Adsense

Isnin, 5 September 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Segalanya baru buat Tiara

Posted:

Segalanya baru buat Tiara

Segalanya baru buat Tiara

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar ZAKARIA IDRIS

HANYA tinggal beberapa minggu sahaja lagi, tirai pementasan The Secret Life of Nora (Nora) akan dibuka di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.

Ketika ini jugalah, gelodak hati wanita ini bercampur-baur. Teruja dan dalam masa yang sama dia cukup berdebar bagaikan menanti kelahiran bayi sulungnya.

Meskipun pentas teater bukanlah asing bagi Datin Seri Tiara Jacquelina, namun apabila membicarakan tentang Nora, serta-merta dia menjadi seram sejuk.

"Perasaan kali ini cukup berbeza. Bagi saya Nora ibarat permulaan segala-galanya buat saya. Meskipun sudah mementaskan dua teater muzikal sebelum ini, tetapi Nora benar-benar buat saya bimbang.

"Kebimbangan saya itu dari pelbagai aspek terutama sekali untuk mencapai kepuasan peminat yang dari awal lagi telah meletakkan harapan yang cukup tinggi.

"Saya bersyukur kerana Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLtM) dan P. Ramlee the Musical (PRtM) diterima baik sebelum ini sehingga berjaya membuka lembaran baru industri seni tempatan.

"Kerana itulah, saya dan seluruh pasukan Nora kini bertungkus-lumus bagi memastikan pementasan ini berjaya dan membawa ia setapak langkah lagi untuk menuju ke tahap lebih tinggi," luah Tiara penuh jujur dalam sesi fotografi eksklusif yang berlangsung di Stesen Keretapi Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Untuk sesi fotografi ini, Tiara tidak keseorangan sebaliknya ditemani dua lagi pelakon Nora iaitu pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi dan penyanyi bersuara mantap, Adibah Noor.

Sememangnya cita-cita Tiara cukup tinggi dan sebagai penerbit serta pelakon utama Nora, dia begitu mengharapkan ia dapat diterima dengan baik oleh pencinta teater tempatan.

Atas alasan itu kata Tiara, semua pihak yang terlibat dalam pementasan itu sanggup berkorban cuti raya mereka semata-mata mahu menumpukan perhatian yang lebih untuk Nora.

Malah, sepanjang Ramadan lalu juga, mereka gigih berlatih untuk mencari rentak dalam watak masing-masing sebelum memulakan latihan intensif di IB kelak.

Bagi Tiara yang mula dikenali menerusi filem Mat Som (1990), melakonkan watak Nora, seorang primadona yang disanjung pada tahun 60-an bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakonkan.

Jika hendak dibandingkan dengan watak Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumillah yang sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya selama tujuh tahun, untuk Nora, Tiara perlu bermula dari bawah.

Tiara juga mengakui di awalnya, dia telah berusaha untuk mencari watak Nora yang begitu samar pada pandangannya. Puas dia mencari tetapi dia belum mendapat gambaran kehidupannya yang sebenar.

"Selepas berbincang dengan Steven dan membaca skripnya sekali lagi, barulah saya dapat menyelami kehidupan Nora yang bersifat dua dimensi.

"Dari segi luaran, Nora merupakan seorang primadona yang menjadi pujaan ramai orang. Dia begitu gah di atas pentas tetapi rupa-rupanya hidupnya cukup sunyi.

"Teman setianya hanyalah Khatijah (Adibah) dan dia terlalu bergantung harap kepada pembantunya itu. Hanya selepas dia bertemu dengan Roger (Ryan Silverman), baru dia tahu rupa-rupanya dia memiliki kekuatan yang dia sendiri tidak sedar selama ini.

"Dia kembali menggapai kekuatan dan keyakinan dirinya selepas dia berjaya membantu wanita-wanita yang menjadi mangsa perdagangan manusia oleh penjahat bernama Mr. J (Aznil)," cerita pemilik trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-12 (1995) menerusi filem Ringgit Kasorrga ini penuh bersungguh.

