Adsense

Selasa, 6 September 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Suki yang baru

Posted: 05 Sep 2011 04:01 PM PDT

Hip

Suki

Suki

Kritikan mematangkan diri

BANYAK perubahan yang dapat dikesan dalam diri gadis berusia 21 tahun ini. Rambut yang dulunya melepasi bahu kini dipotong pendek. Terserlah kedewasaan pemenang sulung pertandingan program realiti One In A Million (OIAM) musim pertama ini.

Namun bukan saja perubahan dari segi fizikal yang mengejutkan, tetapi juga sifat dan keperibadiannya yang bukan lagi seperti pada awal kemunculannya dulu. Si pemilik nama penuh Low Sook Yee atau lebih dikenali dengan nama Suki kini bukan lagi gadis yang dikenali empat tahun dulu. Jika sebelum ini namanya sering dikaitkan dengan kontroversi, apabila dikecam dan dikritik sesetengah pihak gara-gara sikapnya yang tidak disenangi ramai, kini keperibadian gadis ini berputar 180 darjah.

Ibarat pepatah lama, sekali air bah, sekali pantai berubah. Jika sampai masanya, kita takkan terus berada di takuk lama. Begitulah juga yang berlaku kepada Suki, apabila pengalaman masa lalu semakin mematangkan dirinya.

"Saya akui, dulu saya banyak melukakan hati orang lain dengan sikap saya. Sana-sini saya dikecam dan saya sedar memang ramai media tak puas hati atau kurang senang dengan perangai saya. Susah nak jawab panggilan, berbaring ketika ditemubual, dan macam-macam lagi perbuatan saya yang tidak disenangi mereka.

"Lagipun waktu itu, saya masih remaja dan saya tak nafikan mengalami kejutan budaya kerana mengecap populariti secara tiba-tiba. Disebabkan itulah saya sedikit tenggelam dengan kemasyhuran menyebabkan saya tak pernah ambil kisah apa yang perlu dan tidak perlu dilakukan oleh artis seperti saya," kata Suki ketika menjayakan sesi fotografi bersama Hip di Centrio, Pantai Hill Park di ibu negara.
Walaupun kontroversi yang dilaluinya itu memang mengguris perasaan, namun tegas Suki, dia tidak pernah menyesal atas denai perjalanan yang ditakdirkan untuknya itu.

"Walaupun saya tahu ramai yang tak senang dengan saya, tapi saya tidak pernah menyesal. Apa yang berlaku pada saya sebelum ini, saya anggap sebagai pengalaman yang mendewasakan. Tanpa peristiwa itu, saya tak mungkin akan menjadi seperti sekarang," katanya.

Antara sebab lain yang membuat Suki membuang jauh semua aura negatif dalam dirinya adalah kerana ada seseorang yang banyak memandu dirinya ke arah kebaikan.

Tanpa berselindung, penyanyi yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan ini mengakui dia memang sedang menjalinkan hubungan dengan seseorang yang lebih berusia daripadanya.

"Dia seorang ahli perniagaan dan lapan tahun lebih tua daripada saya. Kami memang sudah lama berkawan dan saya sendiri seronok berkawan dengannya. Selain sudah stabil dengan kehidupannya, dia juga seorang yang matang. Kematangannya itulah yang banyak mengajar saya erti kehidupan sebenar.

"Dia juga sering berada di sisi saat saya memerlukannya. Itulah yang membuat kami rapat. Bagaimanapun, kami masih belum memikirkan soal perkahwinan kerana banyak lagi perkara yang saya harus kejar. Lagipun kerjaya nyanyian saya baru hendak bermula, jadi buat masa ini biarlah kami berdua berkawan saja," luah Suki jujur.

Rakam semula lagu nyanyian Alyah

SETAHUN selepas kemenangannya dalam OIAM, Suki menghasilkan album pertama yang berjudul Finally Akhirnya. Selepas itu, nama Suki seakan-akan lenyap dalam persada seni. Apakah kehilangannya itu disebabkan merajuk? Atau ada projek yang tidak mahu dihebahkan.

