat dengan Hairul Azreen.

Ana Raffali Mahu Kongsi Cara Bersolek

Posted: 11 Sep 2011 06:35 PM PDT

DUA tahun menempa nama dalam industri seni tanah air memberikan impak yang besar kepada penyanyi popular, Ana Raffali, 26.

Dengan mempertaruhkan lagu-lagu ciptaannya yang hangat diputarkan di corong radio, wanita ini berjaya menggondol anugerah seperti Juara Lagu di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-25 menerusi lagu Tolong Ingatkan Aku dan Vokal Terbaik (Duo/Kumpulan Baru) di Anugerah Planet Muzik 2011 menerusi lagu Kalau Berpacaran (duet dengan Sohaimi Mior Hassan dan Altimet).

Bukan itu sahaja, pemilik Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) ini juga berjaya membuktikan popularitinya kian memuncak apabila dinobatkan sebagai Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular (ABP) Berita Harian 2010.

Biarpun kemenangannya di AJL25 sebelum itu dipertikaikan banyak pihak, sokongan daripada peminat terhadapnya masih menebal dan tidak menghalang untuknya menyandang gelaran juara.

Dalam sibuk berkarya, Ana juga masih sempat meluangkan masanya untuk menyertai Rejimen Askar Wataniah pada Jun lalu sebagai tanda cintanya kepada negara.

Penyanyi lagu Sehabis Baik ini turut menyibukkan diri dengan projek 'Sayang Buku' di sekolah-sekolah rendah dan menengah bermula Julai lalu.

Ana menerusi syarikatnya, About The Letter A Sdn Bhd dengan kerjasama syarikat penerbitan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd menyumbangkan buku-buku baru ke perpustakaan sekolah terpilih.

Dengan menggunakan tagline "Baca Selalu, Sayang Buku", Ana telah menderma buku-buku ke Sekolah Kebangsaan Seksyen 2, Bandar Kinrara, Puchong.

"Saya lihat ramai pelajar yang teruja apabila mendapat buku baru dan mereka lebih bersemangat untuk membaca apabila melihat buku-buku baru berbanding buku lama," katanya yang merancang untuk menambah pembelian buku-buku untuk didermakan kepada sekolah-sekolah lain.

Bersolek sejak kecil

Beralih kepada topik kecantikan, Ana akui suka bersolek dan sentiasa bertanya pelbagai soalan berkaitan solekan kepada jurusolek artis.

"Saya suka bereksperimen dengan warna dan suka belajar cara mekap dengan jurusolek artis yang pernah menyolek muka saya. Saya sangat berterima kasih kepada mereka kerana tidak jemu menjawab soalan pelik-pelik daripada saya dan tidak kedekut ilmu," katanya kepada OopStarz!.

Antara jurusolek artis yang selalu mendandan dan menata rias wajah Ana adalah Deq Sha, Zulfadhli dan Zul Bastari.

"Saya mula menyukai solekan apabila kakak selalu mekap saya di pagi Hari Raya sejak berusia enam tahun. Bila sudah pakai baju Hari Raya yang cantik, terus saya minta kakak tolong mekapkan.

"Biasanya saya lebih selesa mengenakan solekan secara semula jadi dan tidak boleh menggunakan celak terlalu tebal di bahagian mata kerana muka saya akan berubah menjadi lebih garang," ceritanya.

Sebagai artis, Ana akui dirinya sering menjadi perhatian ramai. Malah dia tidak menolak seandainya ada peminat yang ingin mengetahui cara solekan dan amalan kecantikan yang diamalkanya.

"Kita perlu selalu melihat diri kita di hadapan cermin agar diri sentiasa rapi dan nampak segar. Selepas itu, baru kita yakin untuk bertemu dengan orang ramai.

"Biasanya kita bersolek untuk diri sendiri sahaja, tetapi sebenarnya kita perlu juga bersolek untuk orang lain. Daripada situ akan keluar aura yang memberikan keselesaan kepada orang lain yang memandang. Jadi, orang pun akan menyukai kita.

"Jadi, saya tidak kisah untuk berkongsi apa sahaja yang peminat hendak tahu tentang cara saya bersolek atau menjaga kecantikan sebagai tanda keyakinan dan semangat. Mereka boleh hubungi saya di laman Facebook atau laman sesawang saya@anaraffali.com," ujarnya lagi.

Zizie Ezette Rindukan Dunia Lakonan

Posted: 11 Sep 2011 06:33 PM PDT

KUALA LUMPUR: Hampir dua tahun tidak bergiat aktif dalam dunia lakonan, pelakon Zizie Ezette mengakui rindu untuk kembali ke dunia yang dicintainya itu.