Tiara melahirkan rasa bangga dan puas hati yang tidak terhingga kerana berjaya mendapatkan khidmat Steven selaku pengarah Nora.

Sanggup melaburkan wang yang cukup tinggi kerana mahu memberikan kelainan dalam pementasan terbitan Enfiniti Vision Media (EVM) itu, Tiara merasakan kehadiran Steven tepat pada waktunya.

Sepanjang menjalani latihan dengan pengarah yang cukup terkenal di West End, London itu, banyak pengalaman baru yang diperolehinya termasuk krew produksi.

"Saya memilih Steven kerana mahu semua pihak mempelajari sesuatu yang baru daripada orang yang berpengalaman sepertinya.

"Alhamdulillah, saya gembira apabila melihat semua yang terlibat begitu seronok dapat bekerja dengan Steven terutama Chedd Eddie Yusof yang terpaksa melepaskan keinginannya untuk berlakon dalam pementasan ini.

"Begitu juga dengan pereka tari, Pat Ibrahim yang saya lihat telah memperolehi input baru yang saya percaya sentuhannya untuk Nora akan memberikan magis luar biasa," kata Tiara yang juga pernah dijulang sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-50 menerusi filem Puteri Gunung Ledang (2005) ini lagi.

Ketika ditanya tentang keserasiannya dengan Aznil dan Adibah, Tiara hanya mampu menghela nafas panjang sambil menggelengkan kepalanya.

Tanpa menunggu lama, isteri kepada Datuk Seri Effendi Norwawi ini memuji komitmen kedua-dua personaliti popular untuk Nora.

Mengambil contoh Aznil, Tiara cukup kagum dengan disiplin dan semangat pengacara hebat itu yang gigih berusaha dalam menghidupkan watak Mr. J.

"Memang Aznil teman lama saya tetapi kami belum pernah bekerjasama sebelum ini. Sesungguhnya Nora telah menemukan kami di satu pentas yang sama.

"Selepas beberapa lama dia bersama kami, saya boleh katakan dia adalah yang terbaik dan sentiasa tampil dengan idea baru setiap kali hadir untuk latihan.

"Begitu juga dengan Adibah yang telah menunjukkan dedikasinya untuk pementasan ini. Mereka wajar dijadikan contoh oleh karyawan generasi muda hari ini jika mahu bertahan lama di dalam industri.

"Ternyata pemilihan Aznil dan Adibah untuk Nora adalah bertepatan sekali," kata ibu kepada sepasang cahaya mata itu tersenyum.

Debaran Aznil

Posted:

Debaran Aznil

Debaran Aznil

SEDARI awal ditawarkan watak antagonis dalam teater The Secret Life of Nora (Nora) yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Aznil Nawawi tidak dapat membayangkan bagaimanakah acuan watak tersebut seperti mana yang dikehendaki.

Puas juga dia mencari dan cuba mencari rentak sendiri agar watak Mr. J itu tidak menjadi klise dan mempunyai identiti diri Aznil sendiri.

Malah, Aznil juga tidak mampu menyembunyikan kebimbangan apabila ada pihak cuba menyamakan Mr. J dengan watak Profesor Klon yang pernah dibawakannya dalam dua filem Cicak-Man.

"Sekarang, barulah saya mendapat gambaran jelas tentang siapakah Mr. J yang sebenarnya. Selepas menjalani beberapa siri latihan dan mendalami skripnya. Apa yang boleh saya katakan di sini, Mr. J adalah watak antagonis yang berbeza.

"Saya perlu memahami dunia Mr. J yang penuh dengan ceritanya sendiri. Semuanya bersebab mengapa dia boleh bertindak di luar kawalan sehingga menjadi taksub kepada Nora.

"Kehidupannya memang menyedihkan apabila sewaktu kecil dia telah disisihkan oleh kawan-kawan kerana mempunyai wajah yang buruk.