Menjawab persoalan itu, Suki berkata dia tidak pernah menghilangkan diri. Sebaliknya, dia melebarkan lagi sayap kerjaya seninya di negara Taiwan dalam bidang nyanyian dan juga lakonan.

"Pada 2009, saya ke Taiwan untuk menghasilkan album yang berjudul Ladies' Night. Enam bulan di sana dan enam bulan lagi di Malaysia. Selain menghasilkan album, saya juga berlakon dalam drama bersiri berjudul The Gift, di sana. Bila berada di negara orang lain, barulah saya rasa rindu pada Malaysia dan juga pada keluarga.

"Sewaktu terbabit dalam penggambaran drama itu, saya bersendirian di sana. Waktu itu, memang rasa sedih sangat. Justeru, apabila semuanya selesai, saya rasa tak sabar kembali ke Malaysia dan tumpukan perhatian terhadap kerjaya nyanyian di sini pula," cerita Suki lagi.

Atas hasrat untuk mengembalikan semula ingatan peminat terhadap dirinya, dalam diam Suki dalam proses menghasilkan sebuah album penuh yang turut menyaksikan dia bekerjasama dengan komposer dari Indonesia.

"Ada 10 lagu dalam album itu nanti. Lapan daripadanya lagu Melayu. Mungkin album ini berada di pasaran awal tahun depan. Antara lagu yang sudah pun dirakamkan ialah Aura, Untuk Kamu serta single pertama saya yang berjudul Terlalu Mencintaimu.

"Lagu Terlalu Mencintaimu itu pernah dirakamkan oleh Alyah dengan menggunakan tajuk Pusara Kasih. Bagaimanapun, disebabkan ada masalah dan lagu itu terperap begitu saja, ia kemudian diberi nafas baru dan diubah lirik serta judulnya," cerita Suki mendedahkan rahsia di sebalik lagu ciptaan Ajai itu.

Dengan kemunculan single itu, Suki menaruh harapan semoga sinar kejayaan masih ada untuknya.

"Saya mahu lupakan semua kontroversi lalu dan apa yang saya harapkan sekarang ialah sokongan peminat. Saya masih mahu menyanyi dan inilah saja kerja yang saya tahu untuk mencari rezeki. Saya tak mahu sia-siakan lagi peluang yang mendatang," tegas Suki serius.


James Bond, Cat Women dalam NORA

Posted: 05 Sep 2011 03:59 PM PDT

Hip

100 pakaian sehari untuk teater muzikal yang bermula 29 September

LIUK lenggok pelakon dengan menggayakan busana menarik bukan saja menaikkan lagi karektor yang dibawa di atas pentas teater, tetapi fesyen yang digayakan turut mencerminkan jalan cerita yang hendak disampaikan.

Kecantikan dan keunikan rekaan kostum yang digayakan melahirkan rasa kagum kepada penonton dan itu yang akan diterapkan dalam pementasan teater muzikal The Secret Life Of Nora (NORA). Teater yang dipentaskan selama sebulan bermula 29 September ini memperagakan 100 pakaian hasil sentuhan 12 pereka muda tempatan.
Bagi menaikkan seri 35 pelakon teater muzikal itu, Akademi Fesyen Stylo International diberi tanggungjawab menyediakan rekaan busana. Malah, teater terbabit juga diangkat sebagai High Fashion Theater yang turut mendapat sentuhan pereka terkenal tempatan Bill Keith dan pereka dari Singapura.

Presiden Stylo International, Datuk Nancy Yeoh berkata, pakaian yang bertemakan era 60-an itu bakal menjadikan NORA sebagai teater pertama negara yang menggunakan banyak fabrik.

"Saya bangga Stylo dipilih bekerjasama dalam teater ini dan pereka muda kita akan menghasilkan rekaan yang unik serta penuh dengan warna sepanjang teater itu berlangsung.
"Bayangkan 100 pakaian digayakan dalam sehari dengan pelbagai rekaan dan warna fabrik menarik bagi menyerikan teater itu," katanya.

