Utusan Online - Hiburan |
Alleycats ambil semangat kucing Posted: Alleycats ambil semangat kucingOleh ABD. AZIZ ITAR (duduk dari kiri) Muhammed Ismail Abdul Haiyee, Othman Mohamad, Mohamed Juhari Shaarani dan Rostam Said sambil disaksikan oleh anggota-anggota Alleycat pada majlis MoU bagi menjayakan Konsert Sampaikan Salam Alleycats di Kuala Lumpur baru-baru ini . LLEYCATS ditubuhkan sejak 43 tahun lalu di Pulau Pinang, dengan vokalis utamanya, Datuk David Arumugam merupakan anggota asal kumpulan tersebut. Pada usia 61 tahun penyanyi berambut afro ini masih kental alunan vokalnya. Suara David bukan sahaja tidak dimamah usia, malah dia terus bertahan bersama-sama Alleycats. Meskipun dia satu-satunya anggota asal dalam kumpulan itu, tetapi ternyata semangat juang Alleycats masih utuh dalam bidang muzik. Menurut David, Alleycats mempunyai kekuatan tersendiri. Ia sama seperti dengan semangat kucing yang mereka jadikan nama kumpulan itu yang terus melonjakkan nama mereka sejak lebih empat dekad yang lalu. "Ada orang kata kucing ada sembilan semangat dan kehidupan mereka yang tersendiri. "Sedangkan Alleycats baru melalui satu daripada sembilan fasa semangat serta kehidupan itu," katanya penuh makna sewaktu ditemui baru-baru ini. Sebelum itu satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) diadakan sempena Konsert Sampaikan Salam Alleycats yang akan diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur dari 16 hingga 18 September ini. MoU itu membabitkan AM Event Management selaku penganjurnya, Istana Budaya (penganjur bersama), Utusan Malaysia (akhbar rasmi) dan Radio Sinar FM (radio rasmi) pada konsert yang dijangka mengambil masa dua jam itu. Utusan Malaysia diwakili oleh Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad. Sementara Istana Budaya diwakili Ketua Pengarahnya, Mohamed Juhari Shaarani; Sinar FM oleh Pengurusnya, Rostam Said dan Pengarah Urusan AM Event Managent, Muhammed Ismail Abdul Haiyee mewakili syarikat itu. Jelas David, soal usia tidak timbul kerana biarpun sudah berusia awal 60-an tetapi dia tiada masalah untuk menyanyikan semula lagu-lagu Alleycats. Ia termasuk lagu-lagu lama kumpulan itu. "Ini bukan soal umur atau stamina. Saya telah menyanyi sejak dari dulu sampai sekarang tanpa berhenti. "Saya dan Alleycats menyanyi di kelab-kelab malam pada setiap malam. Itu adalah bukti kami tiada masalah untuk terus beraksi. "Lainlah kalau saya sudah tiga atau empat tahun tidak menyanyi. Maka ketika itu mungkin orang akan berasa was-was. "Contohnya, kalau sebuah kereta itu dibiarkan sahaja tanpa digunakan ia mudah rosak," ujarnya penuh makna. Selain David, lima lagi anggota Alleycats juga berusia 40 tahun ke atas kecuali penyanyi wanita mereka, Priyadashini atau Dashini yang baru berusia 24 tahun. Dia menjadi satu-satunya anggota wanita dalam kumpulan legenda tanah air itu. Lima anggota baru Alleycats itu ialah David John, 42, selaku pemain dram; Nazaruddin Abdullah, 49, (gitar), Glen Salay, 42, (penyanyi), Loh Kum Swee, 57, (bass) dan Prawing Aroonratana, 59, (keyboards). Pada Konsert Sampaikan Salam Alleycats itu, mereka akan tapil dengan tiga segmen iaitu lagu-lagu 1Malaysia, Tribute To Loganathan dan lagu-lagu hits kumpulan itu. | ||
Posted: Bakal buka studio sendiriOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