Ditemui ketika majlis rumah terbukanya di Ukay Perdana pada Sabtu, Zizie memberitahu dia sedang menunggu waktu yang sesuai untuk kembali ke persada seni lakonan kerana masih menyesuaikan diri sebagai seorang isteri.

"Saya rindukan dunia lakonan kerana itu adalah minat saya sejak dari dulu lagi cuma kini ada perkara yang lebih penting untuk dilakukan terlebih dahulu iaitu tanggungjawab kepada rumah tangga.

"Tetapi adakalanya saya akan berlakon di hadapan cermin jika rindu untuk berlakon," ujarnya.

Bergelar isteri kepada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, Zizie turut menegaskan dia tidak akan bersara daripada dunia lakonan dan suaminya tidak pernah menghalangnya untuk kembali aktif berlakon.

Namun katanya, jika kembali berlakon kelak dia akan lebih selektif terhadap watak dan peranan yang diberikan oleh pihak produksi kepadanya bersesuaian dengan status yang dipegangnya kini.

"Saya tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan kepada pihak media untuk bersara dari dunia lakonan. Suami saya juga tidak pernah menghalang jika saya ingin bergiat aktif kembali tetapi keputusan untuk menumpukan kepada rumah tangga buat ketika ini dibuat oleh saya sendiri," katanya.

Dalam pada itu, bercerita mengenai anak, Zizie berkata dia sudah bersedia untuk menimang cahaya mata tetapi rezeki belum menyebelahi dirinya dan suami.

"Sudah tentu setiap pasangan yang berkahwin mahukan anak dan tidak terkecuali saya. Saya dan suami masih berusaha tetapi dalam soal ini kita hanya mampu merancang, Tuhan juga menentukannya," katanya.

Sementara itu, Zizie yang mempunyai syarikat sendiri yang diberi nama 2121 Vision Pictures memberitahu dia sedang merancang untuk menerbitkan drama dan telefilem sulung dibawah syarikatnya itu.

"Skrip sudah ada tetapi saya tidak mahu terburu-buru untuk menghasilkan drama atau telefilem kerana banyak perkara lain yang perlu diberikan perhatian dalam menjayakan sesuatu projek," ujarnya yang akan mengambil adiknya, pelakon Shaiezy Sam untuk berlakon dalam projek tersebut.

Azad Terima Kritikan Dikatakan 'Over'

Posted: 11 Sep 2011 06:32 PM PDT

PETALING JAYA: Pelakon Azad Jazmin, 35, mengakui ada menerima maklum balas negatif mengenai lakonannya dalam drama www.cikgushida.com yang ditayangkan di Astro Citra bersempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Dikatakan 'over' sehingga menimbulkan perasaan kurang senang penonton ketika memegang watak sebagai wartawan bernama Loqman, Azad menjelaskan dia hanya mengikut idea dan kehendak pengarah drama tersebut, Isqandar Jebat bagi menjayakan peranan itu.

"Sebagai pelakon saya perlu mengikut watak dan garis panduan yang diberikan oleh pengarah bagi menjayakan peranan itu, mungkin kali ini ia nampak sedikit melampau pada mata sesetengah penonton," katanya kepada mStar Online baru-baru ini.

Mengambil pandangan dan maklum balas mengenai lakonannya sebagai perkara positif, Azad memberitahu ia bukti penonton mula menyedari lakonannya di kaca televisyen dan berjanji akan memperbaiki mutu lakonannya pada masa akan datang.

"Saya tidak perlu melenting jika ada orang marah mengenai mutu lakonan saya tetapi mengambil ia sebagai satu pandangan positif untuk terus memperbaiki diri," ujarnya yang seronok berlakon disamping Cikgu Shida.

Www.cikgushida.com, drama komedi yang menampilkan personaliti Youtube popular, Cikgu Shida mengisahkan tentang dua orang wartawan iaitu Cik Baba (Omar Abdullah) dan Loqman yang mendapat tugasan untuk mencari Cikgu Shida dari Parit , Perak.

Tugasan itu adalah untuk laporan eksklusif keluaran surat khabar pada hari raya pertama dan mereka perlu menyiapkan tugasan tersebut dalam tempoh 72 jam sebelum raya.

Dalam perkembangan lain, Azad yang bakal berkahwin dengan pelakon Eira Syazira pada 16 September ini memberitahu, dia dan bakal isterinya telah dipilih oleh syarikat rakaman FG Music untuk merakamkan sebuah lagu duet berjudul "Lagu Jiwa" ciptaan Manusia Putih.

Lagu berkenaan yang telah siap proses rakamannya itu dijangka akan berada di pasaran sekitar November depan.