Ketelitian dalam menghasilkan rekaan yang menarik memerlukan sentuhan daripada pakar, namun pemilihan 12 pereka muda itu dicungkil dalam pertandingan Mercedez-Benz Stylo Emerging Desingners 2011 pada April lalu.
Kesemua pereka itu akan dipantau oleh pereka, Cris Yong bagi menghasilkan pakaian pelakon. Manakala pakaian yang akan dipakai oleh watak Nora lakonan Tiara Jacquelina direka khas Bill Keith.

"Dalam menghasilkan rekaan yang menarik dan dapat ditukar dalam masa kurang 45 saat, kita memerlukan banyak pengalaman tentang fesyen dan pemilihan fabrik dan rekaan khusus. Disebabkan persembahan teater ini mengambil masa hampir sebulan jadi pakaian yang direka perlu tahan lama selain mudah ditukar oleh pelakon sepanjang persembahan berlangsung," jelasnya.

Meskipun pernah menjayakan teater muzikal Puteri Gunung Ledang dan P Ramlee The Musical tetapi bagi Presiden Enfiniti Vision Media, Datin Seri Tiara Jacquelina, teaternya kali ini bakal menampilkan kelainan dan keunikannya tersendiri.

Bahkan, Tiara mahu melihat teater NORA bakal meninggalkan kenangan menarik buat penonton serta mampu dipentaskan di luar negara.

"Ada banyak rekaan yang dihasilkan pereka ini dan kalau boleh semua saya nak semua tetapi tak boleh, sebab tempoh pementasan yang singkat akan menyukarkan pelakon untuk menukar pakaian.

"Saya sudah tengok lakaran kasar pakaian terbabit dan memang berpuas hati sebab semua yang dipilih memang cantik, unik dan menarik," katanya.

Pakaian khas untuk perisik

BAGI menampakkan rekaan yang canggih dan unik untuk digayakan oleh Nora sebagai ejen perisik, pakaiannya direka dengan mengambil konsep dari filem Batman.

Bill Keith dipertanggungjawab bagi menghasilkan dua kostum menarik untuk Nora bagi menampakkan karektor seorang wanita yang berkuasa dengan busana mudah guna.

"Saya hasilkan dua pakaian utama Nora dengan dua karektor berbeza daripada seorang penari kepada ejen perisik. Saya ambil konsep Cat Women dalam filem Batman selain idea daripada filem James Bond bagi menampakkan pakaiannya sebagai seorang ejen perisik," katanya.

Malah, kostum yang akan digayakan Nora nanti juga mirip pakaian yang dipakai John Crawford dalam filem Mission Impossible.

Pakaian itu juga diterapkan elemen misteri, kepintaran dan licik yang dapat menyembunyikan senjata atau aksesori dwi fungsi.

"Saya nak reka baju yang orang nampak biasa tetapi sebaliknya ia dwi fungsi seperti dalam filem penyiasatan barat ketika era 60 dan 70an.

"Saya akan bermain dengan banyak warna bagi menghasilkan rekaan yang menarik, menakjubkan dan memukau mata penonton," jelasnya.

INFO

  • Teater muzikal The Secret Life Of Nora dipentaskan di IB daripada 29 September hingga 16 Oktober 2011
  • Harga tiket bermula daripada RM30, RM50, RM110, RM120, RM220 dan RM240.
  • Diskaun 20 peratus untuk pembelian awal bagi tiket berharga RM120 dan RM240.
  • Turut ditawarkan tiket untuk tempat duduk khas berharga RM350 dan RM450.
  • Diskaun 10 peratus untuk pembelian awal bagi tiket berharga RM350.
  • Tiket boleh ditempah atau dibeli secara talian daripada www.airasiaredtix.com atau telefon 03–87754666. Tiket juga boleh didapati di kaunter Box Office, Istana Budaya, hubungi 03-40265558
  • Tempahan pakej korporat dengan minimum 30 tempat duduk juga dialu-alukan.