"Daripada situ dia mula menyimpan dendam dan berusaha mahu menjadikan Nora milik mutlaknya," cerita Aznil yang memang cukup teruja untuk membawakan watak Mr. J dalam pementasan ini.

Terbuka

Atas alasan tersebut, anak jati Kuala Lumpur itu mengharapkan peminat yang akan datang menonton pementasan Nora dengan minda yang terbuka.

Usahlah dibandingkan dirinya dengan mana-mana watak antagonis kerana kata Aznil, dia mahu mencipta watak tersebut mengikut caranya sendiri.

Apabila memperkatakan tentang Nora, Aznil sendiri masih lagi merasakan dirinya terapung di awangan kerana tidak percaya dapat melibatkan diri dalam pementasan mega itu.

Sebelum ini, Aznil hanya mampu bermimpi agar satu hari nanti dia dapat melibatkan diri dalam mana-mana produksi terbitan Enfiniti Vision Media (EVM) waima watak kecil sekalipun.

Kini impiannya sudah terlaksana dan tiada lain yang dapat diucapkannya melainkan bersyukur dengan peluang keemasan itu.

Seperkara yang menjadi kebimbangan Aznil sewaktu mula-mula ditawarkan watak tersebut apabila memikirkan dia perlu menari.

Menyedari tarian bukanlah kemahirannya, namun, demi Nora, Aznil sanggup menyahut cabaran itu dan dia bertuah kerana mendapat bimbingan daripada Pat Ibrahim.

Begitu juga menyanyi, di mana Aznil perlu mengasah vokalnya memandangkan dia mempunyai sebuah lagu solo, Kau dan Aku untuk pementasan itu.

"Tetapi, soal itu (menari) adalah perkara kecil kerana apa yang lebih diutamakan sekarang adalah skrip dan pembentukan watak Mr. J itu terlebih dahulu.

"Selepas segalanya sudah berada dalam acuannya, barulah saya fokuskan pada tarian pula," kata Aznil yang tidak dapat bercuti lama pada Syawal kali ini lantaran komitmen untuk Nora.

Bukan hanya tarian yang menjadi kegusaran Aznil tetapi apabila dia perlu menghafal skrip yang panjang membuatkan Aznil perlu bekerja keras dalam menghidupkan watak Mr. J.

Aznil mengakui kekurangannya apabila dia tidak mampu untuk menghafal skrip dengan baik tetapi berkat usahanya, segala kelemahan itu dapat diatasi perlahan-lahan.

"Steven juga memberi kebebasan kepada kami untuk mewarnakan lagi watak masing-masing. Dia menerima segala idea yang dibentangkan. Itu membuatkan saya selesa dan berbangga dapat bekerja dengannya," kata bekas pengacara Akademi Fantasia itu tanpa berselindung.

Buang rasa malu

Bercerita tentang keserasiannya dengan Tiara, personaliti pujaan ramai ini hanya mampu ketawa kecil sebelum memberikan jawapannya.

Dengan penuh luhur, Aznil memberitahu dia cukup berdebar apabila berlakon di samping Tiara terutama melibatkan babak-babak dia perlu mengungkapkan kata cinta kepada Nora.

Mana tidaknya. Ada ketika kata Aznil, suami Tiara akan hadir menonton latihan dan sudah pasti perasaan kekok itu akan menerjah serta-merta lalu membuatkan Aznil menjadi segan.

"Itu pada mulanya tetapi selepas kami sudah tahu watak masing-masing, kami perlu fokus dan melupakan apa sahaja perkara yang cuba menjadi halangan.

"Saya mahu melakukan yang terbaik untuk pementasan ini kerana peluang ini tidak akan datang sekali lagi.

"Adalah lebih menyedihkan buat saya sekiranya lakonan saya tidak dapat mencapai piawaian kerana sudah pasti saya akan mengecewakan Tiara dan EVM.

"Saya tidak kisah berkorban waktu saya demi NORA," kata Aznil bersungguh.