SEMENJAK dijulang sebagai juara Maharaja Lawak pada bulan Mei lalu, tidak dinafikan kumpulan Sepah yang dianggotai Mohd. Nadzri Zainal Abidin (Jep), Shahmira Muhamad (Shuib) dan Mohd. Noor Murad (Mamat), sememangnya layak untuk digelar sebagai pelawak nombor satu tanah air.
Cuma di sebalik kejayaan kumpulan yang berasal dari Kulai, Johor itu muncul juara, turut terdapat cerita yang kurang enak apabila mereka dikhabarkan mahu berpecah sebaik sahaja berakhir rancangan tersebut.
Namun begitu, setelah beberapa bulan ternyata tiada nampak sebarang tanda-tanda kumpulan tersebut bakal berkubur. Sebaliknya mereka dilihat terus bersama, sekali gus cerita perpecahan berkenaan terus berlalu begitu sahaja.
Kemudian pada awal bulan Ramadan yang lalu tiba-tiba cerita perpecahan mereka kembali kedengaran dan kumpulan Sepah dikatakan akan berkubur dan tinggal sejarah selepas Aidilfitri ini.
Ketika ditanya kepada anggota kumpulan tersebut iaitu Mamat dan Shuib, mereka lantas menafikan tentang berita perpecahan tersebut dan menganggap ia sekadar salah tafsiran tentang kenyataan yang dibuat.
Sementara itu, Jep yang turut dihubungi pula memberitahu dia sendiri tidak mahu kumpulan Sepah berkubur, meskipun jauh di lubuk hatinya itu memang pernah tersirat agar mereka bertiga membawa haluan masing-masing.
Namun begitu, ketika tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan meraikan sambutan Aidilfitri, semua persoalan terjawab apabila Jep sendiri telah mengesahkan mengenai perpecahan mereka.
"Memang ini adalah satu keputusan yang nekad kerana sudah tiba masanya untuk kami bertiga membawa haluan masing-masing. Perkara ini sudah lama difikirkan iaitu selepas menjuarai Raja Lawak.
"Ketika kumpulan Sepah semakin diterima ramai, masalah mula timbul apabila disiplin yang diterapkan sebelum bergelar juara dahulu semakin terhakis. Namun, kami mendapat peluang kedua untuk memantapkan semula kumpulan sehinggalah bergelar juara Maharaja Lawak pula," jelasnya.
Menurutnya, dia sendiri mengakui keputusan yang dibuat sememangnya agak berat, tetapi tidak ada gunanya untuk mereka terus bersama jika masing-masing tidak dapat memberikan sepenuh komitmen terhadap kumpulan.
|
SEPAH kini hanya tinggal kenangan.
|
"Sebelum bermulanya saingan akhir Maharaja Lawak dahulu, memang ada terlintas di fikiran saya untuk berpecah. Kemudian apabila dinobatkan sebagai juara kami berusaha untuk membina semula kumpulan ini.
"Bagaimanapun, apa yang diusahakan kami ini kelihatan seolah-olah tidak berhasil dan akhirnya saya merasakan perpecahan ini adalah jalan terbaik untuk kami meneruskan karier masing-masing," ujarnya.
Sementara itu, Shuib pula ketika diminta mengulas mengenai perpecahan kumpulan Sepah memberitahu, dia pada mulanya cukup terkejut memandangkan keputusan yang dibuat adalah ketika umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Ujar Shuib, dia sendiri sememangnya sangat menyayangi kumpulan yang telah menaikkan nama mereka di persada seni hiburan tanah air, namun tetap akur dengan keputusan yang telah dibuat.
"Perkara mengenai perpecahan kumpulan Sepah memang sudah lama timbul dan dibincangkan bersama. Cuma baru sekarang perkara ini telah diputuskan dan saya terima dengan hati yang terbuka tentang perkara ini.
"Mungkin sudah tidak ada jodoh lagi untuk kami terus kekal bersama. Apa yang saya harapkan agar kehadiran kami bertiga dalam industri ini akan terus diterima ramai, meskipun bukan di bawah nama Sepah lagi," ujarnya.
Bagi Mamat pula, dia sendiri tidak kisah dan tetap menerima kenyataan terhadap perpecahan kumpulannya itu. Mengakui sedikit kecewa dengan keputusan tersebut, namun dia berharap agar ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.
Di sebalik perpecahan kumpulannya itu, Mamat meminta orang ramai agar tidak salah sangka dan menganggap mereka bertiga bercakaran sesama sendiri. Meskipun sudah tidak lagi bersama, tetapi mereka masih lagi berkawan.
"Hubungan kami bertiga tetap baik dan masih sama seperti sebelum kami menubuhkan kumpulan Sepah. Tidak bermakna kalau sudah berpecah dan membawa haluan masing-masing, hubungan persahabatan juga akan turut berkubur.
"Lagipun perpecahan yang berlaku ke atas kami bertiga ini bukanlah disebabkan bergaduh dan berselisih faham. Cuma sekarang ini kami tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya memandangkan lebih kerap mendapat tawaran secara individu," ujarnya.
Menurutnya lagi, dia menyifatkan apa yang telah berlaku ke atas mereka itu adalah ketentuan Allah. Tanpa mahu menyalahkan sesiapa, dia merasakan mungkin perpecahan tersebut adalah jalan terbaik.