SEBAIK sahaja melangkah kaki ke dunia seni, anak muda ini sudah mengatur kemas langkahnya bagi memastikan impiannya tercapai sebagai seorang anak seni yang berjaya. Semangat kental yang ditunjukkan Muhammad Aizat Amdan atau lebih dikenali dengan nama komersial, Aizat ini membuktikan kehadirannya ke pentas seni bukan sekadar suka-suka. Dengan pelbagai pengiktirafan baik dari segi popular mahupun terbaik yang sudah diterimanya berjaya membuka mata masyarakat bahawa bakat dimilikinya bukan sembarangan. Menyedari keseriusannya sebagai seorang karyawan, Aizat dengan penuh teruja memberitahu dia bakal membuka studionya sendiri tidak lama lagi. Jelas Aizat, dia dan abangnya, Anas akan mengusahakan studio yang bakal dibina di pejabat Kasi Gegar Entertainment (KGE) di Ampang, Selangor itu tidak lama lagi. "Saya cukup gembira kerana impian saya untuk memiliki studio sendiri akhirnya terlaksana juga. Malah, sejak dari awal lagi sewaktu mula-mula menjadi artis, ia merupakan salah satu cita-cita saya. "Selepas hampir empat tahun menjadi artis, saya fikir sudah tiba masanya untuk saya merealisasikan impian itu," jelas Aizat sewaktu ditemui pada majlis berbuka puasa, Aizat & Frenz anjuran Dream Music di Hotel Royale Chulan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Ujar penyanyi muda yang mula menempa kemasyhuran menerusi lagu Hanya Kau Yang Mampu itu lagi, pembinaan studio itu masih lagi di peringkat perbincangan. Katanya lagi, ia memerlukan perancangan yang rapi bagi memastikan studio yang dibina itu dapat mencapai kepuasan kepada semua pihak. "Memang banyak perkara yang perlu diambil kira apabila mahu menubuhkan studio. Kita perlu memastikan peralatan dan sistem audio berada dalam keadaan terbaik. "Bukan itu sahaja, persekitaran bilik yang akan ditukar menjadi studio itu juga memainkan peranan penting dalam menghasilkan mutu bunyi yang baik. "Jadi, buat masa ini kami masih lagi berbincang dan merangka pelbagai perkara untuk penubuhan studio ini," jelas Aizat yang mula dikenali menerusi program realiti, Akademi Fantasia musim kelima pada tahun 2007 ini lagi. Penyanyi dan komposer berusia 22 tahun ini juga tidak menafikan dengan penubuhan studio itu kelak adalah sebagai langkah awalnya sebagai seorang ahli perniagaan. Katanya, selepas merakamkan dua albumnya di studio milik orang lain, Aizat begitu kepingin untuk menerbitkan albumnya di studio miliknya juga. "Dengan adanya studio kelak, ia juga akan menjadi tempat untuk saya bekerja dan menghasilkan lagu. Sebagai seorang pengkarya, sudah pasti saya mahukan yang terbaik untuk studio saya itu. "Sudah pasti, saya mahu melihat ia berjaya dan siapa tahu, studio saya itu nanti akan setanding dengan Studio Abbey Road, London yang merupakan studio yang cukup saya kagumi," ujar pengagum kumpulan The Beatles ini yang kelihatan semakin kurus ini sambil ketawa. DFP menanti Aizat BIARPUN album keduanya, Urusan Aizat Amdan masih lagi mendapat tempat di kalangan pencinta muzik tempatan, Aizat kini sedang dalam perancangan untuk menerbitkan album ketiganya. Sudah mempunyai beberapa lagu dalam simpanannya, penyandang gelaran Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik Ke-16 (2009) ini mahu berterusan bereksperimentasi dengan muzik baru agar karyanya tidak kedengaran statik. Dalam hal ini, pelantun lagu Sungai Lui dan Lagu Kita ini mengambil contoh penerimaan positif masyarakat terhadap album Urusan Aizat Amdan yang ternyata membuatkannya berasa puas hati. Selain itu, Aizat turut mengkhabarkan dia akan beraksi dalam sebuah persembahan di Sydney, Australia sebelum penghujung tahun ini. "Tetapi, apa yang lebih mengujakan saya apabila terpilih mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di bawah siri Spotlight pada 3 Oktober ini. "Sebelum ini, saya hanya membayangkan diri saya menyanyi di pentas yang cukup gah itu. Namun, tidak sangka pula akhirnya impian itu bertukar realiti. "Sesungguhnya saya cukup teruja dan dalam masa yang sama gementar juga. Sudah pasti saya akan menyampaikan lagu-lagu popular saya selain lagu lama kegemaran saya yang diberi nafas baru. "Secara eksklusifnya juga, saya akan menyampaikan lagu-lagu baru saya nanti," kata Aizat tentang persembahan yang juga akan menampilkan Yuna pada 12 dan 13 September. Bagi mereka yang berminat mahu menonton persembahan Aizat di DFP, bolehlah melayari laman web, www.dfp.com.my untuk keterangan lanjut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |